Sebahagian besar daripada kita sedang berdebar-debar menantikan keluarnya surat keramat pertukaran pegawai sebahagimana yang dijanjikan. Episod pertukaran ini adalah satu episod yang berpanjangan sepanjang usia perkhidmatan seseorang pegawai. Terdapat beberapa keajaiban dalam urusan pertukaran ini bukan sahaja di institusi agama malah di mana-mana agensi. Tidak ramai yang mempedulikan pertukaran Pegawai Daerah walaupun mereka orang no. 1 di daerah, berbeza dengan pertukaran para Penghulu yang mengundang seribu satu kemelut yang berpanjangan. Walaupun dari segi statusnya yang tinggi di mata masyarakat setempat, pertukaran Pegawai Tadbir Agama Daerah bukan suatu yang sering dibahaskan, kecuali satu dua pegawai yang mendapat bantahan daripada kelompok politik kampungan. Berbeza suasananya dengan pertukaran imam-imam, yang menyebabkan timbulnya berbagai memorandum dari berbagai pihak termasuk yang ditandatangani ahli kariah yang entah faham entahkan tidak. Arahan pertukaran para imam di seluruh Perak beberapa bulan sudah, memperlihatkan permohonan penangguhan dan sehingga kini seolah-olah arahan tersebut tidak pernah dipatuhi.
Oleh kerana pertukaran ini tidak dilaksanakan secara berkala, maka ianya sering dilihat dari sudut yang negatif. Oleh kerana ada yang tidak pernah bertukar semenjak belasan tahun, ada yang tidak pernah menjejakkan kaki ke daerah-daerah dan ada yang berlegar di sekitar satu dua bahagian sahaja menyebabkan kegusaran kepada beberapa pihak yang kerap terlibat dengan pertukaran. Oleh kerana seringkali pertukaran terjadi berpunca daripada sesuatu kes atau isu yang tidak selesai, maka ramai yang menganggap bahawa pertukaran dibuat bagi menghukum seseorang pegawai.
Berbagai sebab sebenarnya boleh dijadikan alasan untuk membuat pertukaran. Walau apapun alasannya, kepentingan perkhidmatan adalah keutamaan tertinggi berbanding kepentingan peribadi. Lebih malang lagi jika pertukaran dibuat bagi memenuhi nafsu serakah pimpinan politik yang berfikiran sempit. Bagi yang terselamat daripada pertukaran mungkin boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu bersusah payah. Namun suatu perkara yang perlu kita ingat, bahawa Nabi Muhammad saw tidak mungkin mampu memerintah jika tidak berhijrah dari Mekah ke Madinah. Para ulamak yang hebat hanya dikenali ramai hasil hijrah mereka ke berbagai tempat. Maka rugilah kita jika hanya mempertahankan kedudukan yang kita sedang nikmati, tanpa mahu memperluaskan pengalaman kerja dengan mengambil risiko dan cabaran yang ada di tempat baru dengan suasana baru, teman-teman baru dan semangat yang baru.
No comments:
Post a Comment