Showing posts with label Perundangan. Show all posts
Showing posts with label Perundangan. Show all posts

Thursday, December 13, 2012

RESOLUSI KONVENSYEN FIQH JENAYAH SYARIAH: PEMAHAMAN DAN PELAKSANAAN DI MALAYSIA


 
 
KONVENSYEN FIQH JENAYAH SYARIAH: PEMAHAMAN DAN PELAKSANAAN DI MALAYSIA

 TEMPAT :         INSTITUT TADBIRAN ISLAM PERAK, JALAN RAJA MUSA MAHADI, IPOH, PERAK

 TARIKH    :        28 NOVEMBER 2012M BERSAMAAN 14 MUHARRAM 1434H

 ANJURAN :

BAHAGIAN PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH, JABATAN AGAMA ISLAM PERAK

DENGAN KERJASAMA

PERSATUAN PEGAWAI-PEGAWAI UGAMA NEGERI PERAK,
PERSATUAN PEGAWAI-PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA NEGERI PERAK DAN MAJLIS PERMUAFAKATAN PEGAWAI TADBIR AGAMA NEGERI PERAK

Pengenalan:

Mutaakhir ini Undang-undang Jenayah Islam adalah satu undang-undang yang sering disalah faham oleh masyarakat Islam dan bukan Islam. Kebanyakan pihak hanya menjadikan kekeliruan mengenai undang-undang ini sebagai bahan untuk menghentam, jauh sekali untuk bersama dengan pihak yang ingin melaksanakannya. Tidak kurang juga para cendikiawan yang mengambil kesempatan menonjolkan kekeliruan ini hanya semata-mata untuk mendapatkan pengaruh dan populariti, seolah-olah merekalah yang lebih prihatin dan berjuang dalam usaha melaksanakannya.

 

Objektif Konvensyen:

1.    Menjelaskan kepada masyarakat mengenai beberapa tohmahan dan kekeliruan berkaitan Undang-undang Jenayah Islam.


2.    Meyakinkan masyarakat bahawa Undang-undang Jenayah Islam boleh dan sesuai dilaksanakan di negara majmuk seperti Negara ini.
 

3.    Menjelaskan fungsi, peranan dan tanggungjawab semua pihak berdasarkan kemampuan dan kemahiran masing-masing.


 

Pembentangan Kertaskerja bertajuk;

1.    Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam di Negara Majmuk, oleh Y.Bhg. Dr. Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Pengerusi Darul Fuqaha’.


2.    Kaedah Pensabitan dan Persaksian Dalam Konteks Negara Majmuk, oleh Y.Bhg. Encik Musa bin Awang, Presiden Persatuan Peguam Syar’ie Malaysia (PPSM).
 

3.    Pelaksanaan Syariat Islam Dalam Kerangka Perlembagaan Negara, oleh Y.Bhg. Dr. Siti Zubaidah bt. Ismail, Ketua Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Universiti Malaya.

 

RESOLUSI KONVENSYEN

Konvensyen Fiqh Jenayah Syariah: Pemahaman dan Pelaksanaan di Malaysia, anjuran Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, Jabatan Agama Islam Perak dengan kerjasama Persatuan Pegawai Ugama Negeri Perak, Persatuan Pegawai-Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Perak, dan Majlis Pemuafakatan Pegawai-Pegawai Tadbir Agama Daerah Negeri Perak, yang berlangsung pada 28 November, 2012 di Institut Tadbiran Islam Perak, Jalan Raja Musa Mahadi, Ipoh, Perak dengan ini membuat resolusi-resolusi seperti berikut;

1.    Menyatakan kebimbangan terhadap usaha-usaha peminggiran Undang-Undang Islam dalam sistem perundangan Negara termasuk pihak-pihak yang menonjolkan kesukaran dalam pelaksanaannya yang hakikatnya hanyalah dalihan untuk tidak melaksanakannya.

 

2.    Menegaskan bahawa kedudukan istimewa Islam sebagai agama bagi Persekutuan adalah wajib dipertahankan dan tidak seharusnya diganggu gugat. Pelaksanaan Undang-Undang Islam di Negara ini adalah hak umat Islam dan orang bukan Islam tidak wajar campur tangan yang bersifat negatif dalam urusan umat Islam.

 

3.    Semua Pengamal Undang-Undang yang beragama Islam wajib  membuat pentafsiran terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada di Negara ini ke arah yang menguntungkan Islam dan umatnya. Islam sebagai agama bagi persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai “Undang-Undang Islam mestilah menjadi asas dalam undang-undang Negara” bukan hanya digunakan dalam upacara rasmi semata-mata. Jika tidak dinyatakan secara jelas mengenai halangan pelaksanaannya maka hendaklah ditafsirkan bahawa Undang-Undang Islam dibenarkan untuk dilaksanakan.

 

4.    Setiap umat Islam wajib bersatu hati dan suara, menyatukan sikap dan tindakan dalam usaha mempertahankan kedudukan Islam dan syariatnya agar dapat dilaksanakan.

 

5.    Setiap ancaman terhadap Islam dan perlaksanaan syariatnya hendaklah dianggap sebagai ancaman terhadap martabat dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama di setiap negeri dan terhadap kewibawaan institusi-institusi Islam.

 

6.    Jabatan Agama Islam Perak hendaklah menerajui usaha penerangan dan penjelasan mengenai Syariat Islam ini termasuk melibatkan pihak bukan Islam dan agensi kerajaan seperti PDRM, ATM, Mahkamah dan lain-lain. Usaha penjelasan dan penerangan ini  hendaklah dilaksanakan dengan lebih serius oleh semua pihak termasuk pihak media massa dan menggunakan semua saluran yang ada samada media massa dan kuliah-kuliah di masjid dan surau.

 

7.             Jabatan Agama Islam Perak hendaklah membentuk suatu Jawatankuasa Khas bagi memulakan proses mentaqnin/menggubal deraf Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Perak mengikut Dasar Hukum Syara’ (Hudud, Qisas, Ta’zir dan Diat) untuk  dilaksanakan di negeri ini.

 

8.                Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak disarankan agar mengeluarkan fatwa khusus dalam hal perundangan Islam merangkumi kewajipan membantu usaha melaksanakannya, pengharaman memperlekehkannya dan sebarang sumbangan terhadap menyukarkan usaha perlaksanaannya.

 

Adalah diharapkan agar semua pihak yang terlibat dan semua pihak yang mempunyai kemampuan dan kemahiran dalam menyumbang ke arah pelaksanaan Undang-Undang Islam ini dapat melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing.  Sebagai hamba Allah tidak ada sebarang kerugian pada kita, jika tunduk kepada kehendak Allah dan Allah Maha Berkuasa dalam menentukan kejayaan dan segala cabaran serta resikonya. Janganlah kita takut kepada manusia ketika melaksanakan urusan Allah, tetapi takutlah kepada Allah dalam berurusan dengan manusia.

 

Sekian, Resolusi yang telah dibuat semoga Allah SWT memberi kekuatan dan petunjuk dalam menjadikannya suatu kenyataan. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tuesday, November 27, 2012

Konvensyen Fiqh Jenayah Syariah : Pemahaman Dan Pelaksanaannya di Malaysia

         Esok akan berlangsung In Sya Allah konvensyen di atas yang akan diadakan di Dewan Besar INTIM. Menganjurkan program seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ianya pasti mengundang berbagai tafsiran dan pandangan serong daripada orang politik malah para pembesar yang lebih berpolitik dari orang politik sendiri. Tambahan pula situasi masa kini amat genting disebabkan beberapa program yang seumpamanya oleh teman-teman di beberapa daerah telah mengundang berbagai kontroversi daripada tokoh politik kampung di daerah masing-masing. Alhamdulillah kesedaran dan komitmen pegawai-pegawai agama begitu membara untuk melengkapkan usaha-usaha penerangan kepada masyarakat mengenai kewajipan melaksanakan Syariat Allah. Kita tidak mahu ilmu yang ada hanya digunakan sekadar untuk menambahkan kekeliruan masyarakat dengan menambahkan senarai halangan dan kekangan bagi merealisikannya. Alhamdulillah, permintaan Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama agar aku menyediakan kertas konsep perlaksanaannya telah berjaya aku siapkan. Akhirnya semua skop perbincangan yang aku cadangkan diterima tanpa bantahan.
         Untuk panduan perlaksanaan program seperti ini di masa-masa akan datang aku senaraikan beberapa strategi yang kami laksanakan bagi memastikan program ini terlaksana. Apa yang penting adalah pembentangan, perbahasan dan resolusi yang akan dicapai untuk disebarkan kepada seluruh masyarakat. Aku menyebutkan bahawa kalaupun peserta hanya ada 10 orang sahajapun, aku tetap menganggap program ini berjaya jika sekiranya kita berjaya menambahkan koleksi perbahasan dan penyelesaian terhadap segala kekhuatiran masyarakat melaksanakan Syariat Allah di bumi bertuah ini. Aku juga menyebutkan walau apapun yang terjadi program ini tetap akan berlangsung seperti yang dirancangkan walaupun terpaksa berpindah tempat ke dewan sekolah Cina dan sebagainya.
Antara strategi yang kami laksanakan adalah :
1. Kerjasama dengan persatuan dan NGO bagi memastikan bahawa pihak penganjur bebas dari sebarang tekanan pihak atasan.
2. Merangka pelan pertukaran tempat jika sekiranya premis kerajaan tidak dapat digunakan.
3. Penyertaan adalah secara tertutup dan tidak diwar-warkan secara terang-terangan tanpa ada sebarang hebahan di media ataupun gantungan banner. Jemputan hanya dibuat secara terus melalui organisasi yang terpilih.
4. Menggunakan tajuk konvensyen dan tajuk pembentangan dengan istilah umum tanpa istilah yang menarik sensitiviti para juhala' seperti Hukum Hudud dan sebagainya.
5. Menghighlightkan jawatan sampingan yang berteraskan ilmiah yang disandang oleh pembentang dan meninggalkan sebarang jawatan politiknya.
           Mudah-mudahan usaha yang sekecil ini akan berjalan dengan lancar dan akan menjadi sumbangan kepada usaha merealisasikan Syariat Allah di bumi bertuah ini.

Tuesday, February 23, 2010

Hukuman Sebat ; Maju Setapak Lagi

Tindakan Sisters in Islam (SIS) membidas tindakan Jabatan Penjara melaksanakan hukuman sebatan ke atas tiga wanita Islam berhubung kesalahan mengadakan seks haram dengan menganggapnya sebagai satu diskriminasi terhadap kaum wanita bukanlah suatu yang menghairankan.
Oleh kerana belum ada sebarang tindakan diambil terhadap mereka, tidak ada apa yang dibimbangkan oleh mereka untuk terus mempersendakan Islam. Pengarah Eksekutifnya, Dr Hamidah Maricanpun bukanlah layak untuk diambil kira pandangannya kerana beliau bukanlah begitu memahami ajaran Islam itu sendiri.
Apa wajarnya mereka bercakap soal hak sama rata mengikut Perlembagaan Persekutuan dan wanita tidak boleh disebat menurut Seksyen 289 Akta Kanun Jenayah jika mereka sendiri tidak pernah menghormati Enakmen Jenayah Syariah yang dihormati oleh kedua-dua undang-undang tersebut.

Setinggi-tinggi pujian harus diberikan terhadap perlaksanaan segera oleh Jabatan Penjara terhadap 3 pesalah wanita bersama empat lagi pesalah lelaki yang disabitkan mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.

Tak perlulah mengharapkan golongan yang prejudis terhadap Islam untuk menyokong dan tidak membangkang perlaksanaan Hukum Islam kerana mereka sememangnya tidak mahu belajar untuk memahaminya. Tidak perlulah ada pihak yang menimbulkan soal kegagalan kita memberikan kefahaman kepada masyarakat terhadap Islam dan perlaksanaannya memandangkan bukan sedikit Orang Bukan Islam yang amat memahami mengenai keindahan Islam pada zaman ledakan maklumat yang merata pada hari ini. Apakah alasan bagi yang mengaku sebagai Islam untuk tidak memahami apatah lagi memusuhi Islam dan Perlaksanaan Syariatnya.

Tuesday, August 25, 2009

Kenapa Teragak-agak melaksanakan hukuman


Hukuman sebat terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno kerana meminum arak, yang sepatutnya dijalankan minggu ini, ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadhan. Pengerusi Jawatankuasa Dakwah dan NGO Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz yang mengesahkan perkara itu berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memutus untuk menangguhkan sementara hukuman sebat itu atas nasihat Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus.
Suatu yang amat memalukan melihat sketsa pendek yang dipaparkan di dada TV pada malam tadi. Seperti dijangka, isu itu jugalah yang sedang hangat dibincangkan oleh teman-teman di surau. Kebanyakkan mereka menyatakan rasa sedih melihatkan perkembangan ini. Ada yang lebih jauh menganggap isu ini menjadi satu penghinaan terhadap Hukum Allah itu sendiri.
Tidak banyak yang mampu saya komen di hadapan teman-teman. Kalaulah tidak kerana pengaruh daripada mana-mana pihak atasan, bagi saya tindakan JAIP itu amat memalukan. Apakah alasan menghormati Bulan Ramadhan wajar dikaitkan dengan perlaksanaan Hukuman Mahkamah Syariah. Adakah hukuman sebat ini sama tarafnya dengan konsert amal artis tempatan dan luar negeri yang biasa ditangguhkan kerana Ramadhan.
Sikap kita yang tidak meletakkan penggantungan sepenuhnya kepada Allah, sering kali memakan diri kita sendiri. Mahkamah Sivil yang hanya melaksanakan hukuman ciptaan manusia begitu tegas dalam melaksanakannya. Walaupun tanpa sebarang motivasi berbentuk pahala dalam melaksanakannya, mereka melakukannya tanpa rasa ragu, apatah lagi tunduk dengan sesiapapun yang menjadikannya sebagai isu.
Sekian lama bidangkuasa yang ada tidak digunapakai, maka apakah mampu untuk kita meminta tambahan kuasa. Berapa ramaikah di antara kita yang sanggup menghadapi cabaran dalam melaksanakan tuntutan tuhan, berbanding hanya berdiam diri kerana bimbang melakukan kesilapan.

Monday, May 11, 2009

Sokongan Moral Umat Islam Diperlukan

Satu Perbicaraan Kes Muhammad Ridzuan Abdullah atau Pathmanathan a/l Krishnan dan Indira Ghandi berkaitan isu penjagaan tiga orang anak mereka yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari KHAMIS bersamaan pada tarikh 14hb Mei 2009.

Muhammad Ridzuan akan diwakili oleh peguam muda yang mewakili Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA). Sehubungan dengan itu semua Umat Islam samada mewakili agensi kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan dijemput hadir bagi memberikan sokongan moral serta menggambarkan perpaduan, kesungguhan dan kekuatan kita dalam memperjuang dan mempertahankan aqidah Umat.

Saturday, May 9, 2009

Bersama Mempertahan Aqidah Umat

Merujuk kepada kes Muhammad Ridzuan Abdullah atau Pathmanathan a/l Krishnan dan Indira Ghandi dalam isu penjagaan tiga orang anak mereka yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari Selasa bersamaan 5hb Mei 2009, Penulis ingin memberi beberapa pandangan yang mungkin mampu membawa pulangan yang lumayan kepada Islam itu sendiri. Secara peribadi, apabila penulis yang hadir melihat suasana dan berbual dengan barisan peguam muda yang mewakili Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) banyak sekali yang masyarakat Islam perlu tahu realiti yang sebenarnya. TUG OF WAR (tarik tali) kini berlaku sekali lagi di antara pasangan suami isteri apabila salah seorangnya memeluk Islam. Tug of War yang berlaku, tentu sekali melibatkan perebutan hak jagaan anak dan hak untuk menentukan status agama anak-anak mereka yang terlibat.

Yang menjadikan isu ini semakin “panas” dan celaru ialah apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abd Aziz, menyatakan bahawa apabila salah seorang daripada suami isteri berkenaan memeluk Islam, maka anak tersebut hendaklah dibesarkan mengikut agama lazim / asal (common religion) pada waktu perkahwinan berkenaan.

Alasan yang menyebabkan keputusan ini dibuat, boleh difahami melalui kenyataan beliau seterusnya apabila beliau menyatakan bahawa “agama sepatutnya tidak dijadikan alat untuk pasangan terbabit melarikan diri daripada tanggung jawab kekeluargaan. Pemelukan ke dalam agama lain bukanlah suatu alasan untuk membubarkan sesuatu pernikahan secara automatik” (Religion should not be used as a tool to escape marriage responsibilities. Conversion is not grounds for automatic dissolution of a marriage – The Star).

Saya difahamkan bahawa keputusan ini dibuat kerana berlaku satu lagi kes yang sama melibatkan Mohd Ridzuan Abdullah dan isterinya Indra Gandhi di Perak. Mohd Ridzuan atau Patmanathan a/l Krishnan, 40, asalnya beragama Hindu, tetapi kemudiannya memeluk Islam, dilaporkan telah menukar agama anak-anaknya iaitu Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, setahun, kepada agama Islam pada 12 April 2009 dan telah memohon hak penjagaan anak tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh sedangkan isterinya (Indra Gandhi) masih lagi beragama Hindu. Adalah difahamkan pihak isterinya telah memohon bantuan campur tangan kabinet sehingga menyebabkan Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz mengeluarkan kenyataan tersebut.

Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi negara ini dalam Perkara 12 dengan tajuk “Hak berkenaan dengan pendidikan”, memperuntukkan antara lain:-

(3) Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.

(4) Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

Maka kita dapat memahami bahawa agama seorang kanak-kanak yang berusia di bawah 18 tahun hendaklah ditentukan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya iaitu salah seorang daripada mereka lantaran wujudnya perkataan “atau” yang memisahkan antara ketiga-tiga pihak yang disebut itu. Oleh itu, dalam kes ini, suami tersebut berhak untuk menukar agama anak-anaknya

Apabila kita melihat kepada Seksyen 95, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (terpakai hanya bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan).

Dengan tajuk “Keupayaan masuk Islam” dinyatakan seperti berikut:-

“Bagi maksud Bahagian ini, seseorang yang tidak beragama Islam boleh masuk Islam jika dia sempurna akal dan-

(a) mencapai umur lapan belas tahun; atau
(b) jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan kemasukannya”

Justeru itu, kita dapat memahami bahawa ia memperuntukkan, antara lain, bahawa kanak-kanak yang belum mencapai usia 18 tahun boleh memeluk Islam jika sekiranya mendapat restu daripada salah seorang, sama ada ibu, bapa atau penjaganya.

Malah dalam kes yang menjadi “landmark” dalam menentukan siapa yang berhak menentukan agama seseorang anak iaitu kes Subashini Rajasingam lawan Saravanan Thangathoray, Mahkamah Persekutuan dengan majoriti 2-1 telah memutuskan bahawa bapa tersebut (Saravanan) mempunyai hak atau kuasa untuk menukarkan agama anaknya kepada Islam berdasarkan peruntukan Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam penghakiman oleh Yang Amat Arif Dato’ Bentara Istana Dato’ Nik Hashim bin Nik Ab. Rahman, Hakim Mahkamah Persekutuan, dalam kes tersebut, beliau memutuskan bahawa salah seorang daripada suami atau isteri mempunyai hak untuk menukar agama anak mereka kepada Islam. Perkataan “parent” di dalam Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan adalah bermaksud “single parent” (The word ‘parent’ in Article 12(4) of the FC, which states that the religion of a person under the age of 18 years shall be decided by his parent or guardian, means a single parent) Maksudnya, salah seorang daripada ibubapa tersebut berhak dan boleh menukarkan agama anaknya, tanpa perlu persetujuan kedua-dua ibubapa. Oleh itu, Artikel 12 (4) PP, tidak boleh dibaca sebagai memberikan hak memilih agama anak kepada kedua-dua ibubapa sebaliknya memadai salah seorang daripada mereka.

Jika kita mencari fatwa ulama’ pula, saya mendapati terdapat fatwa daripada “Lajnah Da’imah Lil Buhuth Al-‘Ilmiyyah wa Al-Ifta” (m/s 195) yang dianggotai oleh Sheikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz, Sheikh Abdul Razzaq Afifi dan Sheikh Abdullah Bin Ghadyan, yang memutuskan bahawa seorang wanita yang telah memeluk Islam lebih berhak terhadap hadhanah (hak jagaan) anak beliau berbanding suaminya yang beragama Kristian, selagi mana wanita itu kekal sebagai Islam dan suaminya berterusan sebagai Kristian. Dan anak tersebut dihukum sebagai beragama Islam kerana mengikut agama ibunya. Ini disebabkan seorang yang bukan Islam (kafir) tidak boleh menguasai orang Islam berdasarkan dalil Al-Quran, Surah Al-Nisaa’, ayat 141:-

وَلَن يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لِلۡكَـٰفِرِينَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ سَبِيلاً

Maksudnya; “dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman”
Namun begitu, mungkin golongan bukan Islam akan bertanya, apakah Islam suatu agama yang langsung tidak memberi peluang kepada mereka untuk menjaga dan seterusnya mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka?

Sebenarnya, di kalangan fuqaha Islam, golongan ulama mazhab Shafie dan Hanbali yang mensyaratkan hadhanah diberikan kepada ibubapa / penjaga yang beragama Islam, manakala ulama mazhab Hanafi dan Maliki membenarkan hadhanah diberikan kepada ibu atau bapa yang bukan beragama Islam tanpa mengira mereka ahlil kitab atau tidak.

Dalil yang dipegang oleh ulama’ yang membenarkan hadhanah kepada golongan bukan Islam ialah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan lain-lain (lihat Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, Dar Al-Fikr, Juzuk 7, m/s 727) , berkenaan seorang kanak-kanak yang disuruh memilih antara bapanya yang muslim atau ibunya yang musyrik, sedangkan dia cenderung kepada ibunya yang musyrik. Maka berdoalah Nabi SAW agar Allah SWT memberi petunjuk kepadanya, lalu hati kanak-kanak itu berubah dan memilih bapanya yang muslim. Tetapi hadith ini ditolak oleh Sheikh Dr Wahbah Az-Zuhaili dengan mengatakan bahawa ianya mansukh (dibatalkan) berdasarkan doa Nabi SAW tersebut.

Berdasarkan alasan-alasan tersebut, saya percaya bahawa pentas terbaik untuk menyelesaikan kekusutan ini ialah mahkamah syariah dan biarlah mahkamah syariah yang akan menyiasat dan membicarakan isu hadhanah ini untuk kemaslahatan anak tersebut. Perbicaraan di mahkamah syariah tidaklah bermakna bahawa pintu hadhanah “terkunci mati” kepada ibu atau bapa yang bukan beragama Islam kerana masih terdapat banyak pandangan fuqaha yang masih memberi ruang kepada mereka, kerana isu utamanya ialah kemaslahatan anak dan bukannya kemaslahatan ayah atau ibu!

Sebenarnya, alangkah hebatnya sokongan padu yang diterima oleh Indira Ghandi daripada keluarga, sahabat handai yang berlainan bangsa termasuk dua orang tokoh politik Democratic Action Party (DAP) iaitu Yang Berhormat Kulasegaran (juga sebagai peguam Indira Ghandi) dan Sivanesan yang begitu komited dari awal pagi sehingga petang berada bersama-sama mengikuti perjalanan kes. Dalam hal ini semua pihak menyokong keputusan yang menetapkan anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain. Dalam perbezaan aliran politik, parti politik DAP, Malaysia Chinese Association (MCA), Malaysian Indian Congress (MIC), dan GERAKAN dan mungkin banyak lagi nampaknya bersama bersepakat dalam isu ini. Nampaknya tidak timbul musuh politik di kalangan mereka. Malah ada beberapa pemimpin utama dari parti berkenaan yang telah pun membuat kenyataan akhbar. Disinilah penulis ingin membangkitkan persoalan penting yang menyangkut isu perpaduan umat.

Pertama, alangkah baiknya sekiranya semua pihak sama ada badan bukan kerajaan atau NGO Islam yang ada turun padang memberi sokongan moral kepada barisan Peguam muda PEMBELA yang mencurah keringat tanpa bayaran yang tinggi. Meraka khabarnya menggunakan kekuatan kewangan sendiri yang agak terhad. Malah yang lebih penting sekali adalah kehadiran tokoh-tokoh politik setempat yang beragama Islam seperti dari United Malays National Organizatian (UMNO), Parti Islam Semalaysia (PAS) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk turun sama membawa panji-panji agama Islam itu sendiri. Tunjukkan kita tidak ada kompromi dalam mempertahankan Islam. Inilah masa yang sangat baik untuk mengangkat kekuatan Islam dan mewujudkan kebersamaan yang tidak berbelah bahagi untuk Islam. Tiada siapa pun yang rugi yang pasti Islam akan mendapat untung. Perbezaan dari sudut pendekatan ideologi dan pengaruh politik parti yang terasnya Melayu dan Islam sepatutnya tidak menghalang untuk bersama dalam hal yang bersangkut dalam hal agama Islam itu sendiri.

Kedua, untuk maklumat semua pihak, barisan peguam muda PEMBELA ini sedikit rasa kecewa yang bukan sahaja dalam hal kuantiti kehadiran sokongan yang kurang, tetapi semacam masyarakat Islam tidak ambil peduli dengan isu yang sensitif dengan agama Islam itu sendiri. Untuk maklumat semua pihak, isu ini hangat dimainkan oleh akhbar arus perdana masyarakat Cina dan India. Dengan itu penulis mewakili Agkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Perak ingin menyeru agar semua pihak ambil peduli dan tunjukkan sokongan yang kuat untuk kes yang disambung pada hari KHAMIS bersamaan pada tarikh 14hb Mei 2009. Sebagai seorang mukmin kita yakin dengan ketentuan ilahi dan apa yang berlaku sebenarnya tersembunyi hikmah yang besar, yang hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahuinya.

Daripada :
SUHAIMI BIN LATIP,
YANG DIPERTUA,
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) CAW. PERAK.

Wednesday, January 14, 2009

Hukuman Sebatan Peminum Arak

Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan semalam menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita yang mengaku bersalah meminum arak. Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh, Mohd. Nasir Mohamad @ Sulaiman, 38, dan Noorazah Baharuddin, 22, mengaku melakukan perbuatan tersebut pada tahun lalu. Mohd. Nasir dituduh meminum arak jenama Tiger Beer di Fun Pub, Holliday Villa, Cherating, pada 11 Julai lalu, pukul 11.37 malam. Dia telah berkeluarga dan mempunyai empat orang anak, bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan di Kemaman, Terengganu. Sementara itu, Noorazah yang bekerja sebagai seorang pelayan di sini, dituduh meminum arak jenama Heineken di Black Forest Pub, Jalan Gambut, pukul 1.20 pagi pada 12 Julai tahun lalu. Kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum di bawah Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987.
Isu hukuman sebat kepada peminum arak telah lama menjadi perbincangan di kalangan pengamal undang-undang Syariah. Antara isu yang ditimbulkan adalah bilangan maksima 6 sebatan yang boleh dikenakan terlalu jauh dengan jumlah yang ditetapkan oleh Allah. Namun secara dasarnya, walau berapapun jumlah yang boleh dijatuhkan ianya wajib dilaksanakan kerana itulah kemampuan Mahkamah Syariah. Baki yang diluar bidangkuasa yang diberikan maka tinggalkanlah kepada penggubal dan mereka yang meluluskan undang-undang menanggung dosanya. Kaedah Feqah menyebutkan; apa yang tidak mampu dilakukan semuanya maka janganlah ditinggalkan kesemuanya.
Persoalan yang lebih besar adalah dari sudut kaedah perlaksanaan sebatan yang dilakukan oleh pihak penjara yang amat jauh tersasar daripada panduan Al-Quran. 6 sebatan yang dilaksanakan pada hari ini jauh lebih menyiksakan berbanding 100 sebatan mengikut sunnah. Matlamat pengajaran dan pendidikan di sebalik sebatan mengikut Al-Quran hanya tinggal penyiksaan tanpa pengajaran kepada awam. Inilah yang menyebabkan kebanyakan mufti dan Mahkamah Syariah kurang terpanggil untuk menggalakkan sabitan hukuman sebat kepada pesalah jenayah Syariah. Maka kesannya kesalahan jenayah Syariah tidak sangat menggerunkan kebanyakan Umat Islam.
Oleh yang demikian, persoalan yang perlu kita fikirkan adalah sejauh mana usaha kita, sebagai Umat Islam, pegawai-pegawai agama, Pegawai-pegawai penjara, para Hakim dan Peguam serta semua yang terlibat, bagi meng"Islamik"kan perlaksanaan hukuman sebat di penjara. Atau perlukah kita mengusahakan pusat perlaksanaan hukuman sebat berlandaskan Syariat Allah berasingan daripada pusat perlaksanaan hukuman sebat di penjara.