Monday, August 22, 2011

Bulan Keliling Kaabah




“ Daripada Dato Mazlan Head of Astrology Dept. Tonight at 3.25am Mecaa time the moon will circle around the kaabah this will have an effect on the sky. The sky will have blue light. This will be the time of acceptance of prayers. This is happening after ten million years. Please inform everybody by passing this. 3.25 am Mecca time. Malaysia time will be 8.25am. Saturday 20th August, this morning.”
Begitulah mesej panjang yang mencapai 2 mesej ini sampai ke telefon malam Sabtu yang lepas. Kebetulan malam sabtu lepas bermulalah 10 malam terakhir bulan ramadhan yang penuh berkah. Mesej ini bunyinya sangat mendorong untuk sesiapa saja yang sememangnya sangat mencari-cari keajaiban di dalam bulan Ramadhan khususnya malam al-Qadr. Maka bila ada saja cerita seumpama ini, maka sudah pasti ia akan menarik perhatian sebilangan umat Islam yang sangat suci hati dan mahu mencari tanda-tanda malam al-Qadr. Tidak pula saya salahkan sahabat yang memanjangkan mesej ini kepada saya dengan harapan dapat respon sebagai panduan mereka, kerana itulah prinsip dalam Islam, bila kita tidak tahu sesuatu perkara maka rujuk kepada mereka yang lebih mengetahui.
Jadi respon yang dapat saya berikan adalah seperti berikut :
“Dato Mazlan Head of Astrology Dept” – Cerita ini disandarkan kepada Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman yang merupakan bekas Ketua Pengarah Angkasa. Sekarang jawatan itu disandang Dr. Mustafa Din Subari. (http://www.angkasa.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=467&Itemid=317). Jadi sandaran khabar ini permulaannya pun sudah ada masalah pada sumber berita di mana orang di rujuk adalah individu yang sudah tiada Angkasa. “Astrology Dept” – Sepatutnya Astronomy bukannya astrologi. Setahu saya tiada Jabatan Astrologi pun di Malaysia ini. Astrologi adalah satu bentuk ilmu nujum yang berdasarkan ramalan tentang nasib baik, untung rugi berdasarkan pergerakan cakerawala. Jadi mana ada Jabatan Nujum Pak Belalang ini di Malaysia. Malah Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Mohd. Fairos Asillam berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana tiada kejadian unik atau ganjil dari segi pergerakan atau kedudukan bulan pada malam tersebut.
“Bulan sekadar melintasi Kaabah dan tidak mengelilinginya seperti yang disebarkan kerana ia seperti biasa akan terbit di sebelah timur dan terbenam di sebelah barat,” katanya
“Tonight at 3.25am Mecaa time the moon will circle around the kaabah this will have an effect on the sky” – Berdasarkan data Accurate Time Bulan di Makkah akan terbit pada jam 22:40 (11.40pm), transit pada jam 04:40 ( 4.40am) dan terbenam pada jam 11:24 ( 11.24am). Bagaimana pula data di Malaysia (Ipoh). Bulan akan terbit pada jam 23:58 (11.58pm), transit pada jam 05:29 (5.29 am) dan terbenam pada 11:46 ( 11.46 am). Berdasarkan maklumat ini, memang bulan akan berada di langit dalam tempoh di kedua-dua lokasi. Namun pada jam 3.25am di Makah dan 8.25am bukanlah berada ditengah-tengah langit. Ini kerana jika hendak dibayangkan bulan mengelilingi kaabah, sudah tentu ia berlaku bila bulan berada di tengah-tengah langit. Namun ada soalan lain pula, iaitu bolehkah fenomena bulan mengelilingi kaabah? Bolehkah fenomena ini berlaku? Setakat kefahaman saya ( mohon betulkan jika salah ) fenomena di mana objek samawi dilihat berpusing-pusing di langit boleh berlaku. Namun ia hanya akan berlaku pada penglihatan kita di bumi pada planet-planet di berada di luar orbit bumi ( outer-planet ). Fenomena ini di sebut Retrograde motion.


The most commonly discussed "retrograde" motion is the apparent backward motion of a planet caused by its being lapped by another planet, or vice-versa. Both planets move in a direct (eastward) motion around the Sun, but the planet with the inside (smaller) orbit moves faster than the planet on the outside (larger) orbit, and when it passes the slower-moving planet, each sees the other one as apparently moving backwards relative to its usual motion around the sky.


Sebagai bayangan mudah, bayangkan anda duduk-duduk ditengah-tengah padang. Anda melihat A berlari di trak sebelah dalam, sementara B berlari di trak sebelah luar. Permulaan larian A berlari di belakang B, namun mereka saling kejar mengejar. Ketika itu anda melihat keduanya-dua berlari kehadapan. Namun bila sampai ke selekoh, A memotong B yang berlari di garisan luar trak. Ketika itu kelihatan seolah-olah B berlari kebelakang. Ini berlaku kerana A telah B, maka kerana itulah kelihatan seolah dia berlari ke belakang. Ketika kedua-duanya sudah melepasi selekoh, penglihatan anda kembali melihat A dan B berlari menuju ke hadapan. Namun adakah bulan boleh mengalami fenomena ini? Bulan pada penglihatan di bumi tidak akan mengalami fenomena ini. Ini kerana bulan mengelilingi bumi dan sekaligus bersama-sama bumi, mengelilingi matahari.
Begitu juga dengan komen Dr. Baharuddun Zainal :-
Fenomena 'Bulan mengelilingi Kaabah' dalam konteks bulatan harian (terbit dan terbenam Bulan) hanya boleh berlaku 'jika dan hanya jika'; (i) Mekah terletak di kutub utara atau selatan Bumi, (ii) Bulan berada dalam kategori 'bintang circumpolar'. Kedua-dua syarat ini tidak dipenuhi, Mekah terletak berhampiran garisan Sartan dan Bulan merupakan objek samawi dalam kategori 'kawakibul saiyarah' dengan 'terangkatnya dari khatulistiwa langit' tidak melebihi 28.5 derajat.”
“The sky will have blue light”- Fenomena langit biru memang biasa berlaku ketika waktu matahari rembang bila cahaya matahari memancar kuat pada tengahari. Ini kerana gelombang pada cahaya matahari yang berwarna adalah gelombang cahaya pendek. Ini menyebabkan ia bertindak balas dengan atmosfera bumi dan kerana itulah langit menjadi biru. Namun cahaya bulan tidak cukup kuat bagi menjadikan langit kelihatan membiru seperti waktu siang hari.
This will be the time of acceptance of prayers.- Wallhu alam, sekadar pengetahuan saya tiada pula hadis yang mengaitkan peristiwa ini dan kaitannya dengan mustajabnya doa. Walau bagaimanapun solat dhuha adalah sebahagian solat sunat muakkad yang memang disepakati para Ulama’. Antara dalilnya :



عَنْ أَبِي ذَرٍّ ، قَالَ : " أَوْصَانِي حِبِّي بِثَلَاثٍ لَا أَدَعُهُنَّ إِنْ شَاءَ اللَّهُ أَبَدًا أَوْصَانِي بِصَلَاةِ الضُّحَى ، وَبِالْوِتْرِ قَبْلَ النَّوْمِ ، وَبِصِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ " .


Maksudnya : “ Dari Abi Zar r.a berkata : Telah diwasiatkan kepadaku oleh kekasihku ( Nabi Muhammad SAW ) dengan 3 perkara yang tidak akan aku tinggalkan selamanya, iaitu solat dhuha, solat witir sebelum tidur, berpuasa 3 hari setiap bulan.” ( Musnad Ahmad )
Kesimpulan
Nampaknya budaya SMS berantai ini, sudah melarat-larat hingga ke dalam persoalan ibadah. Namun lebih baik sebelum kita turut terlibat untuk memanjangkan SMS tersebut tersebut ada baik baiknya kita dapat merujuk mengenai kebenarannya terlebih dahulu. Ini bukan kali pertama ia berlaku. Dakwaan fenomena Marikh sebesar bulan, gerhana bulan di awal bulan Hijrah dan gerhana Matahari di pertengahan bulan Hijrah dan pelbagai lagi khabar yang pelik-pelik sentiasa mendapat perhatian apatah lagi bila ia melibatkan kepercayaan aqidah ummah seperti Malam al-Qadr.
Namun saya tertarik dengan apa yang telah disebutkan oleh Imam Ataillah asskandari dalam Kitab Hikamnya menyatakan bahawa :



تشوفك إلى ما بطن فيك من العيوب خير من تشوفك إلى ما حجب عنك من الغيوب


Maksudnya : “ Perhatian kamu kepada sesuatu yang tersembunyi pada dirimu berupa keaiban-keaiban, adalah lebih baik daripada perhatian kamu kepada sesuatu yang ghaib yang tersembunyi darimu.”
Kecenderungan kita di malam-malam Ramadhan, dalam menilik keaiban diri dari dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan jauh lebih utama dari kita mencari tanda-tanda dan kejadian yang pelik-pelik, hingga kadang-kadang melalaikan kita dari fokus kepada ibadah.
Syed Qutb dalam kitab Hazda Din, menegur sikap ummah Islam yang selalu mengharapkan keajaiban sentiasa berlaku dalam meniti kehidupan sebagai seorang muslim hingga hilang ikhtiar dan usaha mereka. Apa yang mereka harapkan adalah manna wa salwa dari langit. Sedangkan fitrah agama ini perlu kepada usaha. Mengapa Nabi SAW memerlukan 23 tahun mengembangkan Islam? Bukan sedikit usaha Rasul SAW sebagi kekasih Allah untuk meraih REDHA Allah SWT. Namun apakah kita sebagai umatnya sekadar mengharapkan keajaiban untuk kita mencapai redha Allah tanpa usaha.
Moga segala amal kita nanti diberkati dan diterima..wassalam.

No comments: