Esok akan berlangsung In Sya Allah konvensyen di atas yang akan diadakan di Dewan Besar INTIM. Menganjurkan program seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ianya pasti mengundang berbagai tafsiran dan pandangan serong daripada orang politik malah para pembesar yang lebih berpolitik dari orang politik sendiri. Tambahan pula situasi masa kini amat genting disebabkan beberapa program yang seumpamanya oleh teman-teman di beberapa daerah telah mengundang berbagai kontroversi daripada tokoh politik kampung di daerah masing-masing. Alhamdulillah kesedaran dan komitmen pegawai-pegawai agama begitu membara untuk melengkapkan usaha-usaha penerangan kepada masyarakat mengenai kewajipan melaksanakan Syariat Allah. Kita tidak mahu ilmu yang ada hanya digunakan sekadar untuk menambahkan kekeliruan masyarakat dengan menambahkan senarai halangan dan kekangan bagi merealisikannya. Alhamdulillah, permintaan Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama agar aku menyediakan kertas konsep perlaksanaannya telah berjaya aku siapkan. Akhirnya semua skop perbincangan yang aku cadangkan diterima tanpa bantahan.
Untuk panduan perlaksanaan program seperti ini di masa-masa akan datang aku senaraikan beberapa strategi yang kami laksanakan bagi memastikan program ini terlaksana. Apa yang penting adalah pembentangan, perbahasan dan resolusi yang akan dicapai untuk disebarkan kepada seluruh masyarakat. Aku menyebutkan bahawa kalaupun peserta hanya ada 10 orang sahajapun, aku tetap menganggap program ini berjaya jika sekiranya kita berjaya menambahkan koleksi perbahasan dan penyelesaian terhadap segala kekhuatiran masyarakat melaksanakan Syariat Allah di bumi bertuah ini. Aku juga menyebutkan walau apapun yang terjadi program ini tetap akan berlangsung seperti yang dirancangkan walaupun terpaksa berpindah tempat ke dewan sekolah Cina dan sebagainya.
Antara strategi yang kami laksanakan adalah :
1. Kerjasama dengan persatuan dan NGO bagi memastikan bahawa pihak penganjur bebas dari sebarang tekanan pihak atasan.
2. Merangka pelan pertukaran tempat jika sekiranya premis kerajaan tidak dapat digunakan.
3. Penyertaan adalah secara tertutup dan tidak diwar-warkan secara terang-terangan tanpa ada sebarang hebahan di media ataupun gantungan banner. Jemputan hanya dibuat secara terus melalui organisasi yang terpilih.
4. Menggunakan tajuk konvensyen dan tajuk pembentangan dengan istilah umum tanpa istilah yang menarik sensitiviti para juhala' seperti Hukum Hudud dan sebagainya.
5. Menghighlightkan jawatan sampingan yang berteraskan ilmiah yang disandang oleh pembentang dan meninggalkan sebarang jawatan politiknya.
Mudah-mudahan usaha yang sekecil ini akan berjalan dengan lancar dan akan menjadi sumbangan kepada usaha merealisasikan Syariat Allah di bumi bertuah ini.