Sunday, April 26, 2009

ISU REDZUAN :PRIHATINKAH KITA

Kes pengislaman Mohammad Redzuan Abdullah atau nama asalnya Patmanathan al Krishnan serta usahanya mengislamkan anak-anaknya telah menarik perhatian banyak pihak sehingga cabinet masuk campur dan memutuskan bahawa status anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk islam.

Keputusan ini telah mengundang reaksi yang tidak selesa kepada masyarakat Islam .Banyak pihak tidak setuju dengan keputusan yang tergesa-gesa tanpa merujuk dahulu kepada mereka yang pakar seperti para ulama’ dan para mufti .Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Peguam Syari’e Malaysia ,Alliance Coordinating Committee of Islam (ACCIN), Angkata Belia Islam Malaysia(ABIM),Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), MACMA ,Persatuan Peguam Pembela Islam dan beberapa petubuhan NGO lain telah menzahirkan keputusan mereka menolak keputusan cabinet tersebut.

Apabila dilihat dari perspektif syara’ isu ini diulas dalam bab hadhanah atau hak penjagaan anak.Ulama’ mazhab Syafie meletakkan antara syarat utama hak pejagaan anak ialah penjaga itu mestilah beragama Islam .Orang kafir tidak boleh diberi amanah untuk menjaga anak muslim kerana orang kafir tiada kuasa perwalian ke atas orang muslim.Dalilnya ialah firman Allah SWT :Bermaksud Allah sekali-kali tidak akan menjadikan orang-orang kafir berkuasa ke atas orang Islam (Surah An Nisa’ 141)Bahkan kemungkinan penjagaan anak-anak muslim oleh orang kafir akan membawa fitnah terhadap aqidah anak berkenaan.Sepertimana maklum antara maqasid as syariah (matlamat syariah) itu antaranya adalah menjaga agama.Pandangan ini juga dipersetujui oleh mazhab Hanbali.

Ulama’ Hanafi dan Maliki tidak mensyaratkan penjaganya mesti muslim tetapi mereka bersepakat bahawa jika aqidah dan amalan agama anak-anak muslim itu terancam sekiranya dijaga oleh penjaganya yang bukan muslim seperti membawa anak itu ke rumah ibadat bukan islam , membiasakan anak itu meminum arak dan memakan daging babi maka hak penjagaan itu mestilah diserahkan kepada penjaganya yang beragama Islam .

Pada pandangan saya ,keempat-empat mazhab meletakkan usaha menyelamatkan aqidah anak-anak adalah satu keutamaan yang tidak boleh ditawar-menawar.Pendekatan mazhab Syafie adalah sangat releven dalam konteks Negara kita.Muallaf atau saudara baru juga mempunyai hak seperti warga Negara yang lain dalam mempertahankan hak-haknya.

Dari sudut undang-undang Negara , dalam menyelesaikan sebarang kes yang melibatkan inividu muslim , mahkamah syariah adalah mahkamah yang telah diberi kuasa menyelesaikannya oleh perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 121(1)(A).

Cadangan isu ini diberi bidang kuasa kepada mahkamah sivil dan bukan mahkamah Syariah jelas bercanggah dengan perlembagaan Persekutuan dan bertentangan dengan Keputusan Mahkamah Persekutuan sepertimana keputusan mahkamah tersebut dalam kes Subashini.

Dalam Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan :Agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun adalah ditetapkan oleh ibu atau bapaatau penjaganya. (parent or guardian).

Gesaan banyak pihak agar pihak kerajaan mengambil kira pandangan pihak-pihak yang pakar seperti pakar undang-undang dan pakar agama sebelum membuat apa-apa keputusan , lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan umat Islam serta menyentuh agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia mestilah diberi perhatian oleh pihak kerajaan .Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam perlulah tegas dalam mempertahankan hak-hak orang Islam.

Apa yang menyedihkan juga apabila isu ini kurang diberi perhatian oleh umat Islam sendiri sedangkan pihak lain begitu prihatin mengikuti perkembangan isu ini secara dekat.

Disediakan oleh
Hj Zamri bin Hashim
Jabatan Mufti Perak

No comments: