Tuesday, July 13, 2010

ESQ ; Apa perlunya kita berbalah

Pengharaman ESQ Training Malaysia kembali mencalitkan titik hitam dalam dunia pemfatwaan di Malaysia. Entah apa logiknya, kerana sebuah syarikat perniagaan yang berlapikkan aktiviti dakwah menyebabkan ulamak dan agamawan bertelingkah.

SAHIBUS SAMAHAH DATUK WAN ZAHIDI BIN WAN TEH, MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN bukanlah ulamak yang sering saya jadikan rujukan. Sejak mengenali beliau ketika menjadi ayam tambatan JAKIM dalam propaganda politiknya saya bukan sekali dua menyanggah penulisannya ketika membentangkan kertas kerja. Namun tidak dinafikan beliau seorang ahli akademik yang hebat dan teliti kajiannya. Demi menyokong fahaman politiknya, beliau mengemukakan fakta ilmiah yang sohih dan berwibawa, tetapi tidak menyatakan atau menyembunyikan sebahagian darinya. Maka apabila fatwa yang diwartakannya ini tidak ada kena mengena dengan pembawaan politiknya maka saya yakin ianya tidak boleh di pandang sebelah mata.

Saya tidak mengulas mengenai ESQ; teori dan pendekatan yang dibawa, mamandangkan saya tidak pernah terlibat dengan penganjurannya atau membaca buku karangan pengasasnya. Entah kenapa tidak pernah tercuit di hati saya ntuk melibatkan diri dengannya walaupun ramai teman-teman yang mempromosikannya. Saya cuma akan mengulas sikap kita sebagai orang awam termasuk sedikit pandangan mengenai sikap agamawan agar tidak menjadi bahan sendaan di kalangan masyarakat.

Antara lain saya berpandangan :

a. Islam tidak sekali-kali menganggap yang ramai sentiasa benar dan yang sikit itu bermasalah. Ijmak tidak mungkin dicapai walaupun jutaan mujtahid bersepakat sedangkan ada seorang yang membantah. Setiap hujjah dan dalil perlu diteliti, tanpa diambil mudah terutamanya jika bersangkutan dengan akidah.

b. Oleh kerana Mufti Wilayah mengasaskan fatwanya kepada teori yang dikarang oleh Ary Ginanjar melalui bukunya 'Membangun Kesuksesan Berdasarkan 5 Rukun Iman dan 6 Rukun Islam', serta buku 'ESQ Power' dan 'ESQ: Rahsia Sukses Membangun Kecerdasan Emosi dan Spiritual', maka harus dibezakan antara teori dan pemikiran dengan training yang dilaksanakan. Apakah kita bercakap mengenai dua perkara yang berbeza, walaupun ianya berkaitan, menyebabkan tidak mungkin berlakunya sebarang persepakatan.

b. Oleh kerana Mufti Wilayah menyatakan ada masalah, sedangkan orang lain mengatakan tidak nampak sebarang masalah, maka wajarlah diteliti hujjah mereka yang nampak ada masalah. Masalah dikesan dari teori dan pemikiran yang dibukukan, sedangkan ianya menjadi asas kepada perlaksanaan training dan seminar yang dijalankan. Pastinya tidak keseluruhan teori dan pemikiran mampu di terapkan dalam keseluruhan training dan seminar yang dijalankan. Tidak dapat dinafikan berbagai teguran telah dikemukakan sehingga memaksa penganjur membuang sebahagian bahan. Maka apakah wajar kita mengatakan bahawa teori dan pemikiran yang dibawa dikira halal hanya semata-mata kerana kita gagal mengesan sebarang masalah dalam training yang dijalankan.

c. Perbandingan antara Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Fatwa Mufti Kerajaan Negeri yang diwartakan hendaklah diukur melalu kacamata undang-undang. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hanyalah bersifat maklumat tanpa sebarang kuatkuasa undang-undang. Ianya mesti dibawa ke Mesyuarat Fatwa negeri-negeri dan diwartakan untuk boleh dilaksanakan. Oleh kerana negeri-negeri lain masih belum mengeluarkan sebarang wartakan, maka hanya ada satu undang-undang sahaja yang boleh dikuatkuasakan iaitu pengharaman perlaksanaannya di Wilayah Persekutuan.

d. Tindakan ESQ menegaskan kehalalannya berasaskan pengesahan 5 orang Panel Syariah yang terdiri atas para tokoh agama dan mantan Mufti di Malaysia tidaklah menjadi hujjah yang begitu kuat. Walaupun dibarisi oleh kononnya pakar berbagai bidang, merangkumi Dato’ Mustafa Abdul Rahman, Mantan Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Abdul Kader Talip, Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Paduka Sheikh Hasbullah Sheikh Abdul Halim, Mantan Mufti Kedah dan mantan Ketua Hakim Mahkamah Shariah Negeri Kedah, Dato’ Hj Nooh Hj Gadot, Mantan Mufti Johor dan Dr Adnan Mohd Yusoff, Dekan Fakulti Qur’an dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), namun tidaklah boleh dijadikan sandaran penentu. Atas nama Panel Syariah yang dilantik samada dibayar elaun atau gaji bulanan, mana mungkin mereka mampu untuk mengharamkan. Peranan mereka hanyalah menjadi pemudah cara; memahamkan Mufti dan Ulamak terhadap teori, pemikiran dan perlaksanaan ESQ dan memastikan semua peringkat di dalam ESQ mematuhi kehendak, panduan dan kritikan Ulamak dan Mufti.

Cadangan saya kepada pihak yang terlibat dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah seperti berikut :

a. Menghentikan sebarang bentuk kenyataan yang menampakkan seolah-olah berlaku perbalahan sesama sendiri.

b. Memberi peluang kepada Mufti Wilayah membentangkan hujjah dan mengkaji kebenarannya sebelum membuat sebarang keputusan.

c. Mengkaji kaitan ESQ dengan aliran pemikiran Islam Liberal yang selama ini mengancam kerana difahamkan bahawa ianya bukan sahaja menimbulkan kegusaran di sini malah turut dipertikaikan di negara asal.

d. Memperluaskan kajian kepada teori dan pemikiran asal, bukan hanya bergantung kepada pengalaman bersama mereka di samping penjelasan yang diberikan yang mungkin berterus terang dan mungkin ada yang disembunyikan.

- Abu Izzah At-Tualanji -


Bahan Rujukan :

http://www.muftiwp.gov.my/pmwp/profail_jabatan_files/fatwa_esq.pdf




http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/beritaharianonline_jawatankuasa-fatwa-kebangsaan-putuskan-esq-tidak-bertentangan.pdf

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/utusanonline_esq-tidak-bertentangan-dengan-islam-4.jpg

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/mufti-perak_00011.pdf

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/testimonial-mufti-penang.pdf

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/jawapan-dr-mufti-pahang.pdf

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/mufti-kedah_0001.pdf

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/surat-mufti-johor.pdf

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/jawapan-kpd-isu2-yg-ditanyakan-oleh-alumni-esq_2.pdf

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/kenyataan-rasmi-bil-02-panel-shariah-esq-leadership-msia-7-julai-20102.pdf

http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/penjelasan-esq-fasa-3-090710_2.pdf