Saturday, March 7, 2026

KHUTBAH SEMASA : IRAN DISERANG LAGI

 

                  IRAN DISERANG LAGI                 

الحمد لله القائل

ﵟوَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ لَا تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ قَالُوٓاْ إِنَّمَا نَحۡنُ مُصۡلِحُونَ ١١ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلۡمُفۡسِدُونَ وَلَٰكِن لَّا يَشۡعُرُونَ ١٢ ﵞ 

Dan apabila dikatakan kepada mereka, janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi, mereka berkata hanyasanya kami melakukan pembaikan.  Ketahuilah bahawa merekalah sesungguhnya golongan yang melakukan kerosakan. Dan akan tetapi mereka tidak merasainya. (al-Baqarah: 11-12.

اَشْهَدُ اَنْ لاَ الــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ, اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

          Kenyataan Allah yang dibacakan dalam ayat di atas benar-benar menepati sifat dan perangai Amerika Syarikat yang sentiasa melindungi Israel laknatullah yang mengganas dan melakukan kerakusan dalam berbuat apa sahaja sekehendak hatinya terhadap dunia. Walaubagaimanapun sedemikian kejinya, mereka menggambarkan kepada dunia bahawa merekalah yang sebenarnya yang disakiti dan Umat Islam dipaksa menerimanya serta dipaksa membodohkan diri menerima skrip yang mereka reka dan melakonkan watak yang mereka tempa.

Hadhirin yang dirahmati Allah,

28 Februari 2026, sekali lagi Amerika Syarikat menjadi dalang dan tulang belakang kepada Israel laknatullah menyerang Iran. Mereka pernah melakukannya pada Jun 2025. Mereka kononnya menyerang kemudahan nuklear Iran sehingga mencetuskan perang singkat selama 12 hari. Di dunia ini hanya mereka dan pihak yang mereka restui sahaja yang boleh memiliki senjata pemusnah untuk mereka gunakan bagi memusnahkan sesiapa sahaja yang mereka benci, sedangkan pihak lain tidak layak memilikinya walaupun untuk mempertahankan diri.

 

Hadirin yang dirahmati Allah,

Dunia dipaparkan dengan sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas sekolah rendah perempuan Shajareye Tayabeh di Minab, selatan Iran. Malah Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei turut terbunuh bersama anggota keluarganya. Namun Iran hanya menghantar peluru berpandu balistik dan supersoniknya bagi memusnahkan pengkalan tentera Amerika Syarikat di negara-negara jiran dan kemudahan ketenteraan di Israel. 

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dunia hari ini sedang menyaksikan sandiwara yang amat sukar bagi kebanyakan umat Islam di seluruh dunia. Manusia semakin keliru dalam membezakan antara baik dan jahat, antara perang dan keganasan, antara jihad dan jahat.

Dunia hari ini bukan lagi dunia yang dikuasai oleh kepimpinan dan ketuanan Islam, tetapi dicernakan dan diaturkan oleh dunia barat yang penuh kepalsuan. Sekian lama dunia Islam menghadapi penginayaan dan penindasan, namun Islam juga yang masih menjadi musuh utama alam sejagat. Umat Islam masih dilihat sebagai umat yang sukakan keganasan walaupun di mana-mana kita melihat Umat Islamlah yang menjadi mangsa keganasan.

Ketika rakyat Gaza disembelih, dunia masih sibuk mempersalahkan perjuangan Hamas. Ironinya Amerika Syarikat dan Israel berterusan sehingga kini bermaharajalela memerangi seluruh dunia tanpa sebarang kecaman dan kajian. Amerika Syarikat sejarahnya pernah menyerang Iraq(2015), Syria(2011), Libya(2011), Haiti(2010), Yemen(2009 dan 2015), Somalia(2007), Haiti(2024), Liberia(2003), Filipina(2002) dan beberapa buah negara lain.

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dunia sentiasa mengharapkan Islam menjadi penyelamat daripada kerakusan kuasa-kuasa besar. Sejarah pernah melihat bagaimana Islam menyelamatkan dunia daripada kerakusan Moghol yang hamper menjarah seluruh dunia. Ironinya, Umat Islam hari ini amat lemah dan terlalu bergantung kepada orang lain dan semakin jauh daripada ajaran Allah. Umat Islam hari ini tidak mempunyai sebab dan musabab bagi melayakkan kita menerima bantuan dan pertolongan Allah bukan Sahaja mempertahankan diri apatah lagi nak menyelamatkan generasi.

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebenarnya, tidak banyak beza Umat Islam di awal kenabian dengan umat Islam hari ini. Umat Islam berada di dalam kedudukan yang lemah dan ditindas oleh kafirin dan munafikin tanpa sebarang pembelaan dunia. Umat Islam mempunyai persenjataan yang begitu kerdil berbanding persenjataan musuh.

Bezanya adalah Umat Islam di zaman Rasulullah saw berserah sepenuhnya kepada Allah dan Rasulnya tanpa sedikitpun meletakkan maruah mereka kepada musuh. Setiap pengkhianatan tiada kemaafan dan dihapuskan hingga ke akar umbinya. Negara musuh disantuni  atas tujuan dakwah jauh sekali daripada ditakuti. Pertolongan Allah datang dengan jalan yang tidak disangka-sangka. Akhirnya Islam berjaya menguasai dunia dan dunia mengenali keadilan, ketenangan dan keamanan yang tak pernah mereka kecapi sebelumnya.

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebahagian besar Umat Islam hari ini sibuk menjaga kebajikan dan pelaburan disamping mengejar keredhaan barat. Pemerintah Umat Islam selesa menzolimi dan menganiaya rakyatnya tetapi melutut di hadapan pemerintah negara asing. Usahkan nak menghukum kebiadaban sejagat terhadap Islam bahkan kebiadaban terhadap Islam di dalam negara sekalipun gagal diberikan hukuman yang setimpal. Bagaimanakah pertolongan Allah akan kita nikmati sedangkan kita sendiri tidak bersungguh dalam menolong agama Allah.

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

          Pihak lain tidak pernah takut dan bimbang untuk memerangi dan menganiayai Umat Islam.Mereka amat sedar bahwa Umat Islam tidak akan menganiayai pihak lain dan akan memaafkan apa sahaja kesalahan pihak lain terhadapnya. Hakikatnya kebanyakan Umat Islam melupakan arahan Allah swt:

ٱلشَّهۡرُ ٱلۡحَرَامُ بِٱلشَّهۡرِ ٱلۡحَرَامِ وَٱلۡحُرُمَٰتُ قِصَاصٞۚ فَمَنِ ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡ ‌فَٱعۡتَدُواْ عَلَيۡهِ بِمِثۡلِ مَا ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَ ١٩٤

Bulan haram dengan bulan haram, dan segala yang dihormati itu ada hukum balasannya (qisas). Maka sesiapa yang menyerang kamu, maka seranglah dia seimbang dengan serangannya terhadap kamu.

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

          Pihak yang berperang akan terus berperang. Kita yang tidak terlibat dengan sebarang peperangan turut mempunyai peranan yang bukan sedikit untuk berjuang dan memartabatkan Islam. Kita wajib membantu memperkuatkan saudara seagama kita dan berusaha melemahkan musuh Allah seperti Israel dan Amerika Syarikat. Kempen BDS atau boikot barangan dan Syarikat yang bersekongkol dengan US dan Israel wajib diteruskan dan dipertingkat. Kita melihat musuh Islam sering mengambil kesempatan berperang atau menyerang Umat Islam sempena Bulan Ramadan. Musuh tidak pernah bertanya apakah kita sunni atau syiah, wahabi atau ahli sunnah tatkala nak menyerang kita. Maka kita kurangkanlah perselisihan antara sesama kita. Perpaduan dan persaudaraan Islam tidak memerlukan mana-mana pihak mencairkan pegangan dan fahaman masing-masing tetapi cukuplah sekadar saling menghormati perbezaan masing-masing. Sejahat manapun saudara kita di mata kita, tidak akan sejahat Israel dan Amerika Syarikat yang tidak pernah melepaskan peluang menghapuskan umat Islam. 

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

KHUTBAH KEDUA

اَلْحَمْدُ لله حَمْدًا كَثِيْرًا طَيِّباً مُبَاركَاً فِيْهِ,

اَشْهَدُ اَنْ لاَ الــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ, اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.  قال الله تعالى:

وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠

Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, nescaya telah dirobohkan biara-biara, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Dan sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

Masyarakat dunia terlalu dahagakan keadilan dan kebebasan Islam. Dunia memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan Islam walaupun Umar Al-Khattab merupakan seorang pemimpin yang zuhud yang tinggal di rumah yang buruk dan memakai pakaian yang bertampal, namun keberanian, ketegasan dan keyakinannya melaksanakan Islam dihormati oleh penduduk dunia dan masyarakat antarabangsa .

 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Segala kekalutan seperti ini tidak akan berlaku jika Islam menguasai dunia. Dunia hari ini akan aman jika Islam diberi peranan yang secukupnya. Umat Islam mestilah mengembalikan jati diri dan berusaha mendapatkan kembali  السيادةatau ketuanan Islam bagi memimpin dunia. Marilah kita kembali menghayati pendirian yang seharusnya ada pada umat Islam sebagaimana Allah menggambarkan dalam  surah al-Fath ayat 29 :

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلاً مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ ذَلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَمَثَلُهُمْ فِي الإِِنْجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَى عَلَى سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Muhammad adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kufur, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaannya. Tanda-tanda mereka nampak dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan Injil, iaitu seperti tanaman yang kuat , lalu menjadi besarlah dia dan menjadi tegak lurus di atas pokoknya, tanaman itu menyenangkan hati penanamnya kerana Allah menjengkilkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang salih di antara mereka keampunan dan pahala yang besar.

 

Ya Allah! Ya Mannan! Ya Razzaq!, berkatilah hambaMu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki berlipat ganda, sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah berilah petunjuk dan kekuatan bagi mereka yang menguruskan zakat dan segala bantuan bagi melaksanakan kutipan dan agihan sebagaimana yang telah Engkau tentukan.

 

Ya Mu’min! Ya Muhaimin! Jauhi kami daripada kemurkaan Mu; jauhi kami daripada termasuk dalam kalangan orang-orang yang terhalang mendapat nikmat Mu; jauhi kami daripada kesengsaraan, bencana dan malapetaka. Jauhi kami daripada kejahilan dan kezaliman. Limpahi rahmat Mu agar negara kami berada dalam keadaan selamat dan makmur, rakyatnya hidup dalam suasana aman dan muhibah. Ya Maalikal Mulk!, Lantiklah untuk urusan kami, orang-orang yang terbaik dalam kalangan kami. Jangan Engkau lantik untuk urusan kami, orang-orang yang terburuk dalam kalangan kami.

 

Ya Muiz! Ya Adzhiim! Ya Kabiir!, kurniakanlah taufik dan hidayah Mu terhadap raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat diraja dan seluruh rakyat jelata.

 

ربنا آتنا فى الدنيا حسنة وفى الآخرة حسنة وقنا عذاب النار……..