Friday, October 31, 2008

JEMPUTAN MAJLIS IJTIMA' PPUP BERSAMA YAB MB

PPUP bersama-sama dengan beberapa Ngo Islam yang berkaitan dengan institusi agama resmi kerajaan akan mengadakan ijtima' bersama YAB Menteri Besar Perak pada 1 November 2008 (sabtu ) bertempat di Dewan Saidina Abu Bakar INTIM .Ijtima' berkenaan juga akan di penuhi dengan ceramah perdana oleh Y Bhg Dato Hj Siddiq Hj Fadhil Ahli Majlis Agama Islam Perak .
Setiap Persatuan gabungan ini juga akan diberi peluang untuk berucap sebelum mendengar amanat YAB Menteri Besar Perak .

MAKA DIJEMPUT SELURUH AHLI-AHLI PPUP MENGHADIRI IJTIMA' BERKENAAN.

ISLAM :MANHAJ UNTUK DIUSAHAKAN OLEH MANUSIA

SOALAN
Bukankah Islam ini datangnya dari Allah SWT .Bukankah Allah SWT menguasai segala-galanya .Bukankah Allah Maha Mampu menggunakan kuasa kun fayakun untuk membuat sesuatu tetapi mengapa isu umat Islam yang tertindas di seluruh dunia seperti di Palestine , Iraq ,Selatan Thailand ,Burma dan lain-lain tidak diselesaikan secara kun fayakun.

JAWAPAN

Memang Allah SWT Maha Mampu untuk merubah semua perkara ini sekelip mata tapi Allah ingin mengajar kita bahawa kita perlu membuktikan pengorbanan kita terhadap agama ini.

Ramai di kalangan umat Islam hari ini sangat berharap kalau boleh agama ini berfungsi secara ajaib dan luar biasa dalam kehidupan manusia ini sehingga mereka lupa bahawa setiap kita dituntut untuk berperanan memenangkan agama ini.

Kita wajib mengusahakan agar agama ini berperanan dan menang dalam pertarungan hak dan batil kerana beberapa sebab:-

i. Sejarah membuktikan naik turun keadaan umat diikat sebab dan musababnya oleh Allah dengan kesungguhan umat Islam sendiri memperjuangkannya.
ii. Mari kita hayati firman-firman Allah ini

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهم‌ۗ
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.
iii. Umat Islam pernah tewas dalam perang Uhud


(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: "Dari mana datangnya (kemalangan) ini? "Katakanlah (wahai Muhammad): "Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)". Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

iv. Salah satu cara untuk menyaring dan membeza dan membersih muslim –muslim yang tidak bermaya,goyah ,bermuka-muka dan suka disanjung.
Dan apa yang telah menimpa kamu pada hari bertemu dua kumpulan (angkatan tentera - di medan perang Uhud) itu, maka (adalah ia) dengan izin Allah, dan dengan tujuan Allah hendak melahirkan dengan nyata akan orang-orang yang (sebenar-benarnya) beriman dan mengetahui siapakah yang munafiq…

Walaupun manhaj Ilahi ini hanya dapat dicapai melalui usaha kesungguhan kita namun tidak bermakna kita terpisah langsung dengan perancangan dan kekuasaan Allah .Ini juga bukan bermakna kita berusaha bersendirian sebalik Allah tetap menolong kita kalau kita bersungguh-sungguh.

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

APA TINDAKAN KITA AHLI-AHLI PPUP?

Melawan manusia dengan membenci kesesatan mereka dan cuba alihkan ke kebenaran Islam.
Melawan manusia dengan lisan dengan menjelaskan tentang Islam ,menepis segala kebatilan.
Melawan manusia dengan tangan yang menolak dan menepis yang haram dan kezaliman.

TOKOH KAH KITA?

MASYARAKAT YG KEGERSANGAN TOKOH.
Dalam mendidik sesebuah umat, disamping pelajaran di sekolah dan tunjuk ajar di media massa, penonjolan tokoh memainkan peranan penting yang sangat memberi kesan. Oleh itu Rasulullah saw disamping menyuntik Al-Quran ke dalam diri dan negara, Baginda saw juga menonjolkan tokoh-tokoh agar masyarakat di Madinah ketika itu mudah mencontohi tokoh tersebut. Di antara tokoh tertinggi yang ditonjolkan oleh Rasulillah SAW ialah seperti berikut :
1) seramai 10 orang sahabat baginda yang dijanjikan Syurga. Mereka ialah Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Abdul Rahman Auf, Talhah Ubaidillah, Saad Abi Waqqas dll.
2)Ahli Badar iaitu 313 Sahabat yang menyertai Perang Badar yang merubah sejarah bukan sahaja Arab tetapi sejarah kemanusiaan, seperti kata Sayyid Qutb dalam Tafsir Zilal.
3)Ahli Bai’ah Ridwan seramai ~1500 orang. Firman Allah swt bermaksud,
Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya (Al-Fath:18).
Ketika itu Sayyidina Uthman Affan disangka di bunuh Quraisy ketika perundingan Hudaibiyah,yang berlaku dalam bulan zulqaedah lalu Nabi saw mengajak mereka berbaiah untuk menuntut bela atas kematian Uthman ra.
4) Bagi kaum wanita Rasulullah SAW menonjolkan tokoh –tokoh isteri-isteri Baginda saw digelar Allah sebagai “Ummahatul Mukminin” (Ibu-ibu orang-orang beriman).
Dari senarai di atas, jelas bahawa ciri-ciri mereka ditonjolkan di dalam masyarakat Islam sebagai tokoh adalah seperti berikut:
1) Keimanan kepada apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw kepada mereka dan keyakinan penuh dan bulat untuk memperjuangkan dan menyebar Risalah Islam ke seluruh pelusuk dunia.
2)Penglibatan mereka yang menonjol dalam medan Jihad dan peperangan, berbanding Sahabat yang lain, demi meninggikan Kalimah Allah berdepan dengan kalimah-kalimah kufur dan syirik.
Dengan pengumuman dari Allah swt dan RasulNya saw melalui Al-Quran dan Al-Hadis, kesemua mereka di atas, dalam kehidupan dan pergerakan seharian mereka di pasar, jalan raya, masjid dsb menjadi tokoh, teladan kepada lelaki, wanita dan kanak-kanak masyarakat Islam ketika itu. Sejarah mereka pula menjadi aspirasi generasi selepas itu termasuk kita hari ini dan umat akan datang. Merekalah seolah-olah “Tun”, “Tan Sri” dan “Dato” dalam masyarakat di Madinah di zaman Nabi saw. Di banyak negara di dunia hari ini juga memakai method yang sama, seperti menganugerahkan gelaran “Sir” sebagai tokoh untuk dicontohi masyarakat dan generasi akan datang. Pentingnya penonjolan tokoh-tokoh ini hinggakan disekolah-sekolah, pengawas dilantik berdasarkan kriteria-kriteria istimewa, dan mereka memakai pakaian yang mudah dibezakan dengan pakaian pelajar-pelajar yang lain.
“As-Sabiquun Al-Awwaluun (orang-orang yang awal lagi terdahulu memeluk Islam dari kalangan orang-orang Muhajiriin (Mekah) dan Ansar (Madinah)) dan orang-orang yang mengikuti (mencontohi) mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka danmereka redha kepada Allah. Allah sediakan untuk mereka Syurga yang memgalir sungai-sungai di bawahnya. Mereka kekal (berada) di dalam Syurga itu selama-lamanya. Itulah kemenangan yang hebat” (At-Taubah:100).

Sebaliknya pula apabila kecelaruan berlaku dalam menonjolkan tokoh tokoh dalam masyarakat dan tidak lagi mengikut standard tokoh yg ditonjolkan oleh Rasul SAW .Tidak lagi tokoh itu dipilih dari asas yang kukuh bahlan penonjolan langsung tidak bermatlamat atau kalau bermatlamat pun matlamatnya ke arah matlamat yang kabur lagi menyimpang, maka tidak pelik apabila masyarakat pula akan menjadi celaru, kabur dan boleh berlaku penyimpangan seperti gelaja sosial, keruntuhan akhlak, maksiat bermaharajalela, terganggu ketenangan dan keselamatan dan sebagainya. Gelincirnya gerabak-gerabak dari landasan keretapi tidak lain selain gelincirnya kepala gerabaknya terlebih dahulu. Masyarakat keliru apabila melihat tokoh-tokoh yang dinobatkan dlm masyarakat dengan gelaran-gelaran tun , tan sri , dato seri dsb sudah tidak berakhlak ,menyerang dan berperang mulut sesama sendiri serta tidak menjad contoh suri teladan kepada masyarfakat .
Bayangkan pula apabila kita menokohkan perintis kepada tarian-tarian yang menampakkan pusat-pusat wanita sebagai tontonan khalayak , apabila kita menokohkan seorang yang melihat urusan aqidah itu boleh dilakon-lakonkan dalam watak dan skrip lakonan,Bayangkan apabila kita menokohkan pelopor kepada plot cerita kahwin campur walaupun berlainan aqidah.
Bayangkan apabila terangkatnya semula tokoh yang mengaku”itulah gambar saya” dalam skandal video klip lucah .Mungkin ada yang berhujjah ...itu budaya mereka..tapi mustahilkah orang melayu salah memilih tokoh kalau tidak menjadikan Islam ,taqwa dan budi sebagai tanda aras dalam pemilihan tokoh .Kita risau nanti masih terangkat mereka yang terkenal korup dan ahli maksiat ,tidak solat dan sebagainya ? Ini Membayangkan sistem menjadikan seseorang itu sebagai contoh sudah kelam kelibut.
Sehingga anak murid tidak lagi melihat gurunya sebagai tokoh bahkan gagal membeza antara perut gurunya dengan guni tempat ia berlatih terajang dan menendang..
Marilah kita menagmbil tindakan berikut:
1)Layakkanlah diri kita masing-masing menjadi tokoh ikutan kepada isteri kita ,anak-anak kita ,jiran kita , rakan-rakan kita
2)Betulkan presepsi kita dalam pengiktarafan kita terhadap tokoh-tokoh yang kita akan ikuti dan kagumi .Ia hendaklah dari kalangan ahli taat benci maksiat dan sanggup berjuang demi agamanya,
3)Tolong promosi tokoh-tokoh yang layak utk dicontohi yang masih hidup di sekeliling kita kepada anak isteri dan akan taulan.
4)Banyakkanlah berdoa
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam tokoh bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
Semoga Allah swt memelihara kita dan orang ramai dari sebarang kegelinciran dari JalanNya dan menganugerahkan kepada masyarakat kita contoh tauladan yang terbaik dengan bilangan yang ramai. Amin.
AHLI-AHLI PPUP PERLU MENJADI TOKOH KEPADA MASYARAKAT….

Thursday, October 30, 2008

Salam Pembuka Bicara

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Salam pembuka bicara tatkala menjelangnya Zulkaedah 1429H, membuka lembaran yang sepatutnya telah berkembang dan menjengah ke segenap pelosok dunia seiring dengan kemajuan dan perkembangan teknologi terkini bagi menyampaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan.

Sinaran Syawal pun telah berlalu, meninggalkan pelbagai kenangan dan kesan yang mungkin tidak dapat diluput dalam ingatan. Yang berlalu pasti tidak akan kembali, dan yang pergi tidak mungkin datang semula. Maka itu seharusnya kita mendongak ke langit, mengAgungkan setiap ciptaan-Nya, mengakui kehebatan-Nya, lantas menadah tangan memohon keampunan dan rahmat dari-Nya.

Terkadang, yang sepi itu menyapa naluri, membawa khabar yang kurang pasti, namun kita tahu, kita masih di sini sentiasa mengharap keredhaan-Nya. Agar setiap tingkah dan amalan yang telah dan akan dilaksanakan mendapat hidayah dan rahmat yang berkekalan. Amin...