Friday, June 10, 2011

Pilihanraya memecahbelahkan Melayu !

Agak pelik bila ada pihak yang cuba menonjolkan diri sebagai hero Melayu dengan membangkang tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah memutuskan kaedah pemilihan Anggota Jawatankuasa (AJK) Kariah Masjid di seluruh negeri menggunakan sistem pengundian dalam kertas undi ala pilihan raya. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Kassim, kaedah pemilihan yang diperkenalkan itu adalah persetujuan bersama dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAI), Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Di antara tujuan kaedah baru ini adalah bagi menjadikan kaedah pemilihan jawatankuasa kariah yang lebih telus, berbanding dengan tatacara pemilihan sedia ada. Ini juga bertujuan untuk mengembalikan hak anak-anak kariah untuk mencalon dan memilih pemimpin kariah masing-masing kepada MAIPP. Di antara tuduhan yang dilemparkan adalah :


1. Ianya menjerumuskan institusi masjid ke kancah politik kepartian.

2. Ianya akan memporak-perandakan institusi masjid dan mengheret jawatan kuasa kariah masjid dalam kancah perpecahan apabila wujud aktiviti berkempen, mengadu domba serta memburuk-burukkan antara satu sama lain.

3. Kaedah pelaksanaan pilihan raya itu juga sangat lemah dan longgar sehingga boleh menimbulkan rasa syak wasangka dalam kalangan kariah masjid sekali gus memungkinkan perseteruan serius berlaku.

4. Sistem sedia ada yang diamalkan sejak lebih 50 tahun lalu membolehkan wakil dari setiap kampung menduduki jawatankuasa masjid supaya apa jua aktiviti dapat dilakukan dengan penglibatan menyeluruh masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

Adalah merupakan tuduhan yang amat dangkal jika dikatakan sistem pengundian ala pilihanraya ini sebagai menjerumuskan masjid ke kancah politik kepartian. Ini kerana tidak ada sebarang calon yang akan mewakili parti politik dan setiap individu adalah mewakili diri mereka sendiri.

Jika dikatakan pengundian boleh membawa perpecahan dan porak poranda, maka adalah lebih baik pemilihan wakil rakyat dan ahli parlimen juga tidak dibuat melalui proses pengundian kerana kesan pecah belahnya adalah jauh lebih parah.

Mungkin terdapat beberapa kelemahan dalam aspek teknikal dalam kaedah yang dibuat namun tidaklah sampai ke tahap kita perlu menolak bulat-bulat kaedah yang dicadangkan kerana ianya ternyata jauh lebih baik dan lebih telus berbanding kaedah sedia ada.

Tidak pernah ada mana-mana pihak yang menganggap sistem sedia ada sebagai yang terbaik malah sistem sedia ada lebih menunjukkan penguasaan satu-satu puak terutamanya yang mewakili parti pemerintah. Setiap pertemuan antara pihak Majlis dan ahli kariah pasti ada desakan agar kaedah pemilihan oleh ahli kariah dikembalikan semula samada oleh mereka yang mewakili parti kerajaan apatah lagi parti pembangkang.

Beberapa dekad terdahulu, kaedah pemilihan melalui Mesyuarat Agong dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh negara. Kemudiannya semenjak era 90’an bermulalah pindaan undang-undang yang mengubah kaedah tersebut kepada kaedah lantikan oleh pihak Majlis melalui cadangan nama yang diperolehi dari berbagai pihak. Di antara sebab kenapa selama ini pihak Majlis membatalkan kaedah pemilihan ahli jawatankuasa masjid melalui Mesyuarat Agong adalah disebabkan kelemahan ahli kariah yang hanya memilih berdasarkan hubungan peribadi ataupun populariti seseorang calon. Akhirnya jawatan-jawatan penting yang menggerakkan masjid seperti setiausaha dan bendahari dipegang oleh mereka yang tidak mempunyai kemahiran sama sekali. Walaubagaimanapun kelemahan ini akan dapat diatasi melalui pencalonan awal ke jawatan-jawatan tersebut yang hanya membenarkan kelayakan minima yang khusus bagi jawatan tertentu. Perkara ini tidak menjadi masalah yang besar jika setiap pencalonan dipantau oleh pihak Majlis.

Walaupun kaedah pengundian pilihanraya seperti ini bukanlah merupakan satu satunya kaedah yang terbaik, namun ianya ternyata boleh menjadi satu kaedah alternatif buat masa ini. Ianya sekurang-kurangnya mampu memuaskan hati semua ahli kariah yang merasakan hak mereka untuk memilih kepimpinan di kalangan yang mereka kenali. Janganlah kerana fahaman politik sempit yang kita anuti menjadikan hati kita terlalu keras sehingga menafikan hak masyarakat sebagaimana yang selama ini diharap-harapkan oleh majoriti Umat Islam di negara ini.