Thursday, July 14, 2011


PELUANG MENYEMAK ARAH KIBLAT DI RUMAH.
Oleh : Mohamad Faizal Bin Jani

Firman Allah dalam surah al-Furqan : 45-46 :

"45. tidakkah Engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? - Bagaimana ia menjadikan bayang-bayang itu memanjang, dan jika ia kehendaki tentulah ia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda Yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu;
46. kemudian Kami tarik balik bayang-bayang itu kepada kami, Dengan beransur-ansur."

Fenomena matahari sedang mengalami istiwa dengan kaabah, merupakan kaedah yang efektif dan mudah dalam penentuan arah kiblat. Ia sangat popular di negara-negara nusantara. Ia bukanlah satu kaedah baru atau moden, tapi merupakan satu kaedah yang telah diamalkan oleh ulama’-ulama’ terdahulu. Walaupun begitu, ia masih lagi sesuai dan efektif untuk diamalkan pada zaman sekarang.

Apakah dia Istiwa Ad’zam.

Kaedah ini sebenarnya telah disebutkan di dalam kitab-kitab ulamak terdahulu seperti Kitab Tadzkirah Fil Ilmil al-Hayyah oleh Nasaruddin al-Tusi ( kurun ke-14 ) dan al-Syamsu al-Fatihah oleh Syeikh Umar Ismail Nuruddin 1343 H ( Tok Guru Sg. Keladi ). Ia mula ditimbulkan semula di pada 1990 oleh En. Baharuddin Zainal, Ketua Unit Falak Syarie, Kolej Agama Sultan Zainal Abidin ( sekarang dikenali sebagai Universiti Darul Iman kampus KUSZA ) dalam artikelnya di Berita Minggu 27 Mei 1990.

Ia akan berlaku ketika nilai sudut istiwa matahari akan bersamaan dengan nilai latitud Mekah, di mana kaabah terletak. Ketika fenomena ini berlaku, bayang objek tegak di seluruh dunia akan membetuli arah Qiblat.

Kejadian matahari istiwa ( rembang ) di atas Kaabah berlaku dua kali setahun. Fenomena ini berlaku mengikut waktu tempatan di Malaysia pada:
i. 28 Mei kira-kira jam 5.16 petang
ii. 16 Julai kira-kira jam 5.28 petang

Oleh kerana fenomena ini berlaku di sebelah petang bagi negara Malaysia, bayang objek akan jatuh ke sebelah Timur dan arah qiblat ialah arah yang mengarah ke barat. Bayang objek yang panjang sewaktu petang juga menyebabkan arah kiblat lebih mudah untuk diukur.

Penentuan arah kiblat ini, boleh dilakukan dengan panduan berikut :

1. Pilih tempat yang agak lapang dan terdedah kepada cahaya matahari.
2. Pacakkan satu tiang dikawasan yang hendak disemak arah kiblatnya.
3. Pastikan tiang tersebut dengan tegak dan lurus.
4. Tepat jam 5:16 ptg pada 28 Mei atau 5:28 petang pada 16 Julai, bayang objek yang wujud ketika itu bersamaan dengan arah kiblat.

Selain dari tiang yang dipacakkan, semakan boleh juga dibuat berdasarkan tiang rumah, sisi rumah yang tegak atau mana-mana objek yang tegak.

Fenomena Istiwa’ ini patut digunakan dengan sebaik mungkin oleh semua pihak atau orang perseorangan untuk menyemak kembali arah kiblat di rumah dan musolla. Bagi semakan arah kiblat pada masjid dan surau ia memerlukan sedikit kepakaran oleh mereka yang mahir dalam ilmu falak bagi mengelakkan kekeliruan dikalangan masyarakat.

Fenomena ini juga menunjukkan betapa harmoninya Islam memanfaatkan segala fenomena alam ini untuk kemaslahatan proses ibadah dan kehidupan umat Islam sejagat. Islam tidak pernah menolak kemampuan sains dalam menjadikan skop ibadah menjadi semakin mudah dan berkesan. Sesungguhnya dalam setiap gerak laku perjalanan alam ini yang ditadbir oleh Yang Maha Agung tidak ada sesuatu yang sia-sia. Inilah Islam yang Allah swt turunkan pada umat manusia sebagai satu cara hidup bagi kebahagian kita dunia dan akhirat.

Bagaimana fenomena ini boleh terjadi ?


Bumi kita berputar pada orbitnya 24 jam mengelilingi matahari. Bagi kita yang berada di Bumi, kesan dari pusingan bumi menyebabkan objek-objek di langit terlihat seolah-olah berputar mengelilingi Bumi dengan arah gerak berlawanan dengan arah pusingan Bumi. Bintang-bintang terlihat bergerak dari timur ke barat. Ini mirip dengan gerakan pohon-pohon yang kita amati ketika membawa kenderaan, seolah-olah pohon-pohon itu bergerak berlawanan arah dengan gerakan kenderaan kita. Efek pusingan ini juga menyebabkan kita mengamati benda-benda langit (termasuk Matahari) terbit di timur dan terbenam di barat.


Sementara itu, bumi kita beredar mengelilingi Matahari dalam tempoh 1 tahun ( tahun masihi ). Akibatnya, bintang-bintang pada langit dan matahari sendiri terlihat berubah posisinya dari hari ke hari, dan setelah satu tahun, kembali ke posisi semula. Matahari bergerak lebih kurang 1˚ sehari ke arah timur. Namun karena bidang peredaran bumi (ekliptik) tidak selari dengan pusingan Bumi, maka gerakan Matahari tadi pun tidak tepat ke arah timur, tetapi membentuk sudut 23.5ยบ.


Bumi dan matahari beredar di atas satah yang berbeza. Satah ini digambarkan seperti rel keretapi yang berbeza di mana bumi dan matahari berjalan di atas rel yang berbeza. Perbezaan satah bumi dan matahari akan mewujudkan sudut Istiwa di antara + 23˚ U dan – 23˚ S.


Berdasarkan rajah di atas satah matahari dan bumi bertemu pada A. Ketika matahari berada di A iaitu pada 21 Mac setiap tahun, sudut Istiwanya adalah 0˚. Begitu juga ketika matahari berada di C iaitu pada 23 Sept setiap tahun, sudut istiwanya juga adalah 0˚. Ketika matahari berada pada B iaitu pada 21 Jun sudut istiwanya ialah + 23 1/2˚ U . Ketika matahari berada pada D iaitu pada 22 Dis sudut istiwanya ialah - 23 1/2˚ S. Ini bermakna matahari akan menuju utara-selatan bagi putaran satu tahun yang akan mewujudkan 4 musim. Kesan putaran inilah juga menyebabkan, kita melihat matahari berada pada kedudukan berbeza pada setiap hari. Ketika mana matahari berada pada sudut istiwa yang sama dengan latitud tempatan, matahari akan berada tepat di titik zenit ketika waktu tengahari. Ini menyebabkan bayang yang wujud pada setengah tempat di bumi akan menunjukkan arah tempat tersebut.


Pada 28 Mei jam 5.16 ptg dan 16 Julai pada 5.28 ptg, matahari akan berada pada sudut istiwa 21˚ 25˚ 15˚ bersamaan dengan latitud makkah. Ini menyebabkan matahari akan berada hampir tepat pada titik zenit ( tengah-tengah langit Makkah ) iaitu pada 28 Mei jam 1.16 ptg dan 16 Julai pada 1.28 . Fenomena ini akan menyebabkan semua bayang yang wujud di setengah muka bumi, akan merujuk kepada arah kiblat.


Walau bagaimanapun kaedah ini hanya boleh digunakan bagi negara yang berada diantara latitud + 23 ½ ˚dan -231/2˚ dan juga negara yang mengalami waktu siang ( dalam jarak lebih kurang 90 darjah dari Makkah ( lihat rajah dibawah ) . Maka kerana itu bagi negara-negara yang sudah mengalami senja dan malam, pada ketika ini kaedah ini tidak dapat dipraktikan. Bagi penduduk Malaysia kaedah ini dapat diaplikasikan secara mudah dan efektif. Dengan kedudukan di antara kedudukan latitud 2˚ - 10˚ dan longitud 100˚-120˚, kedudukan kita memudahkan kaedah ini dibuat. Ini kerana pada waktu istiwa di Makkah kita sedang mengalami waktu petang. Bayang yang wujud pada waktu ini lebih panjang. Ini memudahkan penandaan arah kiblat dilakukan.


Walaubagaimanapun, bagi tempat-tempat yang mengalami malam ketika istiwa A’zam itu berlaku, mereka juga boleh dengan menggunakan kaedah yang sama pada 28 November 21:09 UT (29 November 05:09 pg waktu Malaysia ) dan 16 Januari 21:29 UT (17 Januari 05:29 pg waktu Malaysia), matahari tepat berada di bawah Ka'bah. Ini kerana pada saat tersebut, jika kita tepat menghadap ke arah Matahari, berarti kita tepat membelakangi arah kiblat. Jika kita memancangkan tongkat tegak lurus, maka arah jatuh bayangan tepat ke arah kiblat.

Fenomena Istiwa’ ini patut digunakan dengan sebaik mungkin oleh semua pihak atau orang perseorangan untuk menyemak kembali arah kiblat di rumah dan musolla. Bagi semakan arah kiblat pada masjid dan surau ia memerlukan sedikit kepakaran oleh mereka yang mahir dalam ilmu falak bagi mengelakkan kekeliruan dikalangan masyarakat.

Fenomena ini juga menunjukkan betapa harmoninya Islam memanfaatkan segala fenomena alam ini untuk kemaslahatan proses ibadah dan kehidupan umat Islam sejagat. Islam tidak pernah menolak kemampuan sains dalam menjadikan skop ibadah menjadi semakin mudah dan berkesan. Sesungguhnya dalam setiap gerak laku perjalanan alam ini yang ditadbir oleh Yang Maha Agung tidak ada sesuatu yang sia-sia. Inilah Islam yang Allah swt turunkan pada umat manusia sebagai satu cara hidup bagi kebahagian kita dunia dan akhirat.

















No comments: