Monday, December 6, 2010

Takwim Hijrah : Satu Soroton


Takwim dalam konteks Malaysia menurut Baharuddin Zainal ( 2003 ) merupakan satu produk sosial-agama-sains yang mempunyai ciri-ciri berikut :
1. Tarikh takwim dan maklumat asasnya boleh disusun untuk tempoh masa yang panjang.
2. Takwim mestilah mudah digunakan oleh masyarakat awam.
3. Mekanisme penyelarasan sistem takwim mesti objektif.

Penyusunan takwim oleh ahli falak melibatkan pengiraan yang agak rumit dan panjang. Ahli-ahli falak yang mengetahui dengan tepat gerakan bulan dan matahari mampu untuk menyusun takwim untuk tempoh yang panjang. Walau bagaimanapun pengiraan ini amat rumit untuk difahami dan digunakan oleh masyarakat awam ketika mereka hendak mengetahui awal tahun, bulan dan anggaran tarikh-tarikh perayaan dalam Islam. Para ahli falak mengambil inisiatif, menyusun satu jadual yang sifatnya mudah dan tidak menyusahkan orang awam unutk mereka gunakan dalam kegiatan seharian.

Maka taqwim pada hari ini adalah produk yang telah dipermudahkan bagi tujuan kegunaan awam. Satu ketika dulu juga wujud jadual-jadual mencari awal bulan yang disusun oleh ahli-ahli falak untuk kegunaan orang ramai. Jadual ini memerlukan sedikit pengiraan atau pembacaan jadual sebelum tarikh dan hari dapat ditentukan. Dengan jadual yang mudah, berkesan dan murah, masyarakat dapat mengatur kehidupan mereka dengan lebih teratur. Dalam koleksi penulis ada sebuah pengiraan takwim bertajuk Jadual al-Natijatul Daimah, boleh dibeli dengan harga hanya 25 sen.

Hijrah

Perkataan ‘hijrah’ sering kali disalahertikan oleh barat bila ia dirujuk kepada asal hijrah iaitu hajara iaitu memutuskan hubungan & meninggalkan kaum.

Syed Abul Hassan al-Nadwi( Ilyas: 94) berkata:

“ ..sememangnya ia ( kedatangan abad ke -15 ) merupakan peristiwa yang unik untuk difikirkan, apabila tarikh Islam tidak bermula dengan kemenangan Islam dalam peperangan begitu juga dengan kelahiran dan kewafatan nabi Muhammad SAW serta turunya Wahyu. Tarikh Islam bermula dengan Hijrah, atau pengorbanan demi kebenaran dan demi memelihara wahyu yang diturunkan. Ia sebenarnya satu pilihan yang diilhamkan oleh tuhan. Allah SWT ingin mendidik manusia bahawa pergelutan antara kebenaran dan kejahatan adalah kekal abadi. Tahun Islam tidak mengingatkan umat Islam pada setiap tahun akan kemegahan dan kegemilangan Islam, tetapi pengorbanan mereka dan mempersiapkan mereka melakukan pengorbanan yang sama.”

Kalendar Umat Islam Sebelum Takwim Hijrah Diperkenalkan

Umat Islam sebelum menggunakan kalendar Hijrah merujuk kepada peristiwa yang terbesar yang berlaku dalam 12 bulan atau tahun tersebut. Maka ada tahun disebut sebagai tahun Gajah ( Kelahiran nabi SAW ), tahun Bah dan sebagainya. Kedudukan nama 12 bulan adalah sama seperti yang digunakan pada hari ini oleh umat Islam. Dari 12 bulan tersebut ada 4 bulan yang disebut bulan-bulan haram, iaitu mereka diharamkan berperang pada bulan-bulan tersebut.

Bulan dan Maknanya

1. Muharram: Ini kerana orang-orang arab dilarang berperang di dalam bulan ini.
2. Safar: mereka biasanya keluar bermusafir kerana pergi berperang atau melarikan dari musim panas.
3. Rabi` al-Awwal: ( musim bunga ) biasanya ia bersamaan dengan musim bunga.
4. Rabi` al-Akhar: biasanya ia bersamaan dengan penghujung musim bunga.
5. Jumada al-‘Ula: ( Beku ) biasanya ia bersamaan dengan musim sejuk yang menyebabkan air membeku.( winter time.)
6. Jumada al-‘Ukhra: biasanya ia bersamaan dengan akhir musim sejuk.( winter time.)
7. Rajab: berasal dari kata ‘rajaba’ –menyucikan - ertinya menyucikan diri dari segala kekejian yang berlaku dari peperangan. Rejab adalah bulan haram.
8. Sha`ban: Berasal dari kata ‘tash`aba’, iaitu pergi ke arah yang berlainan, ini kerana mereka akan keluar melalui jalan berlainan untuk berperang.
9. Ramadan: Berasal dari kata ‘Ar-ramda’ yang merujuk kepada kepanasan yang bersangat.ini kerana cuaca panas yang sangat meyeliputi semenanjung arab ketika bulan ini.
10. Shawwal:. Shala : terangkat kerana pada zaman dahulu syawal adalah musim panas yg menyebabkan unta yang berjalan di padang pasir terangkat mulutnya dan menyeringai kerana kepanasan. Ada yg percaya bulan ini tidak elok berkahwin jadi Rasul SAW sengaja berkahwin dgn Aisyah pd bulan ini.
11. Dhul-Qi`dah: (duduk ) – rehat : Ini kerana orang Arab tidak berperang pada bulan ini kerana ia termasuk bulan-bulan haram.
12. Dhul-Hijjah: dinamakan demikian kerana ibadat haji dilakukan pada bulan ini.


Sejarah Takwim Hijri


Sejarah takwim hijri bermula pada era khalifah Umar al-Khattab r.a. Era kepimpinan Abu Bakr as-Siddiq, tidak memberikan kesempatan kepada umat Islam untuk menyemak hal ini disebabkan oleh tempoh yang pendek dan kesibukan umat Islam berhadapan dengan peperangan terhadap golongan Murtad. Sehinggalah pada tahun 17 selepas Hijrah, Umar al-Khattab yang menjadi Khalifah ketika itu melihat kepada perlunya umat Islam mempunyai suatu kalendar yang teguh untuk menjadi rangka masa pengurusan kehidupan seharian mereka serta pembinaan tamadun Islam itu sendiri. Perkara ini tercetus ketika mana Saidina umar menerima 3 surat :


1. Dari Abu Musa al-Ashaari dengan tidak disebutkan tarikhnya.
2. Gabenor Mesir yang hanya menyatakan syuhur sya’ban.
3. Ya’la Ibn Umayyah dari Yaman menulis surat dengan mencatatkan tarikh tahun hijrah saw.

Surat Abu Musa al-Ashaari dan Gabenor Mesir yang datang ini membingungkan beliau kerana tiada tarikh rujukan. Namun beliau tertarik dengan surat dari Ya’la Ibn Umayyah dari Yaman menulis surat dengan mencatatkan tarikh tahun hijrah Nabi saw. Lantas beliau mengumpulkan beberapa sahabat dan bermesyuarat dengan mereka. Di peringkat awalnya, mereka cenderung kepada menjadikan tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai permulaan kalendar Islam. Namun hal ini tidak mencapai persetujuan kerana umat Islam tidak sepakat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi SAW di antara 8 dan 12 Rabiul Awwal tahun 571M.

Begitu juga, kelahiran Nabi SAW bukanlah merupakan signifikasi terbesar terhadap baginda saw. Hal ini berlainan dengan orang Nasrani yang menyembah Isa AS dan mengangkat Baginda sebagai tuhan. Maka sudah tentulah kelahiran Nabi Isa itu yang dianggap sebagai peristiwa terpenting. Akhirnya umat Islam bersetuju meletakkan tahun peristiwa Hijrah sebagai permulaan hitungan kalendar mereka (Al-Bidayah wa an-Nihayah oleh Ibnu Kathir 2 / 259).

Oleh yang demikian, pada hari Rabu 20 Jamadil Akhir 17 Hijrah, Umar al-Khattab dan para sahabat telah bersetuju Taqwim Islam disusun berdasarkan tahun Hijrah baginda ke Yathrib ( Madinah ) . Menurut Sheikh Tahir Jalaluddin baginda sampai di Madinah ( Quba) pada hari Isnin 9 Rabiul Awwal 1 H bersamaan 20 Sept 622 M.( Khir: 22:1987 )

Dengan itu, perhitungan terhadap Taqwim Hijri memperolehi kesepakatan bahawa 1 Muharram tahun pertama Hijrah jatuh pada hari Khamis 15 Julai 622 M bersamaan tahun 4382 bagi kiraan Ibrani, 933 pada kalendar Alexander the Macedon dan 1375 pada kiraan Roman.

Wallahua’lam.

No comments: