Sunday, June 14, 2009

Kewafatan Asy-Sheikh Fathi Yakan

Beliau diberitakan telah wafat pada Hari Sabtu iaitu pada jam 4.45 petang. Jasadnya akan dipindahkan pada pagi Ahad dari Hospital Otel Deo (Timur Beirut) ke Tarablas di Utara lubnan.

Jenazah beliau akan disolatkan pada asar Hari Ahad 21 Jamadul Akhir 1430 Hijrah di Masjid Tinal dan akan dikebumikan di perkuburan keluarga di Babur Raml.

Asy-Sheikh Fathi Yakan dilahirkan di Tarablas pada tahun 1933 dan telah mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja dakwah Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau telah menjawat ketua umum di dalam Jamaah Islam (cawangan ikwanul muslimin) sehinggalah pada tahun 1992.

Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai Jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Nahrul Barid di utara Lubnan di antara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pada tahun 2007.

Beliau telah banyak mengarang buku diantaranya Maaza Ya'ni Intimaaii lil Islam, Al-Mutasiqituna Fala Toriq Da'wah, Kaifu Nadwu lil Islam dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku. Beliau telah memantau laman web dakwah.net. Isteri beliau bernama Mona Yakan dan mempunyai 4 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.

MOGA-MOGA ALLAH MERAHMATI BELIAU DAN MEMBERI KESABARAN KEPADA AHLI KELUARGA BELIAU.

Tuesday, June 9, 2009

Peranan Institusi Ulama’ dan Mufti dalam rangka Melayu Islam

Penulisan ini adalah tulisan bebas tanpa terikatan elemen politik kepartian. Namun dalam kondisi sebenar tulisan ini adalah suatu pemaknaan kepada situasi siasah syariyyah dalam pengertian teoretikal dan praktikal. Isu penyelaran mufti kelihatan sebagai suatu tragedi pada hari ini. Lebih malang apabila isu sensitif dalam politik kotor Barisan Nasional di Perak telah mengheret Mufti ke dalam lembah serba salah dan dalam keadaan apologatik yang kritikal. Manipulasi media serta pemahaman rakyat biasa yang jarang menganalisa fakta menyebabkan institusi Ulama’ dan Kemuftian ini diselar dengan begitu teruk.

TERAS adalah antara NGO yang tegar memperjuang nilai Islam, sistem pentadbiran Islam, penataran dan pengupayaan melayu berteraskan Islam serta institusi yang menjadi ‘tiang seri’ melayu iaitu Ulama’, Mufti dan Raja-raja melayu. Untuk berinteraksi dengan sistem mufti dan raja-raja melayu, suka untuk saya jelaskan pengertian politik menurut teoretikal Islam serta praktikal politik raja berpelembagaan hari ini.

Walaupun raja-raja melayu berada di atas politik kepartian, dalam erti sebenar kedudukan Raja melayu dan Mufti adalah ‘seia’ dan ‘sekata’ dalam sistem politik siasah Islam sejak awal kesultanan Melayu. Lantaran itu umara’ dan ulama’ seiring dan sejalan dalam menentu dasar bukan sekadar dalam persejarahan Melaka, malah juga dalam pentadbiran Kesultanan Brunei, Kesultanan Sulu, Kesultanan Fatani Darussalam, Kesultanan Islam Acheh serta pentadbiran Islam di pantai Timur.

Hari ini apabila politik bertukar kepada Raja Berpelembagaan, kedudukan Raja pula masih dijunjung tinggi, namun dengan nasihat eksekutif dan pemantauan legislatif. Manakala Mufti masih kekal diletakkan di tempatnya tanpa ada pengaruh politik kepartian.

Dalam kes kegeringan politik di Perak, pendapat dan kenyataan Mufti Perak pada saya adalah bersifat teoretikal umum iaitu penjelasan kedudukan Raja melayu. Tiada hal atau isu bahawa Mufti telah menyebelahi mana-mana parti politik. Malah jasa dan kelantangan Mufti Perak dalam menyelar isu murtad, mempertahankan adanya agenda murtadisasi terancang di Malaysia, mempertahankan umat Islam daripada Islam liberal serta mengeluarkan banyak fatwa yang mencabar agenda-agenda hedonisme amat perlu kita nilai dan hargai semula. Mufti perlu kekal sebagai kedudukannya sama seperti kedudukan raja yang diterima pakai umum sebagai kerusi bukan politik kepartian walaupun dalam erti hakikat, mereka mengapung kondisi siasah Islam yang sebenarnya.

Walaupun begitu jika ada teguran kepada Mufti-mufti, ia adalah saranan yang penuh keluwesan dan menampilkan sikap rakyat Malaysia yang senantiasa menegur kepincangan dan kerosakan yag berlaku di Malaysia. Tegurlah secara berhemah tanpa menjatuhkan kedudukan Mufti dan ulama’ sebagai teras peneguhan kosmo melayu Islam. Sebagaimana hemahnya kita menegur raja-raja melayu dengan adab dan kesusilaan yang luhur, perlu juga ulama’ dan mufti yang telah berabad-abad wujud di bumi melayu sebagai pendokong rangka tubuh Melayu yang berteraskan Islam dilayan dengan sewajarnya, kena pada tempatnya.

Pada saya Mufti juga manusia yang mungkin ada kesilapannya. Namun tugasan mufti selaku pengkaji fatwa, rangka dasar syariah dan hukum-hakam Islam yang amat tinggi tanggungjawabnya di akhirat kelak bukan mudah untuk disandang, malah terlalu ramai alim ulama’ yang akan menolak jawatan tersebut.

Namun Mufti selaku ‘pendakwah utama’ dalam sesebuah negeri perlu memainkan peranan optima, aktif dan berkesan agar wibawa dan karisma institsu Mufti tinggi di mata rakyat yang rata-rata keliru dan kurang jelas dengan peranan penting Mufti-Mufti. Mufti juga perlu memiliki agnda aktivisme agar dakwah dan siar raya Islam efektif dalam masyarakat.
Diharapkan penulisan ini berperanan sebagai salah satu pandangan umum (public opinion) untuk diteliti ramai dalam usaha menobatkan Islam, sistem ulama’ dan ketuanan Islam di bumi Malaysia.

Muhammad Nuruddin Bashah
Jurutera Metallurgis
Setiausaha TERAS Perak

Monday, June 8, 2009

mencabar kemampuan.

Muslim yang melakarkan sejarah secara umumnya adalah manusia yang melakukan sesuatu di luar kotak pemikiran biasa manusia lain. Tetapi apabila seseorang terperangkap dengan realiti yang menyelubunginya, tiada harapan untuknya melakukan perubahan.

Perubahan hanya akan berlaku apabila sesuatu luar biasa dilakukan. Ia memerlukan wawasan yang jauh, kemampuan merealisasikan wawasan ke alam nyata, keberanian untuk mempertaruhkan untung nasib dan tawakkal yang tinggi kepada Allah.

Contoh mudah yang dapat saya kongsikan di sini adalah kisah Muawiyah bin Abi Sufyan r.a., pengasas kerajaan Bani Umayyah. Lewat memeluk Islam, tetapi meninggalkan warisan kejayaan yang cukup besar. Terlibat di dalam politik Islam selama lebih kurang 40 tahun bermula dari tarikh beliau dilantik menjadi Gabenor Syams di zaman Khulafa’ Rasyidin.
Beliau mengasaskan kerajaan Bani Umayyah yang mampu bertahan selama 91 tahun. Ramai pembaca mungkin lebih mengkagumi kehebatan tamadun di zaman Abbasiah terutamanya ketika Baghdad menjadi ibu negara Khilafah Islam. Tetapi saya lebih mengkagumi Bani Umayyah dan berpendapat jika bukan kerana Bani Umayyah, nescaya Bani Abbasiah tidak akan mampu untuk muncul sebagai tamadun dunia.

Bani Umayyah berjaya membuka sebahagian India, sebahagian negara besar China, melancarkan serangan pertama ke Kostantinople, menyeberangi Perancis dan negara lain di Eropah, membuka dan mengasaskan kerajaan Andalus yang mampu bertahan selama lapan kurun. Semua itu antaranya berbalik kepada rahsia kekuatan jiwa dan jauhnya wawasan pengasasnya, Muawiyyah bin Abi Sufyan r.a.

Di zaman Omar r.a., Muawiyyah r.a. dengan berani dan yakin mencadangkan penubuhan tentera laut Islam. Bangsa Arab yang mahir di padang pasir, mungkin tidak pernah terfikir untuk meneroka lautan. Apabila cadangannya ditolak, beliau mencadangkan kali kedua kepada Saidina Osman r.a. di zaman pemerintahannya. Apabila diterima idea yang berani dan ganjil ini, umat Islam berjaya menyeberangi laut Mediterinean yang cabarannya sudah tentu berbeza dengan cabaran merentasi padang pasir.

Muawiyyah r.a. dilihat mempunyai wawasan yang jauh sejak beliau menjadi Gabenor lagi. Kapal perang pertama yang menyeberang lautan di zaman Osman r.a. dikembangkan di zamannya. Beliau ada wawasan untuk membuka Kostantinople, nama sebuah bandar yang menjadi khayalan umat pada ketika itu. Menyebutnya sahaja sudah cukup untuk melemahkan semangat. Hanya keyakinan kepada janji Rasulullah s.a.w. sahaja yang menjadi penguat. Muawiyyah r.a. mencabar dirinya dan diri umat sehingga umat Islam di zamannya mampu memiliki 1700 buah kapal perang dan melayakkan mereka untuk melakukan serangan pertama ke Kostantinople.
Tidaklah kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh di hari beliau dan tentera Islam membuka Kostantinople kecuali semangat yang diwarisi dari Muawiyyah r.a. di hari beliau melancarkan serangan pertamanya ke kota tersebut.

Pernahkah kemampuan diri kita, pendakwah pada hari ini dicabar dengan cabaran seumpamanya?

Dipetik dari satuperkongsian.wordpress.com

Tuesday, June 2, 2009

Al Qossam Roket Buatan Sendiri








Betapa takutnya Israel akan Hamas. Dan betapa takut pula mereka akan Al Qossam, roket yang dibuat oleh Hamas. Roket yang dibuat di rumah itu, hanya menggunakan tangan, seolah tak pernah habis dan tak pernah henti. Bandingkan dengan Israel yang mengimport senjata, termasuk roket dari negara-negara besar seperti Jerman dan AS, selain juga Israel membuat sendiri senjatanya, yang semuanya itu tentu saja, tak ada yang dibuat di rumah, juga tak ada yang dibuat oleh tangan.

Roket-roket Israel merupakan buatan fabrik dan mempunyai daya jangkau ribuan kilometer dan daya ledak yang dahsyat. Tapi itu, tak sedikit pun membuat Hamas ataupun orang Palestin yang berada di Jalur Gaza ketakutan.

Ayat Al Quran yang berbunyi : "Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggetarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)." (al-Anfaal [8]: 60)

Dan beginilah Hamas membuat senjata roket Al Qossam untuk berjuang melawan penjajah bumi Palestin, Israel.

Pihak berminat boleh hantar pandangan segera - isu had subjek peperiksaan

KUALA LUMUR: Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom meminta semua pihak mengemukakan pandangan berhubung kewajaran langkah kerajaan mengehadkan maksimum 10 mata pelajaran untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi surat, faksimile dan e-mel dalam tempoh dua minggu, bermula semalam. Beliau berkata, ibu bapa, individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan semua yang terbabit boleh menulis surat ke alamat Aras 8, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, 62604 Putrajaya. Selain itu, sebarang pendapat juga boleh dihantar menerusi faksimile di talian 03-88894548 atau melalui e-mel beliau sendiri, iaitu alimuddin.dom@moe. gov.my.

"Dalam tempoh dua minggu ini, saya akan mendengar pendapat semua pihak sebelum menyiapkan satu kertas kerja bagi dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin. "Timbalan Perdana Menteri akan meneliti hasil kertas kerja itu sebelum dibentangkan kepada Kabinet bagi tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Sekolah Angkat, di sini, semalam. Konvensyen itu adalah program kerjasama antara Kementerian Pelajaran dan GITN Sdn Bhd dengan memilih 25 sekolah luar bandar bagi diberi pendedahan penggunaan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Baru-baru ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, mulai tahun depan calon SPM hanya dibenar mengambil maksimum 10 mata pelajaran. Beliau berkata, keputusan itu akan membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran subjek teras, manakala sekolah tidak menghadapi masalah kekurangan guru bagi sesetengah mata pelajaran. Bagaimanapun, katanya, kementerian masih membuka ruang perbincangan dengan pelbagai pihak berhubung perkara berkenaan terutama membabitkan penentuan mata pelajaran teras dan elektif yang bakal diambil pelajar SPM untuk semua aliran pendidikan. Alimuddin berkata, pengumuman kerajaan mengehadkan maksimum 10 mata pelajaran untuk calon SPM bukanlah keputusan akhir, sebaliknya ruang masih dibuka bagi membolehkan semua pihak memberikan pandangan peribadi.

Katanya, pandangan semua pihak itu penting bagi memastikan sebarang keputusan yang diambil tidak memberi kesan terhadap proses pembelajaran dan masa depan pelajar. Ditanya subjek teras SPM yang akan digugurkan selaras keputusan mengehadkan maksimum 10 mata pelajaran itu, beliau berkata perkara itu masih belum diputuskan.

Ulasan

Ana mengharapkan ikhwah sekelian ...tolong timbulkan kesedaran kepada masyarakat bahayanya jika subjek Pendidikan Agama Islam dijadikan hanya sebagai subjek elektif sahaja .Maka akan terjadilah seperti satu ketika dahulu pelajar akan membuat pilihan samada mengambil subjek agama atau lukisan.Di samping itu emailkan pendapat kepada alimuddin.dom@moe. gov.my.