Wednesday, January 7, 2009

PETIKAN UCAPAN YDP

Di bawah ini adalah sedutan petikan YDP PPUP sempena meraikan Tokoh Maal Hijrah 1430 dan perlantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak yang baru pada 10 Muharam 1430 bersamaan 7 Januari 2009 di Kompleks Islam...

........Tahun hijrah 1429/2008 telah melabuhkan tirainya dan kita sedang menyingkap tirai tahun baru 1430/2009 yang dimulai dengan peristiwa suka dan duka .Berduka kerana tahun baru ini kita mulai dengan berkongsi penderitaan dengan saudara –saudara muslim kita di Palestine dan di seluruh dunia .Kisah suka kita yang wajib diiringi dengan syukur ialah , kita menumpang bangga dan gembira dengan penganugerahan Tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan kepada SS Dato Seri Dr Hj Harussani b Hj Zakaria Mufti merangkap Penasihat PPUP dan perlantikan SF Dato Syeikh Mohammad Nor Mansur Al Hafiz mantan YDP PPUP sebagai pengarah JAIPk yang baru .Sesungguhnya suka dan duka , syukur dan sabar adalah ramuan terbaik untuk kita menyusun strategi memantapkan perjuangan masa depan yang perjalanannya masih jauh.

Pada hari ini saya mewakili rakan-rakan ahli PPUP serta kita semua meraikan dan mengucapkan tahniah kepada dua orang tokoh besar kita yang mengajar kita konsep “tiada yang diistilahkan pencen” dalam berjihad memperjuangkan agama.Usaha memartabatkan agama yang terbukti telah dilakukan oleh kedua tokoh ini jauh mendahului usia dan tenaga mereka sepatutnya menjadi contoh tauladan kepada kita semua .Semoga Allah SWT terus melanjutkan usia dan menetapkan iman mereka berdua mempertahan agama yang suci ini.

PPUP sangat berbangga dengan kedua-dua anugerah ini kerana secara tidak langsung membuktikan bahawa satu pengiktirafan masyarakat dan pihak berkuasa kepada jasa dan kemampuan tokoh agama dan ulama’ memimpin masyarakat kerana selama ini sangat sinis golongan ini disindir dan dipermainkan oleh sesetengah pihak.Membela agama menerusi mempertingkatkan keyakinan masyarakat terhadap kemampuan pegawai-pegawai agama berkarier adalah salah satu matlamat perjuangan PPUP sepertimana sedia maklum.

Namun di sebalik anugerah ini jangan dilupa ia mengandungi satu amanah besar kepada kita semua (ada taklif di sebalik tasyrif).Kami ahli-ahli PPUP berdoa kepada ALLAH SWT agar sepasang regu utama pentadbiran agama negeri ini dapat memimpin dan mengurus agama yang suci ini dengan jayanya .Ini memerlukan usaha yang besar , yang perlu didokong oleh semua kita khususnya ahli-ahli PPUP .Saya menyeru diri saya dan ahli-ahli PPUP serta kita semua berilah sepenuh kerjasama kepada kedua-dua tokoh ini demi kesucian agama tercinta.

Sekali lagi kami ucapkan tahniah kepada SS Dato Seri Dr Hj Harussani bin Hj Zakaria dan SF Dato Syeikh Mohamad Nor Mansur Al Hafiz.

Saya akhiri dengan satu peringatan dari Allah SWT

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

No comments: