Monday, December 7, 2009

Pertukaran adalah suatu Hijrah

Sebahagian besar daripada kita sedang berdebar-debar menantikan keluarnya surat keramat pertukaran pegawai sebahagimana yang dijanjikan. Episod pertukaran ini adalah satu episod yang berpanjangan sepanjang usia perkhidmatan seseorang pegawai. Terdapat beberapa keajaiban dalam urusan pertukaran ini bukan sahaja di institusi agama malah di mana-mana agensi. Tidak ramai yang mempedulikan pertukaran Pegawai Daerah walaupun mereka orang no. 1 di daerah, berbeza dengan pertukaran para Penghulu yang mengundang seribu satu kemelut yang berpanjangan. Walaupun dari segi statusnya yang tinggi di mata masyarakat setempat, pertukaran Pegawai Tadbir Agama Daerah bukan suatu yang sering dibahaskan, kecuali satu dua pegawai yang mendapat bantahan daripada kelompok politik kampungan. Berbeza suasananya dengan pertukaran imam-imam, yang menyebabkan timbulnya berbagai memorandum dari berbagai pihak termasuk yang ditandatangani ahli kariah yang entah faham entahkan tidak. Arahan pertukaran para imam di seluruh Perak beberapa bulan sudah, memperlihatkan permohonan penangguhan dan sehingga kini seolah-olah arahan tersebut tidak pernah dipatuhi.
Oleh kerana pertukaran ini tidak dilaksanakan secara berkala, maka ianya sering dilihat dari sudut yang negatif. Oleh kerana ada yang tidak pernah bertukar semenjak belasan tahun, ada yang tidak pernah menjejakkan kaki ke daerah-daerah dan ada yang berlegar di sekitar satu dua bahagian sahaja menyebabkan kegusaran kepada beberapa pihak yang kerap terlibat dengan pertukaran. Oleh kerana seringkali pertukaran terjadi berpunca daripada sesuatu kes atau isu yang tidak selesai, maka ramai yang menganggap bahawa pertukaran dibuat bagi menghukum seseorang pegawai.
Berbagai sebab sebenarnya boleh dijadikan alasan untuk membuat pertukaran. Walau apapun alasannya, kepentingan perkhidmatan adalah keutamaan tertinggi berbanding kepentingan peribadi. Lebih malang lagi jika pertukaran dibuat bagi memenuhi nafsu serakah pimpinan politik yang berfikiran sempit. Bagi yang terselamat daripada pertukaran mungkin boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu bersusah payah. Namun suatu perkara yang perlu kita ingat, bahawa Nabi Muhammad saw tidak mungkin mampu memerintah jika tidak berhijrah dari Mekah ke Madinah. Para ulamak yang hebat hanya dikenali ramai hasil hijrah mereka ke berbagai tempat. Maka rugilah kita jika hanya mempertahankan kedudukan yang kita sedang nikmati, tanpa mahu memperluaskan pengalaman kerja dengan mengambil risiko dan cabaran yang ada di tempat baru dengan suasana baru, teman-teman baru dan semangat yang baru.

Monday, November 2, 2009

Undang-Undang Tanpa Roh

Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin ditahan oleh anggota Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tengah malam tadi. Beliau akan didakwa di Mahkamah Syariah Gombak Timur dekat AU jam 9 pagi ini (2 November 2009).


Walaupun saya amat banyak tidak bersetuju dengan hujjah dan pendekatan beliau dalam menangani permasalahan semasa berkaitan agama, namun tragedi ini bagi saya amat mengecewakan. Undang-undang Tauliah Mengajar mempunyai sejarah yang tidak semua mengetahuinya. Kesukaran mensabitkan kesalahan menyebarkan ajaran salah menyebabkan satu kaedah pensabitan yang lain yang lebih praktikal. Ianya akhirnya disalahguna sebagaimana ISA yang digunakan bagi tujuan selain daripad isu-isu berkaitan komunis.
Kalau sekiranya penguatkuasaan undang-undang ini dilaksanakan sepenuhnya, maka akan terkesanlah segala aktiviti dakwah dan majlis ilmu di seluruh negara selama ini. Tidak ada seorang muftipun yang mempunyai tauliah bagi setiap negeri di negara ini. Panel-panel forum tersohor yang berkumandang suara mereka di seluruh negara pastinya terlibat dengan pelanggaran undang-undang ini.
Selangor bukan pertama kali menggemparkan negara dengan isu seperti ini. Beberapa orang tokoh agama sebelum ini yang jauh lebih hebat berbanding mereka yang memberikan tauliah tersebut juga pernah menjadi mangsa undang-undang ini.
Ketegasan dalam mel;aksanakan undang-undang amat penting bagi membolehkan undang-undang itu dihormati. Namun melaksanakan undang-undang manusia tanpa melihat kepada roh dan maqasid penggubalannya hanya akan menyebabkan kehinaan kepada undang-undang tersebut apatahlagi pihak yang menguatkuasakannya.

Saturday, October 3, 2009

Kartika vs SIS, JAG, WAO DAN KONCO-KONCO

MEMORANDUM BANTAHAN NGO-NGO ISLAM TERHADAP TUNTUTAN BIADAP SIS, JAG, WAO DAN KONCO-KONCO MEREKA UNTUK MENGHAPUSKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH

(A) Latarbelakang

Joint Action Group for Gender Equality (JAG) yang disertai oleh SIS dan WAO serta konco-konco mereka melaui memorandum kepada YAB Perdana Menteri bertajuk Justice For Kartika bertarikh 25 OGOS 2009 telah mendesak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri MEMANSUHKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri (Sila rujuk sinchew.com untuk memorandum penuh mereka bertajuk “Justice for Kartika”.

Tuntutan biadap ini telah diulangi lagi hari ini sebagaimana yang tersiara dalam The Star hari ini 1 Oktober 2009, Ivy Josiah, Pengarah Esksekutif WAO berkata –

“We urge the Federal and State governments to conduct comprehensive review of all laws pertaining to Syariah criminal offences with a view to repeal such laws.”
Memorandum sebegini juga pernah dikemukakan kepada Kerajaan pada tahun 2005 dan ditandatangani oleh lebih 300 individu dan NGO termasuk Menteri-Menteri Kabinet dan ahli politik beragama Islam yang sedang berkhidmat supaya kawalan moral melalui penguatkuasaan undang-undang Syariah dihapuskan.

(B) TINDAKAN SIS, JAG, WAO DAN KONCO-KONCO MEREKA INI ADALAH TINDAKAN BIADAP, kerana :-
· Menceroboh kedaulatan agama Islam sebagai agama Negara dan agama Negeri-Negeri serta perundangan Syariah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan diwarisi sejak zaman Kesultanan Melayu (sebagaimana termaktub dalam Kanun Undang-Undang Negeri-Negeri Melayu)

· Menyentuh dan menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri-Negeri, bercanggah dengan prinsip dalam Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan ;

· Menghina hukum Syarak yang sedang berkutakuasa melalui Enakmen-Enakmen Negeri, DAN

· Mengguris perasaan dan sensitivity beragama umat Islam

NGO-NGO ISLAM DENGAN INI SECARA SEBULAT SUARA MENDESAK :-

1. MENDAKWA SEMUA PIHAK YANG TERLIBAT DENGAN TUNTUTAN MEMORANDUM YANG BERSIFAT MENGHASUT TERSEBUT.

2. MENYIASAT SUMBANGAN DANA YANG DITERIMA OLEH NGO-NGO INI TERUTAMANYA DARI PERTUBUHAN-PERTUBUHAN ATAU ORANG PERSEORANGAN LUAR NEGARA BAGI MEMBIAYAI KEGIATAN MEREKA YANG BERSIFAT MENGHINA AGAMA ISLAM DAN SETERUSNYA MENGHARAMKAN PERTUBUHAN BERKENAAN.

3. MEMBATALKAN PERMIT PENERBITAN AKHBAR DAN MEDIA YANG MENYUARAKAN PANDANGAN BERSIFAT MENGHASUT UNTUK MENGHAPUSKAN PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH NEGERI-NEGERI ATAU YANG MENGHINA AJARAN ISLAM (The Star 13 September 2009)

4. MEMECAT MENTERI KABINET DAN PEGAWAI TINGGI KERAJAAN YANG ENGGAN MENERIMA KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA NEGARA DAN MENYOKONG TUNTUTAN NGO-NGO YANG MEMPERTIKAIKAN KEDUDUKAN SYARIAT ISLAM.

5. BERTEGAS DAN BERSUNGGUH-SUNGGUH MEMELIHARA AJARAN ISLAM DAN KEDUDUKAN AGAMA ISLAM SEBAGAI AGAMA NEGARA SELARAS DENGAN SUMPAH YDP AGONG SEBAGAIMANA YANG TERMAKTUB DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN.

6. MENGHORMATI KEBEBASAN MAHKAMAH SYARIAH DAN TIDAK MENCAMPURI URUSAN KEADILAN DI MAHKAMAH SYARIAH.

1 OKTOBER 2009
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)
Jemaah Islah Malaysia (JIM)
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Friday, September 11, 2009

Kami Bersamamu Palestin

CERAMAH PERDANA

“KAMI BERSAMAMU PALESTIN”

BERSAMA: SHAIKH DR MUHAMMAD AS-SIYYAM
(MANTAN IMAM MASJID AL- AQSA)


MASA:
9.45 MLM -12.00 TGH MLM (SELEPAS TARAWIH)

TARIKH:
15 SEPTEMBER 2009 (SELASA)

TEMPAT :
DEWAN BANDARAN IPOH
(BERSEBELAHAN MASJID NEGERI IPOH)


SEMUA DIJEMPUT HADIR
DEMI PERJUANGAN UMAT ISLAM DI PALESTIN

SEBARANG PERTANYAAN: USTAZ HAFEZ SABRI (013-3190807)


Pesanan:
Mohon diedarkan poster ke dalam blog2 email2 para sahabat , supaya dapat mobilasi rakyat Negeri Perak turun beramai-ramai mendengar dan menghayati secara terus keadaan umat Islam Palestin yang akan disampaikan oleh Mantan Imam Masjidil Al Aqsa Palestin


Justeru, dengan kehadiran wakil kerajaan dan jemaah Islam HAMAS ke Negeri Perak iaitu Syeikh Dr. Mohammed Mahmoud Siyam dilihat mampu untuk memberi peluang kepada seluruh umat Islam dan rakyat Perak untuk memberikan pertolongan dan sumbangan dana untuk membantu nasib sahabat seagama kita di Palestin.

Wednesday, September 2, 2009

Sidang DUN Perak




Ikuti liputan live suasana sidang DUN Perak dari

dan

Monday, August 31, 2009

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ


Negara menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 52. Berbagai bentuk sambutan dan penghayatan mengikut fahaman dan pendirian masing-masing. Sambutan tetap diadakan walaupun tidak sehebat tahun-tahun sebelumnya. Ancaman wabak selsema babi (Influenza H1N1) boleh dijadikan pengajaran. Kemerdekaan mutlak hanya milik dan pemberian Allah. Walaupun negara bebas dari penjajah, Allah mampu memenjarakan kita di rumah dengan menghantar wabak. Maka apakah wajar kita melupakan Allah dalam menyambut kemerdekaan.


Ada yang mahukan kemerdekaan, kerana penjajahan menghalang mereka beribadat dan mengamalkan Islam, namun setelah mendapat kemerdekaan mereka tidak juga beribadat dan semakin jauh dari Islam. Ada yang berusaha menghalau penjajah barat tetapi setelah barat pergi mereka pula yang mengagungkan dan mengikut telunjuk barat. Ada golongan yang bencikan penjajah kerana mahu mentadbir negara dengan cara sendiri tetapi setelah penjajah pergi mereka menjadi penjajah yang menindas rakyat di negara sendiri.


Kesedaran dan penghayatan kemerdekaan tidak bergantung kepada pengalaman dijajah tetapi bergantung kepada bagaimana kita mampu mengisi kemerdekaan tersebut.

Apalah gunanya kebebasan fizikal, jika hati masih terpenjara.

Apalah gunanya sorakan kemerdekaan jika di sanubari tiada terdidik sebarang rasa untuk mempertahankannya.

Apalah gunanya kibaran jalur gemilang merata-rata jika tiada lagi semangat juang untuk mempertahankan agama dan negara.

Apa di bangga keamanan dan kemewahan negara jika hari-hari yang berlalu hanya menambahkan dosa.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan


Sunday, August 30, 2009

Majlis Berbuka Puasa Di Istana Iskandariah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak adalah badan tertinggi yang menaungi 3 buah Jabatan yang menjalankan operasi keagamaan iaitu Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Kehakiman Syariah Perak dan Jabatan Mufti Negeri Perak. Dari segi pengurusan, pentadbiran dan kewangannya diwujudkan Baitulmal yang kini lebih diwar-warkan dengan nama Majlis itu sendiri. Berdasarkan hiraki yang ada maka anggota agensi-agensi agama ini sepatutnya menjadi anggota kerajaan yang paling hampir dengan istana terutamanya apabila Yang Dipertua Majlis diamanahkan kepada DYMM Raja Muda Perak.
Oleh kerana sekian lama Jabatan diketuai oleh PTD, maka tiada sebarang perhatian istimewa kepada Pegawai-Pegawai Agama untuk dihubungkan dengan pihak istana. Pemberian pingat dan darjah kebesaran juga tidaklah diberikan sebarang keutamaan bagi Pegawai-Pegawai Agama berbanding yang lain. Tambahan pula sikap sebahagian Pegawai Agama yang tidak mahu menonjolkan diri ketika berurusan dengan pihak istana.
Sepanjang tempoh tersebut berbagai bidang perkhidmatan telah mendapat perkenan untuk majlis santapan berbuka bersama. Antara yang ada setiap tahun adalah agensi ketenteraan, pendidikan, NGO dan orang-orang besar kerajaan. Hanya pada tahun ini setelah Pegawai Agama menjadi pengarah, buat julung kalinya Majlis Berbuka Puasa Bersama Pegawai Agama dan Imam diadakan pada Hari Ahad, 30 Ogos 2009, jam 6.30 petang. Ini merupakan satu perkembangan yang amat sihat ke arah peningkatan hubungan pegawai-pegawai agama dengan pihak istana. Namun apa yang merungsingkan kerana ada desas desus yang menyatakan beberapa kategori pegawai yang tidak mendapat jemputan. Mungkin juga sebahagian yang dijemput menganggap ringan dan tidak mengambil bahagian. Walaupun perhubungan rapat dengan pihak istana bukanlah terlalu penting dinisbahkan kepada kepentingan peribadi namun atas nama institusi agama semua pegawai mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk mengangkat martabat institusi ini.

Tuesday, August 25, 2009

Kenapa Teragak-agak melaksanakan hukuman


Hukuman sebat terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno kerana meminum arak, yang sepatutnya dijalankan minggu ini, ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadhan. Pengerusi Jawatankuasa Dakwah dan NGO Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz yang mengesahkan perkara itu berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memutus untuk menangguhkan sementara hukuman sebat itu atas nasihat Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus.
Suatu yang amat memalukan melihat sketsa pendek yang dipaparkan di dada TV pada malam tadi. Seperti dijangka, isu itu jugalah yang sedang hangat dibincangkan oleh teman-teman di surau. Kebanyakkan mereka menyatakan rasa sedih melihatkan perkembangan ini. Ada yang lebih jauh menganggap isu ini menjadi satu penghinaan terhadap Hukum Allah itu sendiri.
Tidak banyak yang mampu saya komen di hadapan teman-teman. Kalaulah tidak kerana pengaruh daripada mana-mana pihak atasan, bagi saya tindakan JAIP itu amat memalukan. Apakah alasan menghormati Bulan Ramadhan wajar dikaitkan dengan perlaksanaan Hukuman Mahkamah Syariah. Adakah hukuman sebat ini sama tarafnya dengan konsert amal artis tempatan dan luar negeri yang biasa ditangguhkan kerana Ramadhan.
Sikap kita yang tidak meletakkan penggantungan sepenuhnya kepada Allah, sering kali memakan diri kita sendiri. Mahkamah Sivil yang hanya melaksanakan hukuman ciptaan manusia begitu tegas dalam melaksanakannya. Walaupun tanpa sebarang motivasi berbentuk pahala dalam melaksanakannya, mereka melakukannya tanpa rasa ragu, apatah lagi tunduk dengan sesiapapun yang menjadikannya sebagai isu.
Sekian lama bidangkuasa yang ada tidak digunapakai, maka apakah mampu untuk kita meminta tambahan kuasa. Berapa ramaikah di antara kita yang sanggup menghadapi cabaran dalam melaksanakan tuntutan tuhan, berbanding hanya berdiam diri kerana bimbang melakukan kesilapan.

Saturday, August 22, 2009

Sunday, August 2, 2009

Penghargaan Buat Semua Ahli Yang Terlibat


Persembahan Teater berasaskan dari Kisab Kaab Bin Malik bertajuk 'MENUNGGU KATA DARI TUHAN' lakonan dan monolog dari artis terkenal Sabri Yunus dan Sani Sudin arahan dari Dinsman sempena Program Bulan Dakwah anjuran bersama Jabatan Agama Islam Perak, Persatuan Pegawai-Pegawai Agama Perak dan Persatuan Kebajikan Ummah, Trong berjaya memaparkan satu bahan dakwah yang hebat dan menampilkan kelainan daripada program-program yang ada selama ini. Mesej dakwah yang ringkas dan padat juga dapat disampaikan melalui persembahan beberapa buah lagu dan celoteh dari Juara Akademi Nasyid 2009, Azahan Atan. Persembahan multi-media mengenai sejarah dan liku-liku hidup pejuang Islam Pattani di Thailand yang disampaikan oleh Pengerusi TERAS Encik Azmi Hamid begitu menyentuh jiwa.
Tahniah diucapkan kepada semua ahli yang terlibat menjayakan dan menghadiri program tersebut. Kepada yang berkata aku terlalu sibuk, aku tak tau, aku tau lambat, aku rasa promosi tak cukup, aku rasa AJK tak mengambil kira kehendak ahli dan sebagainya maka takziah diucapkan. Apakah kita rasa kita lebih tidak bertanggungjawab menyokong persatuan dan aktivitinya berbanding mereka yang memenuhi 3/4 dewan pada malam tersebut yang datang entah dari mana.
Hebatkah kita jika menuntut persatuan melakukan sesuatu jika berkehandakkan sesuatu, ataupun menuding jari ke arah persatuan jika berlaku sesuatu, sedangkan kita hanya menganggap persatuan sebagai melukut di tepi gantang ; ada tak menambah, tiada tak mengurang.