Monday, September 20, 2010

PERGINYA SEORANG MURABBI




Pada jam 9.55 am Sabtu 18 Sept 2010 , pengasas HALUAN, Ustaz Dahlan Mohd Zain (Dato’ Kaya Bakti) kembali ke rahmatullah setelah lebih 40 tahun didalam jihad dan dakwah di Malaysia. Al-Marhum meninggal dunia setelah 491 hari isterinya yang dikasihi, Datin Halimaton binti Hussein pulang ke rahmatullah terlebih dahulu. Inna lillahi wa inna ilaihi rojiuun

“Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan untuk saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dengan Iman …”(Al-Quran). “Barang siapa yang hendak mencontohi, maka ambillah contoh dari orang yang telah mati. Kerana orang yang masih hidup masih belum selamat dari fitnah (dugaan)”

Ustaz Dahlan beroleh ijazah didalam bidang syariah dari Universiti Baghdad, Iraq. Beliau kembali ke tanahair dan mula aktif dilapangan Dakwah sejak diakhir tahun 1960an khususnya di dalam ABIM (ditubuhkan tahun 1972). Manhaj amal Al-Marhum menekankan persoalan dan pembentukan Akidah pada diri para pendakwah berupa pembersihan jiwa dan penolakan total terhadap segala bentuk Jahiliyah zaman moden ini begitu menonjol terutama tahun-tahun 1980an dahulu sedikit sebanyak mengesani jiwa dan pemikiran ramai penggerak dakwah sehingga ke hari ini.

Tahun 2010 ini sahaja menyaksikan pemergian ke rahmatullah dua pengasas jemaah dakwah di Malaysia iaitu Ustaz Ashari Muhammad (jemaah Global Ikhwan) dan Ustaz Dahlan Mohd Zain sendiri (pengasas Haluan). Pengerusi penaja yang menubuhkan ABIM pada 6 Ogos 1971, Ustaz Abdul Wahab Abdullah telah kembali ke rahmatullah lebih awal lagi. Oleh itu dekad-dekad di hadapan menyaksikan perjalanan jemaah-jemaah Islam di Malaysia tanpa pengasasnya, tetapi sejauh atau sedekat mana ianya jemaah itu bergerak diatas manhaj, ideologi atau fikrah yang diasaskan oleh pengasas itu sendiri

Al-Marhum dimasukkan ke hospital pada 8 Ogos lalu, 2 hari sebelum bermula bulan puasa Ramadan kerana sesak nafas dipercayai kerana paru-paru berair. Al-Marhum sempat menjalani dialisis sebanyak 3 kali sebelum keadaan beliau merosot diikuti kegagalan buah pinggang, paru-paru berair dengan beberapa serangan jantung dan stroke sebelum pihak keluarga mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke rumah pada pagi Sabtu 18 Sept semalam. Kira-kira jam 9.55 pagi pada hari yang sama, Ustaz Dahlan menghembuskan nafasnya yang terakhir meninggalkan keluarga dan para pendakwah HALUAN yang giat bekerja demi Islam serta masyarakat yang dibimbing olehnya, khususnya melalui pusat pendidikan Maahad Tarbiyah Islamiyah (MATRI), Tunjung, Perlis yang diasaskan beliau bersama sahabat-sahabat seperjuangannya.

Kepada ahli-ahli waris Al-Marhum dan kepada ikhwah di dalam Haluan adalah apa yang diajar oleh Allah swt melalui RasulNya di dalam Hadis, “Inna lillahi ma akhaz, wa lahu ma a’tho. Wa kullu syai’in indahu bi ajalim musamma. Fasbir wala tahtasib” (Milik Allah apa yang Dia ambil. MilikNya jua apa yang Dia beri. Tiap sesuatu punya tempoh tertentu disisiNya. Bersabarlah dan harapkan ganjaran Allah atas kesabaranmu itu” (Hadis Takziah). “Al-Baqa’ lillah” (Sesungguhnya kekal itu hanyalah Allah swt semata-mata). Rujukan : Majmu’ah Ar-Rasail Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna.

Dipetik dan dioalah semula dari www.inijalanku.wordpress.com

No comments: