Tuesday, February 23, 2010

Hukuman Sebat ; Maju Setapak Lagi

Tindakan Sisters in Islam (SIS) membidas tindakan Jabatan Penjara melaksanakan hukuman sebatan ke atas tiga wanita Islam berhubung kesalahan mengadakan seks haram dengan menganggapnya sebagai satu diskriminasi terhadap kaum wanita bukanlah suatu yang menghairankan.
Oleh kerana belum ada sebarang tindakan diambil terhadap mereka, tidak ada apa yang dibimbangkan oleh mereka untuk terus mempersendakan Islam. Pengarah Eksekutifnya, Dr Hamidah Maricanpun bukanlah layak untuk diambil kira pandangannya kerana beliau bukanlah begitu memahami ajaran Islam itu sendiri.
Apa wajarnya mereka bercakap soal hak sama rata mengikut Perlembagaan Persekutuan dan wanita tidak boleh disebat menurut Seksyen 289 Akta Kanun Jenayah jika mereka sendiri tidak pernah menghormati Enakmen Jenayah Syariah yang dihormati oleh kedua-dua undang-undang tersebut.

Setinggi-tinggi pujian harus diberikan terhadap perlaksanaan segera oleh Jabatan Penjara terhadap 3 pesalah wanita bersama empat lagi pesalah lelaki yang disabitkan mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.

Tak perlulah mengharapkan golongan yang prejudis terhadap Islam untuk menyokong dan tidak membangkang perlaksanaan Hukum Islam kerana mereka sememangnya tidak mahu belajar untuk memahaminya. Tidak perlulah ada pihak yang menimbulkan soal kegagalan kita memberikan kefahaman kepada masyarakat terhadap Islam dan perlaksanaannya memandangkan bukan sedikit Orang Bukan Islam yang amat memahami mengenai keindahan Islam pada zaman ledakan maklumat yang merata pada hari ini. Apakah alasan bagi yang mengaku sebagai Islam untuk tidak memahami apatah lagi memusuhi Islam dan Perlaksanaan Syariatnya.

No comments: