Dalam bahasa Arab di sebut “ikhtabir alima al-lisan” diistilahkan oleh Sayidina Umar apabila beliau mengabadikan satu kaedah penting dalam sistem perlantikan pemimpin dalam Islam. Ahmad Ar Rashid dalam muntalaqnya menukilkan ibarat ini dalam rangka membongkar khazanah silam yang sangat berharga untuk menjadi panduan generasi kemudian. Kaedah ini jika dilaksanakan dengan baik akan dapat memelihara jamaah dari kerosakan diketuai oleh orang yang pandai cakap dakwah tetapi realitinya hidupnya tiada kaitan dengan dakwah atau jauh dari medan dakwah yang sebenarnya.Kadang-kadang terdapat dalam saf dakwah orang yang pandai cakap, atau membawa gelaran Dr atau professor dan sebagainya, lalu kita utamakannya dalam pemilihan kepimpinan tanpa memeriksa dulu amalan dia atau kerja dakwah dia, pengalamannya dalam amal dakwah, tarbiah dan tajmik.Itu akan menyebabkan jamaah berdepan dengan masalah besar kerana kita memilih pemimpin yang jahil tentang aspek amali dakwah dan terpisah dari pengikut serta tidak tahu realiti sebenar di medan. Bahayanya orang ini akan sentiasa mendominasi keputusan walaupun ia tidak alim dalam tindakan dan dakwah di medan.Ketajaman pandangan Umar r.a sangat perlu kita hayati supaya kita dapat mengelakkan sebahagian dari gejala tidak sihat berlaku dalam jamaah lantaran kita melantik orang yang alim cakap tapi tidak ada pengalaman mencukupi tentang dakwah dilapangan.Anda tentu pernah dengan satu kaedah yang menyebut, “al jundiayyah tariq ul qiyadah”, maksudnya al jundiyyah jalan menuju qiyadah. Untuk menjadi pemimpin sesaorang itu hendaklah memiliki pengalaman yang mencukupi dibidang dakwah dilapangan, tahu selok belok reality dan waqi’ dalam tanzim sendiri. Orang yang tidak cukup pengalaman sebagai jundi dan terlibat bergelumang dengan dakwah dilapangan bila di beri kepemimpinan akan merosakkan amal dan jamaah itu sendiri.
Saudaraku!
Ilmu bukanlah dengan banyak menaqalkan kata-kata ulamak atau banyak meriwayat tetapi ilmu ialah cahaya.Ibnu al Jauzi dalam kitabnya, kelebihan ilmu salaf ke atas ilmu khalaf menyebut; “Bukanlah ilmu itu dengan banyak riwayat, tidak juga dengan banyak menukil kata-kata ulamak (seperti berkata ulamak pulan dalam kitab fulan begian-begian), tetapi ilmu adalah cahaya yang dicampak ke dalam hati, dengannya ia mengetahui kebenaran, dan membezakan yang batil, ia mengungkapkannya dengan kalimah yang ringkas yang membawa kepada maksud.”Di riwayatkan bahawa Imam Syafie apabila ditanya oleh muridnya tetang sebab cepat lupa, beliau berkata; “Ilmu adalah cahaya, dan cahya Allah tidak di tunjukkan kepada orang yang melakukan maksiat”.Oleh itu apabila kita bertemu dengan manusia lantang bercakap, kadang-kadang membawa gelaran Dr /prof, nuqil sana nuqil sini, sebut kaedah itu, kaedah ini dalam bentuk yang samar dan tidak cermat, periksa dahulu latar belakangnya. Amal dakwahnya macam mana?, Tarbiahnya macam mana?, Tajmiknya setara mana? Pengorbanannya setakat mana, prestasi kerja sebelumnya bagaimana?Kadang-kadang orang cakap pandai penakut sifatnya, tidak berani turun medan, pencen baru nak berdakwah dan berharakah. Orang macam ni cakap je lah haraki, amalnya tidak haraki dan tak tidak ‘real’ fekahnya. Sebab itu Sayidina Umar sebut “uji dulu”, dan baginda apabila ingin melantik seseorang diletakkan dalam perhatiannya selama dua tahun, jika ia pasti ada kebenaran kata-katanya dalam amalan baru ia melantik, itu pun masih tidak pasti sepenuhnya.Perkara seperti ini tidak ganjil berlaku sebab hakikatnya “Orang yang membawa fikah tidak semestinya seorang yang fakih” (Sabda). Ada beza antara pembawa fikah dengan fakih. Pembawa fikah mungkin menghafal banyak nas, teks dan nuqilan-nuqilan tetapi dia sendiri tidak menjiwai dan tidak menghayati fiqah /ilmu tersebut atau ilmu itu tidak menyerap dalam jiwanya.Antara tanda orang yang menyerap ilmu dalam dirinya ialah timbul perasaan takut, waqar, dan wara’ pada tingkah laku dan tutur kata mereka. “hanya yang takut kepada Allah dari kalangan hambanya ialah ulamak” (firman). Orang yang ilmunya masuk dalam hatinya akan melahirkan rasa takut, rasa takut akan menjadikan ia berhati-hati, cermat dan bersungguh dalam memilih amal yang benar.“Orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya diazab sebelum penyembah berhala” (syair)Kalau cerita hujah penuh mulut tapi amal dakwah di medan tak ada, maknanya tidak ada khasyah (takut kerana melihat kekurangan diri). Lantaran kekurangan sifat al khasyah mereka bermudah-mudah dalam melepas cakap, menuduh (melabelkan orang) dan menghukum serta tidak cermat dalam menggunakan dalil (bukti).
Saudara !
Dalam masalah menghukum, bukti adalah seperti dalil yang merupakan “mazannah” yakni tempat yang berkemungkinan besar wujud hukum. Sebagai contoh pemburu menjejak rusa, bila dia menemui kesan tapak kaki atau najis haiwan tersebut ia mengatakan bahawa di situ ada rusa. Kalau seorang itu jahil tentang rusa pergi memburu, apabila ia melihat tapak harimau dan dia menyangknya tapak rusa dia mungkin membuat kesimpulan yang sangat berbahaya.Begitu juga dalam masalah hukum kepastian dalil amat penting. Sejauh mana kesahihan dalil akan membuktikan kesahihan hukum. Jika dalil atau bukti yang menjadi “mazannatul” hukum tidak wujud atau tidak sabit, hukum yang dijatuhkan sudah tentu batil dan palsu. Kita tidak boleh kata ‘Tanya hati’ dalam masalah hukum, kerana perasaan hati bukan mazannah hukum. Kadang-kadang ada orang kata nak tahu betul atau salah seseorang tanya hati anda. Ini mengikut feqah sesuatu yang amat tidak tepat, tetapi saya tidak pasti jika ada dalam ilmu psikologi !.Hukum adalah ilmu Tuhan. Kita tidak boleh sampai kepadanya kecuali dengan melalui dalil. Sebab itu bukti penting, dan pemeriksaan pembuktian penting dalam penghukuman.Bayangkan hukum yang dikeluarkan tanpa proses pembuktian yang dengan itu menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal, tidakkah itu boleh menyebabkan kezaliman yang besar dan pelampauan terhadap hudud Allah.“Nyawa, maruah dan harta muslim memiliki kehormatan yang tidak boleh dicerobohi oleh muslim yang lain”. (maksud hadis)Dalam parti politik atau jamaah yang didominan oleh tobo’ siasi. Kadang-kadang perselisih faham (tidak sependapat) dalam masalah haraki yang merupakan masalah ijtihadi, apa lagi jika dikuasai oleh “alim al lisan” boleh mengeluarkan tuduhan-tuduhan liar dengan mengambil istimbat yang salah dari kaedah-kaedah dan nas-nas syarak sehingga menggunakan kalimat melampau seperti menyifatkan orang yang tidak sealiran denganya sebagai bughah, khawarij dan sebagainya yang tidak kena pada tempatnya. Dia yang dilantik untuk melaksanakan hasrat dan amanah ahli yang ramai berlagak seperti amir al mukminin. Sesiapa yang tidak sependapat dengannya halal darah dan maruahnya.Bahkan keterlanjuran ini boleh menyebabkan ia melakukan fujur (zalim) dalam pergaduhan. Perselisihan pendapat dan pandangan tidak harus menyebabkan kebencian dan permusuhan walaupun antara pemimpin dengan pengikut. Tetapi mereka ini jika berselisih mereka melampau sehingga meretakkan hubungan hati dan melakukan fitnah. Akhirnya perbezaan pendapat menyebabkan permusuhan seperti orang berebut harta atau mata benda dunia.Selain menggunakan hujah secara tidak jujur dan benar mereka juga boleh menggunakan teknik-teknik mempengaruhi pandangan orang /pengikut yang suzzaj (dangkal) pengetahuannya seperti cara membuat tekanan, memujuk, menggunakan emosi dan sebagainya yang menyebabkan orang membuat keputusan secara tidak objektif. “Kalau anda tidak sokong pandangan saya dunia akan terbalik”, katanya. Lalu pengikut pun berkata, “Ya, ya tuan pemimpin”.Antara kebijaksanaan mereka juga ialah menggunakan senjata taat untuk menghalang kebebasan berfikir dan membuat keputusan. Dengan itu lahirlah dalam saf pengikut-pengikut yang imma’ah (pak turut). Baik kata orang baiklah, buruk kata orang buruklah, apalagi kalau orang itu pemimpin yang alim cakap. Beri pendapat berlainan bermakna melanggar qarar jamaah. Ada dikalangan pengikut yang berkata, “Saya dah sepuluh tahun berpendapat bahawa ada tidak kena dengan cara kerja jamaah ini, tetapi saya tidak berani menyatakannya kerana saya menghormati sistem jamaah (indhibat)”. Ada yang kata “Saya tidak setuju dengan cara ini dan saya tahu ia salah tetapi apakan daya saya hanya seorang jundi”. Ini simptom yang sangat negatif jika wujud dalam Jamaah Islam.Sikap sedemikian sebenarnya tidak tepat dan bukan jenis sifat individu yang ingin dilahirkan oleh Tarbiyah Islamiah. Allah s.w.t menggesa supaya Nabi s.a,w mendangar pandangan sahabat. Tengok apa yang berlaku dalam peristiwa memilih tempat di perang Badar, sahabat bertanya “Adakah ini tempat yang Allah suruh atau ini taktik perang”, Rasulullah menjawab “Bahkan ia taktik perang”. Sahabat berkata, “Kalau begitu ini bukan tempatnya”. Nabi terima pandangan sahabat walaupun nampak seperti sahabat lebih pandai dari baginda.Dalam harakah, “alim lisan” ini sukar menerima situasi yang seperti itu kerana ia boleh merosakkan pandangan umum terhadapnya. Kalau dia menerima pandangan orang lain yang bercanggah dengan pendapatnya bermakna orang itu lebih pandai darinya. Itu mustahil dan tidak mungkin.Lihat contoh yang berlaku kepada Sayidina Omar, apabila ia meminta daripada pengikut-pengikutnya “sam’an wa thoah” dalam satu majlis, pengikutnya berkata, “Tiada sam’an wa thoah sehingga engkau menjelaskan kenapa jubah mu lebih labuh /panjang dari jubah orang lain”. Ini masalah jubah bukan masalah strategi yang tentunya lebih besar. Dan sebaliknya Sayidina Omar yang garang itu mengucapkan “al-hamdulillah, ada dikalangan pengikutnya yang berkata; “Jika engkau menyeleweng kami akan membetulkan kamu dengan pedang-pedang kami”.Alimi lisan bila hendak diperbetulkan dan diminta supaya mengakui kebenaran apa yang dibawa oleh orang lain akan melenting dan mengamuk secara luar biasa sekali.Berani kamu tunjuk belang untuk memperbetulkan saya, saya tahu kebenaran itu dan saya boleh buat sendiri… Tunggulah saya akan menghukum kamu kerana keberanian kamu menyatakan dan mendedah kelemahan saya. Ini menunjukkan kamu telah melanggar arahan dan peraturan jammaah. Ini bughah namanya.Inna lillah wainna ilaihi rajiun..Anda mungkin tidak percaya contoh dan gambaran yang saya berikan tetapi ia adalah kisah benar yang saya mahu abadikan untuk menjadi pengajaran kepada generasi akan datang. Inilah bahayanya alim yang ilmunya tidak masuk dalam hati (alimu lisan) kemudian diberi mandat untuk memimpin dalam jamaah.Oleh itu uji dulu orang “alim cakap”, cakapnya kuat, lantang dihiasi hujjah dan sulaman takwa tetapi hakikat kehidupanya jauh dari medan dakwah yang hakiki.
di sadur dari ismaweb.
No comments:
Post a Comment