Setinggi-tinggi pujian harus diberikan terhadap perlaksanaan segera oleh Jabatan Penjara terhadap 3 pesalah wanita bersama empat lagi pesalah lelaki yang disabitkan mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.
Tak perlulah mengharapkan golongan yang prejudis terhadap Islam untuk menyokong dan tidak membangkang perlaksanaan Hukum Islam kerana mereka sememangnya tidak mahu belajar untuk memahaminya. Tidak perlulah ada pihak yang menimbulkan soal kegagalan kita memberikan kefahaman kepada masyarakat terhadap Islam dan perlaksanaannya memandangkan bukan sedikit Orang Bukan Islam yang amat memahami mengenai keindahan Islam pada zaman ledakan maklumat yang merata pada hari ini. Apakah alasan bagi yang mengaku sebagai Islam untuk tidak memahami apatah lagi memusuhi Islam dan Perlaksanaan Syariatnya.