Thursday, July 14, 2011


PELUANG MENYEMAK ARAH KIBLAT DI RUMAH.
Oleh : Mohamad Faizal Bin Jani

Firman Allah dalam surah al-Furqan : 45-46 :

"45. tidakkah Engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? - Bagaimana ia menjadikan bayang-bayang itu memanjang, dan jika ia kehendaki tentulah ia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda Yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu;
46. kemudian Kami tarik balik bayang-bayang itu kepada kami, Dengan beransur-ansur."

Fenomena matahari sedang mengalami istiwa dengan kaabah, merupakan kaedah yang efektif dan mudah dalam penentuan arah kiblat. Ia sangat popular di negara-negara nusantara. Ia bukanlah satu kaedah baru atau moden, tapi merupakan satu kaedah yang telah diamalkan oleh ulama’-ulama’ terdahulu. Walaupun begitu, ia masih lagi sesuai dan efektif untuk diamalkan pada zaman sekarang.

Apakah dia Istiwa Ad’zam.

Kaedah ini sebenarnya telah disebutkan di dalam kitab-kitab ulamak terdahulu seperti Kitab Tadzkirah Fil Ilmil al-Hayyah oleh Nasaruddin al-Tusi ( kurun ke-14 ) dan al-Syamsu al-Fatihah oleh Syeikh Umar Ismail Nuruddin 1343 H ( Tok Guru Sg. Keladi ). Ia mula ditimbulkan semula di pada 1990 oleh En. Baharuddin Zainal, Ketua Unit Falak Syarie, Kolej Agama Sultan Zainal Abidin ( sekarang dikenali sebagai Universiti Darul Iman kampus KUSZA ) dalam artikelnya di Berita Minggu 27 Mei 1990.

Ia akan berlaku ketika nilai sudut istiwa matahari akan bersamaan dengan nilai latitud Mekah, di mana kaabah terletak. Ketika fenomena ini berlaku, bayang objek tegak di seluruh dunia akan membetuli arah Qiblat.

Kejadian matahari istiwa ( rembang ) di atas Kaabah berlaku dua kali setahun. Fenomena ini berlaku mengikut waktu tempatan di Malaysia pada:
i. 28 Mei kira-kira jam 5.16 petang
ii. 16 Julai kira-kira jam 5.28 petang

Oleh kerana fenomena ini berlaku di sebelah petang bagi negara Malaysia, bayang objek akan jatuh ke sebelah Timur dan arah qiblat ialah arah yang mengarah ke barat. Bayang objek yang panjang sewaktu petang juga menyebabkan arah kiblat lebih mudah untuk diukur.

Penentuan arah kiblat ini, boleh dilakukan dengan panduan berikut :

1. Pilih tempat yang agak lapang dan terdedah kepada cahaya matahari.
2. Pacakkan satu tiang dikawasan yang hendak disemak arah kiblatnya.
3. Pastikan tiang tersebut dengan tegak dan lurus.
4. Tepat jam 5:16 ptg pada 28 Mei atau 5:28 petang pada 16 Julai, bayang objek yang wujud ketika itu bersamaan dengan arah kiblat.

Selain dari tiang yang dipacakkan, semakan boleh juga dibuat berdasarkan tiang rumah, sisi rumah yang tegak atau mana-mana objek yang tegak.

Fenomena Istiwa’ ini patut digunakan dengan sebaik mungkin oleh semua pihak atau orang perseorangan untuk menyemak kembali arah kiblat di rumah dan musolla. Bagi semakan arah kiblat pada masjid dan surau ia memerlukan sedikit kepakaran oleh mereka yang mahir dalam ilmu falak bagi mengelakkan kekeliruan dikalangan masyarakat.

Fenomena ini juga menunjukkan betapa harmoninya Islam memanfaatkan segala fenomena alam ini untuk kemaslahatan proses ibadah dan kehidupan umat Islam sejagat. Islam tidak pernah menolak kemampuan sains dalam menjadikan skop ibadah menjadi semakin mudah dan berkesan. Sesungguhnya dalam setiap gerak laku perjalanan alam ini yang ditadbir oleh Yang Maha Agung tidak ada sesuatu yang sia-sia. Inilah Islam yang Allah swt turunkan pada umat manusia sebagai satu cara hidup bagi kebahagian kita dunia dan akhirat.

Bagaimana fenomena ini boleh terjadi ?


Bumi kita berputar pada orbitnya 24 jam mengelilingi matahari. Bagi kita yang berada di Bumi, kesan dari pusingan bumi menyebabkan objek-objek di langit terlihat seolah-olah berputar mengelilingi Bumi dengan arah gerak berlawanan dengan arah pusingan Bumi. Bintang-bintang terlihat bergerak dari timur ke barat. Ini mirip dengan gerakan pohon-pohon yang kita amati ketika membawa kenderaan, seolah-olah pohon-pohon itu bergerak berlawanan arah dengan gerakan kenderaan kita. Efek pusingan ini juga menyebabkan kita mengamati benda-benda langit (termasuk Matahari) terbit di timur dan terbenam di barat.


Sementara itu, bumi kita beredar mengelilingi Matahari dalam tempoh 1 tahun ( tahun masihi ). Akibatnya, bintang-bintang pada langit dan matahari sendiri terlihat berubah posisinya dari hari ke hari, dan setelah satu tahun, kembali ke posisi semula. Matahari bergerak lebih kurang 1˚ sehari ke arah timur. Namun karena bidang peredaran bumi (ekliptik) tidak selari dengan pusingan Bumi, maka gerakan Matahari tadi pun tidak tepat ke arah timur, tetapi membentuk sudut 23.5º.


Bumi dan matahari beredar di atas satah yang berbeza. Satah ini digambarkan seperti rel keretapi yang berbeza di mana bumi dan matahari berjalan di atas rel yang berbeza. Perbezaan satah bumi dan matahari akan mewujudkan sudut Istiwa di antara + 23˚ U dan – 23˚ S.


Berdasarkan rajah di atas satah matahari dan bumi bertemu pada A. Ketika matahari berada di A iaitu pada 21 Mac setiap tahun, sudut Istiwanya adalah 0˚. Begitu juga ketika matahari berada di C iaitu pada 23 Sept setiap tahun, sudut istiwanya juga adalah 0˚. Ketika matahari berada pada B iaitu pada 21 Jun sudut istiwanya ialah + 23 1/2˚ U . Ketika matahari berada pada D iaitu pada 22 Dis sudut istiwanya ialah - 23 1/2˚ S. Ini bermakna matahari akan menuju utara-selatan bagi putaran satu tahun yang akan mewujudkan 4 musim. Kesan putaran inilah juga menyebabkan, kita melihat matahari berada pada kedudukan berbeza pada setiap hari. Ketika mana matahari berada pada sudut istiwa yang sama dengan latitud tempatan, matahari akan berada tepat di titik zenit ketika waktu tengahari. Ini menyebabkan bayang yang wujud pada setengah tempat di bumi akan menunjukkan arah tempat tersebut.


Pada 28 Mei jam 5.16 ptg dan 16 Julai pada 5.28 ptg, matahari akan berada pada sudut istiwa 21˚ 25˚ 15˚ bersamaan dengan latitud makkah. Ini menyebabkan matahari akan berada hampir tepat pada titik zenit ( tengah-tengah langit Makkah ) iaitu pada 28 Mei jam 1.16 ptg dan 16 Julai pada 1.28 . Fenomena ini akan menyebabkan semua bayang yang wujud di setengah muka bumi, akan merujuk kepada arah kiblat.


Walau bagaimanapun kaedah ini hanya boleh digunakan bagi negara yang berada diantara latitud + 23 ½ ˚dan -231/2˚ dan juga negara yang mengalami waktu siang ( dalam jarak lebih kurang 90 darjah dari Makkah ( lihat rajah dibawah ) . Maka kerana itu bagi negara-negara yang sudah mengalami senja dan malam, pada ketika ini kaedah ini tidak dapat dipraktikan. Bagi penduduk Malaysia kaedah ini dapat diaplikasikan secara mudah dan efektif. Dengan kedudukan di antara kedudukan latitud 2˚ - 10˚ dan longitud 100˚-120˚, kedudukan kita memudahkan kaedah ini dibuat. Ini kerana pada waktu istiwa di Makkah kita sedang mengalami waktu petang. Bayang yang wujud pada waktu ini lebih panjang. Ini memudahkan penandaan arah kiblat dilakukan.


Walaubagaimanapun, bagi tempat-tempat yang mengalami malam ketika istiwa A’zam itu berlaku, mereka juga boleh dengan menggunakan kaedah yang sama pada 28 November 21:09 UT (29 November 05:09 pg waktu Malaysia ) dan 16 Januari 21:29 UT (17 Januari 05:29 pg waktu Malaysia), matahari tepat berada di bawah Ka'bah. Ini kerana pada saat tersebut, jika kita tepat menghadap ke arah Matahari, berarti kita tepat membelakangi arah kiblat. Jika kita memancangkan tongkat tegak lurus, maka arah jatuh bayangan tepat ke arah kiblat.

Fenomena Istiwa’ ini patut digunakan dengan sebaik mungkin oleh semua pihak atau orang perseorangan untuk menyemak kembali arah kiblat di rumah dan musolla. Bagi semakan arah kiblat pada masjid dan surau ia memerlukan sedikit kepakaran oleh mereka yang mahir dalam ilmu falak bagi mengelakkan kekeliruan dikalangan masyarakat.

Fenomena ini juga menunjukkan betapa harmoninya Islam memanfaatkan segala fenomena alam ini untuk kemaslahatan proses ibadah dan kehidupan umat Islam sejagat. Islam tidak pernah menolak kemampuan sains dalam menjadikan skop ibadah menjadi semakin mudah dan berkesan. Sesungguhnya dalam setiap gerak laku perjalanan alam ini yang ditadbir oleh Yang Maha Agung tidak ada sesuatu yang sia-sia. Inilah Islam yang Allah swt turunkan pada umat manusia sebagai satu cara hidup bagi kebahagian kita dunia dan akhirat.

















Friday, June 10, 2011

Pilihanraya memecahbelahkan Melayu !

Agak pelik bila ada pihak yang cuba menonjolkan diri sebagai hero Melayu dengan membangkang tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah memutuskan kaedah pemilihan Anggota Jawatankuasa (AJK) Kariah Masjid di seluruh negeri menggunakan sistem pengundian dalam kertas undi ala pilihan raya. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Kassim, kaedah pemilihan yang diperkenalkan itu adalah persetujuan bersama dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAI), Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Di antara tujuan kaedah baru ini adalah bagi menjadikan kaedah pemilihan jawatankuasa kariah yang lebih telus, berbanding dengan tatacara pemilihan sedia ada. Ini juga bertujuan untuk mengembalikan hak anak-anak kariah untuk mencalon dan memilih pemimpin kariah masing-masing kepada MAIPP. Di antara tuduhan yang dilemparkan adalah :


1. Ianya menjerumuskan institusi masjid ke kancah politik kepartian.

2. Ianya akan memporak-perandakan institusi masjid dan mengheret jawatan kuasa kariah masjid dalam kancah perpecahan apabila wujud aktiviti berkempen, mengadu domba serta memburuk-burukkan antara satu sama lain.

3. Kaedah pelaksanaan pilihan raya itu juga sangat lemah dan longgar sehingga boleh menimbulkan rasa syak wasangka dalam kalangan kariah masjid sekali gus memungkinkan perseteruan serius berlaku.

4. Sistem sedia ada yang diamalkan sejak lebih 50 tahun lalu membolehkan wakil dari setiap kampung menduduki jawatankuasa masjid supaya apa jua aktiviti dapat dilakukan dengan penglibatan menyeluruh masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

Adalah merupakan tuduhan yang amat dangkal jika dikatakan sistem pengundian ala pilihanraya ini sebagai menjerumuskan masjid ke kancah politik kepartian. Ini kerana tidak ada sebarang calon yang akan mewakili parti politik dan setiap individu adalah mewakili diri mereka sendiri.

Jika dikatakan pengundian boleh membawa perpecahan dan porak poranda, maka adalah lebih baik pemilihan wakil rakyat dan ahli parlimen juga tidak dibuat melalui proses pengundian kerana kesan pecah belahnya adalah jauh lebih parah.

Mungkin terdapat beberapa kelemahan dalam aspek teknikal dalam kaedah yang dibuat namun tidaklah sampai ke tahap kita perlu menolak bulat-bulat kaedah yang dicadangkan kerana ianya ternyata jauh lebih baik dan lebih telus berbanding kaedah sedia ada.

Tidak pernah ada mana-mana pihak yang menganggap sistem sedia ada sebagai yang terbaik malah sistem sedia ada lebih menunjukkan penguasaan satu-satu puak terutamanya yang mewakili parti pemerintah. Setiap pertemuan antara pihak Majlis dan ahli kariah pasti ada desakan agar kaedah pemilihan oleh ahli kariah dikembalikan semula samada oleh mereka yang mewakili parti kerajaan apatah lagi parti pembangkang.

Beberapa dekad terdahulu, kaedah pemilihan melalui Mesyuarat Agong dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh negara. Kemudiannya semenjak era 90’an bermulalah pindaan undang-undang yang mengubah kaedah tersebut kepada kaedah lantikan oleh pihak Majlis melalui cadangan nama yang diperolehi dari berbagai pihak. Di antara sebab kenapa selama ini pihak Majlis membatalkan kaedah pemilihan ahli jawatankuasa masjid melalui Mesyuarat Agong adalah disebabkan kelemahan ahli kariah yang hanya memilih berdasarkan hubungan peribadi ataupun populariti seseorang calon. Akhirnya jawatan-jawatan penting yang menggerakkan masjid seperti setiausaha dan bendahari dipegang oleh mereka yang tidak mempunyai kemahiran sama sekali. Walaubagaimanapun kelemahan ini akan dapat diatasi melalui pencalonan awal ke jawatan-jawatan tersebut yang hanya membenarkan kelayakan minima yang khusus bagi jawatan tertentu. Perkara ini tidak menjadi masalah yang besar jika setiap pencalonan dipantau oleh pihak Majlis.

Walaupun kaedah pengundian pilihanraya seperti ini bukanlah merupakan satu satunya kaedah yang terbaik, namun ianya ternyata boleh menjadi satu kaedah alternatif buat masa ini. Ianya sekurang-kurangnya mampu memuaskan hati semua ahli kariah yang merasakan hak mereka untuk memilih kepimpinan di kalangan yang mereka kenali. Janganlah kerana fahaman politik sempit yang kita anuti menjadikan hati kita terlalu keras sehingga menafikan hak masyarakat sebagaimana yang selama ini diharap-harapkan oleh majoriti Umat Islam di negara ini.

Wednesday, February 2, 2011

Selamatkan Pelajar Kita di Mesir

Mesir sebuah Negara yang kaya dengan sumber hasilnya. Sebagai Negara yang menyimpan sejarah manusia dari zaman ke zaman Mesir cukup sinonim di hati umat Islam. Negara mesir adalah tanah yang pernah menerima jejak para anbiya yang mulia, tanah yang mengalirnya sungai Nil yang menjadi saksi kemuliaan para Rasul mahupun kekejaman Firaun satu ketika dulu. Universiti al-Azhar pusat pendidikan tertua dan termahsyur dunia Islam terletak di Mesir. Samada kita yang pernah menuntut di sana atau tidak, sedar atau tidak terhutang budi pada al-Azhar. Ini kerana sebahagian besar tuan-tuan guru, para pensyarah atau ustaz-ustaz kita yang berada di Negara ini mendapat pendidikan di sana.

Perkembangan terkini Negara Mesir yang memperlihatkan kebangkitan rakyat memprotes dan menuntut Presiden Husni Mubarak untuk meletak jawatan merupakan hal yang sepatutnya mendapat perhatian dunia. Apatah lagi Mesir adalah saluran masuk ke Gaza, Palestin. Ia digambarkan peparu yang membantu umat Islam di Gaza bernafas.

Namun negara Israel, awal-awal lagi telah melobi US dan negara-negara Barat untuk memberikan sokongan kepada Presiden Husni Mubarak yang dikatakan sekutu rapat mereka. Dasarnya selama ini dalam isu-isu Palestin sangat mendukacitakan umat Islam. Masih segar dingatan kita bagaimana sekatan oleh kerajaan Mesir terhadap bantuan kemanusiaan yang dihantar melalui Mesir ke Gaza. Ini seperti dilaporkan dalam berita harian : “Akhbar Israel, Haaretz melaporkan kementerian luar negara itu memberitahu diplomatnya bahawa kestabilan rejim di Mesir adalah utama bagi kepentingan Barat dan rantau Asia Barat. Kita harus membendung kecaman awam terhadap Presiden Hosni Mubarak,” kata kementerian luar itu. Akhbar itu berkata, kenyataan itu dihantar kepada diplomat Israel di beberapa negara termasuk AS, Kanada, China, Russia dan beberapa negara Eropah.”

Dalam laporan media barat juga menyatakan kebimbangan 10% masyarakat Kristian Koptik yang mahukan Presiden Husni Mubarak terus memerintah Mesir kerana dasarnya selama ini yang membuka peluang kepada mereka bebas beribadat. Mereka mendakwa parti Ikhwan Muslimin yang menjadi parti lawan kepada Husni Mubarak di pimpin oleh mereka yang radikal. Namun saya agak sangsi dengan laporan ini. Media barat yang memang cukup terkenal dengan gaya provokasi dan memutar belitkan isu-isu perlu kita perhalusi.

Namun saya mendoakan yang terbaik untuk saudara seislam di Mesir. Walau pun saya bukan keluaran al-Azhar tetapi peluang dapat bernaung di bawah keilmuan para sarjana di al-Azhar selama hampi 3 bulan dalam program daurah di sana, tetapi tempoh itu cukup saya melihat sendiri perjuangan rakyat Mesir dalam meneruskan hidupnya. Kesempitan hidup, kemiskinan dan peluang pekerjaan yang cukup terhad menjadikan rakyat mesir hidup dalam keadaan sangat sederhana dan tertekan.

Ini sangat berbeza dengan kehidupan pemimpin mesir Husni Mubarak. Menurut akhbar berita harian Presiden Husni Mubarak dikatakan mempunyai aset £25 bilion (RM120 bilion) sejak berkuasa pada 1981. Anggota keluarga Presiden Mesir, Hosni Mubarak dilaporkan sudah keluar dari Mesir menuju ke kediaman keluarga itu di London, lapor akhbar The Sun, pada 31 Jan lepas. Anak lelaki presiden itu, Gamal, 47, dikatakan bertolak dengan pesawat peribadi bersama keluarganya dan 97 beg besar. Keluarga itu dikatakan menginap di rumah agam enam tingkat milik mereka bernilai £8.5 juta (RM41 juta) berdekatan pusat beli-belah terkemuka Harrods di Knightsbridge, barat London. Khabar angin turut bertiup kencang bahawa Mubarak dan isterinya, Suzanne, 69, bercadang ke London. Suzanne, Gamal dan anak sulung Mubarak, Alaa, 49, menjadi simbol kekayaan dan rasuah di Mesir. Suzanne turut digelar Marie Antoinette kerana bersikap umpama ratu yang dipancung di zaman revolusi Perancis.

Namun saya tertarik dengan pandangan ulamak tersohor Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kenyataannya yang disiarkan di dalam islam.online bahawa demonstrasi dan protes besar-besaran rakyat Mesir itu hanya akan selesai dengan Husni Mubarak sendiri meletakkan jawatan. Bukan dengan memecat atau mengantikan menteri-menterinya. Beliau meminta Husni Mubarak mengambil pengajaran dari kejatuhan kerajaan Ben Ali di Tunisia yang dengan sukarela meletakkan jawatan sebelum rakyat menjalankan protes yang lebih keras dan ini akan menyebabkan Mesir akan runtuh dan lumpuh.

Selamatkan Pelajar Malaysia

Menurut http://krisismesirnasibrakyatkita.blogspot.com nasib pelajar Malaysia masih tidak menentu terutama bagi pelajar jurusan agama atau mereka yang pergi bukan dengan tajaan mana-mana pihak. Kita sangat mengharapkan kerajaan akan mengambil langkah kontigensi untuk menjamin keselamatan rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya adalah para pelajar. Malah terdapat pelajar yang masih belasan tahun berada di sana untuk belajar turut terperangkap di dalam keadaan ini. Namun tidak kira samada mereka adalah pelajar tajaan atau tidak pihak kerajaan perlu mengambil langkah drastik bagai memindahkan mereka.

Berikut adalah tulisan pelajar kita di sana dari http://ariffshah.com/krisis-mesir-keadaan-sebenar-pelajar-malaysia/ :

“ Salam Ariff, saya Nadia, a student in Egypt.
Ariff, kini saya berada di Malaysia kerana pulang untuk winter break, but when I got home, the condition in Egypt somehow got worse about the Hosni Mubarak thingy. Ramai yang sangka keadaan kat sana adalah okay, mengikut kata Jabatan Penuntut Kaherah Mesir dan Kedutaan Malaysia di sana, but there are parts that they don’t know:

Di tempat saya Mansoura, people got killed on the streets, houses are getting robbed and they are aiming to attack Malaysian students. There are about 6000 prisoners on the streets! Pelajar kita di Alexandria dirogol, airport dibakar dan anggota polis tidak lagi menjalankan tugas mereka. (Penulis -Namun menurut response berita pasal student kena rogol, tidak tepat cuma ia hampir-hampir berlaku, namun kita doakan keselamatan mereka)

Kita memohon supaya kerajaan Malaysia memandang serius hal ini. Bukan sahaja di Mansoura, malah di seluruh Mesir keselamatan rakyat kita terancam.
Segala update berkenaan keadaan di sana boleh dibaca melalui blog Krisis Mesir, Nasib Pelajar Kita. Jika ada cadangan di luar sana untuk membantu kami mendapatkan perhatian kerajaan Malaysia, sila hubungi Nurul Nadia Binti Md Zin di 017-3193923
Atau melalui:
Facebook: Nuvul Nadiva Dizavch
Twitter: DyyaDizarch
Blog: Nadia-ism
YM: nadia_mdzin2001@yahoo.com
Please let all Malaysians know about this. I will do the same but I need your help too especially to all the bloggers out there. May Allah save our citizens there.
- Nadia”

Dimaklumkan hingga kini kebanyakkan pelajar yang dibawa balik dan berjaya dihubungi adalah pelajar-pelajar di bawah tajaan yang kebanyakkan mengambil jurusan perubatan. Manakala pelajar yang pergi sendiri dan mengambil jurusan agama di al-Azhar masih tidak berjaya dihubungi dan kebanyakkan mereka hidup dalam ketakutan dan tertekan. Ini terutama bagi mereka yang tinggal di rumah sewa persendirian. Rata-rata ibu-bapa dan kaum keluarga pelajar Malaysia di Mesir sangat kecewa dengan kelewatan kerajaan Malaysia bertindak dalam hal ini. Ketika mana negara-negara lain seperti Indonesia awal-awal lagi telah mengeluarkan rakyat mereka dari Mesir. Malah ada ibu bapa yang kecewa apabila sentimen politik kepartian turut dimainkan dan diseret dalam hal ini. Ini sepatutnya tidak perlu langsung berlaku. Samada pelajar ini pro-kerajaan atau pro-pembangkang, semua pihak pihak memikirkan usaha menyelamatkan mereka. Ingat.. jika ada satu nyawa yang terkorban hasil kelewatan kita bertindak, dunia pasti akan melihat kelemahan dan kebebalan kita dalam membuat keputusan ini kerana alasan-alasan yang tidak langsung munasabah dan kadang-kadang penuh emosi. Namun ketika artikel ini dipostkan YAB Pendana Menteri telah mengumumkan untuk membawa balik pelajar Malaysia. Tetapi belum dapat disahkan apakah semua pelajar atau pelajar tajaan sahaja.

Kita doakan semua rakyat Malaysia di Mesir akan dilindungi Allah SWT dari segala kekacauan dan kejahatan. Semoga segala usaha menyelamatkan pelajar kita di sana dipermudahkan dan semoga negara Mesir akan kembali aman dan berada di bawah lindungan Allah SWT dari mereka yang mahu memporak perandakannya. Amin Rabbal Alamin.

Monday, December 6, 2010

Takwim Hijrah : Satu Soroton


Takwim dalam konteks Malaysia menurut Baharuddin Zainal ( 2003 ) merupakan satu produk sosial-agama-sains yang mempunyai ciri-ciri berikut :
1. Tarikh takwim dan maklumat asasnya boleh disusun untuk tempoh masa yang panjang.
2. Takwim mestilah mudah digunakan oleh masyarakat awam.
3. Mekanisme penyelarasan sistem takwim mesti objektif.

Penyusunan takwim oleh ahli falak melibatkan pengiraan yang agak rumit dan panjang. Ahli-ahli falak yang mengetahui dengan tepat gerakan bulan dan matahari mampu untuk menyusun takwim untuk tempoh yang panjang. Walau bagaimanapun pengiraan ini amat rumit untuk difahami dan digunakan oleh masyarakat awam ketika mereka hendak mengetahui awal tahun, bulan dan anggaran tarikh-tarikh perayaan dalam Islam. Para ahli falak mengambil inisiatif, menyusun satu jadual yang sifatnya mudah dan tidak menyusahkan orang awam unutk mereka gunakan dalam kegiatan seharian.

Maka taqwim pada hari ini adalah produk yang telah dipermudahkan bagi tujuan kegunaan awam. Satu ketika dulu juga wujud jadual-jadual mencari awal bulan yang disusun oleh ahli-ahli falak untuk kegunaan orang ramai. Jadual ini memerlukan sedikit pengiraan atau pembacaan jadual sebelum tarikh dan hari dapat ditentukan. Dengan jadual yang mudah, berkesan dan murah, masyarakat dapat mengatur kehidupan mereka dengan lebih teratur. Dalam koleksi penulis ada sebuah pengiraan takwim bertajuk Jadual al-Natijatul Daimah, boleh dibeli dengan harga hanya 25 sen.

Hijrah

Perkataan ‘hijrah’ sering kali disalahertikan oleh barat bila ia dirujuk kepada asal hijrah iaitu hajara iaitu memutuskan hubungan & meninggalkan kaum.

Syed Abul Hassan al-Nadwi( Ilyas: 94) berkata:

“ ..sememangnya ia ( kedatangan abad ke -15 ) merupakan peristiwa yang unik untuk difikirkan, apabila tarikh Islam tidak bermula dengan kemenangan Islam dalam peperangan begitu juga dengan kelahiran dan kewafatan nabi Muhammad SAW serta turunya Wahyu. Tarikh Islam bermula dengan Hijrah, atau pengorbanan demi kebenaran dan demi memelihara wahyu yang diturunkan. Ia sebenarnya satu pilihan yang diilhamkan oleh tuhan. Allah SWT ingin mendidik manusia bahawa pergelutan antara kebenaran dan kejahatan adalah kekal abadi. Tahun Islam tidak mengingatkan umat Islam pada setiap tahun akan kemegahan dan kegemilangan Islam, tetapi pengorbanan mereka dan mempersiapkan mereka melakukan pengorbanan yang sama.”

Kalendar Umat Islam Sebelum Takwim Hijrah Diperkenalkan

Umat Islam sebelum menggunakan kalendar Hijrah merujuk kepada peristiwa yang terbesar yang berlaku dalam 12 bulan atau tahun tersebut. Maka ada tahun disebut sebagai tahun Gajah ( Kelahiran nabi SAW ), tahun Bah dan sebagainya. Kedudukan nama 12 bulan adalah sama seperti yang digunakan pada hari ini oleh umat Islam. Dari 12 bulan tersebut ada 4 bulan yang disebut bulan-bulan haram, iaitu mereka diharamkan berperang pada bulan-bulan tersebut.

Bulan dan Maknanya

1. Muharram: Ini kerana orang-orang arab dilarang berperang di dalam bulan ini.
2. Safar: mereka biasanya keluar bermusafir kerana pergi berperang atau melarikan dari musim panas.
3. Rabi` al-Awwal: ( musim bunga ) biasanya ia bersamaan dengan musim bunga.
4. Rabi` al-Akhar: biasanya ia bersamaan dengan penghujung musim bunga.
5. Jumada al-‘Ula: ( Beku ) biasanya ia bersamaan dengan musim sejuk yang menyebabkan air membeku.( winter time.)
6. Jumada al-‘Ukhra: biasanya ia bersamaan dengan akhir musim sejuk.( winter time.)
7. Rajab: berasal dari kata ‘rajaba’ –menyucikan - ertinya menyucikan diri dari segala kekejian yang berlaku dari peperangan. Rejab adalah bulan haram.
8. Sha`ban: Berasal dari kata ‘tash`aba’, iaitu pergi ke arah yang berlainan, ini kerana mereka akan keluar melalui jalan berlainan untuk berperang.
9. Ramadan: Berasal dari kata ‘Ar-ramda’ yang merujuk kepada kepanasan yang bersangat.ini kerana cuaca panas yang sangat meyeliputi semenanjung arab ketika bulan ini.
10. Shawwal:. Shala : terangkat kerana pada zaman dahulu syawal adalah musim panas yg menyebabkan unta yang berjalan di padang pasir terangkat mulutnya dan menyeringai kerana kepanasan. Ada yg percaya bulan ini tidak elok berkahwin jadi Rasul SAW sengaja berkahwin dgn Aisyah pd bulan ini.
11. Dhul-Qi`dah: (duduk ) – rehat : Ini kerana orang Arab tidak berperang pada bulan ini kerana ia termasuk bulan-bulan haram.
12. Dhul-Hijjah: dinamakan demikian kerana ibadat haji dilakukan pada bulan ini.


Sejarah Takwim Hijri


Sejarah takwim hijri bermula pada era khalifah Umar al-Khattab r.a. Era kepimpinan Abu Bakr as-Siddiq, tidak memberikan kesempatan kepada umat Islam untuk menyemak hal ini disebabkan oleh tempoh yang pendek dan kesibukan umat Islam berhadapan dengan peperangan terhadap golongan Murtad. Sehinggalah pada tahun 17 selepas Hijrah, Umar al-Khattab yang menjadi Khalifah ketika itu melihat kepada perlunya umat Islam mempunyai suatu kalendar yang teguh untuk menjadi rangka masa pengurusan kehidupan seharian mereka serta pembinaan tamadun Islam itu sendiri. Perkara ini tercetus ketika mana Saidina umar menerima 3 surat :


1. Dari Abu Musa al-Ashaari dengan tidak disebutkan tarikhnya.
2. Gabenor Mesir yang hanya menyatakan syuhur sya’ban.
3. Ya’la Ibn Umayyah dari Yaman menulis surat dengan mencatatkan tarikh tahun hijrah saw.

Surat Abu Musa al-Ashaari dan Gabenor Mesir yang datang ini membingungkan beliau kerana tiada tarikh rujukan. Namun beliau tertarik dengan surat dari Ya’la Ibn Umayyah dari Yaman menulis surat dengan mencatatkan tarikh tahun hijrah Nabi saw. Lantas beliau mengumpulkan beberapa sahabat dan bermesyuarat dengan mereka. Di peringkat awalnya, mereka cenderung kepada menjadikan tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai permulaan kalendar Islam. Namun hal ini tidak mencapai persetujuan kerana umat Islam tidak sepakat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi SAW di antara 8 dan 12 Rabiul Awwal tahun 571M.

Begitu juga, kelahiran Nabi SAW bukanlah merupakan signifikasi terbesar terhadap baginda saw. Hal ini berlainan dengan orang Nasrani yang menyembah Isa AS dan mengangkat Baginda sebagai tuhan. Maka sudah tentulah kelahiran Nabi Isa itu yang dianggap sebagai peristiwa terpenting. Akhirnya umat Islam bersetuju meletakkan tahun peristiwa Hijrah sebagai permulaan hitungan kalendar mereka (Al-Bidayah wa an-Nihayah oleh Ibnu Kathir 2 / 259).

Oleh yang demikian, pada hari Rabu 20 Jamadil Akhir 17 Hijrah, Umar al-Khattab dan para sahabat telah bersetuju Taqwim Islam disusun berdasarkan tahun Hijrah baginda ke Yathrib ( Madinah ) . Menurut Sheikh Tahir Jalaluddin baginda sampai di Madinah ( Quba) pada hari Isnin 9 Rabiul Awwal 1 H bersamaan 20 Sept 622 M.( Khir: 22:1987 )

Dengan itu, perhitungan terhadap Taqwim Hijri memperolehi kesepakatan bahawa 1 Muharram tahun pertama Hijrah jatuh pada hari Khamis 15 Julai 622 M bersamaan tahun 4382 bagi kiraan Ibrani, 933 pada kalendar Alexander the Macedon dan 1375 pada kiraan Roman.

Wallahua’lam.

Monday, October 11, 2010

SELAMAT MENUNAIKAN FARDHU HAJI

Saya dan ahli-ahli PPUP mengucapkan selamat mengerjakan fardhu haji kepada Ust Kamal Izat (TYDP PPUP), Ust Tarmizi Sahari, Ust Azahar Ahmad, Ust Ali , Ust Rosli dan ahli-ahli PPUP yang lain serta keluarga. Semoga dapat menunaikannya sebaik mungkin kerana peluang yang datang ini mungkin sekali dan terakhir untuk kita.Kami mendoakan agar mendapat haji yang mabrur dan menjadi contoh terbaik kepada para hujjaj yang lain.

Kami juga mengharapkan agar bakal-bakal haji ini mendoakan kesejahteraan kepada seluruh umat Islam khususnya kepada ahli-ahli PPUP di tanah air.

Kepada ahli-ahli PPUP yang masih belum berkesempatan , giatkan lipatgandakan usaha membuat tabungan dengan penuh disiplin dan jadikan menunaikan fardhu sebagai keutamaan yang paling utama dalam usaha menabung, bisnes dan sebagainya.

ولله على الناس حج البيت من استطاع اليه سبيلا

Thursday, September 30, 2010

Takziah

Persatuan Pegawai-Pegawai Agama Perak ingin merakamkan takziah kepada semua ahli keluarga, anak-anak didik dan seluruh Umat Islam Negeri Perak atas pemergian Tuan Guru, Dato' Haji Abdul Latif Abdul Rahman, pengasas Pondok Pak Teh di Kg Kuak Luar, Pengkalan Hulu. Beliau telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 12.30 pagi tadi berbetulan dengan tarikh kelahirannya pada 30.09.1938. Beliau meninggalkan seorang balu dan 11 orang anak dan meninggalkan ratusan murid yang masih berguru dengannya di pondok dan ribuan lagi di merata tempat dan ribuan bekas-bekas muridnya dari seluruh pelusuk negara.

Pak Teh adalah merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Perak  telah  Madrasah Addiniah Al Latiffiah (Pondok Pak Teh) yang masih mengekalkan tradisi pengajian secara pondok sejak tahun 1967.Ianya adalah satu-satu pusat pengajian ilmu di Perak yang masih mengekalkan tradsisi membaca Kitab Kuning dan diajar secara tradisional. 
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu pada tahun 1947 hingga 1953 dengan tamat darjah 5. Disebabkan kemiskinan keluarganya tidak mampu menyara pelajaran ke peringkat lebih tinggi lagi walaupun mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke MCKK. Walaubagaimanapun beliau berpeluang meneruskan pengajian agama secara pondok di Pondok Asam Jawa di Pendang, Kedah antara 1956 hingga 1959, Pondok Pasir Tumboh ad-Diniah Bakriah, Kelantan dari tahun 1959 hingga 1967. Beliau berguru dengan beberapa Tuan Guru yang terkenal antaranya Tuan Guru Hj Mohamad Saman Kati, Tuan Guru Abdul Rahman Ahmad, Tuan Guru Sulaiman Mohd Rabik dan juga ulama tersohor di Kelantan seperti Tuan Guru Mustafa, Tuan Guru Abdul Aziz dan Tuan Guru Hashim Abu Bakar Pasir Tumboh.


Beliau telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan Paduka Sultan Perak ke-76 pada tahun 2004.



Wednesday, September 29, 2010

Hj. Ahmad b. Hj. Che Din: Amalan Orang Melayu



Tajuk: Penilaian Terhadap: Perubatan Tradisional Melayu,Adat Resam Melayu Islam, Latihan Pertahanan Diri Melayu, Perkara-Perkara Khurafat dan Ajaran Sesat.
Karangan: Hj. Ahmad b. Hj. Che Din
Muka surat: 53 helaian
Berat: 238 KB

Muhammad Ahmad al-Rasyid: Al-Munthalaq



Kitab: Al-Munthalaq
Karangan: Muhammad Ahmad al-Rasyid
Muka surat: 164 helaian
Berat: 1.15 MB
sedia untuk dimuat turun atau cetak.

Tuesday, September 28, 2010

Al-Imam Hassan Al-Banna: Antara Semalam dan Hari Ini



Risalah: Antara Semalam dan Hari Ini
Karangan: Al-Imam Hassan Al-Banna
Muka surat: 16 helaian
Berat: 220 Kb
sedia untuk dimuat turun atau cetak.

Monday, September 20, 2010

PERGINYA SEORANG MURABBI




Pada jam 9.55 am Sabtu 18 Sept 2010 , pengasas HALUAN, Ustaz Dahlan Mohd Zain (Dato’ Kaya Bakti) kembali ke rahmatullah setelah lebih 40 tahun didalam jihad dan dakwah di Malaysia. Al-Marhum meninggal dunia setelah 491 hari isterinya yang dikasihi, Datin Halimaton binti Hussein pulang ke rahmatullah terlebih dahulu. Inna lillahi wa inna ilaihi rojiuun

“Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan untuk saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dengan Iman …”(Al-Quran). “Barang siapa yang hendak mencontohi, maka ambillah contoh dari orang yang telah mati. Kerana orang yang masih hidup masih belum selamat dari fitnah (dugaan)”

Ustaz Dahlan beroleh ijazah didalam bidang syariah dari Universiti Baghdad, Iraq. Beliau kembali ke tanahair dan mula aktif dilapangan Dakwah sejak diakhir tahun 1960an khususnya di dalam ABIM (ditubuhkan tahun 1972). Manhaj amal Al-Marhum menekankan persoalan dan pembentukan Akidah pada diri para pendakwah berupa pembersihan jiwa dan penolakan total terhadap segala bentuk Jahiliyah zaman moden ini begitu menonjol terutama tahun-tahun 1980an dahulu sedikit sebanyak mengesani jiwa dan pemikiran ramai penggerak dakwah sehingga ke hari ini.

Tahun 2010 ini sahaja menyaksikan pemergian ke rahmatullah dua pengasas jemaah dakwah di Malaysia iaitu Ustaz Ashari Muhammad (jemaah Global Ikhwan) dan Ustaz Dahlan Mohd Zain sendiri (pengasas Haluan). Pengerusi penaja yang menubuhkan ABIM pada 6 Ogos 1971, Ustaz Abdul Wahab Abdullah telah kembali ke rahmatullah lebih awal lagi. Oleh itu dekad-dekad di hadapan menyaksikan perjalanan jemaah-jemaah Islam di Malaysia tanpa pengasasnya, tetapi sejauh atau sedekat mana ianya jemaah itu bergerak diatas manhaj, ideologi atau fikrah yang diasaskan oleh pengasas itu sendiri

Al-Marhum dimasukkan ke hospital pada 8 Ogos lalu, 2 hari sebelum bermula bulan puasa Ramadan kerana sesak nafas dipercayai kerana paru-paru berair. Al-Marhum sempat menjalani dialisis sebanyak 3 kali sebelum keadaan beliau merosot diikuti kegagalan buah pinggang, paru-paru berair dengan beberapa serangan jantung dan stroke sebelum pihak keluarga mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke rumah pada pagi Sabtu 18 Sept semalam. Kira-kira jam 9.55 pagi pada hari yang sama, Ustaz Dahlan menghembuskan nafasnya yang terakhir meninggalkan keluarga dan para pendakwah HALUAN yang giat bekerja demi Islam serta masyarakat yang dibimbing olehnya, khususnya melalui pusat pendidikan Maahad Tarbiyah Islamiyah (MATRI), Tunjung, Perlis yang diasaskan beliau bersama sahabat-sahabat seperjuangannya.

Kepada ahli-ahli waris Al-Marhum dan kepada ikhwah di dalam Haluan adalah apa yang diajar oleh Allah swt melalui RasulNya di dalam Hadis, “Inna lillahi ma akhaz, wa lahu ma a’tho. Wa kullu syai’in indahu bi ajalim musamma. Fasbir wala tahtasib” (Milik Allah apa yang Dia ambil. MilikNya jua apa yang Dia beri. Tiap sesuatu punya tempoh tertentu disisiNya. Bersabarlah dan harapkan ganjaran Allah atas kesabaranmu itu” (Hadis Takziah). “Al-Baqa’ lillah” (Sesungguhnya kekal itu hanyalah Allah swt semata-mata). Rujukan : Majmu’ah Ar-Rasail Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna.

Dipetik dan dioalah semula dari www.inijalanku.wordpress.com