Thursday, December 13, 2012

RESOLUSI KONVENSYEN FIQH JENAYAH SYARIAH: PEMAHAMAN DAN PELAKSANAAN DI MALAYSIA


 
 
KONVENSYEN FIQH JENAYAH SYARIAH: PEMAHAMAN DAN PELAKSANAAN DI MALAYSIA

 TEMPAT :         INSTITUT TADBIRAN ISLAM PERAK, JALAN RAJA MUSA MAHADI, IPOH, PERAK

 TARIKH    :        28 NOVEMBER 2012M BERSAMAAN 14 MUHARRAM 1434H

 ANJURAN :

BAHAGIAN PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH, JABATAN AGAMA ISLAM PERAK

DENGAN KERJASAMA

PERSATUAN PEGAWAI-PEGAWAI UGAMA NEGERI PERAK,
PERSATUAN PEGAWAI-PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA NEGERI PERAK DAN MAJLIS PERMUAFAKATAN PEGAWAI TADBIR AGAMA NEGERI PERAK

Pengenalan:

Mutaakhir ini Undang-undang Jenayah Islam adalah satu undang-undang yang sering disalah faham oleh masyarakat Islam dan bukan Islam. Kebanyakan pihak hanya menjadikan kekeliruan mengenai undang-undang ini sebagai bahan untuk menghentam, jauh sekali untuk bersama dengan pihak yang ingin melaksanakannya. Tidak kurang juga para cendikiawan yang mengambil kesempatan menonjolkan kekeliruan ini hanya semata-mata untuk mendapatkan pengaruh dan populariti, seolah-olah merekalah yang lebih prihatin dan berjuang dalam usaha melaksanakannya.

 

Objektif Konvensyen:

1.    Menjelaskan kepada masyarakat mengenai beberapa tohmahan dan kekeliruan berkaitan Undang-undang Jenayah Islam.


2.    Meyakinkan masyarakat bahawa Undang-undang Jenayah Islam boleh dan sesuai dilaksanakan di negara majmuk seperti Negara ini.
 

3.    Menjelaskan fungsi, peranan dan tanggungjawab semua pihak berdasarkan kemampuan dan kemahiran masing-masing.


 

Pembentangan Kertaskerja bertajuk;

1.    Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam di Negara Majmuk, oleh Y.Bhg. Dr. Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Pengerusi Darul Fuqaha’.


2.    Kaedah Pensabitan dan Persaksian Dalam Konteks Negara Majmuk, oleh Y.Bhg. Encik Musa bin Awang, Presiden Persatuan Peguam Syar’ie Malaysia (PPSM).
 

3.    Pelaksanaan Syariat Islam Dalam Kerangka Perlembagaan Negara, oleh Y.Bhg. Dr. Siti Zubaidah bt. Ismail, Ketua Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Universiti Malaya.

 

RESOLUSI KONVENSYEN

Konvensyen Fiqh Jenayah Syariah: Pemahaman dan Pelaksanaan di Malaysia, anjuran Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, Jabatan Agama Islam Perak dengan kerjasama Persatuan Pegawai Ugama Negeri Perak, Persatuan Pegawai-Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Perak, dan Majlis Pemuafakatan Pegawai-Pegawai Tadbir Agama Daerah Negeri Perak, yang berlangsung pada 28 November, 2012 di Institut Tadbiran Islam Perak, Jalan Raja Musa Mahadi, Ipoh, Perak dengan ini membuat resolusi-resolusi seperti berikut;

1.    Menyatakan kebimbangan terhadap usaha-usaha peminggiran Undang-Undang Islam dalam sistem perundangan Negara termasuk pihak-pihak yang menonjolkan kesukaran dalam pelaksanaannya yang hakikatnya hanyalah dalihan untuk tidak melaksanakannya.

 

2.    Menegaskan bahawa kedudukan istimewa Islam sebagai agama bagi Persekutuan adalah wajib dipertahankan dan tidak seharusnya diganggu gugat. Pelaksanaan Undang-Undang Islam di Negara ini adalah hak umat Islam dan orang bukan Islam tidak wajar campur tangan yang bersifat negatif dalam urusan umat Islam.

 

3.    Semua Pengamal Undang-Undang yang beragama Islam wajib  membuat pentafsiran terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada di Negara ini ke arah yang menguntungkan Islam dan umatnya. Islam sebagai agama bagi persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai “Undang-Undang Islam mestilah menjadi asas dalam undang-undang Negara” bukan hanya digunakan dalam upacara rasmi semata-mata. Jika tidak dinyatakan secara jelas mengenai halangan pelaksanaannya maka hendaklah ditafsirkan bahawa Undang-Undang Islam dibenarkan untuk dilaksanakan.

 

4.    Setiap umat Islam wajib bersatu hati dan suara, menyatukan sikap dan tindakan dalam usaha mempertahankan kedudukan Islam dan syariatnya agar dapat dilaksanakan.

 

5.    Setiap ancaman terhadap Islam dan perlaksanaan syariatnya hendaklah dianggap sebagai ancaman terhadap martabat dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama di setiap negeri dan terhadap kewibawaan institusi-institusi Islam.

 

6.    Jabatan Agama Islam Perak hendaklah menerajui usaha penerangan dan penjelasan mengenai Syariat Islam ini termasuk melibatkan pihak bukan Islam dan agensi kerajaan seperti PDRM, ATM, Mahkamah dan lain-lain. Usaha penjelasan dan penerangan ini  hendaklah dilaksanakan dengan lebih serius oleh semua pihak termasuk pihak media massa dan menggunakan semua saluran yang ada samada media massa dan kuliah-kuliah di masjid dan surau.

 

7.             Jabatan Agama Islam Perak hendaklah membentuk suatu Jawatankuasa Khas bagi memulakan proses mentaqnin/menggubal deraf Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Perak mengikut Dasar Hukum Syara’ (Hudud, Qisas, Ta’zir dan Diat) untuk  dilaksanakan di negeri ini.

 

8.                Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak disarankan agar mengeluarkan fatwa khusus dalam hal perundangan Islam merangkumi kewajipan membantu usaha melaksanakannya, pengharaman memperlekehkannya dan sebarang sumbangan terhadap menyukarkan usaha perlaksanaannya.

 

Adalah diharapkan agar semua pihak yang terlibat dan semua pihak yang mempunyai kemampuan dan kemahiran dalam menyumbang ke arah pelaksanaan Undang-Undang Islam ini dapat melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing.  Sebagai hamba Allah tidak ada sebarang kerugian pada kita, jika tunduk kepada kehendak Allah dan Allah Maha Berkuasa dalam menentukan kejayaan dan segala cabaran serta resikonya. Janganlah kita takut kepada manusia ketika melaksanakan urusan Allah, tetapi takutlah kepada Allah dalam berurusan dengan manusia.

 

Sekian, Resolusi yang telah dibuat semoga Allah SWT memberi kekuatan dan petunjuk dalam menjadikannya suatu kenyataan. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tuesday, November 27, 2012

Konvensyen Fiqh Jenayah Syariah : Pemahaman Dan Pelaksanaannya di Malaysia

         Esok akan berlangsung In Sya Allah konvensyen di atas yang akan diadakan di Dewan Besar INTIM. Menganjurkan program seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ianya pasti mengundang berbagai tafsiran dan pandangan serong daripada orang politik malah para pembesar yang lebih berpolitik dari orang politik sendiri. Tambahan pula situasi masa kini amat genting disebabkan beberapa program yang seumpamanya oleh teman-teman di beberapa daerah telah mengundang berbagai kontroversi daripada tokoh politik kampung di daerah masing-masing. Alhamdulillah kesedaran dan komitmen pegawai-pegawai agama begitu membara untuk melengkapkan usaha-usaha penerangan kepada masyarakat mengenai kewajipan melaksanakan Syariat Allah. Kita tidak mahu ilmu yang ada hanya digunakan sekadar untuk menambahkan kekeliruan masyarakat dengan menambahkan senarai halangan dan kekangan bagi merealisikannya. Alhamdulillah, permintaan Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama agar aku menyediakan kertas konsep perlaksanaannya telah berjaya aku siapkan. Akhirnya semua skop perbincangan yang aku cadangkan diterima tanpa bantahan.
         Untuk panduan perlaksanaan program seperti ini di masa-masa akan datang aku senaraikan beberapa strategi yang kami laksanakan bagi memastikan program ini terlaksana. Apa yang penting adalah pembentangan, perbahasan dan resolusi yang akan dicapai untuk disebarkan kepada seluruh masyarakat. Aku menyebutkan bahawa kalaupun peserta hanya ada 10 orang sahajapun, aku tetap menganggap program ini berjaya jika sekiranya kita berjaya menambahkan koleksi perbahasan dan penyelesaian terhadap segala kekhuatiran masyarakat melaksanakan Syariat Allah di bumi bertuah ini. Aku juga menyebutkan walau apapun yang terjadi program ini tetap akan berlangsung seperti yang dirancangkan walaupun terpaksa berpindah tempat ke dewan sekolah Cina dan sebagainya.
Antara strategi yang kami laksanakan adalah :
1. Kerjasama dengan persatuan dan NGO bagi memastikan bahawa pihak penganjur bebas dari sebarang tekanan pihak atasan.
2. Merangka pelan pertukaran tempat jika sekiranya premis kerajaan tidak dapat digunakan.
3. Penyertaan adalah secara tertutup dan tidak diwar-warkan secara terang-terangan tanpa ada sebarang hebahan di media ataupun gantungan banner. Jemputan hanya dibuat secara terus melalui organisasi yang terpilih.
4. Menggunakan tajuk konvensyen dan tajuk pembentangan dengan istilah umum tanpa istilah yang menarik sensitiviti para juhala' seperti Hukum Hudud dan sebagainya.
5. Menghighlightkan jawatan sampingan yang berteraskan ilmiah yang disandang oleh pembentang dan meninggalkan sebarang jawatan politiknya.
           Mudah-mudahan usaha yang sekecil ini akan berjalan dengan lancar dan akan menjadi sumbangan kepada usaha merealisasikan Syariat Allah di bumi bertuah ini.