Tuesday, February 23, 2010

Hukuman Sebat ; Maju Setapak Lagi

Tindakan Sisters in Islam (SIS) membidas tindakan Jabatan Penjara melaksanakan hukuman sebatan ke atas tiga wanita Islam berhubung kesalahan mengadakan seks haram dengan menganggapnya sebagai satu diskriminasi terhadap kaum wanita bukanlah suatu yang menghairankan.
Oleh kerana belum ada sebarang tindakan diambil terhadap mereka, tidak ada apa yang dibimbangkan oleh mereka untuk terus mempersendakan Islam. Pengarah Eksekutifnya, Dr Hamidah Maricanpun bukanlah layak untuk diambil kira pandangannya kerana beliau bukanlah begitu memahami ajaran Islam itu sendiri.
Apa wajarnya mereka bercakap soal hak sama rata mengikut Perlembagaan Persekutuan dan wanita tidak boleh disebat menurut Seksyen 289 Akta Kanun Jenayah jika mereka sendiri tidak pernah menghormati Enakmen Jenayah Syariah yang dihormati oleh kedua-dua undang-undang tersebut.

Setinggi-tinggi pujian harus diberikan terhadap perlaksanaan segera oleh Jabatan Penjara terhadap 3 pesalah wanita bersama empat lagi pesalah lelaki yang disabitkan mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.

Tak perlulah mengharapkan golongan yang prejudis terhadap Islam untuk menyokong dan tidak membangkang perlaksanaan Hukum Islam kerana mereka sememangnya tidak mahu belajar untuk memahaminya. Tidak perlulah ada pihak yang menimbulkan soal kegagalan kita memberikan kefahaman kepada masyarakat terhadap Islam dan perlaksanaannya memandangkan bukan sedikit Orang Bukan Islam yang amat memahami mengenai keindahan Islam pada zaman ledakan maklumat yang merata pada hari ini. Apakah alasan bagi yang mengaku sebagai Islam untuk tidak memahami apatah lagi memusuhi Islam dan Perlaksanaan Syariatnya.

Sunday, February 21, 2010

Mesyuarat Agung Kali Ke 18

Alhamdulillah, Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke 18 yang diadakan di Marina Cove Resort, Lumut pada malam ini nberjalan dengan lancar dengan suasana yang sangat harmoni. Majlis yang dirasmikan oleh Dato' Sheikh Mohd Nor Bin Mansor Al-Hafiz, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak yang juga merupakan ahli persatuan ini lebih merupakan satu kesempatan keemasan bagi membolehkan perjumpaan teman-teman berbagai lapisan dari kesemua jabatan termasuk Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Mufti dan juga Majlis Agama Islam Perak.

Mandat kepimpinan persatuan sekali lagi diserahkan kepada barisan kepimpinan sedia ada. Ini bermakna dua tahun lagi terpaksa di hadapi oleh Jawatankuasa bagi melaksanakan tanggungjawab yang berat ini.

Ustaz Asyraf Ismail sekali lagi berjaya menambat hati ahli-ahli dengan kehebatannya meminpin majlis, telah diusulkan agar dilantik sebgai Pengerusi Tetap. Walaupun kedatangan kira-kira 70 orang ahli bersama keluarga masing-masing, namun nisbah kehadiran dengan jumlah keahlian sebenar masih jauh dari yang diharapkan. Entah apalah cara agaknya bagi menjadikan kesemua ahli memberikan komitmen terhadap aktiviti persatuan. Jika Mesyuarat Agung dan Hari Keluarga yang menyediakan penginapan selesa untuk seisi keluarga seperti inipun tidak mendapat tempat di hati mereka, maka apakah yang boleh diharapkan untuk aktiviti lain yang dianjurkan oleh persatuan pada masa akan datang.