Monday, December 6, 2010

Takwim Hijrah : Satu Soroton


Takwim dalam konteks Malaysia menurut Baharuddin Zainal ( 2003 ) merupakan satu produk sosial-agama-sains yang mempunyai ciri-ciri berikut :
1. Tarikh takwim dan maklumat asasnya boleh disusun untuk tempoh masa yang panjang.
2. Takwim mestilah mudah digunakan oleh masyarakat awam.
3. Mekanisme penyelarasan sistem takwim mesti objektif.

Penyusunan takwim oleh ahli falak melibatkan pengiraan yang agak rumit dan panjang. Ahli-ahli falak yang mengetahui dengan tepat gerakan bulan dan matahari mampu untuk menyusun takwim untuk tempoh yang panjang. Walau bagaimanapun pengiraan ini amat rumit untuk difahami dan digunakan oleh masyarakat awam ketika mereka hendak mengetahui awal tahun, bulan dan anggaran tarikh-tarikh perayaan dalam Islam. Para ahli falak mengambil inisiatif, menyusun satu jadual yang sifatnya mudah dan tidak menyusahkan orang awam unutk mereka gunakan dalam kegiatan seharian.

Maka taqwim pada hari ini adalah produk yang telah dipermudahkan bagi tujuan kegunaan awam. Satu ketika dulu juga wujud jadual-jadual mencari awal bulan yang disusun oleh ahli-ahli falak untuk kegunaan orang ramai. Jadual ini memerlukan sedikit pengiraan atau pembacaan jadual sebelum tarikh dan hari dapat ditentukan. Dengan jadual yang mudah, berkesan dan murah, masyarakat dapat mengatur kehidupan mereka dengan lebih teratur. Dalam koleksi penulis ada sebuah pengiraan takwim bertajuk Jadual al-Natijatul Daimah, boleh dibeli dengan harga hanya 25 sen.

Hijrah

Perkataan ‘hijrah’ sering kali disalahertikan oleh barat bila ia dirujuk kepada asal hijrah iaitu hajara iaitu memutuskan hubungan & meninggalkan kaum.

Syed Abul Hassan al-Nadwi( Ilyas: 94) berkata:

“ ..sememangnya ia ( kedatangan abad ke -15 ) merupakan peristiwa yang unik untuk difikirkan, apabila tarikh Islam tidak bermula dengan kemenangan Islam dalam peperangan begitu juga dengan kelahiran dan kewafatan nabi Muhammad SAW serta turunya Wahyu. Tarikh Islam bermula dengan Hijrah, atau pengorbanan demi kebenaran dan demi memelihara wahyu yang diturunkan. Ia sebenarnya satu pilihan yang diilhamkan oleh tuhan. Allah SWT ingin mendidik manusia bahawa pergelutan antara kebenaran dan kejahatan adalah kekal abadi. Tahun Islam tidak mengingatkan umat Islam pada setiap tahun akan kemegahan dan kegemilangan Islam, tetapi pengorbanan mereka dan mempersiapkan mereka melakukan pengorbanan yang sama.”

Kalendar Umat Islam Sebelum Takwim Hijrah Diperkenalkan

Umat Islam sebelum menggunakan kalendar Hijrah merujuk kepada peristiwa yang terbesar yang berlaku dalam 12 bulan atau tahun tersebut. Maka ada tahun disebut sebagai tahun Gajah ( Kelahiran nabi SAW ), tahun Bah dan sebagainya. Kedudukan nama 12 bulan adalah sama seperti yang digunakan pada hari ini oleh umat Islam. Dari 12 bulan tersebut ada 4 bulan yang disebut bulan-bulan haram, iaitu mereka diharamkan berperang pada bulan-bulan tersebut.

Bulan dan Maknanya

1. Muharram: Ini kerana orang-orang arab dilarang berperang di dalam bulan ini.
2. Safar: mereka biasanya keluar bermusafir kerana pergi berperang atau melarikan dari musim panas.
3. Rabi` al-Awwal: ( musim bunga ) biasanya ia bersamaan dengan musim bunga.
4. Rabi` al-Akhar: biasanya ia bersamaan dengan penghujung musim bunga.
5. Jumada al-‘Ula: ( Beku ) biasanya ia bersamaan dengan musim sejuk yang menyebabkan air membeku.( winter time.)
6. Jumada al-‘Ukhra: biasanya ia bersamaan dengan akhir musim sejuk.( winter time.)
7. Rajab: berasal dari kata ‘rajaba’ –menyucikan - ertinya menyucikan diri dari segala kekejian yang berlaku dari peperangan. Rejab adalah bulan haram.
8. Sha`ban: Berasal dari kata ‘tash`aba’, iaitu pergi ke arah yang berlainan, ini kerana mereka akan keluar melalui jalan berlainan untuk berperang.
9. Ramadan: Berasal dari kata ‘Ar-ramda’ yang merujuk kepada kepanasan yang bersangat.ini kerana cuaca panas yang sangat meyeliputi semenanjung arab ketika bulan ini.
10. Shawwal:. Shala : terangkat kerana pada zaman dahulu syawal adalah musim panas yg menyebabkan unta yang berjalan di padang pasir terangkat mulutnya dan menyeringai kerana kepanasan. Ada yg percaya bulan ini tidak elok berkahwin jadi Rasul SAW sengaja berkahwin dgn Aisyah pd bulan ini.
11. Dhul-Qi`dah: (duduk ) – rehat : Ini kerana orang Arab tidak berperang pada bulan ini kerana ia termasuk bulan-bulan haram.
12. Dhul-Hijjah: dinamakan demikian kerana ibadat haji dilakukan pada bulan ini.


Sejarah Takwim Hijri


Sejarah takwim hijri bermula pada era khalifah Umar al-Khattab r.a. Era kepimpinan Abu Bakr as-Siddiq, tidak memberikan kesempatan kepada umat Islam untuk menyemak hal ini disebabkan oleh tempoh yang pendek dan kesibukan umat Islam berhadapan dengan peperangan terhadap golongan Murtad. Sehinggalah pada tahun 17 selepas Hijrah, Umar al-Khattab yang menjadi Khalifah ketika itu melihat kepada perlunya umat Islam mempunyai suatu kalendar yang teguh untuk menjadi rangka masa pengurusan kehidupan seharian mereka serta pembinaan tamadun Islam itu sendiri. Perkara ini tercetus ketika mana Saidina umar menerima 3 surat :


1. Dari Abu Musa al-Ashaari dengan tidak disebutkan tarikhnya.
2. Gabenor Mesir yang hanya menyatakan syuhur sya’ban.
3. Ya’la Ibn Umayyah dari Yaman menulis surat dengan mencatatkan tarikh tahun hijrah saw.

Surat Abu Musa al-Ashaari dan Gabenor Mesir yang datang ini membingungkan beliau kerana tiada tarikh rujukan. Namun beliau tertarik dengan surat dari Ya’la Ibn Umayyah dari Yaman menulis surat dengan mencatatkan tarikh tahun hijrah Nabi saw. Lantas beliau mengumpulkan beberapa sahabat dan bermesyuarat dengan mereka. Di peringkat awalnya, mereka cenderung kepada menjadikan tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai permulaan kalendar Islam. Namun hal ini tidak mencapai persetujuan kerana umat Islam tidak sepakat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi SAW di antara 8 dan 12 Rabiul Awwal tahun 571M.

Begitu juga, kelahiran Nabi SAW bukanlah merupakan signifikasi terbesar terhadap baginda saw. Hal ini berlainan dengan orang Nasrani yang menyembah Isa AS dan mengangkat Baginda sebagai tuhan. Maka sudah tentulah kelahiran Nabi Isa itu yang dianggap sebagai peristiwa terpenting. Akhirnya umat Islam bersetuju meletakkan tahun peristiwa Hijrah sebagai permulaan hitungan kalendar mereka (Al-Bidayah wa an-Nihayah oleh Ibnu Kathir 2 / 259).

Oleh yang demikian, pada hari Rabu 20 Jamadil Akhir 17 Hijrah, Umar al-Khattab dan para sahabat telah bersetuju Taqwim Islam disusun berdasarkan tahun Hijrah baginda ke Yathrib ( Madinah ) . Menurut Sheikh Tahir Jalaluddin baginda sampai di Madinah ( Quba) pada hari Isnin 9 Rabiul Awwal 1 H bersamaan 20 Sept 622 M.( Khir: 22:1987 )

Dengan itu, perhitungan terhadap Taqwim Hijri memperolehi kesepakatan bahawa 1 Muharram tahun pertama Hijrah jatuh pada hari Khamis 15 Julai 622 M bersamaan tahun 4382 bagi kiraan Ibrani, 933 pada kalendar Alexander the Macedon dan 1375 pada kiraan Roman.

Wallahua’lam.

Monday, October 11, 2010

SELAMAT MENUNAIKAN FARDHU HAJI

Saya dan ahli-ahli PPUP mengucapkan selamat mengerjakan fardhu haji kepada Ust Kamal Izat (TYDP PPUP), Ust Tarmizi Sahari, Ust Azahar Ahmad, Ust Ali , Ust Rosli dan ahli-ahli PPUP yang lain serta keluarga. Semoga dapat menunaikannya sebaik mungkin kerana peluang yang datang ini mungkin sekali dan terakhir untuk kita.Kami mendoakan agar mendapat haji yang mabrur dan menjadi contoh terbaik kepada para hujjaj yang lain.

Kami juga mengharapkan agar bakal-bakal haji ini mendoakan kesejahteraan kepada seluruh umat Islam khususnya kepada ahli-ahli PPUP di tanah air.

Kepada ahli-ahli PPUP yang masih belum berkesempatan , giatkan lipatgandakan usaha membuat tabungan dengan penuh disiplin dan jadikan menunaikan fardhu sebagai keutamaan yang paling utama dalam usaha menabung, bisnes dan sebagainya.

ولله على الناس حج البيت من استطاع اليه سبيلا

Thursday, September 30, 2010

Takziah

Persatuan Pegawai-Pegawai Agama Perak ingin merakamkan takziah kepada semua ahli keluarga, anak-anak didik dan seluruh Umat Islam Negeri Perak atas pemergian Tuan Guru, Dato' Haji Abdul Latif Abdul Rahman, pengasas Pondok Pak Teh di Kg Kuak Luar, Pengkalan Hulu. Beliau telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 12.30 pagi tadi berbetulan dengan tarikh kelahirannya pada 30.09.1938. Beliau meninggalkan seorang balu dan 11 orang anak dan meninggalkan ratusan murid yang masih berguru dengannya di pondok dan ribuan lagi di merata tempat dan ribuan bekas-bekas muridnya dari seluruh pelusuk negara.

Pak Teh adalah merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Perak  telah  Madrasah Addiniah Al Latiffiah (Pondok Pak Teh) yang masih mengekalkan tradisi pengajian secara pondok sejak tahun 1967.Ianya adalah satu-satu pusat pengajian ilmu di Perak yang masih mengekalkan tradsisi membaca Kitab Kuning dan diajar secara tradisional. 
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu pada tahun 1947 hingga 1953 dengan tamat darjah 5. Disebabkan kemiskinan keluarganya tidak mampu menyara pelajaran ke peringkat lebih tinggi lagi walaupun mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke MCKK. Walaubagaimanapun beliau berpeluang meneruskan pengajian agama secara pondok di Pondok Asam Jawa di Pendang, Kedah antara 1956 hingga 1959, Pondok Pasir Tumboh ad-Diniah Bakriah, Kelantan dari tahun 1959 hingga 1967. Beliau berguru dengan beberapa Tuan Guru yang terkenal antaranya Tuan Guru Hj Mohamad Saman Kati, Tuan Guru Abdul Rahman Ahmad, Tuan Guru Sulaiman Mohd Rabik dan juga ulama tersohor di Kelantan seperti Tuan Guru Mustafa, Tuan Guru Abdul Aziz dan Tuan Guru Hashim Abu Bakar Pasir Tumboh.


Beliau telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan Paduka Sultan Perak ke-76 pada tahun 2004.



Wednesday, September 29, 2010

Hj. Ahmad b. Hj. Che Din: Amalan Orang Melayu



Tajuk: Penilaian Terhadap: Perubatan Tradisional Melayu,Adat Resam Melayu Islam, Latihan Pertahanan Diri Melayu, Perkara-Perkara Khurafat dan Ajaran Sesat.
Karangan: Hj. Ahmad b. Hj. Che Din
Muka surat: 53 helaian
Berat: 238 KB

Muhammad Ahmad al-Rasyid: Al-Munthalaq



Kitab: Al-Munthalaq
Karangan: Muhammad Ahmad al-Rasyid
Muka surat: 164 helaian
Berat: 1.15 MB
sedia untuk dimuat turun atau cetak.

Tuesday, September 28, 2010

Al-Imam Hassan Al-Banna: Antara Semalam dan Hari Ini



Risalah: Antara Semalam dan Hari Ini
Karangan: Al-Imam Hassan Al-Banna
Muka surat: 16 helaian
Berat: 220 Kb
sedia untuk dimuat turun atau cetak.

Monday, September 20, 2010

PERGINYA SEORANG MURABBI




Pada jam 9.55 am Sabtu 18 Sept 2010 , pengasas HALUAN, Ustaz Dahlan Mohd Zain (Dato’ Kaya Bakti) kembali ke rahmatullah setelah lebih 40 tahun didalam jihad dan dakwah di Malaysia. Al-Marhum meninggal dunia setelah 491 hari isterinya yang dikasihi, Datin Halimaton binti Hussein pulang ke rahmatullah terlebih dahulu. Inna lillahi wa inna ilaihi rojiuun

“Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan untuk saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dengan Iman …”(Al-Quran). “Barang siapa yang hendak mencontohi, maka ambillah contoh dari orang yang telah mati. Kerana orang yang masih hidup masih belum selamat dari fitnah (dugaan)”

Ustaz Dahlan beroleh ijazah didalam bidang syariah dari Universiti Baghdad, Iraq. Beliau kembali ke tanahair dan mula aktif dilapangan Dakwah sejak diakhir tahun 1960an khususnya di dalam ABIM (ditubuhkan tahun 1972). Manhaj amal Al-Marhum menekankan persoalan dan pembentukan Akidah pada diri para pendakwah berupa pembersihan jiwa dan penolakan total terhadap segala bentuk Jahiliyah zaman moden ini begitu menonjol terutama tahun-tahun 1980an dahulu sedikit sebanyak mengesani jiwa dan pemikiran ramai penggerak dakwah sehingga ke hari ini.

Tahun 2010 ini sahaja menyaksikan pemergian ke rahmatullah dua pengasas jemaah dakwah di Malaysia iaitu Ustaz Ashari Muhammad (jemaah Global Ikhwan) dan Ustaz Dahlan Mohd Zain sendiri (pengasas Haluan). Pengerusi penaja yang menubuhkan ABIM pada 6 Ogos 1971, Ustaz Abdul Wahab Abdullah telah kembali ke rahmatullah lebih awal lagi. Oleh itu dekad-dekad di hadapan menyaksikan perjalanan jemaah-jemaah Islam di Malaysia tanpa pengasasnya, tetapi sejauh atau sedekat mana ianya jemaah itu bergerak diatas manhaj, ideologi atau fikrah yang diasaskan oleh pengasas itu sendiri

Al-Marhum dimasukkan ke hospital pada 8 Ogos lalu, 2 hari sebelum bermula bulan puasa Ramadan kerana sesak nafas dipercayai kerana paru-paru berair. Al-Marhum sempat menjalani dialisis sebanyak 3 kali sebelum keadaan beliau merosot diikuti kegagalan buah pinggang, paru-paru berair dengan beberapa serangan jantung dan stroke sebelum pihak keluarga mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke rumah pada pagi Sabtu 18 Sept semalam. Kira-kira jam 9.55 pagi pada hari yang sama, Ustaz Dahlan menghembuskan nafasnya yang terakhir meninggalkan keluarga dan para pendakwah HALUAN yang giat bekerja demi Islam serta masyarakat yang dibimbing olehnya, khususnya melalui pusat pendidikan Maahad Tarbiyah Islamiyah (MATRI), Tunjung, Perlis yang diasaskan beliau bersama sahabat-sahabat seperjuangannya.

Kepada ahli-ahli waris Al-Marhum dan kepada ikhwah di dalam Haluan adalah apa yang diajar oleh Allah swt melalui RasulNya di dalam Hadis, “Inna lillahi ma akhaz, wa lahu ma a’tho. Wa kullu syai’in indahu bi ajalim musamma. Fasbir wala tahtasib” (Milik Allah apa yang Dia ambil. MilikNya jua apa yang Dia beri. Tiap sesuatu punya tempoh tertentu disisiNya. Bersabarlah dan harapkan ganjaran Allah atas kesabaranmu itu” (Hadis Takziah). “Al-Baqa’ lillah” (Sesungguhnya kekal itu hanyalah Allah swt semata-mata). Rujukan : Majmu’ah Ar-Rasail Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna.

Dipetik dan dioalah semula dari www.inijalanku.wordpress.com

Monday, August 30, 2010

MENCARI KEKUATAN PADA 10 HARI TERAKHIR RAMADHAN..

Assalamualaykum kepada semua ahli PPUP dan pembaca sekelian,

Didoakan semoga dapat mengekalkan stamina ubudiyyah kita kepada Allah dalam bulan penuh kemuliaan ini.Sekalung tahniah kepada ahli-ahli yang telah diberi amanah oleh Allah dengan dinaikkan pangkat, semoga dapat menyumbang lebih kepada agama demi mencari bekal di akhirat nanti.

Para ahli dijemput untuk menghadiri majlis berbuka puasa di Surau Muhajirin Meru Raya (Surau al-Marhum ust Khairuddin Isa)pada 2 September 2010.

Secara peribadi saya menjemput ahli-ahli , kita sama -sama memuliakan diri kita menjadi tetamu Allah dalam program di bawah:



كان النبى صلى الله عليه وسلم إذا دخل العشر أحيا ليله , و أيقظ اهله و شد مئزره

bermaksud : Adalah Nabi s.a.w , apabila masuk sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan, baginda s.a.w menggiatkan ibadah menghidupkan malam-malamnya, membangunkan anggota keluarganya untuk beribadah dan mengetatkan ikatan kainnya ( tidak bersama isterinya)(Hadith muttafaq alaih)

من قام ليلة القدر إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

bermaksud : barangsiapa yang menghidupkan malam al-qadr penuh keimanan dan pengharapan akan diampuni baginya dosa yang lampau.(hadith muttafaq alaih)

Tuesday, July 13, 2010

ESQ ; Apa perlunya kita berbalah

Pengharaman ESQ Training Malaysia kembali mencalitkan titik hitam dalam dunia pemfatwaan di Malaysia. Entah apa logiknya, kerana sebuah syarikat perniagaan yang berlapikkan aktiviti dakwah menyebabkan ulamak dan agamawan bertelingkah.

SAHIBUS SAMAHAH DATUK WAN ZAHIDI BIN WAN TEH, MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN bukanlah ulamak yang sering saya jadikan rujukan. Sejak mengenali beliau ketika menjadi ayam tambatan JAKIM dalam propaganda politiknya saya bukan sekali dua menyanggah penulisannya ketika membentangkan kertas kerja. Namun tidak dinafikan beliau seorang ahli akademik yang hebat dan teliti kajiannya. Demi menyokong fahaman politiknya, beliau mengemukakan fakta ilmiah yang sohih dan berwibawa, tetapi tidak menyatakan atau menyembunyikan sebahagian darinya. Maka apabila fatwa yang diwartakannya ini tidak ada kena mengena dengan pembawaan politiknya maka saya yakin ianya tidak boleh di pandang sebelah mata.

Saya tidak mengulas mengenai ESQ; teori dan pendekatan yang dibawa, mamandangkan saya tidak pernah terlibat dengan penganjurannya atau membaca buku karangan pengasasnya. Entah kenapa tidak pernah tercuit di hati saya ntuk melibatkan diri dengannya walaupun ramai teman-teman yang mempromosikannya. Saya cuma akan mengulas sikap kita sebagai orang awam termasuk sedikit pandangan mengenai sikap agamawan agar tidak menjadi bahan sendaan di kalangan masyarakat.

Antara lain saya berpandangan :

a. Islam tidak sekali-kali menganggap yang ramai sentiasa benar dan yang sikit itu bermasalah. Ijmak tidak mungkin dicapai walaupun jutaan mujtahid bersepakat sedangkan ada seorang yang membantah. Setiap hujjah dan dalil perlu diteliti, tanpa diambil mudah terutamanya jika bersangkutan dengan akidah.

b. Oleh kerana Mufti Wilayah mengasaskan fatwanya kepada teori yang dikarang oleh Ary Ginanjar melalui bukunya 'Membangun Kesuksesan Berdasarkan 5 Rukun Iman dan 6 Rukun Islam', serta buku 'ESQ Power' dan 'ESQ: Rahsia Sukses Membangun Kecerdasan Emosi dan Spiritual', maka harus dibezakan antara teori dan pemikiran dengan training yang dilaksanakan. Apakah kita bercakap mengenai dua perkara yang berbeza, walaupun ianya berkaitan, menyebabkan tidak mungkin berlakunya sebarang persepakatan.

b. Oleh kerana Mufti Wilayah menyatakan ada masalah, sedangkan orang lain mengatakan tidak nampak sebarang masalah, maka wajarlah diteliti hujjah mereka yang nampak ada masalah. Masalah dikesan dari teori dan pemikiran yang dibukukan, sedangkan ianya menjadi asas kepada perlaksanaan training dan seminar yang dijalankan. Pastinya tidak keseluruhan teori dan pemikiran mampu di terapkan dalam keseluruhan training dan seminar yang dijalankan. Tidak dapat dinafikan berbagai teguran telah dikemukakan sehingga memaksa penganjur membuang sebahagian bahan. Maka apakah wajar kita mengatakan bahawa teori dan pemikiran yang dibawa dikira halal hanya semata-mata kerana kita gagal mengesan sebarang masalah dalam training yang dijalankan.

c. Perbandingan antara Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Fatwa Mufti Kerajaan Negeri yang diwartakan hendaklah diukur melalu kacamata undang-undang. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hanyalah bersifat maklumat tanpa sebarang kuatkuasa undang-undang. Ianya mesti dibawa ke Mesyuarat Fatwa negeri-negeri dan diwartakan untuk boleh dilaksanakan. Oleh kerana negeri-negeri lain masih belum mengeluarkan sebarang wartakan, maka hanya ada satu undang-undang sahaja yang boleh dikuatkuasakan iaitu pengharaman perlaksanaannya di Wilayah Persekutuan.

d. Tindakan ESQ menegaskan kehalalannya berasaskan pengesahan 5 orang Panel Syariah yang terdiri atas para tokoh agama dan mantan Mufti di Malaysia tidaklah menjadi hujjah yang begitu kuat. Walaupun dibarisi oleh kononnya pakar berbagai bidang, merangkumi Dato’ Mustafa Abdul Rahman, Mantan Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Abdul Kader Talip, Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Paduka Sheikh Hasbullah Sheikh Abdul Halim, Mantan Mufti Kedah dan mantan Ketua Hakim Mahkamah Shariah Negeri Kedah, Dato’ Hj Nooh Hj Gadot, Mantan Mufti Johor dan Dr Adnan Mohd Yusoff, Dekan Fakulti Qur’an dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), namun tidaklah boleh dijadikan sandaran penentu. Atas nama Panel Syariah yang dilantik samada dibayar elaun atau gaji bulanan, mana mungkin mereka mampu untuk mengharamkan. Peranan mereka hanyalah menjadi pemudah cara; memahamkan Mufti dan Ulamak terhadap teori, pemikiran dan perlaksanaan ESQ dan memastikan semua peringkat di dalam ESQ mematuhi kehendak, panduan dan kritikan Ulamak dan Mufti.

Cadangan saya kepada pihak yang terlibat dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah seperti berikut :

a. Menghentikan sebarang bentuk kenyataan yang menampakkan seolah-olah berlaku perbalahan sesama sendiri.

b. Memberi peluang kepada Mufti Wilayah membentangkan hujjah dan mengkaji kebenarannya sebelum membuat sebarang keputusan.

c. Mengkaji kaitan ESQ dengan aliran pemikiran Islam Liberal yang selama ini mengancam kerana difahamkan bahawa ianya bukan sahaja menimbulkan kegusaran di sini malah turut dipertikaikan di negara asal.

d. Memperluaskan kajian kepada teori dan pemikiran asal, bukan hanya bergantung kepada pengalaman bersama mereka di samping penjelasan yang diberikan yang mungkin berterus terang dan mungkin ada yang disembunyikan.

- Abu Izzah At-Tualanji -


Bahan Rujukan :

http://www.muftiwp.gov.my/pmwp/profail_jabatan_files/fatwa_esq.pdf




http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/beritaharianonline_jawatankuasa-fatwa-kebangsaan-putuskan-esq-tidak-bertentangan.pdf

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/utusanonline_esq-tidak-bertentangan-dengan-islam-4.jpg

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/mufti-perak_00011.pdf

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/testimonial-mufti-penang.pdf

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/jawapan-dr-mufti-pahang.pdf

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/mufti-kedah_0001.pdf

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/surat-mufti-johor.pdf

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/jawapan-kpd-isu2-yg-ditanyakan-oleh-alumni-esq_2.pdf

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/kenyataan-rasmi-bil-02-panel-shariah-esq-leadership-msia-7-julai-20102.pdf

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/penjelasan-esq-fasa-3-090710_2.pdf

Monday, June 21, 2010

al-quran tajwid berwarna dalam bentuk pdf


dapatkan al-quran ini dalam bentuk pdf.