Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak adalah badan tertinggi yang menaungi 3 buah Jabatan yang menjalankan operasi keagamaan iaitu Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Kehakiman Syariah Perak dan Jabatan Mufti Negeri Perak. Dari segi pengurusan, pentadbiran dan kewangannya diwujudkan Baitulmal yang kini lebih diwar-warkan dengan nama Majlis itu sendiri. Berdasarkan hiraki yang ada maka anggota agensi-agensi agama ini sepatutnya menjadi anggota kerajaan yang paling hampir dengan istana terutamanya apabila Yang Dipertua Majlis diamanahkan kepada DYMM Raja Muda Perak.
Oleh kerana sekian lama Jabatan diketuai oleh PTD, maka tiada sebarang perhatian istimewa kepada Pegawai-Pegawai Agama untuk dihubungkan dengan pihak istana. Pemberian pingat dan darjah kebesaran juga tidaklah diberikan sebarang keutamaan bagi Pegawai-Pegawai Agama berbanding yang lain. Tambahan pula sikap sebahagian Pegawai Agama yang tidak mahu menonjolkan diri ketika berurusan dengan pihak istana.
Sepanjang tempoh tersebut berbagai bidang perkhidmatan telah mendapat perkenan untuk majlis santapan berbuka bersama. Antara yang ada setiap tahun adalah agensi ketenteraan, pendidikan, NGO dan orang-orang besar kerajaan. Hanya pada tahun ini setelah Pegawai Agama menjadi pengarah, buat julung kalinya Majlis Berbuka Puasa Bersama Pegawai Agama dan Imam diadakan pada Hari Ahad, 30 Ogos 2009, jam 6.30 petang. Ini merupakan satu perkembangan yang amat sihat ke arah peningkatan hubungan pegawai-pegawai agama dengan pihak istana. Namun apa yang merungsingkan kerana ada desas desus yang menyatakan beberapa kategori pegawai yang tidak mendapat jemputan. Mungkin juga sebahagian yang dijemput menganggap ringan dan tidak mengambil bahagian. Walaupun perhubungan rapat dengan pihak istana bukanlah terlalu penting dinisbahkan kepada kepentingan peribadi namun atas nama institusi agama semua pegawai mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk mengangkat martabat institusi ini.
No comments:
Post a Comment