Tuesday, December 22, 2009

ADUN Slim River Berniat Jahat

Persatuan Pegawai-Pegawai Ugama Perak (PPUP) merasa amat kesal dengan dakwaan biadab ADUN Slim River yang menuduh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Dato’ Mohamad Nor Mansor cuba bermain politik dalam soal perlantikan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid di seluruh negeri, dengan membelakangkan senarai yang telah diperkenankan oleh DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP).



Malah lebih keterlaluan apabila beliau mengatakan bahawa Modus operandi Pengarah JAIP adalah dengan mengarahkan PTA supaya memotong nama-nama yang telah diperkenankan oleh DYTM Tuanku Raja Muda dan memasukkan nama-nama pemimpin Pas sebelum senarai itu dihantar semula ke pejabat JAIP. Kemudian JAIP akan membuat senarai baru tanpa merujuknya semula kepada OBJ, yang mewakili baginda Sultan di peringkat daerah.


Ini jelas menunjukkan niat jahat beliau yang memandang serong terhadap Pengarah, Jabatan Agama Islam Perak yang diberi kepercayaan oleh Kerajaan Negeri Perak dan DYMM Sultan Perak bagi memimpin institusi agama yang amat penting di negeri ini.


Apa yang menghairankan, apakah beliau lebih mengetahui senarai nama yang telah diperkenankan oleh Majlis berbanding Pengarah, Jabatan Agama Islam Perak merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak itu sendiri.


Apakah beliau ingin mengatakan bahawa hanya ahli UMNO sahaja yang layak dan boleh dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kariah. Beliau juga melakukan penghinaan terhadap Pegawai-Pegawa Tadbir Agama Daerah yang dianggap boleh diarah sesuka hati untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang.


Segala kenyataan beliau jelas menunjukkan kejahilan beliau terhadap undang-undang yang memperuntukkan bahawa Pegawai Tadbir Agama Daerah adalah pihak yang dipertanggungjawabkan bagi mencadangkan senarai nama AJK Kariah untuk dilantik oleh Majlis.


Adalah diharapkan agar masjid dan surau tidak dijadikan sebagai medan perebutan politik dengan menafikan kelayakan merka yang tidak sehaluan walaupun memiliki ciri-ciri yang dikehendaki oleh Allah dan cuba meletakkan sesiapa sahaja tanpa menilai kesesuaiannya asal sahaja mereka menyokong ideologi politik kita.

Monday, December 7, 2009

Pertukaran adalah suatu Hijrah

Sebahagian besar daripada kita sedang berdebar-debar menantikan keluarnya surat keramat pertukaran pegawai sebahagimana yang dijanjikan. Episod pertukaran ini adalah satu episod yang berpanjangan sepanjang usia perkhidmatan seseorang pegawai. Terdapat beberapa keajaiban dalam urusan pertukaran ini bukan sahaja di institusi agama malah di mana-mana agensi. Tidak ramai yang mempedulikan pertukaran Pegawai Daerah walaupun mereka orang no. 1 di daerah, berbeza dengan pertukaran para Penghulu yang mengundang seribu satu kemelut yang berpanjangan. Walaupun dari segi statusnya yang tinggi di mata masyarakat setempat, pertukaran Pegawai Tadbir Agama Daerah bukan suatu yang sering dibahaskan, kecuali satu dua pegawai yang mendapat bantahan daripada kelompok politik kampungan. Berbeza suasananya dengan pertukaran imam-imam, yang menyebabkan timbulnya berbagai memorandum dari berbagai pihak termasuk yang ditandatangani ahli kariah yang entah faham entahkan tidak. Arahan pertukaran para imam di seluruh Perak beberapa bulan sudah, memperlihatkan permohonan penangguhan dan sehingga kini seolah-olah arahan tersebut tidak pernah dipatuhi.
Oleh kerana pertukaran ini tidak dilaksanakan secara berkala, maka ianya sering dilihat dari sudut yang negatif. Oleh kerana ada yang tidak pernah bertukar semenjak belasan tahun, ada yang tidak pernah menjejakkan kaki ke daerah-daerah dan ada yang berlegar di sekitar satu dua bahagian sahaja menyebabkan kegusaran kepada beberapa pihak yang kerap terlibat dengan pertukaran. Oleh kerana seringkali pertukaran terjadi berpunca daripada sesuatu kes atau isu yang tidak selesai, maka ramai yang menganggap bahawa pertukaran dibuat bagi menghukum seseorang pegawai.
Berbagai sebab sebenarnya boleh dijadikan alasan untuk membuat pertukaran. Walau apapun alasannya, kepentingan perkhidmatan adalah keutamaan tertinggi berbanding kepentingan peribadi. Lebih malang lagi jika pertukaran dibuat bagi memenuhi nafsu serakah pimpinan politik yang berfikiran sempit. Bagi yang terselamat daripada pertukaran mungkin boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu bersusah payah. Namun suatu perkara yang perlu kita ingat, bahawa Nabi Muhammad saw tidak mungkin mampu memerintah jika tidak berhijrah dari Mekah ke Madinah. Para ulamak yang hebat hanya dikenali ramai hasil hijrah mereka ke berbagai tempat. Maka rugilah kita jika hanya mempertahankan kedudukan yang kita sedang nikmati, tanpa mahu memperluaskan pengalaman kerja dengan mengambil risiko dan cabaran yang ada di tempat baru dengan suasana baru, teman-teman baru dan semangat yang baru.