KENYATAAN MEDIA PERSATUAN PEGAWAI AGAMA PERAK (PPUP) TERHADAP SERBUAN YANG DILAKUKAN OLEH JAIS KE ATAS DREAM YANG DIMILIKI OLEH DAMANSARA UTAMA METHODIST CHURCH.
1. Persatuan Pegawai Agama Perak (PPUP) mengambil ketetapan menyokong tindakan yang dilakukan oleh JAIS yang bertindak memeriksa Dream Centre yang dimiliki oleh Damansara Utama Methodist Church, pada 3 Ogos lalu atas alasan wujudnya cubaan memurtadkan umat Islam. Persatuan dengan penuh yakin dan percaya tindakan ini dibuat berdasarkan bukti mencukupi bagi membolehkan JAIS percaya terdapatnya usaha memurtadkan umat Islam.
2. Persatuan percaya bahawa sebagai penjawat awam yang telah diamanahkan melaksanakan undang-undang yang telah diluluskan dan sah di sisi undang-undang, JAIS tidak bertindak secara sewenang-wenangnya tanpa maklumat lengkap mengenai aktiviti penyebaran agama Kristian kepada orang Islam. Oleh kerana tindakan tersebut adalah berdasarkan undang-undang, maka tidak sewajarnya mana-mana pihak memandang serong atau campurtangan bagi menghalang tindakan tersebut.
3. Persatuan juga menyeru semua pihak termasuk orang bukan Islam diminta memelihara keharmonian beragama dengan menerima hakikat serta akur bahawa AGAMA ISLAM adalah agama rasmi Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.
4. Negeri-negeri lain juga seharusnya mengambil iktibar dan bertindak lebih proaktif dengan mewartakan undang-undang sekatan penyebaran agama lain terhadap penganut Agama Islam dalam memperkasakan kedaulatan Islam sebagai agama Persekutuan.
5. Maka dengan itu, persatuan bersama-sama dengan NGO-NGO lain menyokong saranan S.S Mufti Selangor agar seluruh umat Islam terutamanya pemimpin-pemimpin beragama Islam di negara ini supaya bersatu mempertahankan akidah Islam daripada diganggu gugat oleh musuh agama, sekalipun terpaksa menghadapi apa sahaja rintangan. Malah menjadi kewajipan ke atas setiap orang Islam untuk mempertahankan akidah kerana maqasid syariah itu tidak boleh dijual beli dengan apa sekalipun, hatta kepentingan politik.
Tn. Hj. Zamri Bin Hashim
YDP Persatuan Pegawai Agama Perak (PPUP)
No comments:
Post a Comment