Tuesday, December 22, 2009

ADUN Slim River Berniat Jahat

Persatuan Pegawai-Pegawai Ugama Perak (PPUP) merasa amat kesal dengan dakwaan biadab ADUN Slim River yang menuduh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Dato’ Mohamad Nor Mansor cuba bermain politik dalam soal perlantikan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid di seluruh negeri, dengan membelakangkan senarai yang telah diperkenankan oleh DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP).



Malah lebih keterlaluan apabila beliau mengatakan bahawa Modus operandi Pengarah JAIP adalah dengan mengarahkan PTA supaya memotong nama-nama yang telah diperkenankan oleh DYTM Tuanku Raja Muda dan memasukkan nama-nama pemimpin Pas sebelum senarai itu dihantar semula ke pejabat JAIP. Kemudian JAIP akan membuat senarai baru tanpa merujuknya semula kepada OBJ, yang mewakili baginda Sultan di peringkat daerah.


Ini jelas menunjukkan niat jahat beliau yang memandang serong terhadap Pengarah, Jabatan Agama Islam Perak yang diberi kepercayaan oleh Kerajaan Negeri Perak dan DYMM Sultan Perak bagi memimpin institusi agama yang amat penting di negeri ini.


Apa yang menghairankan, apakah beliau lebih mengetahui senarai nama yang telah diperkenankan oleh Majlis berbanding Pengarah, Jabatan Agama Islam Perak merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak itu sendiri.


Apakah beliau ingin mengatakan bahawa hanya ahli UMNO sahaja yang layak dan boleh dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kariah. Beliau juga melakukan penghinaan terhadap Pegawai-Pegawa Tadbir Agama Daerah yang dianggap boleh diarah sesuka hati untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang.


Segala kenyataan beliau jelas menunjukkan kejahilan beliau terhadap undang-undang yang memperuntukkan bahawa Pegawai Tadbir Agama Daerah adalah pihak yang dipertanggungjawabkan bagi mencadangkan senarai nama AJK Kariah untuk dilantik oleh Majlis.


Adalah diharapkan agar masjid dan surau tidak dijadikan sebagai medan perebutan politik dengan menafikan kelayakan merka yang tidak sehaluan walaupun memiliki ciri-ciri yang dikehendaki oleh Allah dan cuba meletakkan sesiapa sahaja tanpa menilai kesesuaiannya asal sahaja mereka menyokong ideologi politik kita.

5 comments:

Unknown said...

http://khusairitgmalim.blogspot.com/2009/12/isu-masjid-tangguh-kali-ke-3.html

Akibat sikap Pegawai Tadbir Agama (PTA) Slim River yang terus mahu berpolitik dalam perlantikan ahli jawatankuasa masjid, majlis penyerahan tauliah yang dijadualkan esok (30 Disember) terpaksa ditangguhkan lagi.

Ini adalah penangguhan kali ketiga, selepas tindakan yang sama diambil pada 11 dan 21 Disember lalu.

Orang Besar Jajahan (OBJ) Batang Padang, Dato’ Seri Yeop Junior Yeop Adlan terpaksa menangguhkan majlis esok setelah menerima panggilan PTA Slim River, Mohklis Husain yang mengatakan berlaku kesilapan terhadap senarai penerima tauliah.

Dato’ Seri Yeop Junior ketika dihubungi berkata, atas perkenan DYTM Raja Muda Perak, beliau telahpun mengarahkan PTA supaya mengadakan majlis penyerahan tauliah kepada masjid-masjid yang tidak terlibat dalam isu perubahan nama jawatankuasa dalam Mukim Slim dan Mukim Hulu Bernam.

OBJ telah meminta Mokhlis supaya tujuh masjid lain yang senarai nama jawatankuasanya telah diubah oleh PTA berkenaan tanpa restu beliau sebelum ini dikeluarkan dari senarai penerima esok sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Arahan saya kepada PTA cukup mudah, mengatur majlis untuk penyerahan tauliah kepada masjid-masjid yang tidak bermasalah. Tetapi beliau memberitahu saya bahawa keraninya tersilap menyenaikan nama penerima tauliah esok. Saya terpaksa mengarahkan supaya majlis itu ditangguhkan,” katanya dalam nada kesal.

Tidak pula diketahui apakah kesilapan yang telah berlaku terhadap senarai penerima, dan sehingga pagi tadi, PTA tidak mahu mendedahkan senarai itu kepada OBJ dan dan dua penghulu mukim berkenaan, seolah-olah ada rahsia besar yang mahu disorokkan.

Inilah yang berlaku sebelum ini terhadap nama-nama Pengerusi dan ahli jawatankuasa beberapa masjid yang diubah sesuka hati oleh PTA berkenaan pada saat-saat akhir, tanpa merujuk semula kepada OBJ yang mewakili DYMM Sultan selaku Ketua Agama Islam Negeri, malahan jauh sekali memaklumkannya kepada Penghulu Mukim yang turut diberikan peranan membincangkan senarai berkenaan.

Amat jelas bahawa di bawah Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 memperuntukkan bahawa “Pegawai Tadbir Agama dan Penghulu setelah berunding dengan Orang Besar Jajahan, hendaklah mencadangkan kepada Majlis melalui Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, ahli Jawatankuasa Kariah bagi jawatan yang dinyatakan dalam subkaedah (2)(a) hingga (j) dalam Borang JK 1 Jadual Pertama”.

Dalam kaedah ini ternyata PTA tidak boleh sesuka hatinya mengubah nama-nama yang telah dibincangkan dengan Penghulu dan telah dirundingkan dengan OBJ, tetapi dalam kes di Mukim Slim dan Hulu Bernam, secara jelas PTA mengubah nama-nama Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa beberapa masjid tanpa memaklumkannya semula kepada OBJ dan Penghulu.

Tetapi pemimpin dan blogger Pas, termasuk beberapa pegawai kanan di Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), memutarbelitkan Enakmen ini seolah-olah PTA mempunyai kuasa penuh untuk mengubah nama-nama yang telah dibincangkan dengan OBJ dan Penghulu, sedangkan siapakah PTA mahu berbuat demikian sehingga membelakangkan OBJ yang mewakili DYMM Tuanku di peringkat daerah.

Tindakan OBJ mengarahkan supaya majlis penyerahan tauliah esok ditangguhkan sudah pasti bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini, di mana berkemungkinan penerimanya tidak mengikut senarai asal yang telah dipersetujui.

Satu mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAIMP) akan diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 9 Januari nanti dipengerusikan oleh DYTM Raja Muda Perak yang akan turut membincangkan isu perubahan nama-nama ahli jawatankuasa masjid di seluruh negeri.

Semoga kemelut ini yang berpunca dari percubaan pegawai-pegawai JAIP dan PTA mengheret institusi masjid ke kancah politik dapat diselesaikan dalam mesyuarat berkenaan.

Masjid bukanlah gelanggang untuk berpolitik. Jika ada pegawai JAIP dan PTA mahu bermain politik, letaklah jawatan berkenaan dan bersilatlah secara terang dalam arena.

Unknown said...

http://khusairitgmalim.blogspot.com/2009/12/isu-masjid-pengarah-jaip-nafi-keluar.html

Agak menghairankan – siapakah yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan rasmi Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) di dalam laman web jabatan itu mengenai masalah perlantikan ahli jawatankuasa khariah masjid di Negeri Perak pada 21 Disember lalu?

Pengarah JAIP, Dato' Sheikh Mohd Nor Mansur Al-Hafiz ketika menghubungi saya sebentar tadi berkata, beliau tidak pernah membenarkan sebarang kenyataan rasmi dibuat berhubung isu ini, dan menyatakan rasa terkejutnya dengan apa yang disiarkan.

Kenyataan rasmi JAIP itu boleh dibaca di sini http://idhamlim.blogspot.com/2009/12/kenyataan-rasmi-mengenai-permasalahan.html

“Adalah pihak tertentu di jabatan yang pandai-pandai mengeluarkan kenyataan ini tanpa merujuk kepada saya atau Timbalan saya,” kata Dato' Sheikh Mohd Nor yang ketika menghubungi saya, beliau dalam perjalanan ke Lumut untuk melawat anaknya.

Dalam nada suara yang amat kesal, Dato' Sheikh Mohd Nor memberitahu saya bahawa pada hari Isnin nanti, beliau akan menyiasat siapakah yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan itu di dalam portal rasmi JAIP dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan.

Beliau berkata, masalah itu sepatutnya sudahpun selesai dalam pertemuannya dengan Pegawai Tadbir Agama (PTA) Slim River pada 17 Disember lalu. Ketika itu beliau telah menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan PTA tersebut mengubah nama-nama yang telah dibawa dalam perbincangan dengan Orang Besar Jajahan (OBJ) dan Penghulu Mukim dan meminta supaya menyeraikan semula nama-nama asal.

Kepada Dato' Sheikh Mohd Nor, saya yakin dengan keikhlasan Dato' dalam isu ini. Soalnya kini, siapakah di pejabat JAIP yang cuba menggunakan kuasa Pengarah?

Unknown said...

Dan saya meminta Persatuan Pegawai-Pegawai Ugama Perak (PPUP) segera memilih samada membetulkan beberapa ayat dan perkataan terhadap saya dalam artikel ini, atau sedia berhadapan dengan tindakan tegas terhadap persatuan ini.

"Persatuan Pegawai-Pegawai Ugama Perak (PPUP) merasa amat kesal dengan dakwaan biadab ADUN Slim River yang menuduh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Dato’ Mohamad Nor Mansor cuba bermain politik dalam soal perlantikan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid di seluruh negeri, dengan membelakangkan senarai yang telah diperkenankan oleh DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP)."

"Apakah beliau ingin mengatakan bahawa hanya ahli UMNO sahaja yang layak dan boleh dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kariah. Beliau juga melakukan penghinaan terhadap Pegawai-Pegawa Tadbir Agama Daerah yang dianggap boleh diarah sesuka hati untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang."

"Segala kenyataan beliau jelas menunjukkan kejahilan beliau terhadap undang-undang yang memperuntukkan bahawa Pegawai Tadbir Agama Daerah adalah pihak yang dipertanggungjawabkan bagi mencadangkan senarai nama AJK Kariah untuk dilantik oleh Majlis".

Saya akan memantau pembetulan itu di dalam blog ini.

Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib
Adun Slim
30/12/2009

Abu Izzah At-Tualanji said...

Bagi pihak persatuan say minta YB sila nyatakan apakah ayat yang perlu kepada pembetulan seperti yang dimaksudkan. Kami tidak memahami bagaimana YB boleh melemparkan berbagai perkataan yang jauh lebih kesat terhadap Pengarah dan Pegawai Tadbir Agama tetapi melenting bila pihak kami menyatakan pendirian kami.Kami mengetahui dengan jelas senarai manakah yang sebenarnya yang dibawa ke Persidangan Majlis. Namun oleh kerana tidak mahu mengeruhkan lagi suasana kami tidak mempertikaikan penyelesaian yang dibuat. Bukan kemenangan yang dicari tetapi kebenaran yang hakiki

Anonymous said...

Tahukah Persatuan macam mana penceramaha dan AJK sekarang menjalankan tugas mereka. Ini termasuk lah setiap kali Bekas Menteri Besar singgah Soalt Jumaat dia lah yang akan mengimamkan solat tersebut. Dari siapa kah dia dapat kebenran demikian .
AJK lebih penting pada penceramah yang menyampaikan kempen parti dari menyampai kan ilmu agama.