Saturday, March 7, 2026

KHUTBAH SEMASA : IRAN DISERANG LAGI

 

                  IRAN DISERANG LAGI                 

الحمد لله القائل

ﵟوَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ لَا تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ قَالُوٓاْ إِنَّمَا نَحۡنُ مُصۡلِحُونَ ١١ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلۡمُفۡسِدُونَ وَلَٰكِن لَّا يَشۡعُرُونَ ١٢ ﵞ 

Dan apabila dikatakan kepada mereka, janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi, mereka berkata hanyasanya kami melakukan pembaikan.  Ketahuilah bahawa merekalah sesungguhnya golongan yang melakukan kerosakan. Dan akan tetapi mereka tidak merasainya. (al-Baqarah: 11-12.

اَشْهَدُ اَنْ لاَ الــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ, اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

          Kenyataan Allah yang dibacakan dalam ayat di atas benar-benar menepati sifat dan perangai Amerika Syarikat yang sentiasa melindungi Israel laknatullah yang mengganas dan melakukan kerakusan dalam berbuat apa sahaja sekehendak hatinya terhadap dunia. Walaubagaimanapun sedemikian kejinya, mereka menggambarkan kepada dunia bahawa merekalah yang sebenarnya yang disakiti dan Umat Islam dipaksa menerimanya serta dipaksa membodohkan diri menerima skrip yang mereka reka dan melakonkan watak yang mereka tempa.

Hadhirin yang dirahmati Allah,

28 Februari 2026, sekali lagi Amerika Syarikat menjadi dalang dan tulang belakang kepada Israel laknatullah menyerang Iran. Mereka pernah melakukannya pada Jun 2025. Mereka kononnya menyerang kemudahan nuklear Iran sehingga mencetuskan perang singkat selama 12 hari. Di dunia ini hanya mereka dan pihak yang mereka restui sahaja yang boleh memiliki senjata pemusnah untuk mereka gunakan bagi memusnahkan sesiapa sahaja yang mereka benci, sedangkan pihak lain tidak layak memilikinya walaupun untuk mempertahankan diri.

 

Hadirin yang dirahmati Allah,

Dunia dipaparkan dengan sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas sekolah rendah perempuan Shajareye Tayabeh di Minab, selatan Iran. Malah Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei turut terbunuh bersama anggota keluarganya. Namun Iran hanya menghantar peluru berpandu balistik dan supersoniknya bagi memusnahkan pengkalan tentera Amerika Syarikat di negara-negara jiran dan kemudahan ketenteraan di Israel. 

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dunia hari ini sedang menyaksikan sandiwara yang amat sukar bagi kebanyakan umat Islam di seluruh dunia. Manusia semakin keliru dalam membezakan antara baik dan jahat, antara perang dan keganasan, antara jihad dan jahat.

Dunia hari ini bukan lagi dunia yang dikuasai oleh kepimpinan dan ketuanan Islam, tetapi dicernakan dan diaturkan oleh dunia barat yang penuh kepalsuan. Sekian lama dunia Islam menghadapi penginayaan dan penindasan, namun Islam juga yang masih menjadi musuh utama alam sejagat. Umat Islam masih dilihat sebagai umat yang sukakan keganasan walaupun di mana-mana kita melihat Umat Islamlah yang menjadi mangsa keganasan.

Ketika rakyat Gaza disembelih, dunia masih sibuk mempersalahkan perjuangan Hamas. Ironinya Amerika Syarikat dan Israel berterusan sehingga kini bermaharajalela memerangi seluruh dunia tanpa sebarang kecaman dan kajian. Amerika Syarikat sejarahnya pernah menyerang Iraq(2015), Syria(2011), Libya(2011), Haiti(2010), Yemen(2009 dan 2015), Somalia(2007), Haiti(2024), Liberia(2003), Filipina(2002) dan beberapa buah negara lain.

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dunia sentiasa mengharapkan Islam menjadi penyelamat daripada kerakusan kuasa-kuasa besar. Sejarah pernah melihat bagaimana Islam menyelamatkan dunia daripada kerakusan Moghol yang hamper menjarah seluruh dunia. Ironinya, Umat Islam hari ini amat lemah dan terlalu bergantung kepada orang lain dan semakin jauh daripada ajaran Allah. Umat Islam hari ini tidak mempunyai sebab dan musabab bagi melayakkan kita menerima bantuan dan pertolongan Allah bukan Sahaja mempertahankan diri apatah lagi nak menyelamatkan generasi.

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebenarnya, tidak banyak beza Umat Islam di awal kenabian dengan umat Islam hari ini. Umat Islam berada di dalam kedudukan yang lemah dan ditindas oleh kafirin dan munafikin tanpa sebarang pembelaan dunia. Umat Islam mempunyai persenjataan yang begitu kerdil berbanding persenjataan musuh.

Bezanya adalah Umat Islam di zaman Rasulullah saw berserah sepenuhnya kepada Allah dan Rasulnya tanpa sedikitpun meletakkan maruah mereka kepada musuh. Setiap pengkhianatan tiada kemaafan dan dihapuskan hingga ke akar umbinya. Negara musuh disantuni  atas tujuan dakwah jauh sekali daripada ditakuti. Pertolongan Allah datang dengan jalan yang tidak disangka-sangka. Akhirnya Islam berjaya menguasai dunia dan dunia mengenali keadilan, ketenangan dan keamanan yang tak pernah mereka kecapi sebelumnya.

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebahagian besar Umat Islam hari ini sibuk menjaga kebajikan dan pelaburan disamping mengejar keredhaan barat. Pemerintah Umat Islam selesa menzolimi dan menganiaya rakyatnya tetapi melutut di hadapan pemerintah negara asing. Usahkan nak menghukum kebiadaban sejagat terhadap Islam bahkan kebiadaban terhadap Islam di dalam negara sekalipun gagal diberikan hukuman yang setimpal. Bagaimanakah pertolongan Allah akan kita nikmati sedangkan kita sendiri tidak bersungguh dalam menolong agama Allah.

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

          Pihak lain tidak pernah takut dan bimbang untuk memerangi dan menganiayai Umat Islam.Mereka amat sedar bahwa Umat Islam tidak akan menganiayai pihak lain dan akan memaafkan apa sahaja kesalahan pihak lain terhadapnya. Hakikatnya kebanyakan Umat Islam melupakan arahan Allah swt:

ٱلشَّهۡرُ ٱلۡحَرَامُ بِٱلشَّهۡرِ ٱلۡحَرَامِ وَٱلۡحُرُمَٰتُ قِصَاصٞۚ فَمَنِ ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡ ‌فَٱعۡتَدُواْ عَلَيۡهِ بِمِثۡلِ مَا ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَ ١٩٤

Bulan haram dengan bulan haram, dan segala yang dihormati itu ada hukum balasannya (qisas). Maka sesiapa yang menyerang kamu, maka seranglah dia seimbang dengan serangannya terhadap kamu.

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

          Pihak yang berperang akan terus berperang. Kita yang tidak terlibat dengan sebarang peperangan turut mempunyai peranan yang bukan sedikit untuk berjuang dan memartabatkan Islam. Kita wajib membantu memperkuatkan saudara seagama kita dan berusaha melemahkan musuh Allah seperti Israel dan Amerika Syarikat. Kempen BDS atau boikot barangan dan Syarikat yang bersekongkol dengan US dan Israel wajib diteruskan dan dipertingkat. Kita melihat musuh Islam sering mengambil kesempatan berperang atau menyerang Umat Islam sempena Bulan Ramadan. Musuh tidak pernah bertanya apakah kita sunni atau syiah, wahabi atau ahli sunnah tatkala nak menyerang kita. Maka kita kurangkanlah perselisihan antara sesama kita. Perpaduan dan persaudaraan Islam tidak memerlukan mana-mana pihak mencairkan pegangan dan fahaman masing-masing tetapi cukuplah sekadar saling menghormati perbezaan masing-masing. Sejahat manapun saudara kita di mata kita, tidak akan sejahat Israel dan Amerika Syarikat yang tidak pernah melepaskan peluang menghapuskan umat Islam. 

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

KHUTBAH KEDUA

اَلْحَمْدُ لله حَمْدًا كَثِيْرًا طَيِّباً مُبَاركَاً فِيْهِ,

اَشْهَدُ اَنْ لاَ الــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ, اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.  قال الله تعالى:

وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠

Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, nescaya telah dirobohkan biara-biara, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Dan sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

Masyarakat dunia terlalu dahagakan keadilan dan kebebasan Islam. Dunia memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan Islam walaupun Umar Al-Khattab merupakan seorang pemimpin yang zuhud yang tinggal di rumah yang buruk dan memakai pakaian yang bertampal, namun keberanian, ketegasan dan keyakinannya melaksanakan Islam dihormati oleh penduduk dunia dan masyarakat antarabangsa .

 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Segala kekalutan seperti ini tidak akan berlaku jika Islam menguasai dunia. Dunia hari ini akan aman jika Islam diberi peranan yang secukupnya. Umat Islam mestilah mengembalikan jati diri dan berusaha mendapatkan kembali  السيادةatau ketuanan Islam bagi memimpin dunia. Marilah kita kembali menghayati pendirian yang seharusnya ada pada umat Islam sebagaimana Allah menggambarkan dalam  surah al-Fath ayat 29 :

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلاً مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ ذَلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَمَثَلُهُمْ فِي الإِِنْجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَى عَلَى سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Muhammad adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kufur, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaannya. Tanda-tanda mereka nampak dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan Injil, iaitu seperti tanaman yang kuat , lalu menjadi besarlah dia dan menjadi tegak lurus di atas pokoknya, tanaman itu menyenangkan hati penanamnya kerana Allah menjengkilkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang salih di antara mereka keampunan dan pahala yang besar.

 

Ya Allah! Ya Mannan! Ya Razzaq!, berkatilah hambaMu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki berlipat ganda, sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah berilah petunjuk dan kekuatan bagi mereka yang menguruskan zakat dan segala bantuan bagi melaksanakan kutipan dan agihan sebagaimana yang telah Engkau tentukan.

 

Ya Mu’min! Ya Muhaimin! Jauhi kami daripada kemurkaan Mu; jauhi kami daripada termasuk dalam kalangan orang-orang yang terhalang mendapat nikmat Mu; jauhi kami daripada kesengsaraan, bencana dan malapetaka. Jauhi kami daripada kejahilan dan kezaliman. Limpahi rahmat Mu agar negara kami berada dalam keadaan selamat dan makmur, rakyatnya hidup dalam suasana aman dan muhibah. Ya Maalikal Mulk!, Lantiklah untuk urusan kami, orang-orang yang terbaik dalam kalangan kami. Jangan Engkau lantik untuk urusan kami, orang-orang yang terburuk dalam kalangan kami.

 

Ya Muiz! Ya Adzhiim! Ya Kabiir!, kurniakanlah taufik dan hidayah Mu terhadap raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat diraja dan seluruh rakyat jelata.

 

ربنا آتنا فى الدنيا حسنة وفى الآخرة حسنة وقنا عذاب النار……..

 

Thursday, December 13, 2012

RESOLUSI KONVENSYEN FIQH JENAYAH SYARIAH: PEMAHAMAN DAN PELAKSANAAN DI MALAYSIA


 
 
KONVENSYEN FIQH JENAYAH SYARIAH: PEMAHAMAN DAN PELAKSANAAN DI MALAYSIA

 TEMPAT :         INSTITUT TADBIRAN ISLAM PERAK, JALAN RAJA MUSA MAHADI, IPOH, PERAK

 TARIKH    :        28 NOVEMBER 2012M BERSAMAAN 14 MUHARRAM 1434H

 ANJURAN :

BAHAGIAN PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH, JABATAN AGAMA ISLAM PERAK

DENGAN KERJASAMA

PERSATUAN PEGAWAI-PEGAWAI UGAMA NEGERI PERAK,
PERSATUAN PEGAWAI-PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA NEGERI PERAK DAN MAJLIS PERMUAFAKATAN PEGAWAI TADBIR AGAMA NEGERI PERAK

Pengenalan:

Mutaakhir ini Undang-undang Jenayah Islam adalah satu undang-undang yang sering disalah faham oleh masyarakat Islam dan bukan Islam. Kebanyakan pihak hanya menjadikan kekeliruan mengenai undang-undang ini sebagai bahan untuk menghentam, jauh sekali untuk bersama dengan pihak yang ingin melaksanakannya. Tidak kurang juga para cendikiawan yang mengambil kesempatan menonjolkan kekeliruan ini hanya semata-mata untuk mendapatkan pengaruh dan populariti, seolah-olah merekalah yang lebih prihatin dan berjuang dalam usaha melaksanakannya.

 

Objektif Konvensyen:

1.    Menjelaskan kepada masyarakat mengenai beberapa tohmahan dan kekeliruan berkaitan Undang-undang Jenayah Islam.


2.    Meyakinkan masyarakat bahawa Undang-undang Jenayah Islam boleh dan sesuai dilaksanakan di negara majmuk seperti Negara ini.
 

3.    Menjelaskan fungsi, peranan dan tanggungjawab semua pihak berdasarkan kemampuan dan kemahiran masing-masing.


 

Pembentangan Kertaskerja bertajuk;

1.    Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam di Negara Majmuk, oleh Y.Bhg. Dr. Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Pengerusi Darul Fuqaha’.


2.    Kaedah Pensabitan dan Persaksian Dalam Konteks Negara Majmuk, oleh Y.Bhg. Encik Musa bin Awang, Presiden Persatuan Peguam Syar’ie Malaysia (PPSM).
 

3.    Pelaksanaan Syariat Islam Dalam Kerangka Perlembagaan Negara, oleh Y.Bhg. Dr. Siti Zubaidah bt. Ismail, Ketua Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Universiti Malaya.

 

RESOLUSI KONVENSYEN

Konvensyen Fiqh Jenayah Syariah: Pemahaman dan Pelaksanaan di Malaysia, anjuran Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, Jabatan Agama Islam Perak dengan kerjasama Persatuan Pegawai Ugama Negeri Perak, Persatuan Pegawai-Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Perak, dan Majlis Pemuafakatan Pegawai-Pegawai Tadbir Agama Daerah Negeri Perak, yang berlangsung pada 28 November, 2012 di Institut Tadbiran Islam Perak, Jalan Raja Musa Mahadi, Ipoh, Perak dengan ini membuat resolusi-resolusi seperti berikut;

1.    Menyatakan kebimbangan terhadap usaha-usaha peminggiran Undang-Undang Islam dalam sistem perundangan Negara termasuk pihak-pihak yang menonjolkan kesukaran dalam pelaksanaannya yang hakikatnya hanyalah dalihan untuk tidak melaksanakannya.

 

2.    Menegaskan bahawa kedudukan istimewa Islam sebagai agama bagi Persekutuan adalah wajib dipertahankan dan tidak seharusnya diganggu gugat. Pelaksanaan Undang-Undang Islam di Negara ini adalah hak umat Islam dan orang bukan Islam tidak wajar campur tangan yang bersifat negatif dalam urusan umat Islam.

 

3.    Semua Pengamal Undang-Undang yang beragama Islam wajib  membuat pentafsiran terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada di Negara ini ke arah yang menguntungkan Islam dan umatnya. Islam sebagai agama bagi persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai “Undang-Undang Islam mestilah menjadi asas dalam undang-undang Negara” bukan hanya digunakan dalam upacara rasmi semata-mata. Jika tidak dinyatakan secara jelas mengenai halangan pelaksanaannya maka hendaklah ditafsirkan bahawa Undang-Undang Islam dibenarkan untuk dilaksanakan.

 

4.    Setiap umat Islam wajib bersatu hati dan suara, menyatukan sikap dan tindakan dalam usaha mempertahankan kedudukan Islam dan syariatnya agar dapat dilaksanakan.

 

5.    Setiap ancaman terhadap Islam dan perlaksanaan syariatnya hendaklah dianggap sebagai ancaman terhadap martabat dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama di setiap negeri dan terhadap kewibawaan institusi-institusi Islam.

 

6.    Jabatan Agama Islam Perak hendaklah menerajui usaha penerangan dan penjelasan mengenai Syariat Islam ini termasuk melibatkan pihak bukan Islam dan agensi kerajaan seperti PDRM, ATM, Mahkamah dan lain-lain. Usaha penjelasan dan penerangan ini  hendaklah dilaksanakan dengan lebih serius oleh semua pihak termasuk pihak media massa dan menggunakan semua saluran yang ada samada media massa dan kuliah-kuliah di masjid dan surau.

 

7.             Jabatan Agama Islam Perak hendaklah membentuk suatu Jawatankuasa Khas bagi memulakan proses mentaqnin/menggubal deraf Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Perak mengikut Dasar Hukum Syara’ (Hudud, Qisas, Ta’zir dan Diat) untuk  dilaksanakan di negeri ini.

 

8.                Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak disarankan agar mengeluarkan fatwa khusus dalam hal perundangan Islam merangkumi kewajipan membantu usaha melaksanakannya, pengharaman memperlekehkannya dan sebarang sumbangan terhadap menyukarkan usaha perlaksanaannya.

 

Adalah diharapkan agar semua pihak yang terlibat dan semua pihak yang mempunyai kemampuan dan kemahiran dalam menyumbang ke arah pelaksanaan Undang-Undang Islam ini dapat melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing.  Sebagai hamba Allah tidak ada sebarang kerugian pada kita, jika tunduk kepada kehendak Allah dan Allah Maha Berkuasa dalam menentukan kejayaan dan segala cabaran serta resikonya. Janganlah kita takut kepada manusia ketika melaksanakan urusan Allah, tetapi takutlah kepada Allah dalam berurusan dengan manusia.

 

Sekian, Resolusi yang telah dibuat semoga Allah SWT memberi kekuatan dan petunjuk dalam menjadikannya suatu kenyataan. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tuesday, November 27, 2012

Konvensyen Fiqh Jenayah Syariah : Pemahaman Dan Pelaksanaannya di Malaysia

         Esok akan berlangsung In Sya Allah konvensyen di atas yang akan diadakan di Dewan Besar INTIM. Menganjurkan program seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ianya pasti mengundang berbagai tafsiran dan pandangan serong daripada orang politik malah para pembesar yang lebih berpolitik dari orang politik sendiri. Tambahan pula situasi masa kini amat genting disebabkan beberapa program yang seumpamanya oleh teman-teman di beberapa daerah telah mengundang berbagai kontroversi daripada tokoh politik kampung di daerah masing-masing. Alhamdulillah kesedaran dan komitmen pegawai-pegawai agama begitu membara untuk melengkapkan usaha-usaha penerangan kepada masyarakat mengenai kewajipan melaksanakan Syariat Allah. Kita tidak mahu ilmu yang ada hanya digunakan sekadar untuk menambahkan kekeliruan masyarakat dengan menambahkan senarai halangan dan kekangan bagi merealisikannya. Alhamdulillah, permintaan Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama agar aku menyediakan kertas konsep perlaksanaannya telah berjaya aku siapkan. Akhirnya semua skop perbincangan yang aku cadangkan diterima tanpa bantahan.
         Untuk panduan perlaksanaan program seperti ini di masa-masa akan datang aku senaraikan beberapa strategi yang kami laksanakan bagi memastikan program ini terlaksana. Apa yang penting adalah pembentangan, perbahasan dan resolusi yang akan dicapai untuk disebarkan kepada seluruh masyarakat. Aku menyebutkan bahawa kalaupun peserta hanya ada 10 orang sahajapun, aku tetap menganggap program ini berjaya jika sekiranya kita berjaya menambahkan koleksi perbahasan dan penyelesaian terhadap segala kekhuatiran masyarakat melaksanakan Syariat Allah di bumi bertuah ini. Aku juga menyebutkan walau apapun yang terjadi program ini tetap akan berlangsung seperti yang dirancangkan walaupun terpaksa berpindah tempat ke dewan sekolah Cina dan sebagainya.
Antara strategi yang kami laksanakan adalah :
1. Kerjasama dengan persatuan dan NGO bagi memastikan bahawa pihak penganjur bebas dari sebarang tekanan pihak atasan.
2. Merangka pelan pertukaran tempat jika sekiranya premis kerajaan tidak dapat digunakan.
3. Penyertaan adalah secara tertutup dan tidak diwar-warkan secara terang-terangan tanpa ada sebarang hebahan di media ataupun gantungan banner. Jemputan hanya dibuat secara terus melalui organisasi yang terpilih.
4. Menggunakan tajuk konvensyen dan tajuk pembentangan dengan istilah umum tanpa istilah yang menarik sensitiviti para juhala' seperti Hukum Hudud dan sebagainya.
5. Menghighlightkan jawatan sampingan yang berteraskan ilmiah yang disandang oleh pembentang dan meninggalkan sebarang jawatan politiknya.
           Mudah-mudahan usaha yang sekecil ini akan berjalan dengan lancar dan akan menjadi sumbangan kepada usaha merealisasikan Syariat Allah di bumi bertuah ini.

Wednesday, November 2, 2011

MARI KITA SOLAT BERJEMAAH DI SURAU KOMPLEKS ISLAM

SAYA MENYERU SEMUA PENGANUT YANG BERAGAMA ISLAM YANG BERKHIDMAT DI BANGUNAN KOMPLEKS ISLAM DARUL RIDZUAN UNTUK SAMA-SAMA SOLAT BERJEMAAH ZOHOR DAN ASAR DI SURAU KITA.


SAYA MENGUCAPKAN TAHNIAH KEPADA RAKAN-RAKAN SEKERJA DARI JABATAN PERIKANAN YANG SERING MENJADI MAJORITI DALAM MENUNAIKAN SOLAT BERJEMAAH DI SURAU KITA.


FAEDAH YANG DIDAPATI




  1. DAPAT MENUNAIKAN ARAHAN ALQURAN SUPAYA RUKU' BERSAMA-SAMA DENGAN ORANG-ORANG YANG RUKU'


  2. DAPAT MEREBUT GANJARAN BERGANDA-GANDA SEPERTI YANG DISARANKAN OLEH RASULULLAH SAW.


  3. DAPAT MEMPERTAUT KUKUHKAN SEMANGAT UKHUWWAH ISLAMIYYAH WALAUPUN BERLAINAN JABATAN TETAPI HAKIKATNYA KITA HAMBA KEPADA YANG MAHA ESA.


SERUAN INI SAYA LEBIH TUMPUKAN KEPADA ANGGOTA-ANGGOTA MAJLIS AGAMA ISLAM PERAK SEGENAP PERINGKAT PANGKAT, KEDUDUKAN DAN DARJAT; TIDAK KIRALAH SAMADA IA ADALAH DARI




  • JABATAN MUFTI


  • JABATAN AGAMA ISLAM PERAK


  • BAHAGIAN ZAKAT


  • BAITUL MAL


  • DAN YANG BERKAITAN DENGANNYA.

KERANA


TANGGUNGJAWAB MENJAGA URUSAN AGAMA DAN UMAT ISLAM YANG BERADA DI BAHU KITA AMATLAH BERAT MAKA HUBUNGAN KITA DENGAN ALLAH MESTILAH SENTIASA HANGAT.

Kaum Nabi Lut muncul kembali


Samada disedari ataupun tidak, pada bulan kemerdekaan baru-baru ini masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama telah dipaparkan dengan kisah Rev Ou Yang Wen Fen, seorang paderi Kristian rakyat Malaysia yang telah mengumumkan secara terbuka pertunangannya bersama kekasih lelaki sejenisnya dari Amerika Syarikat, Phineas Newborn.
Bahkan beliau juga merancang untuk mengadakan majlis perkahwinannya secara besar-besaran di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumupur pada satu masa nanti. Rev Ou Yang Wen Fen juga pernah menimbulkan kontroversi apabila beliau telah mengasaskan sebuah gereja gay di Kuala Lumpur pada tahun 2007 yang turut dikecam oleh beberapa pihak yang prihatin.

Manakala, media cetak dan elektronik di Malaysia kini pula hangat memperkatakan penganjuran sebuah konsert besar-besaran akan diadakan di Genting Highland pada 22hb November 2011 yang akan menonjolkan Elton John, seorang penyanyi gay yang menjadi ikon di kalangan masyarakat antarabangsa terutamanya di kalangan generasi muda.Beberapa pertubuhan Islam yang prihatin telah menyuarakan kebimbangannya menular budaya jelek ini ke dalam masyarakat di negara kita telah mengadakan bantahan dan desakan supaya dibatalkan konsert besar-besaran ini.


Pada ketika ini, ramai pihak yang mempertahankan hak penganjuran konsert ini dengan berpaksikan hujah bahawa rakyat Malaysia adalah masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Masing-masing mempunyai hak untuk berhibur dan tiada sebarang larangan bagi agama masing-masing. Bahkan beberapa pertubuhan politik seperti DAP, Gerakan dan MCA juga telah menyatakan bahawa mereka bersependirian terhadap konsert Elton John ini.Ironinya, ada pula suara-suara sumbang di kalangan umat Islam yang menyokong penganjuran konsert seumpama ini. Manakala ada pula orang Islam yang berpandangan bahawa konsert ini harus dianjurkan dengan syarat ianya hanya untuk masyarakat non-Muslim sahaja.


Isu yang ingin diutarakan di sini adalah bukan untuk mengenepikan hak-hak individu kepada masyarakat non-Muslim tetapi lebih kepada membenteras kepada promosi budaya songsang yang jelas terlarang. Isu ini juga akan memberikan mesej yang mudah disalah-ertikan kepada masyarakat Islam yang merupakan penduduk majoriti di Malaysia yang sedia meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, menurut perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.


Ini adalah satu daripada ratusan sebab akan kenapa umat Islam perlu bersepakat ketika mendepani isu dan agenda bersama. Cukuplah dengan kepincangan generasi muda kita di sana sini dan janganlah hendaknya kita membiarkan keadaannya menjadi semakin parah.Adakah kita ingin membiarkan budaya hedonisme yang menonjolkan penyanyi gay ini terus mendapat tempat dan menjadi kebiasaan di bumi Malaysia.

Samada kita sedari atau tidak, gejala terlaknat ini sebenarnya sedang berkembang secara terancang di bumi Malaysia. Keadaannya semakin membimbangkan apabila tumbuhnya kelab-kelab gay dan juga lesbian yang melata seumpama cendawan selepas musim hujan.Jika kita perhatikan kepada kandungan kisah yang tersebut di dalam Al-Quran, Allah telah menyatakan tentang kehancuran yang diberikan terhadap Kaum Nabi Lut yang mengamalkan seks sejenis ini.


Firman Allah;
“Kaum Nabi Lut telah mendustakan peringatan dan amaran. Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang menghujani mereka dengan batu kecuali keluarga Nabi Lut. Kami selamatkan mereka (dengan menyuruh mereka keluar dari situ) pada waktu jauh malam sebagai limpah kurnia dari kami. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang bersyukur. Dan sesungguhnya Nabi Lut telah memberi amaran kepada mereka mengenai azab seksa kam tetapi mereka tetap mendustakan amaran-amaran itu” (Surah Al-Qamar : 33-36)


Dengan amalan seks sejenis yang dilakukan oleh kaum Lut itu menyebabkan Allah SWT telah menghancurkan mereka dengan menterbalikkan negara mereka lalu dihujankannya sehinggakan negara itu bertukar menjadi laut.

Jelas betapa hancurnya kaum Nabi Lut disebabkan pengamalan seks terkutuk yang diamalkan oleh mereka. Kehancuran yang sama juga tidak mustahil boleh menimpa bumi Malaysia sekiranya pengamalan seks terkutuk ini tidak dibenteras oleh ibu-bapa, guru-guru, para ilmuan, penguat kuasa undang-undang & agama dan kerajaan.


Bagi mereka yang terlibat, bertaubatlah dan kembalilah ke pangkal jalan yang diredhai Allah swt.
Kepada para ibu-bapa, jagalah pembesaran & pergaulan anak-anak anda.
Buat para pendidik, perhatikan perkembangan semasa anak-anak didik anda.
Kepada para VIP, janganlah sekali-kali anda melindungi amalan terkutuk golongan ini.
Bagi pengamal media, janganlah hendaknya anda terbabit menyebar-luaskan agenda jahiliyah yang semakin subur ini.
Kepada para ulama dan ilmuan, marilah bersama berganding bahu membimbing dan perbetulkan masyarakat yang dicintai.
Kepada NGO dan badan Islam, kita tidak punyai banyak masa untuk menangguhkan pertemuan, perbincangan dan kerjasama bagi membangunkan kembali umat yang disayangi ini.
Kepada pihak kerajaan, dengarlah keluhan ini dan urusan selanjutkan kami serahkan kepada anda yang telah dipertanggung-jawabkan.


Ya Allah selamatkan kami dari malapetaka kejahilan umat ini.



Dipetik dari ISMAWEB

Thursday, October 27, 2011

TAMBAHAN JAWAPAN TERHADAP SURAT LAYANG MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK


Pertama kali membacanya aku menganggap ianya takde kena mengena denganku kerana ianya hanya ditujukan kepada pegawai yang tertentu (aku perasan aku tak macam tu) seperti berikut :

Kepada :
PEGAWAI YANG TAK RETI BAHASA
KAKITANGAN YANG SOMBONG
KETUA YANG BERLAGAK PANDAI MENGURUSSTAF YANG MANJA SAMPAI TAK BUAT KOJE


Apabila diteliti, ada jugak fakta yang menyentuh isu masjid yang kini secara langsung di bawah pentadbiran kami di Bahagian Pengurusan Masjid. Maka sekadar menambah dan melengkapkan jawapan oleh Ustaz Asyraf Ismail yang telah diberikan sebelum ini. Aku mengorbankan masa-masa berharga yang aku ada untuk menyediakan ualasan-ulasan ringkas ini dalam beberapa perkara yang menyentuh hati dan perasaan aku yang lemah ini.

Hati tuan-tuan tak tak ubah macam Iblis
Berlagak Soleh, Alim, memakai pakaian Ulama,

Aku tak berani tolak bulat-bulat tapi amat bahaya untuk membuat tuduhan secara umum seperti ini. Takkan takde yang baik langsung di jabatan ni.

menumpang di kompleks
Kenapa JAIP tak dak bangunan sendiri ?


Kesilapan fakta ;

1. Kami menyewa bukan menumpang.
2. Kami tak suka sangat menyewa tapi dipaksa menyewa kerana 
   jika keluar Baitulmal akan kehilangan sewaan beratus ribu
   setahun – Kami teraniaya di sini.
3. Kami sudah ada tanah untuk pejabat baru di Meru Raya –
    tolonglah halau kami dari kompleks.

4. Setakat ini kami hanya berupaya menarik keluar pejabat kami  
    secara terpisah-pisah – Pembinaan Kompleks INTIM,
    perpindahan Bahagian Pengurusan Masjid dan Bahagian
    Penguatkuasaan.

Mengata, memfitnah, mengumpat, mencaci warga Majlis Agama Islam Perak di belakang kami…..

Mungkin mengata, mengumpat dan mencaci ada kut, tapi kami tujukan kepada yang tertentu je… ramai yang okay kami tak kata.

Fitnah tak pasti…tapi untuk apa…anggota Baitulmal adalah bekas staf, teman sekerja dan yang penting bukan saingan kami.

Apapun kita mungkin lebih kurang je, sama-sama lah kita bertaubat dan bermaafan dalam hal ni.

 Kami orang yang teraniaya telah memaafkan Tuan-tuan

Maaf kalau selama ni merasa teraniaya tanpa kami sedari. Kami tidak pernah bermaksud begitu.


TUDUHAN TUAN-TUAN KEPADA KAMI
Tak pandai mengurus, tak pandai agih wang zakat, tak perihatin fakir miskin, songlap duit zakat, guna duit zakat untuk kepentingan diri

Siapa kata KAMI…….

tak pandai mengurus….?

tak pandai agih wang zakat dengan betul…?

perihatin fakir miskin….? – (tertinggal tak rasanya)
songlap duit zakat…?

guna wang zakat untuk kepentingan diri…?

 Ini yang aku tau - aku mula bekerja di Pejabat Agama Islam Daerah Lenggong pada tahun 1995. Di antara perkara yang di siasat pada ketika itu adalah peruntukan Baitulmal kepada Masjid Kampung Bukit Sapi, kampung Pengarah JAIPk sekarang ni. 1997 aku bertukar ke Unit Kariah. Aku menguruskan permohonan masjid dan surau yang diperuntukkan kepada masjid dan surau oleh Baitulmal sebanyak hampir 1 juta setiap tahun. Walaupun aku tak terlibat dalam urusan tender dan sebut harga, aku amat tahu ada penyelewengan yang berlaku. Sebahagian dari anggota Baitulmal ketika itupun kini sudah menjadi warga JAIPk. Tapi yang sudah tu sudahlah. Harap yang terlibat tu bertaubat. Yang dah meninggal tu mudah-mudahan diampuni Allah.
Apa yang aku nak maksudkan… tak perlu kami katapun masyarakat luar akan kata terhadap Baitulmal. Tengok saja isu murtad di Selangor baru-baru ini. Aku tetap membela Majlis melalui khutbah dan ceramah. Aku tak pasti apakah tindakan anggota Baitulmal sendiri untuk mempertahankan maruah Majlis. Aku hanya melihat mereka diam membisu. Kalau ada, di luar pengetahuanku, maafkan aku. Sampai kini masyarakat yang “tak berapa cerdik” di luar tu masih sibuk menyalahkan Baitulmal, tapi terlupa menyalahkan mereka yang menggadaikan aqidah demi perut dan kesenangan dunia mereka. Buatlah sesuatu, terlalu sukar untuk berhujjah untuk mempertahankan Baitulmal dalam hal ini.

Kenapa menumpang dan parking tak tentu hala?
Isu parking telah timbul sejak bertahun lama. Sejak pengarah Arwah Dato’ Mohd Yusop Yahya, isu ini telah ditimbulkan dalam mesyuarat bersama antara JAIPk dan MAIPK. Oleh kerana pengarah merangkap Setiausaha, mungkin dia terasa bila kami menghentam pengurusan Baitulmal secara keterlaluan. Kami selalu memintak dijelaskan dasar penetapan hak bagi mendapatkan parking. Namun tidak pernah ada mana-mana pihak pengurusan tertinggi Baitulmal yang berani menjelaskannya. Maka kami beranggapan ianya hanya dasar yang tak tentu hala. Bagaimana pihak luar nak menghormati sistem yang sebegini.

Sila jelaskan dasar pengagihan dan keutamaannya :

Apakah diutamakan penyewa atau pemilik bangunan.
Apakah berdasarkan senioriti atau gred perjawatan.

Apakah First Come First Serve atau boleh menggunakan kabel kroni.

Kalau ada 20 untuk JAIPk berapa pula untuk Baitulmal.


Kami ada pejabat sendiri, walaupun KAMI sewa
Tahniah kami ucapkan. Kita takkan berkembang jika masih berkongsi sebumbung. Sebab itu ketika di PAD Ipoh saya dengan ikhlas mintak Wahidah cuba mintak berpindah. Bukan niat menghalau tapi ingin melihat kita maju bersama. Pegawai Baitulmal Daerah perlu ada pejabat sendiri yang boleh diuruskannya sendiri. Insyaallah akan terserlah bakat kepimpinan dan pentadbiran yang selama ini terpendam di sebalik PTA. Jadi kita sama sahaja dalam hal ini. Semua kita ada pejabat sendiri walaupun kami menyewa di kompleks. Saya harap semua pegawai di jabatan janganlah mengungkit isu sewa pejabat Baitulmal di daerah. Apa salahnya kita membantu institusi agama kita sendiri yang tidak akan digunakan walau satu senpun oleh orang bukan Islam.

 PULUHAN TAHUN KAMI duduk bersama Pej Agama Daerah, kekadang kerusi dan meja KAMI dijadikan tempat menghidang makanan dan tempat longgokan fail (tak terurus)
Kami mohon maaf atas keterlanjuran sebahagian daripada staf kami. Setiap tempat pasti ada anggota yang bermasalah. Bagi saya ini isu titik bengek yang harus diselesaikan secara dalaman. Tegur menegurlah dengan hati terbuka dan jangan mencari kelemahan masing-masing. Rugi kita bersengketa kerana urusan kerja sedangkan kita semua mengaku bersaudara.


Hebat sangatkah pengurusan Tuan-Tuan.?

Masjid bertelagah sana-sini

Imam-imam tak dipantau

Ajk yang gila kuasa macam TUAN-TUAN juga diraikan

Masjid sebagaimana TITAH TUANKU duduk dibawah pentadbiran KAMI

Cube bagi sepenuhnya urusan pentadbiran masjid

Mintak duit KAMI pandai

Cadangan muktamad…….SILA BERHENTI..
Ada negeri hal ehwal masjid diuruskan olej Majlis Agama. Ade ke Masalah..??? Takde kan…???

TOLONG JANGAN JADI RAKYAT DERHAKA….



Isu-Isu Pengurusan Masjid
Suasana dan masalah di masjid hampir sama di seluruh Negara termasuk di negeri yang di bawah Majlis. Selama mana politik kampungan campurtangan beginilah selamanya. Aku mengalu-alukan jika kalian mempunyai kehebatan untuk mencari penyelesaiannya.
Kami tak faham macam mana nak menyerahkan urusan masjid sepenuhnya kepada Majlis. Jauh sekali untuk menderhaka. Secara rasminya hanya ada keputusan tentang PPMD. Jika ada arahan dari CEO Majlis, apa hak kami nak mempertahankannya. Apa yang berlaku, Baitulmal tak buat apa-apa, jadi kami terpaksa membantu melaksanakan pentadbiran masjid dan surau. Daripada perlantikan, pertukaran dan pemecatan Pegawai dan AJK Kariah Masjid, hinggalah kepada menerima maki hamun oleh mereka. Sikit-sikit aku beri sumbangan perkhidmatan percuma untuk membalas maki hamun mereka. Tak perlu peruntukkan saguhati pada kami, kami ikhlas membantu.
Kalau tanya aku, sebagai orang paling lama menguruskan masjid dan surau, aku akan katakan ; Bilalah CEO nak hantar notis mintak serah tugas ni. Tolonglah percepatkan. Aku sedang merancang untuk membina senarai tugas baru – Menjaga Kuil dan Gereja serta rumah ibadat orang bukan Islam. Kalaulah kerajaan boleh serahkan tugas ini pada aku, aku akan jemput semua anggota MAIPk makan kenduri. Selama ini sehingga kini aku rasa bersalah mengawal dan melambatkan pembinaan masjid dan surau kerana mematuhi undang-undang Majlis. Alangkah baiknya jika aku mampu menggubal undang-undang menghalang dan menyusahkan pembinaan kuil dan gereja di negeri ini.


 Ada pulak sebahagian duit zakat mesti diagihkan pada TUAN-TUAN. Ko Pakai undang-undang mana..???
Aku rasa kita kena baca kitab Feqah sama-sama. Kalau tanya undang-undang sila rujuk Puan Wan Maizura.



Selama ini Pengarah TUAN-TUAN jadi Ketua KAMI, pastu Balachi KAMI
Statement ni aku tak faham, apa kes…sapa yang jadi balachi ni

KAMI PUN HERAN…PENDIDIKAN, DAKWAH, MASJID, PENGUATKUASA DAN HAMPIR SEMUA, AYIK-ASYIK HANTAR KERTAS KERJA ITU LAH INILAH, TAH APABENDA PUNYA PAPER WORK KAMI JADI RAGU, HANGPA NI MAK MERUNTUKKAN KAMI KE ATAU NAK MEMBANGUNKAN KAMI???
Kalau kami tak hantar paper apa Ahli Majlis nak bincang. Deme kan datang cari salah paper orang je. Dah macam mahkamah je, paper tak lengkap buang kes. Keputusan tak buat. Kalau buatpun tak jelas. Dari dulu aku melihat masyarakat tidak pernah ambil tau bila Persidangan Majlis akan berlangsung seolah-olah takde kena mengena dengan masyarakat Islam.

Ampun Tuanku, patik tidak mengata tuanku, tapi patik maksudkan ahli majlis yang tidak menyumbang apa-apa.


KENAPA mesti bergantung dengan KAMI. Hangpa ni jabatan apa??? MAIP ke JAIP…???
Insyaallah kami boleh buat kerja tanpa duit Baitulmal. Kerajaan Negeri boleh bagi peruntukan secukupnya. Cuma duit zakat tu nak buang ke mana. Orang asli kome tak peduli, mubaligh kome kontrol. Masjid kome tak peduli, PPMD kome kontrol. MAIP tak boleh dibandingkan dengan jabatan, MAIP bos kita semua, kamipun anggota MAIP jugak. Kalau nak dibandingkan, guna nama Baitulmal.


Ka duit yang diberi TUAN-TUAN buat kenduri kendara, makan-makan dan membesarkan perut TUAN-TUAN. Fakta::::: KAKITANGAN JAIP dan KAKITANGAN MAIP yang manakah paling banyak PERUT BESAR…???
Ini yang aku nak marah betul ni, perut jangan sebutlah…sensitive. Itu kan kelebihan masing-masing.



CADANGAN DAN SARANAN

…Tak sampai dua Tahun dah dapat pengiktirafan Pihak Kerajaan dan Masyarakat.

Maaf aku tertinggal maklumat. Apa pengiktirafan yang diperolehi setakat ni.

Jangan duk gunakan Penyelaras Masjid tembak KAMI. Depa pun KAMI yang bayar gaji dan elaun,
Kami kesian ngan PPMD takde keje apa nak buat di pejabat Baitulmal. Kebanyakannya merungut tak selesa keje di pejabat Baitulmal. Gaji dan elaun deme bukan JAKIM yang bayar ke ?


….selama ini PTA yang duk sental duit kami
Ni aku serah pada PTA. Statement ni boleh mendatangkan marah…………..


Punya teruk KAMI aturkan KAEDAH PARKING BERKESAN, senang-senang je TUAN-TUAN pi bantai parking ikut DAN. KAMI yang kena bantai dengan si tukang sewa parking.
Betulke kaedah tu berkesan…

Kesimpulan – Bagi aku yang menulis surat layang ni adalah orang baru yang tak tau sejarah dan tak banyak kajian memandangkan banyak sangat kesilapan fakta yang amat jelas. Kalau orang lama, maknanya memang jenis bengap tak faham atau degil tak nak faham. Selama ini tak pernah ada persengketaan antara anggota JAIPk dan Baitulmal. Tak puas hati dengan pihak atasan tu ada lah sikit-sikit. Di daerah kita sama-sama gebang mengkritik pihak atasan. Tak pernah ada persengketaan antara kita kerana kita bekerja ibarat adik beradik di bawah satu bumbung. Aku amat yakin sebahagian besar anggota Baitulmal yang tidak bersetuju dengan surat layang ini.



Disediakan oleh :


Abu Izzah At-Tualanji,

Kamal Izat bin Ahmed,

Penolong Pengarah,

Bahagian Pengurusan Masjid,

Jabatan Agama Islam Perak.

Thursday, September 29, 2011

Terimalah Syariah Sebagai Fitrahmu


Saya masih ingat, dalam jurnal yang diterbitkan Fakulti Pengajian Islam Syariah, saya terbaca satu artikel dari S.F Dato Dr. Harun Din yang membicarakan tentang Syariah Islamimiyyah. Menurut beliau, asal kata ‘Syariah’ itu adalah ‘Syara’a’ yang juga membawa maksud ‘sumber air’.


Air adalah sumber kehidupan . Tiada siapa yang boleh hidup tanpa air. Malah sehebat unta di gurun, ia hanya bertahan 2 bulan tanpa perlu minum air. Sehebat pokok besar manapun ia tetap perlukan air. Maka manusia yang sangat lemah fizikalnya ini pula sudah tentu sangat-sangat memerlukan pada air. Air mewakili 60% dari juzu’ badan manusia. Air pula mewakili 70.8 % dari permukaan bumi.



Ketika mana seseorang menolak syariah, sebagai sebahagian dari satu unsur-unsur kehidupan, maka ia seolah menidakkan kepentingan air dalam kehidupannya. Manusia akan mati tanpa syariah, seperti mana seseorang mati tanpa air. Sekurang-sekurangnya jika tidak mati zahir pun, dia sudah mati dari dari ruhnya. Jiwanya putus dari hubungannya dengan Allah. Ruhnya hanyut terapung dalam noda dan dosa maksiat tanpa rahmat dan panduan Allah SWT. Hidupnya tidak akan tenang seumpama manusia yang hilang arah walau disuluh cerah terang benderang lampu ‘spotlight’ kelab-kelab malam yang sentiasa dikunjunginya.


Aliran air terus mengalir perlahan atau deras, lurus atau berliku-liku, alirnya lembut mendamaikan, namun sesekali kuat menghempas. Lihatlah Sungai Nil yang mengalir sepanjang 6,650 km, merentasi panas terik benua Afrika. Ketika mengalirnya tenang ia telah memberikan nafas panjang untuk sekalian makhluk yang meneguk air sejuk dari Sungai Nil, sehingga dikatakan “Mesir itu adalah hadiah dari Sungai Nil’. Namun ketika banjirnya, ia memusnahkan hidupan dan tanaman. Ia pernah bertukar menjadi merah darah sebagai tanda kemurkaan Allah SWT terhadap firaun dan pengikut-pengkut yang terang menolak syariah Allah. Namun dalam masa yang sama, banjir itu perlu untuk menyuburkan kembali tanah sekitarnya. Mengalir darah merah yang mengantikan jernih Sungai Nil adalah tanda kebenaran risalah Nabi Musa a.s.



Maka begitulah syariah. Ia kadang-kadang lembut dan menyantuni ummah dengan hukum yang penuh ‘murunah’ (keanjalan). Bila seseorang sakit, tidak larat mahu berpuasa, maka syariah mengatakan: ‘Tidak mengapa, berbukalah kerana engkau tidak mampu bertahan..’ Bila seseorang kelaparan, tiada langsung sejemput makanan halal, maka syariah mengatakan : ‘Tidak mengapa, makanlah apa yang ada, kerana engkau tidak mampu bertahan..’ Ketika seseorang sesat dalam kegelapan dan tidak tahu mana arah tuju kiblatnya..yang mana barat, yang mana timur, maka syariah berkata : ‘ Hadapkanlah wajahmu ke mana saja engkau yakini, di situlah akan engkau temui kiblatmu..’



Namun ketika manusia derhaka, ego, sombong, dan melampaui haknya, bila dia mengambil hak orang lain, bila dia menganggu hak orang lain, bila dia mencabar Allah SWT dan RasulNya..syariah cepat mengambil langkah : ‘ Kamu perlu dihukum kerana kamu bersalah.’ Hukum ini bukan semata satu hukuman, namun seperti banjir yang melanda, membawa seribu rahmat selepas itu sebagai proses menyentap dari lamunan mimpi yang disangka benar. Hukuman dalam Islam, mendidik dan mencegah manusia lain dari terjun ke dalam lubang biawak ini.


Maka syariah seperti sumber air yang terkumpul atau seperti air yang mengalir, maka kedua-duanya membawa manfaat besar dalam kehidupan manusia. Kehidupan tanpa syariah adalah kehidupan yang menghancurkan dan mematikan. Penolakan kepada syariah adalah penolakan zalim terhadap fitrah diri dan lebih teruk menidakkan hak orang lain kiranya datang dari pemerintah. Penghinaan kepada syariah adalah penghinaan pada diri sendiri yang hanya timbul dari keegoan dan kejahilan yang akan membenamkan martabat manusia dari sebaik-baik makhluk kepada serendah-rendah makhluk. Maka seandainya ada manusia, yang tinggi mahupun rendah, yang ada kuasa mahupun marhaen, maka katakan kepada mereka : ‘Tunggulah nanti akan Tuhanku tunjukkan bukti yang nyata dan benar, seperti merah darah yang mengaliri Sungai Nil, akan datang gelombang Tsunami yang bakal mengejutkan kamu, akan datang air hujan yang membanjiri kamu. Terbeliak matamu.. Bertaubatlah segera sebelum nyawa hanya tersangkut dikerongkongmu..ketika kau melihat kebenaran itu sebagai kebenaran, kebatilan itu sebagai kebatilan. Terima sebelum terlambat..bahawa Syariah Itu adalah Fitrahmu’


Wallhua’lam.