Sunday, April 25, 2010

Adillah Dalam Berhukum

Sinar Harian - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan perbuatan menyampaikan ceramah politik di dalam masjid adalah haram di sisi Islam. “Sebarang perkara yang boleh membawa kepada perpecahan umat Islam hendaklah dijauhkan dan dielakkan di bawa ke masjid termasuk berpolitik. Itu ajaran Islam. “Politik sekarang boleh memecahbelahkan umat dan haram hukumnya berceramah politik di masjid. Masjid adalah tempat umat Islam bersatu, melakukan ibadah,” katanya ketika dihubungi: Sinar Harian,: semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwa mempertikaikan titah Sultan Selangor agar tidak menggunakan masjid untuk kempen politik.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, adalah tidak salah untuk menyampaikan ceramah politik di dalam masjid sambil memberi contoh perbuatan menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik turut dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Malah, menyifatkan larangan itu sebagai karut dan saki baki ajaran penjajah yang mengasingkan agama dan politik. Mengulas mengenai kenyataan Nik Abdul Aziz, Harussani menjelaskan Nabi Muhammad tidak berpolitik di dalam masjid, malah pada zaman junjungan besar itu tidak ada parti politik. “Nabi Muhammad menggunakan masjid untuk menyatakan hal-hal pentadbiran kerajaan kepada umatnya bukan berpolitik.

“Janganlah kerana terlalu taksub berpolitik, sehingga sanggup menghalalkan cara dan menghalalkan perkara terlarang,” katanya sambil menegaskan kenyataannya berdasarkan fakta dan tidak memihak kepada mana- mana pihak. Katanya, jika kerajaan yang memerintah sekarang mengumumkan polisi kerajaan demi kebaikan rakyatnya di masjid, itu dibenarkan.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menitahkan polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan masjid untuk kempen pilihan raya berkenaan. (
http://www.sinarharian.com.my/com/content/story7610714.asp )

Inilah masalah yang berterusan menimpa Pegawai-Pegawai Agama di Negeri Perak ini. Bermula dari episod penubuhan Kerajaan Campuran UMNO-PAS pada Mac 2008, berbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri menyebabkan reaksi berbagai di kalangan masyarakat. Malangnya reaksi segera Tan Sri, hanya muncul apabila timbulnya kenyataan daripada ulamak-ulamak pembangkang. Namun Tan Sri hanya berdiam diri jika tidak menyokong sepenuhnya kenyataan dan fatwa yang dikeluarkan oleh ulamak atau pemimpin kerajaan. Inilah masalah yang menyukarkan pegawai-pegawai agama untuk berlapang dada menerima nasihat beliau untuk tidak berpolitik dalam urusan agama.
Persoalan politik ini adalah persoalan Ijtihadi. Tidak ada nas yang soreh mengenai haramnya bercakap politik di masjid. Namun ada nas yang qat'ie mengenai haramnya menimbulkan perbalahan dan perpecahan di masjid. Persoalannya apakah hanya politik sahaja menjadi punca kepada perpecahan. Apakah tidak ada lagi perkara lain yang turut menyebabkan perbalahan dan perpecahan. Jika dilihat dari segi nas dan dalil, ada hadis melarang berjual beli dan mencari barang yang hilang di dalam masjid. Apakah ini bermakna haram bercakap mengenai peniagaan termasuk hukum hakam perniagaan menurut Islam di masjid.
Satu lagi persoalan yang difikirkan adalah apakah benar politik sekarang membawa perpecahan. Jika benar ianya membawa perpecahan maka bukan sahaja di masjid, malah di luar masjid juga hukumnya haram. Jika politik membawa perpecahan, maka haram juga berpolitik dan haram juga mengganggotai sebarang parti politik. Lebih dari itu, mengundi parti politik juga turut haram.
Oleh yang demikian, semua Pegawai-Pegawai Agama perlulah mengambil pendirian yang bijak sana. Sebagai insan yang mempunyai akal yang sempurna, disamping asas ilmu yang memada, setiap kita wajib meletakkan asas yang tepat dalam mengambil pendirian mengenai hukum. Setiap manusia ada kecenderungan politiknya masing-masing. Walaupun lidah basah menegaskan dasar berkecualinya, namun selagi kita mempunyai perasaan, kecenderungan terhadap sesuatu pihak tidak mungkin dapat dielakkan. Ibarat mustahilnya mencari kesempurnaan adil dalam berpoligami, namun Syariat menentukan kemampuan manusia biasa hanya sekadar adil pada zohirnya. Walaupun hati kita sentiasa memihak, namun segala kenyataan dan hukum hakam yang kita lontarkan hendaklah adil dan berasaskan kepada penentuan Syariat Allah.

Friday, April 9, 2010

Mencari Si Luncai

Maka tersebutlah sebuah kisah di sebuah negara bernama Al-Bahgdadi yg didiami oleh seorang raja yang zalim. Beliau sangat marah kalau ada sesiapa yang lebih cerdik dari beliau, habis dibunuhnya. Namun ada seorang rakyat jelata yang sentiasa dapat mengalahkan pandangan sang raja yang bernama Luncai.

Entah macam mana pada satu hari Si Luncai telah melakukan satu kesilapan yang besar dan ini telah memberikan peluang kepada sang raja untuk membunuhnya. “Wahai pengawal-pengawal sekelian, aku hendak kamu semua bawa Si Luncai ini pergi ke tengah laut dan campakkan dia ke dalam lautan. Biar nanti dia mati kelemasan. Ha..ha..haa..!” Begitulah arahan sang raja yang sombong itu kepada pengawal-pengawalnya.

“Tuanku” tiba-tiba Si Luncai berbicara.



“Hah, ada apa Si Luncai, nak tipu aku lagi? Ha..ha..haa.. sekarang engkau tak dapat tipu aku lagi kerana engkau akan mati sebentar lagi”, bentak sang raja.

“Wahai Tuanku yang budiman, patek mengucapkan terima kasih di atas perintah Tuanku dan akur dengan titah perintah Tuanku. Tetapi sebagai permintaan terakhir sebelum patek mati, izinkan patek mendapatkan sebuah labu untuk patek bawa bersama2.”, kata Si Luncai dengan penuh tenang sambil kepalanya berpusing-pusing memikir untuk melepaskan diri.

Maka selang beberapa ketika bermulalah Si Luncai dibawa berkayuh dengan sebuah perahu oleh pengawal-pengawal istana ke tengah lautan.

Apabila perahu sudah hampir sampai ke tengah lautan, “Wahai pengawal-pengawal, mahukah kamu aku ajarkan satu nyanyian supaya dengan itu kita semua tidak merasa jemu berkayuh”, tiba-tiba Si Luncai bersuara.

“Ehh.. bagus jugak tu. Macam mana lagunya?”, tanya para pengawal.

“Begini, pengawal di belakang hendaklah menyanyi “Si Luncai terjun dengan labu-labunya”, dan yang di hadapan pulak jawab “biarkan, biarkan”, jelas Si Luncai.

Maka bermulalah para pengawal menyanyi dengan lantangnya. Yang di belakang berkata Si Luncai terjun dengan labu-labunya, maka pengawal di hadapan menjawab, biarkan, biarkan. Begitulah berjalan nyanyian tersebut beberapa ketika sehingga para pengawal begitu asyik dengan lagu tersebut.

Melihat keadaan ini maka Si Luncai terus terjun ke dalam laut. Maka pengawal yang mengayuh di belakang terus bertempik, “Si Luncai terjun dengan labunya”, dengan harapan pengawal di hadapan dapat membantu. Namun malang sekali apabila pengawal di hadapan menyangka bahawa itu hanyalah nyayian lalu mereka terus menjawab, “biarkan, biarkan” tanpa menoleh ke belakang. Begitulah berlalunya beberapa ketika sehingga akhirnya Si Luncai sekali lagi dapat melepaskan diri dan mengalahkan sang raja.

Malas Berfikir

Nah, walaupun ini hanyalah sebuah cerita dongeng Melayu tetapi pengajarannya cukup besar. Kita lihat bagaimana Si Luncai masih mampu berfikir walaupun berada di saat-saat yang genting. Si Luncai tidak mudah panik dengan masalah yang ada tetapi sentiasa licik dalam mencari jalan keluar. Walaupun Sang Raja menggunakan segala kekuatan tentera dan kuasa tetapi masih gagal mengalahkan Si Luncai.

Dalam kita menjalani tariqud dakwah ini sudah pasti kita akan berhadapan dengan pelbagai masalah. Tidak cukup duit, tidak ada tenaga, masa tak sempat, tak ada kepakaran, tak pandai nak bercakap dan seribu satu macam halangan. Pendek kata apabila kita mula melangkah maka akan bermulalah kita berhadapan dengan masalah.

Apa yang saya dapati, tak ramai yang mampu menghadapi masalah ini. Mereka sekadar akur dengan permasalahan yang ada dan yang lebih menyedihkan lagi mereka terus berhenti melakukan kerja-kerja dakwah.

Sebenarnya, bagi saya, mereka malas untuk berfikir. Mereka tidak cuba untuk mencari penyelesaian malah hanya sekadar menunggu orang lain menyelesaikan untuk mereka. Jika ada yang datang membantu, maka mereka akan mula berkerja tetapi jika tidak ada yang menolong, maka mereka akan tenang duduk di rumah-rumah.

Situasi akan lebih parah lagi jika mereka ini berada di kerusi kepimpinan, maka sudah tentu sikap malas untuk berfikir ini akan merencatkan perkembangan organisasi dan menyebabkan pengikut menjadi lemah, dakwah menjadi kaku.
Akhirnya mereka bukan saja tidak mampu menyelesaikan masalah tetapi sebaliknya mereka sendiri adalah sebahagian dari masalah.
Mampukah dakwah melahirkan Si Luncai?

Saduran dari ismaweb

Tuesday, April 6, 2010

Kita Tetap Kita, Jangan Bergantung Kepada Mereka

Dialog yang berlangsung di akhir program tafaqquh anjuran Jabatan Mufti baru-baru ini menambahkan lagi kekecewaan bagi mereka yang menyedarinya. Dua isu yang saya bangkitkan adalah semata-mata mengharapkan respon atau kata-kata perangsang daripada 3 tokoh kepimpinan di 3 buah institusi yang menaungi kita selama ini. Sebagai manusia biasa tiada daya untuk kita mengelakkan diri dari lupa dan alpa. Apatahlagi jika ada yang seakan menanti setiap detik kesalahan kita, lalu diperbesarkan segala apa yang ada. Bukan sedikit kesalahan yang dilakukan oleh sesetengah pihak namun ditutup oleh pihak atasan dengan berbagai cara. Selain ada yang dipetisejukkan, tidak kurang pula yang yang tukarkan malah ada yang dinaikpangkatkan. Berbeza dengan pegawai agama yang sering menjadi mangsa tohmahan dan umpatan. Kesalahan kita bukan sahaja tidak perlu dibicara dan dibuktikan, tetapi kesalahan kecil juga turut diperbesarkan. Bezanya kita kerana kita tidak ada sesiapa yang mempertahankan. Setiap risiko harus ditanggung sendiri dalam masa yang sama berbagai kebaikan yang dibuat dilupakan. Tidak salah merenung ke dalam diri sendiri, tetapi apa yang kita ada sebagai motivasi diri. Jika tinggi pangkat dan kedudukan, buatlah apa sahaja yang ingin kita lakukakan. Tanpa keduanya, bersedialah untuk dikambinghitamkan. Belajarlah memujuk hati, kerana kita golongan marhain. Jangan diharapkan kepada pihak atasan kerana mereka hanya memikirkan pangkat dan kedudukan. Namun sebagai sahabat dan teman, kita perlu kuat menguatkan. Biarlah mereka dengan dunia mereka kerana mereka ada kekebalan. Bagi yang lemah seperti kita, dekatkanmlah diri kepada tuhan. Yakinlah kepada kekuasaanNya kerana Dialah yang akan melindungi kita dan mereka......