Muslim yang melakarkan sejarah secara umumnya adalah manusia yang melakukan sesuatu di luar kotak pemikiran biasa manusia lain. Tetapi apabila seseorang terperangkap dengan realiti yang menyelubunginya, tiada harapan untuknya melakukan perubahan.
Perubahan hanya akan berlaku apabila sesuatu luar biasa dilakukan. Ia memerlukan wawasan yang jauh, kemampuan merealisasikan wawasan ke alam nyata, keberanian untuk mempertaruhkan untung nasib dan tawakkal yang tinggi kepada Allah.
Contoh mudah yang dapat saya kongsikan di sini adalah kisah Muawiyah bin Abi Sufyan r.a., pengasas kerajaan Bani Umayyah. Lewat memeluk Islam, tetapi meninggalkan warisan kejayaan yang cukup besar. Terlibat di dalam politik Islam selama lebih kurang 40 tahun bermula dari tarikh beliau dilantik menjadi Gabenor Syams di zaman Khulafa’ Rasyidin.
Beliau mengasaskan kerajaan Bani Umayyah yang mampu bertahan selama 91 tahun. Ramai pembaca mungkin lebih mengkagumi kehebatan tamadun di zaman Abbasiah terutamanya ketika Baghdad menjadi ibu negara Khilafah Islam. Tetapi saya lebih mengkagumi Bani Umayyah dan berpendapat jika bukan kerana Bani Umayyah, nescaya Bani Abbasiah tidak akan mampu untuk muncul sebagai tamadun dunia.
Bani Umayyah berjaya membuka sebahagian India, sebahagian negara besar China, melancarkan serangan pertama ke Kostantinople, menyeberangi Perancis dan negara lain di Eropah, membuka dan mengasaskan kerajaan Andalus yang mampu bertahan selama lapan kurun. Semua itu antaranya berbalik kepada rahsia kekuatan jiwa dan jauhnya wawasan pengasasnya, Muawiyyah bin Abi Sufyan r.a.
Di zaman Omar r.a., Muawiyyah r.a. dengan berani dan yakin mencadangkan penubuhan tentera laut Islam. Bangsa Arab yang mahir di padang pasir, mungkin tidak pernah terfikir untuk meneroka lautan. Apabila cadangannya ditolak, beliau mencadangkan kali kedua kepada Saidina Osman r.a. di zaman pemerintahannya. Apabila diterima idea yang berani dan ganjil ini, umat Islam berjaya menyeberangi laut Mediterinean yang cabarannya sudah tentu berbeza dengan cabaran merentasi padang pasir.
Muawiyyah r.a. dilihat mempunyai wawasan yang jauh sejak beliau menjadi Gabenor lagi. Kapal perang pertama yang menyeberang lautan di zaman Osman r.a. dikembangkan di zamannya. Beliau ada wawasan untuk membuka Kostantinople, nama sebuah bandar yang menjadi khayalan umat pada ketika itu. Menyebutnya sahaja sudah cukup untuk melemahkan semangat. Hanya keyakinan kepada janji Rasulullah s.a.w. sahaja yang menjadi penguat. Muawiyyah r.a. mencabar dirinya dan diri umat sehingga umat Islam di zamannya mampu memiliki 1700 buah kapal perang dan melayakkan mereka untuk melakukan serangan pertama ke Kostantinople.
Tidaklah kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh di hari beliau dan tentera Islam membuka Kostantinople kecuali semangat yang diwarisi dari Muawiyyah r.a. di hari beliau melancarkan serangan pertamanya ke kota tersebut.
Pernahkah kemampuan diri kita, pendakwah pada hari ini dicabar dengan cabaran seumpamanya?
Dipetik dari satuperkongsian.wordpress.com
No comments:
Post a Comment