Sunday, April 25, 2010

Adillah Dalam Berhukum

Sinar Harian - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan perbuatan menyampaikan ceramah politik di dalam masjid adalah haram di sisi Islam. “Sebarang perkara yang boleh membawa kepada perpecahan umat Islam hendaklah dijauhkan dan dielakkan di bawa ke masjid termasuk berpolitik. Itu ajaran Islam. “Politik sekarang boleh memecahbelahkan umat dan haram hukumnya berceramah politik di masjid. Masjid adalah tempat umat Islam bersatu, melakukan ibadah,” katanya ketika dihubungi: Sinar Harian,: semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwa mempertikaikan titah Sultan Selangor agar tidak menggunakan masjid untuk kempen politik.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, adalah tidak salah untuk menyampaikan ceramah politik di dalam masjid sambil memberi contoh perbuatan menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik turut dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Malah, menyifatkan larangan itu sebagai karut dan saki baki ajaran penjajah yang mengasingkan agama dan politik. Mengulas mengenai kenyataan Nik Abdul Aziz, Harussani menjelaskan Nabi Muhammad tidak berpolitik di dalam masjid, malah pada zaman junjungan besar itu tidak ada parti politik. “Nabi Muhammad menggunakan masjid untuk menyatakan hal-hal pentadbiran kerajaan kepada umatnya bukan berpolitik.

“Janganlah kerana terlalu taksub berpolitik, sehingga sanggup menghalalkan cara dan menghalalkan perkara terlarang,” katanya sambil menegaskan kenyataannya berdasarkan fakta dan tidak memihak kepada mana- mana pihak. Katanya, jika kerajaan yang memerintah sekarang mengumumkan polisi kerajaan demi kebaikan rakyatnya di masjid, itu dibenarkan.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menitahkan polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan masjid untuk kempen pilihan raya berkenaan. (
http://www.sinarharian.com.my/com/content/story7610714.asp )

Inilah masalah yang berterusan menimpa Pegawai-Pegawai Agama di Negeri Perak ini. Bermula dari episod penubuhan Kerajaan Campuran UMNO-PAS pada Mac 2008, berbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri menyebabkan reaksi berbagai di kalangan masyarakat. Malangnya reaksi segera Tan Sri, hanya muncul apabila timbulnya kenyataan daripada ulamak-ulamak pembangkang. Namun Tan Sri hanya berdiam diri jika tidak menyokong sepenuhnya kenyataan dan fatwa yang dikeluarkan oleh ulamak atau pemimpin kerajaan. Inilah masalah yang menyukarkan pegawai-pegawai agama untuk berlapang dada menerima nasihat beliau untuk tidak berpolitik dalam urusan agama.
Persoalan politik ini adalah persoalan Ijtihadi. Tidak ada nas yang soreh mengenai haramnya bercakap politik di masjid. Namun ada nas yang qat'ie mengenai haramnya menimbulkan perbalahan dan perpecahan di masjid. Persoalannya apakah hanya politik sahaja menjadi punca kepada perpecahan. Apakah tidak ada lagi perkara lain yang turut menyebabkan perbalahan dan perpecahan. Jika dilihat dari segi nas dan dalil, ada hadis melarang berjual beli dan mencari barang yang hilang di dalam masjid. Apakah ini bermakna haram bercakap mengenai peniagaan termasuk hukum hakam perniagaan menurut Islam di masjid.
Satu lagi persoalan yang difikirkan adalah apakah benar politik sekarang membawa perpecahan. Jika benar ianya membawa perpecahan maka bukan sahaja di masjid, malah di luar masjid juga hukumnya haram. Jika politik membawa perpecahan, maka haram juga berpolitik dan haram juga mengganggotai sebarang parti politik. Lebih dari itu, mengundi parti politik juga turut haram.
Oleh yang demikian, semua Pegawai-Pegawai Agama perlulah mengambil pendirian yang bijak sana. Sebagai insan yang mempunyai akal yang sempurna, disamping asas ilmu yang memada, setiap kita wajib meletakkan asas yang tepat dalam mengambil pendirian mengenai hukum. Setiap manusia ada kecenderungan politiknya masing-masing. Walaupun lidah basah menegaskan dasar berkecualinya, namun selagi kita mempunyai perasaan, kecenderungan terhadap sesuatu pihak tidak mungkin dapat dielakkan. Ibarat mustahilnya mencari kesempurnaan adil dalam berpoligami, namun Syariat menentukan kemampuan manusia biasa hanya sekadar adil pada zohirnya. Walaupun hati kita sentiasa memihak, namun segala kenyataan dan hukum hakam yang kita lontarkan hendaklah adil dan berasaskan kepada penentuan Syariat Allah.

1 comment:

Anonymous said...

Asas bagi menentukan halal @ haram sesuatu perkara itu ialah Islam yg berteraskan kpd al-Quran,as-Sunnah,Ijmak,Qiyas dan sumber2 hukum yg lain..olh yg demikian jika sesuatu itu berteraskan Islam maka ianya bkn shj halal bahkan menjadi kewajipan ke atas umat Islam..sebaliknya jika sesuatu itu berteraskan kpd selain Islam ianya bkn shj haram bahkan tidak akan diterima olh Allah swt...,olh sbb itu jika sesuatu itu blh menyebabkan perpecahan sekalipun tetapi ianya berteraskan Islam maka ianya bkn shj halal bahkan menjadi kewajipan ke atas setiap org yg benar2 Islam...INGAT..!!! Rasulullah saw sendiri pun pernah dituduh,didakwa,ditohmah,difitnah dan dikatakan sbg PEMECAH BELAH MASYARAKAT...kesimpulannya..ISLAM ADALAH PENYELESAIAN...