Wednesday, January 21, 2009

Uji Dulu Orang “Alim Cakap” -satu muhasabah utk kita

Dalam bahasa Arab di sebut “ikhtabir alima al-lisan” diistilahkan oleh Sayidina Umar apabila beliau mengabadikan satu kaedah penting dalam sistem perlantikan pemimpin dalam Islam. Ahmad Ar Rashid dalam muntalaqnya menukilkan ibarat ini dalam rangka membongkar khazanah silam yang sangat berharga untuk menjadi panduan generasi kemudian. Kaedah ini jika dilaksanakan dengan baik akan dapat memelihara jamaah dari kerosakan diketuai oleh orang yang pandai cakap dakwah tetapi realitinya hidupnya tiada kaitan dengan dakwah atau jauh dari medan dakwah yang sebenarnya.Kadang-kadang terdapat dalam saf dakwah orang yang pandai cakap, atau membawa gelaran Dr atau professor dan sebagainya, lalu kita utamakannya dalam pemilihan kepimpinan tanpa memeriksa dulu amalan dia atau kerja dakwah dia, pengalamannya dalam amal dakwah, tarbiah dan tajmik.Itu akan menyebabkan jamaah berdepan dengan masalah besar kerana kita memilih pemimpin yang jahil tentang aspek amali dakwah dan terpisah dari pengikut serta tidak tahu realiti sebenar di medan. Bahayanya orang ini akan sentiasa mendominasi keputusan walaupun ia tidak alim dalam tindakan dan dakwah di medan.Ketajaman pandangan Umar r.a sangat perlu kita hayati supaya kita dapat mengelakkan sebahagian dari gejala tidak sihat berlaku dalam jamaah lantaran kita melantik orang yang alim cakap tapi tidak ada pengalaman mencukupi tentang dakwah dilapangan.Anda tentu pernah dengan satu kaedah yang menyebut, “al jundiayyah tariq ul qiyadah”, maksudnya al jundiyyah jalan menuju qiyadah. Untuk menjadi pemimpin sesaorang itu hendaklah memiliki pengalaman yang mencukupi dibidang dakwah dilapangan, tahu selok belok reality dan waqi’ dalam tanzim sendiri. Orang yang tidak cukup pengalaman sebagai jundi dan terlibat bergelumang dengan dakwah dilapangan bila di beri kepemimpinan akan merosakkan amal dan jamaah itu sendiri.

Saudaraku!

Ilmu bukanlah dengan banyak menaqalkan kata-kata ulamak atau banyak meriwayat tetapi ilmu ialah cahaya.Ibnu al Jauzi dalam kitabnya, kelebihan ilmu salaf ke atas ilmu khalaf menyebut; “Bukanlah ilmu itu dengan banyak riwayat, tidak juga dengan banyak menukil kata-kata ulamak (seperti berkata ulamak pulan dalam kitab fulan begian-begian), tetapi ilmu adalah cahaya yang dicampak ke dalam hati, dengannya ia mengetahui kebenaran, dan membezakan yang batil, ia mengungkapkannya dengan kalimah yang ringkas yang membawa kepada maksud.”Di riwayatkan bahawa Imam Syafie apabila ditanya oleh muridnya tetang sebab cepat lupa, beliau berkata; “Ilmu adalah cahaya, dan cahya Allah tidak di tunjukkan kepada orang yang melakukan maksiat”.Oleh itu apabila kita bertemu dengan manusia lantang bercakap, kadang-kadang membawa gelaran Dr /prof, nuqil sana nuqil sini, sebut kaedah itu, kaedah ini dalam bentuk yang samar dan tidak cermat, periksa dahulu latar belakangnya. Amal dakwahnya macam mana?, Tarbiahnya macam mana?, Tajmiknya setara mana? Pengorbanannya setakat mana, prestasi kerja sebelumnya bagaimana?Kadang-kadang orang cakap pandai penakut sifatnya, tidak berani turun medan, pencen baru nak berdakwah dan berharakah. Orang macam ni cakap je lah haraki, amalnya tidak haraki dan tak tidak ‘real’ fekahnya. Sebab itu Sayidina Umar sebut “uji dulu”, dan baginda apabila ingin melantik seseorang diletakkan dalam perhatiannya selama dua tahun, jika ia pasti ada kebenaran kata-katanya dalam amalan baru ia melantik, itu pun masih tidak pasti sepenuhnya.Perkara seperti ini tidak ganjil berlaku sebab hakikatnya “Orang yang membawa fikah tidak semestinya seorang yang fakih” (Sabda). Ada beza antara pembawa fikah dengan fakih. Pembawa fikah mungkin menghafal banyak nas, teks dan nuqilan-nuqilan tetapi dia sendiri tidak menjiwai dan tidak menghayati fiqah /ilmu tersebut atau ilmu itu tidak menyerap dalam jiwanya.Antara tanda orang yang menyerap ilmu dalam dirinya ialah timbul perasaan takut, waqar, dan wara’ pada tingkah laku dan tutur kata mereka. “hanya yang takut kepada Allah dari kalangan hambanya ialah ulamak” (firman). Orang yang ilmunya masuk dalam hatinya akan melahirkan rasa takut, rasa takut akan menjadikan ia berhati-hati, cermat dan bersungguh dalam memilih amal yang benar.“Orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya diazab sebelum penyembah berhala” (syair)Kalau cerita hujah penuh mulut tapi amal dakwah di medan tak ada, maknanya tidak ada khasyah (takut kerana melihat kekurangan diri). Lantaran kekurangan sifat al khasyah mereka bermudah-mudah dalam melepas cakap, menuduh (melabelkan orang) dan menghukum serta tidak cermat dalam menggunakan dalil (bukti).

Saudara !

Dalam masalah menghukum, bukti adalah seperti dalil yang merupakan “mazannah” yakni tempat yang berkemungkinan besar wujud hukum. Sebagai contoh pemburu menjejak rusa, bila dia menemui kesan tapak kaki atau najis haiwan tersebut ia mengatakan bahawa di situ ada rusa. Kalau seorang itu jahil tentang rusa pergi memburu, apabila ia melihat tapak harimau dan dia menyangknya tapak rusa dia mungkin membuat kesimpulan yang sangat berbahaya.Begitu juga dalam masalah hukum kepastian dalil amat penting. Sejauh mana kesahihan dalil akan membuktikan kesahihan hukum. Jika dalil atau bukti yang menjadi “mazannatul” hukum tidak wujud atau tidak sabit, hukum yang dijatuhkan sudah tentu batil dan palsu. Kita tidak boleh kata ‘Tanya hati’ dalam masalah hukum, kerana perasaan hati bukan mazannah hukum. Kadang-kadang ada orang kata nak tahu betul atau salah seseorang tanya hati anda. Ini mengikut feqah sesuatu yang amat tidak tepat, tetapi saya tidak pasti jika ada dalam ilmu psikologi !.Hukum adalah ilmu Tuhan. Kita tidak boleh sampai kepadanya kecuali dengan melalui dalil. Sebab itu bukti penting, dan pemeriksaan pembuktian penting dalam penghukuman.Bayangkan hukum yang dikeluarkan tanpa proses pembuktian yang dengan itu menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal, tidakkah itu boleh menyebabkan kezaliman yang besar dan pelampauan terhadap hudud Allah.“Nyawa, maruah dan harta muslim memiliki kehormatan yang tidak boleh dicerobohi oleh muslim yang lain”. (maksud hadis)Dalam parti politik atau jamaah yang didominan oleh tobo’ siasi. Kadang-kadang perselisih faham (tidak sependapat) dalam masalah haraki yang merupakan masalah ijtihadi, apa lagi jika dikuasai oleh “alim al lisan” boleh mengeluarkan tuduhan-tuduhan liar dengan mengambil istimbat yang salah dari kaedah-kaedah dan nas-nas syarak sehingga menggunakan kalimat melampau seperti menyifatkan orang yang tidak sealiran denganya sebagai bughah, khawarij dan sebagainya yang tidak kena pada tempatnya. Dia yang dilantik untuk melaksanakan hasrat dan amanah ahli yang ramai berlagak seperti amir al mukminin. Sesiapa yang tidak sependapat dengannya halal darah dan maruahnya.Bahkan keterlanjuran ini boleh menyebabkan ia melakukan fujur (zalim) dalam pergaduhan. Perselisihan pendapat dan pandangan tidak harus menyebabkan kebencian dan permusuhan walaupun antara pemimpin dengan pengikut. Tetapi mereka ini jika berselisih mereka melampau sehingga meretakkan hubungan hati dan melakukan fitnah. Akhirnya perbezaan pendapat menyebabkan permusuhan seperti orang berebut harta atau mata benda dunia.Selain menggunakan hujah secara tidak jujur dan benar mereka juga boleh menggunakan teknik-teknik mempengaruhi pandangan orang /pengikut yang suzzaj (dangkal) pengetahuannya seperti cara membuat tekanan, memujuk, menggunakan emosi dan sebagainya yang menyebabkan orang membuat keputusan secara tidak objektif. “Kalau anda tidak sokong pandangan saya dunia akan terbalik”, katanya. Lalu pengikut pun berkata, “Ya, ya tuan pemimpin”.Antara kebijaksanaan mereka juga ialah menggunakan senjata taat untuk menghalang kebebasan berfikir dan membuat keputusan. Dengan itu lahirlah dalam saf pengikut-pengikut yang imma’ah (pak turut). Baik kata orang baiklah, buruk kata orang buruklah, apalagi kalau orang itu pemimpin yang alim cakap. Beri pendapat berlainan bermakna melanggar qarar jamaah. Ada dikalangan pengikut yang berkata, “Saya dah sepuluh tahun berpendapat bahawa ada tidak kena dengan cara kerja jamaah ini, tetapi saya tidak berani menyatakannya kerana saya menghormati sistem jamaah (indhibat)”. Ada yang kata “Saya tidak setuju dengan cara ini dan saya tahu ia salah tetapi apakan daya saya hanya seorang jundi”. Ini simptom yang sangat negatif jika wujud dalam Jamaah Islam.Sikap sedemikian sebenarnya tidak tepat dan bukan jenis sifat individu yang ingin dilahirkan oleh Tarbiyah Islamiah. Allah s.w.t menggesa supaya Nabi s.a,w mendangar pandangan sahabat. Tengok apa yang berlaku dalam peristiwa memilih tempat di perang Badar, sahabat bertanya “Adakah ini tempat yang Allah suruh atau ini taktik perang”, Rasulullah menjawab “Bahkan ia taktik perang”. Sahabat berkata, “Kalau begitu ini bukan tempatnya”. Nabi terima pandangan sahabat walaupun nampak seperti sahabat lebih pandai dari baginda.Dalam harakah, “alim lisan” ini sukar menerima situasi yang seperti itu kerana ia boleh merosakkan pandangan umum terhadapnya. Kalau dia menerima pandangan orang lain yang bercanggah dengan pendapatnya bermakna orang itu lebih pandai darinya. Itu mustahil dan tidak mungkin.Lihat contoh yang berlaku kepada Sayidina Omar, apabila ia meminta daripada pengikut-pengikutnya “sam’an wa thoah” dalam satu majlis, pengikutnya berkata, “Tiada sam’an wa thoah sehingga engkau menjelaskan kenapa jubah mu lebih labuh /panjang dari jubah orang lain”. Ini masalah jubah bukan masalah strategi yang tentunya lebih besar. Dan sebaliknya Sayidina Omar yang garang itu mengucapkan “al-hamdulillah, ada dikalangan pengikutnya yang berkata; “Jika engkau menyeleweng kami akan membetulkan kamu dengan pedang-pedang kami”.Alimi lisan bila hendak diperbetulkan dan diminta supaya mengakui kebenaran apa yang dibawa oleh orang lain akan melenting dan mengamuk secara luar biasa sekali.Berani kamu tunjuk belang untuk memperbetulkan saya, saya tahu kebenaran itu dan saya boleh buat sendiri… Tunggulah saya akan menghukum kamu kerana keberanian kamu menyatakan dan mendedah kelemahan saya. Ini menunjukkan kamu telah melanggar arahan dan peraturan jammaah. Ini bughah namanya.Inna lillah wainna ilaihi rajiun..Anda mungkin tidak percaya contoh dan gambaran yang saya berikan tetapi ia adalah kisah benar yang saya mahu abadikan untuk menjadi pengajaran kepada generasi akan datang. Inilah bahayanya alim yang ilmunya tidak masuk dalam hati (alimu lisan) kemudian diberi mandat untuk memimpin dalam jamaah.Oleh itu uji dulu orang “alim cakap”, cakapnya kuat, lantang dihiasi hujjah dan sulaman takwa tetapi hakikat kehidupanya jauh dari medan dakwah yang hakiki.

di sadur dari ismaweb.

Tuesday, January 20, 2009

Kenyataan Rasmi 40 Ulama' Al-Azhar dan Mesir tentang Gaza

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Tiada Tuhan selain Dia, Maha Kuat, Maha Penentu, Maha Perkasa, Maha Menguasai, Maha Esa, Maha Menentukan. Di dunia dan di langit ini tiada satu pun yang boleh melemahkanNya. Selawat dan salam ke atas penghulu kita Muhammad, hamba Allah dan RasulNya, imam para Mujahideen dan pemimpin pembukaan wilayah-wilayah Islam.Sesungguhnya kejadian-kejadian yang berlaku sekarang ini di bumi Islam dan umat Islam, di bumi Gaza, Palestin yang bangkit teguh berdepan dengan pencerobohan dan penyembelihan yang diinkari oleh apa sahaja nilai, akhlak dan kemanusiaan semuanya, mewajibkan kami, sekumpulan para ulamak dan pendakwah di Mesir, menandatangani Kenyataan Umum ini sebagai mengemukakan pandangan kami, tanggungjawab kami di depan Allah swt dan menjelaskannya kepada orang ramai.

PERTAMA : Sesungguhnya Palestin yang diberkati Allah swt seperti yang disebut di dalam Al-Quran adalah bumi Islam dalam erti kata yang sebenarnya, Kiblat Pertama, di dalamnya terdapat masjid yang kedua di bina di atas muka bumi, masjid ketiga suci bagi umat Islam dan tempat israk Rasul kita saw. Oleh kerana itu, sesiapa pun tidak boleh mengalah dan menyerahkan walau seinci dari buminya kepada orang-orang bukan Islam. Firman Allah swt bermaksud, “Maha suci Tuhan yang mengisrakkan (menggerakkan) hambaNya di waktu malam dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan) Kami” (Al-Israk:1).

KEDUA : Zionis Antarabangsa yang berwajahkan Israel adalah manusia yang paling sengit permusuhannya terhadap orang-orang beriman disepanjang sejarah mereka. Telah jelas dan terbukti permusuhan mereka terhadap Allah dan rasul-rasulNya. Merekalah dalang setiap kejahatan, kerosakan, memunkiri perjanjian, menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan Allah, khianat dan berdendam terhadap sesiapa sahaja yang berinteraksi dan mendekati mereka. Sesungguhnya mereka telah menceroboh bumi Palestin dengan mengusir dan membunuh penduduknya yang beragama Islam melalui dokongan berterusan dari Negara-negara Barat yang zalim dan bermusuhan. Firman Allah swt bermaksud, “Sungguh kamu akan dapati manusia yang paling sengit permusuhannya terhadap orang-orang beriman ialah orang Yahudi dan orang-orang musyrik” (Al-Ma’idah:82). Zionis Israel ini adalah kumpulan yang menceroboh dan menjajah bumi Palestin. Oleh itu Kebenaran mestilah dikembalikan semula kepada tuannya walau panjang mana berlalunya zaman. Kita tidak redha dan tidak menerima Penjajahan zalim dari puak Zionis ini terhadap Bumi Suci kita.

KETIGA : Jihad dijalan Allah dan Penentangan Bersenjata adalah pilihan yang strategik ke arah mengembalikan bumi yang diceroboh dan hak yang dicuri. Zionis sebenarnya tidak mengetahuii bahasa dalam bentuk perbincangan dan tidak memahami makna Perdamaian. Cara mereka ialah pembunuhan dan melakukan kerosakan di bumi. Oleh itu kami yakin bahawa satu-satunya bahasa yang difahami oleh mereka iala bahasa Jihad dengan segala cara dan jenis. Jangan dihentikan Jihad melainkan setelah orang Zionis yang terakhir keluar dari bumi Palestin. Firman Allah swt bermaksud, “Dan persiapkan (diri kamu dalam) menghadapi mereka (dengan) apa (sahaja) yang kamu mampu dari (bentuk-bentuk) kekuatan, dan dari kuda-kuda yang disiap siaga. Dengan (kekuatan) itu kamu menakutkan musuh Allah dan musuh kamu” (Al-Anfaal:60).

KEEMPAT : Mereka yang mengambil jalan Jihad dan Penentangan sebagai jalan mereka, memikul ruh-ruh mereka di atas bahu, menyumbangkan para Syuhadak, harta, mengorbankan apa yang mahal dan bernilai sebagai harga untuk membebaskan bumi ini, sekalipun musuh memiliki kelengkapan ketenteraan canggih dan kekuatan menyerang penuh kejam yang menyerlahkan kebencian membabi buta mereka terhadap setiap orang Islam, mereka itulah dari golongan yang dimenangkan dengan izin Allah. Mereka layak didokong, dibantu dan ditolong. Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Akan terus ada satu golongan dari umatku yang terus terang di atas kebenaran, menentang musuh-musuh mereka sehingga datang ketentuan Allah sedang mereka masih dalam keadaan demikian. Seseorang Sahabat bertanya, “Dimanakah mereka ya Rasulullah ?”. Baginda saw menjawab, “Di Baitul Maqdis dan di sekeliling Baitul Maqdis”. (Hadis riwayat Ahmad).

KELIMA : Di sini kami ingin mengingat dan menegaskan peranan masyarakat dunia dalam membantu mereka dalam isu ini dan kewajipan di segi Syarak yang agama kita mewajibkan ke atas mereka ialah berjihad di jalan Allah dengan erti kata yang sebenar-benarnya, menyumbang bantuan material, melakukan pemboikotan ekonomi, politik dan kebudayaan terhadap Israel dan terhadap negara-negara yang mendokongnya samada di Barat atau Timur, menolak untuk mengadakan hubungan dengannya dalam apa jua bentuk sekalipun. Kami menegaskan bahawa haram berinteraksi dengan badan Zionis ini dan dengan sesiapa yang mendokongnya dalam apa bentuk sekalipun.Kita wajib berpendirian seperti firman Allah swt bermaksud, “Dan janganlah kamu merasa hina, dan jangan (pula) merasa sedih sedang kamulah yang paling tinggi sekiranya kamu orang-orang beriman. Jika kamu ditimpa kesakitan, maka (ketahuilah bahawa) mereka juga ditimpa sakit seperti kamu. Demikianlah Kami mempergilirkan hari-hari (turun naik dan suka duka) dikalangan manusia. Dan supaya Allah mengetahui (siapa benar-benar) orang-orang beriman dan supaya Dia mengambil para Syuhadak dari kalangan mereka. Dan Allah tidak suka orang-orang zalim” (Ali Imran : 139-140).Menjadi kewajipan sekelian umat Islam agar bersatu dan berhimpun di bawah satu kepimpinan. Setiap dari kalangan mereka menjalankan peranan masing-masing dan meninggalkan segala bentuk perselisihan yang dimurkai Allah yang membantutkan Jihad dijalanNya. Firman Allah swt bermaksud, “Dan berpegang tuguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu dulu bermusuh-musuhan lalu Allah menyatukan hati-hati dan dengan nikmatNya kamu jadi bersaudara”. (Ali Imran : 103).

Ini adalah kenyataan umum kepada orang ramai. Setiap orang menanggung tanggungjawab masing-masing. Kepada para Mujahideen di Gaza, Palestin dan di mana sahaja bumi Islam yang sedang dijajah, kami katakan kepada mereka bahawa sesungguhnya dengan darah, kamu telah membayar harga Iman, keagungan dan kemuliaan. Oleh itu teguhlah kamu, maralah ke hadapan dan bersabarlah. Allah bersama kamu dan Dia sekali-kali tidak akan mensia-siakan amalan-amalan kamu. Firman Allah swt bermaksud, “Orang-orang yang apabila manusia berkata kepada mereka “Sungguh manusia telah menghimpunkan (kekuatan) untuk (memerang) kamu, maka takutkan kamu kepada mereka. (Namun yang jadi sebaliknya) maka bertambah keimanan mereka lalu berkata, ‘Cukuplah kami dengan Allah. Dialah sebaik-baik Pelindung” (Ali Imran : 173).

Ditandatangani oleh :

1. Dr Muhammad Abdul Mun’im Al-Birri - Ketua Barisan Ulamak Al-Azhar2. Dr. Nasr Farid Wasil3. Dr Zaghlul An-Najjar4. Dr Abdul Sattar Fathullah Said5. Dr Muhammad Ammarah6. Dr Al-Fattah Asy-Syeikh7. Dr Safwat Hijazi8. Ustaz Asy-Syeikh Jamal Qutb9. Ustaz As-Syeikh Ahmad Al-Mahlawy10. Dr Abdul Halim Uwais11. Dr Mohd Rakfat Uthman12. Dr Abdullah Barakat13. Dr Abdullah Samak14. Ustaz Asy-Syeikh Abu Ishak Al-Huwainy15. Ustaz Asy-Syeikh Hazim Solah Abu Ismail16. Ustaz Asy-Syeikh Mohd Jibril17. Dr Solah Sultan18. Ustaz Asy-Syeikh Ahmad Halil19. Dr Mohd As-Soghir20. Ustaz Asy-Syeikh Saleim Abu Al-Futuh21. Dr Ahmad Al-Assal22. Dr Hazim As-Sarsawy23. Dr Abdul Rahman Foudah24. Ustaz Asy-Syeikh Mohd Mustafa25. Dr Hussein Syihatah26. Dr Solah Harun27. Ustaz Asy-Syeikh Salamah Abdul Qawiyy28. Dr Jamal Abdul Hadi29. Dr Hasan Ubaid30. Ustaz Asy-Syeikh Mohd Abdul Fattah31. Dr Ahmad Abu Huzaifah32. Dr Alak As-Sayyid Abdul Rahim33. Dr Umar Abdul Aziz34. Ustaz Asy-Syeikh Rejab Zaki35. Dr Mazin As-Sarsawy36. Ustaz Asy-Syeikh Ahmad Sabry37. Ustaz Asy-Syeikh Ahmad Al-Juhayny38. Ustaz Asy-Syeikh Muzhir Amin39. Ustaz Asy-Syeikh Ali Abu Al-Hasan40. Ustaz Asy-Syeikh Mustafa Al-Azhary

Saturday, January 17, 2009

PAS rampas kerusi Parlimen KT

Calon PAS memenangi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan dengan majoriti 2,631 undi. Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut mendapat 32,883 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Wednesday, January 14, 2009

JEMPUTAN KEPADA AHLI-AHLI DAN PENGUNJUNG BLOG

Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil khas untuk AF Ustaz Khairuddin (allahu yarhamhu) dan saudara kita di Palestin anjuran Jabatan Mufti dan BAKSIP akan diadakan pada

16 Januari 2009/19 Muharram 1430(Jumaat) jam 8.15 pagi di surau Kompleks Islam

diketuai oleh Ustaz Hafiz Baharom al hafiz dan tazkiran oleh AF Ustaz faizal Jani.

Dijemput hadir beramai-ramai.

Hukuman Sebatan Peminum Arak

Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan semalam menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita yang mengaku bersalah meminum arak. Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh, Mohd. Nasir Mohamad @ Sulaiman, 38, dan Noorazah Baharuddin, 22, mengaku melakukan perbuatan tersebut pada tahun lalu. Mohd. Nasir dituduh meminum arak jenama Tiger Beer di Fun Pub, Holliday Villa, Cherating, pada 11 Julai lalu, pukul 11.37 malam. Dia telah berkeluarga dan mempunyai empat orang anak, bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan di Kemaman, Terengganu. Sementara itu, Noorazah yang bekerja sebagai seorang pelayan di sini, dituduh meminum arak jenama Heineken di Black Forest Pub, Jalan Gambut, pukul 1.20 pagi pada 12 Julai tahun lalu. Kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum di bawah Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987.
Isu hukuman sebat kepada peminum arak telah lama menjadi perbincangan di kalangan pengamal undang-undang Syariah. Antara isu yang ditimbulkan adalah bilangan maksima 6 sebatan yang boleh dikenakan terlalu jauh dengan jumlah yang ditetapkan oleh Allah. Namun secara dasarnya, walau berapapun jumlah yang boleh dijatuhkan ianya wajib dilaksanakan kerana itulah kemampuan Mahkamah Syariah. Baki yang diluar bidangkuasa yang diberikan maka tinggalkanlah kepada penggubal dan mereka yang meluluskan undang-undang menanggung dosanya. Kaedah Feqah menyebutkan; apa yang tidak mampu dilakukan semuanya maka janganlah ditinggalkan kesemuanya.
Persoalan yang lebih besar adalah dari sudut kaedah perlaksanaan sebatan yang dilakukan oleh pihak penjara yang amat jauh tersasar daripada panduan Al-Quran. 6 sebatan yang dilaksanakan pada hari ini jauh lebih menyiksakan berbanding 100 sebatan mengikut sunnah. Matlamat pengajaran dan pendidikan di sebalik sebatan mengikut Al-Quran hanya tinggal penyiksaan tanpa pengajaran kepada awam. Inilah yang menyebabkan kebanyakan mufti dan Mahkamah Syariah kurang terpanggil untuk menggalakkan sabitan hukuman sebat kepada pesalah jenayah Syariah. Maka kesannya kesalahan jenayah Syariah tidak sangat menggerunkan kebanyakan Umat Islam.
Oleh yang demikian, persoalan yang perlu kita fikirkan adalah sejauh mana usaha kita, sebagai Umat Islam, pegawai-pegawai agama, Pegawai-pegawai penjara, para Hakim dan Peguam serta semua yang terlibat, bagi meng"Islamik"kan perlaksanaan hukuman sebat di penjara. Atau perlukah kita mengusahakan pusat perlaksanaan hukuman sebat berlandaskan Syariat Allah berasingan daripada pusat perlaksanaan hukuman sebat di penjara.

Monday, January 12, 2009

Muharram Mengenang Hijrah

Sekali lagi bahkan saban kali setiap tahun peristiwa besar ini mengingatkan umat Islam tentang kesabaran berjuang akhirnya diberi kemenangan oleh Allah swt. Walaupun sehingga saat ini kita semua sedih bercampur marah melihat kematian syuhada’ Palestin dibom jet pejuang Israel di Gaza, namun ia tidak sedikitpun mematah semangat tinggi yang lahir dari penubuhan Negara Islam Pertama di Madinah selepas peristiwa Hijrah yang bersejarah.

Andai kata Rasulullah saw hendakkan wanita, harta dan pangkat semata-mata dalam perjuangannya, maka isterinya Khadijah ra adalah seorang hartawan lagi cantik rupawan. Baginda saw pula adalah keturunan bangsawan Quraisy, dari kabilah tertinggi, Bani Hasyim. Cukup sekadar itu dan tak perlu bersusah payah difitnah dan dianiaya hingga akhirnya terpaksa berhijrah meninggalkan segala kenangannya di Mekah. Ini peringatan untuk mereka yang tidak ikhlas dalam perjuangan, agar wanita, populariti dan harta bukan menjadi matlamat tersembunyi yang bersarang di hati. Jika ada walau sedikit, buangkan segera sebelum kita dibuangkan dari saff para Pendakwah yang hakiki oleh Allah swt dan oleh perangai kita sendiri.

Peluang tak terbuka lama. Jika peluang datang, ia mungkin takkan kembali lagi. Ketika Dakwah Islam di Mekah beku setelah kematian Khadijah ra yang sering memberi dorongan dan kematian Abu Talib yang dengan kedudukan politiknya di Mekah, memberi banyak laluan untuk Dakwah berjalan, Rasulullah saw mencari tapak Dakwah di tempat yang lain. Hampir setiap khemah di Mina ketika Musim Haji, dimasuki oleh Baginda saw, ditawarkan dirinya untuk ke negeri mereka, demi mendapatkan tapak dan menyebarluaskan Dakwah dari tapak atau negeri tersebut. Nabi saw masuk, menawarkan diri dan keluar dari tiap khemah hanya mengambil masa sebentar, namun memberi kesan sejarah yang panjang hingga ke Hari Kiamat. Amat malang semua mereka menolak. Apabila di Aqabah, 6 orang Ansar menerima tawaran Nabi saw, Madinah menjadi tapak dan pusat perkembangan Islam sedunia. Hingga ke hari ini manusia bahkan bertambah ramai, mengunjungi Madinah. Adapun negeri-negeri lain yang menolak tawaran Nabi saw hari tersebut, negeri mereka pada hari ini hampir tidak disebut orang. Begitulah Dakwah yang kita bawa hari ini, jika ada yang menerima dan menyertainya, maka ahlan wasahlan, kita akan bersama-sama mencipta sejarah baru buat Agama yang tertindas ini di zaman kini. Bagi yang masih teragak-agak untuk turut serta, insyaAllah kita yakini akan akan menyertainya di hari esok dan jangan melepaskan peluang Hidayah,

.Berlakunya Hijrah adalah selepas termeterinya MoU di antara Rasulullah saw mewakili Muhajirin dan 75 orang Ansar mewakili umat Islam di Madinah. Peristiwa Bai’ah Aqabah II penuh rahsia ini berlaku di kawasan dikenali hari ini dengan Masjid Bai’ah. 73 lelaki dan 2 wanita, Nusaibah binti Kaab dan Asmak binti Amru berjanji untuk berdepan dengan Kuasa-kuasa Besar Dunia, Rom dan Parsi, demi mempertahankan Rasulullah saw dan kedaulatan Islam di Madinah. Ganjaran untuk mereka adalah Syurga sahaja tanpa mendapat apa-apa dari habuan dunia. Para Ansar pula khuatir setelah mereka berhempas pulas membantu Nabi saw menang, selepas mengalahkan Quraisy, Nabi saw akan meninggalkan mereka dan pulang ke Mekah, kampung halamannya. Dengan kata lain, mereka sekadar dijadikan batu loncatan cita-cita politik Nabi saw semata-mata untuk sementara waktu. Nabi saw menjawab, “Balid Dam Al-Dam, wal Hadamul Hadam …” (Bahkan kita sama-sama luka dan binasa. Aku memerangi mereka yang memerangi kamu. Aku berdamai dengan sesiapa yang berdamai dengan kamu wahai Ansar!!)”.

Sepuluh tahun selepas itu, selepas menawan Mekah, memenangi Perang Hunain dan beroleh harta rampasan yang banyak, Rasulullah saw menghadiahkannya kepada para Muallaf Mekah hingga habis segala ribuan unta, lembu dan kambing sehingga tiada satu pun yang tinggal untuk para Ansar. Di kalangan Ansar berbunyi mengatakan Nabi saw hanya beri orang kampungnya sahaja, dan takda untuk orang Madinah. Nabi saw memanggil orang Ansar dan berkhutbah bermaksud, “Tidakkah kamu dahulu sesat, hari ini Allah beri PetunjukNya?. “Benar ya Rasulullah!”, jawab mereka. “Tidakkah dulu kamu bermusuhan, hari ini kamu semua bersaudara?”. “Benar ya Rasulullah !”, jawab mereka lagi. “Tidakkah kamu suka kabilah lain membawa unta, lembu, kambing dll balik ke kampung mereka, sedang kamu wahai Ansar balik ke Madinah membawa aku, rasul Allah!”. Ansar tersedar akan hakikat yang mereka tidak sedari. Nikmat membawa pulang seorang Rasul Allah, pembimbing mereka ke Akhirat dan keredhaanNya lebih besar nilainya dari membawa pulang ribuan unta, lembu dan kambing. Sekalian Ansar menangis di situ juga kerana dunia melupakan mereka hakikat dan nikmat yang lebih besar. Menangis kerana Rasulullah saw melebihkan mereka demi Akhirat mereka. “Kami redha dengan cara pembahagian yang dilakukan oleh Rasulullah saw !!”, kata orang-orang Ansar.

Lebih sepuluh tahun lalu mereka dan Rasulullah saw memeterikan Bai’ah Aqabah II, hari itu kedua-dua pihak masih teguh dengan perjanjian tersebut iaitu (1) Ganjaran Syurga dan tiada habuan dunia, dan (2) Nabi saw akan terus tinggal di Madinah dan tidak menjadikan Madinah sebagai batu loncatan sementara semata-mata. Hakikat-hakikat ini mesti difahami dan tertanam kukuh di dalam sanubari sekelian para Duat, sekiranya dia ingin menjadi pejuang Islam hakiki, iaitu para Ikhwah dan Akhawatnya itulah teman sejatinya dalam perjuangan hingga ke akhir hayatnya, dan bukan tempat batu loncatan sementara dia mengejar cita-cita politiknya dimana bila agak nampak ruang dan peluang untuk naik, dia meninggalkan Ikhwah Akhawatnya dengan berbagai hujjah dan alasan. Lupa janji, kesetiaan, keaslian manhaj, ukhuwwah, fikrah yang sahih, amal jamaiyy, tarbiyah dan sebagainya. Sungguh Hijrah meninggalkan banyak petunjuk di sepanjang Jalan.

Setelah melalui Jalan Dakwah ini hampir 30 tahun lamanya, di samping untung dan pentingnya memiliki teman hidup atau isteri yang sejati, mempunyai teman perjuangan yang hakiki juga memberi daya dorongan dan kejayaan yang amat besar. Sebaliknya jika bergerak nampak beramai tetapi hakikat ukhuwwah dan kesungguhan anda keseorangan, maka ia membantut amal dan menghalang keberkatan dan kejayaan. Setelah beriman dikalangan orang yang terawal, menarik ramai orang masuk Islam dan membenarkan peristiwa Israk Mikraj yang tak terjangkau oleh akal manusia, Abu Bakar As-Siddiq ra meminta izin Rasulullah saw untuk berhijrah. Nabi saw meminta dia tunggu dengan sabdanya bermaksud, “Mudah-mudahan Allah mengadakan bagimu seorang teman (dalam Hijrah)”. Gembira tak terkata, Abu Bakar ra menyiapkan 2 ekor kenderaan Hijrah untuk Rasulullah saw dan dirinya sendiri. Detik bersejarah iaitu Hijrah Rasulullah saw dicipta bersama-sama dengan sahabatnya yang paling setia. Mereka juga bersama berdua di dalam Gua Thaur. Hakikat ini bukan sahaja disahkan oleh sejarah, tetapi direkodkan Allah swt hingga ke Hari Kiamat dengan firmanNya, “Ketika kedua-dua mereka di dalam gua. Ketika dia berkata kepada temannya, ‘Jangan takut, Allah bersama kita’ ". Demikian hakikat perjuangan dan teman iaitu berdua, teman dan kita, bukan berseorang, musuh dalam selimut dan aku !! Jemaah Islam yang memperjuangkan Islam dengan sebenar-benarnya harus mengamati hakikat ini. Ia mesti bebas sebebas-bebasnya dari percaturan yang terdapat dalam parti-parti politik kepartaian dan badan-badan tidak Islamik yang sering kedapatan tikaman-tikaman dari belakang dikalangan barisan kepimpinannya, kemudian merebak ke bawah di kalangan ahli pula. Akhirnya perjuangan tak mana, tidak berjaya. Kalaupun menang, kemenangannya tidak berbentuk Islam yang sejati.Hakikat perjuangan dan Jalan Dakwah ini banyak ditunjukkan oleh detik-detik di dalam Hijrah. Memadailah kita lihat beberapa detik sahaja dalam posting kali ini. Yang penting, walau sedikit, Allah swt beri kita taufiqNya sehingga dapat kita amalkan dalam perjuangan. “Sesiapa yang tidak diberi Allah cahaya, maka tiadalah baginya cahaya (petunjuk) untuk mengamalkannya” (Al-Quran).

Dipetik dari ismaweb.net

Wednesday, January 7, 2009

PETIKAN UCAPAN YDP

Di bawah ini adalah sedutan petikan YDP PPUP sempena meraikan Tokoh Maal Hijrah 1430 dan perlantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak yang baru pada 10 Muharam 1430 bersamaan 7 Januari 2009 di Kompleks Islam...

........Tahun hijrah 1429/2008 telah melabuhkan tirainya dan kita sedang menyingkap tirai tahun baru 1430/2009 yang dimulai dengan peristiwa suka dan duka .Berduka kerana tahun baru ini kita mulai dengan berkongsi penderitaan dengan saudara –saudara muslim kita di Palestine dan di seluruh dunia .Kisah suka kita yang wajib diiringi dengan syukur ialah , kita menumpang bangga dan gembira dengan penganugerahan Tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan kepada SS Dato Seri Dr Hj Harussani b Hj Zakaria Mufti merangkap Penasihat PPUP dan perlantikan SF Dato Syeikh Mohammad Nor Mansur Al Hafiz mantan YDP PPUP sebagai pengarah JAIPk yang baru .Sesungguhnya suka dan duka , syukur dan sabar adalah ramuan terbaik untuk kita menyusun strategi memantapkan perjuangan masa depan yang perjalanannya masih jauh.

Pada hari ini saya mewakili rakan-rakan ahli PPUP serta kita semua meraikan dan mengucapkan tahniah kepada dua orang tokoh besar kita yang mengajar kita konsep “tiada yang diistilahkan pencen” dalam berjihad memperjuangkan agama.Usaha memartabatkan agama yang terbukti telah dilakukan oleh kedua tokoh ini jauh mendahului usia dan tenaga mereka sepatutnya menjadi contoh tauladan kepada kita semua .Semoga Allah SWT terus melanjutkan usia dan menetapkan iman mereka berdua mempertahan agama yang suci ini.

PPUP sangat berbangga dengan kedua-dua anugerah ini kerana secara tidak langsung membuktikan bahawa satu pengiktirafan masyarakat dan pihak berkuasa kepada jasa dan kemampuan tokoh agama dan ulama’ memimpin masyarakat kerana selama ini sangat sinis golongan ini disindir dan dipermainkan oleh sesetengah pihak.Membela agama menerusi mempertingkatkan keyakinan masyarakat terhadap kemampuan pegawai-pegawai agama berkarier adalah salah satu matlamat perjuangan PPUP sepertimana sedia maklum.

Namun di sebalik anugerah ini jangan dilupa ia mengandungi satu amanah besar kepada kita semua (ada taklif di sebalik tasyrif).Kami ahli-ahli PPUP berdoa kepada ALLAH SWT agar sepasang regu utama pentadbiran agama negeri ini dapat memimpin dan mengurus agama yang suci ini dengan jayanya .Ini memerlukan usaha yang besar , yang perlu didokong oleh semua kita khususnya ahli-ahli PPUP .Saya menyeru diri saya dan ahli-ahli PPUP serta kita semua berilah sepenuh kerjasama kepada kedua-dua tokoh ini demi kesucian agama tercinta.

Sekali lagi kami ucapkan tahniah kepada SS Dato Seri Dr Hj Harussani bin Hj Zakaria dan SF Dato Syeikh Mohamad Nor Mansur Al Hafiz.

Saya akhiri dengan satu peringatan dari Allah SWT

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

Sunday, January 4, 2009

Pesan Buat Anak Cucu

video

Friday, January 2, 2009


BISMILLAHIR RAHMAN NIRRAHIM..

Segala Puji untukMu YA ALLah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana,
segala pengharapan kami hulurkan untukMu Ya Tuhan,
Tuan Pemilik Tanah al-Quds ini..

Selawat dan salam kami pohonkan untuk junjungan penghulu kami Muhammad SAW..
Kesejahteran kami doakan untuk segala para rasulMu yang mulia..
Yang pernah Engkau himpunkan mereka di Masjidil Aqsa ini.

Ya ALLah di kala umat ini masih terus alpa hiruk pikuk..
Kami bersimpuh di sisi keAgunganMu..
Merayu dengan penuh pengharapan..
Memohon dengan penuh kesedaran..
Menangisi dengan penuh keinsafan..
KepadaMu yang memiliki segala keAgungan..
Atas setiap apa yang sedang menimpa ikhwan kami di Palestin..

Ya Rahman..YA Latif..
Saat ini kami adukan kelemahan, kelalaian dan kejahilan kami ke sisiMU..
Kami pohon keampunanMu atas kelemahan kami..
Membiarkan saudara-saudara kami dibantai di Palestin..
Kami pohon keampunanMu atas kelalaian kami..
Membiarkan tanahMu al-Quds dirajai oleh Zionis Yahudi..
Kami pohon keampunanMu atas kejahilan kami..
Membiarkan Masjidil Aqsa terus dinodai hari ini..

YA Aziz..YA Jabar..YA Mudzil.. maka itu Ya ALLah,
Engkau hancurkan bajingan Yahudi di Palestin!
Engkau hancurkan sekutu-kutu mereka!
Engkau hancurkan semua musuh-musuhM
u di pelusuk dunia!
Engkau luluhkan kekuatan mereka!
Engkau pecahkan perpaduan mereka!
Engkau lumpuhkan ekonomi mereka!
Engkau cacatkan senjata mereka!
Kerana mereka adalah musuh-musuhMu Ya Allah...

Kami seru kehadratMU..demi keAgungan kerajaanMu
Engkau kurniakan kepada para Mujahid ini kekuatan jundu Iskandar Zulkarnain Ya Qawiy..
Engkau bantulah dengan tenteraMu yang telah Kau kirimkan dalam Badar al-Kubra..Ya Malik,
Engkau teguhkan iman mereka seteguh iman tentera Sallehuddin al-Ayyubi Ya Mu’min.
Engkau kurniakan kebijaksanan sebijak Muhammad al-Fateh kepada mereka..Ya Hakim
Engkau lindungilah anak-anak kecil, wanita dan orang tua laksana perlindungan kepada Maryam a.s ..Ya Waliy

Kami merayu kepadaMu,
Untuk Engkau perkenankan doa kami ini..
Kerana sesungguhnya Engkaulah Pemilik Segala Keagungan, Kehebatan, Keperkasaan.. Ya dzal jalali wal ikram..

Amin ya Rabba al-Alamin..

Ku panjatkan doa ini dikala korban kegilaan Zionis Yahudi ke atas umat Islam di Palestin telah mencapai 400 orang, para doktor ditahan dari memasuki Gaza di sempadan Mesir, bekalan ubatan, makanan, minyak dan eletrik terputus, kapal bantuan perubatan ke Palestin diserang..moga isu ini menjadi tajuk utama ceramah sahabat2 semua.

( Semoga setiap kali membaca doa ini dalam blog ini, ia menjadi ulangan munajat kita untuk para Mujahid di Palestin dan di seluruh dunia)