Thursday, September 29, 2011

Terimalah Syariah Sebagai Fitrahmu


Saya masih ingat, dalam jurnal yang diterbitkan Fakulti Pengajian Islam Syariah, saya terbaca satu artikel dari S.F Dato Dr. Harun Din yang membicarakan tentang Syariah Islamimiyyah. Menurut beliau, asal kata ‘Syariah’ itu adalah ‘Syara’a’ yang juga membawa maksud ‘sumber air’.


Air adalah sumber kehidupan . Tiada siapa yang boleh hidup tanpa air. Malah sehebat unta di gurun, ia hanya bertahan 2 bulan tanpa perlu minum air. Sehebat pokok besar manapun ia tetap perlukan air. Maka manusia yang sangat lemah fizikalnya ini pula sudah tentu sangat-sangat memerlukan pada air. Air mewakili 60% dari juzu’ badan manusia. Air pula mewakili 70.8 % dari permukaan bumi.



Ketika mana seseorang menolak syariah, sebagai sebahagian dari satu unsur-unsur kehidupan, maka ia seolah menidakkan kepentingan air dalam kehidupannya. Manusia akan mati tanpa syariah, seperti mana seseorang mati tanpa air. Sekurang-sekurangnya jika tidak mati zahir pun, dia sudah mati dari dari ruhnya. Jiwanya putus dari hubungannya dengan Allah. Ruhnya hanyut terapung dalam noda dan dosa maksiat tanpa rahmat dan panduan Allah SWT. Hidupnya tidak akan tenang seumpama manusia yang hilang arah walau disuluh cerah terang benderang lampu ‘spotlight’ kelab-kelab malam yang sentiasa dikunjunginya.


Aliran air terus mengalir perlahan atau deras, lurus atau berliku-liku, alirnya lembut mendamaikan, namun sesekali kuat menghempas. Lihatlah Sungai Nil yang mengalir sepanjang 6,650 km, merentasi panas terik benua Afrika. Ketika mengalirnya tenang ia telah memberikan nafas panjang untuk sekalian makhluk yang meneguk air sejuk dari Sungai Nil, sehingga dikatakan “Mesir itu adalah hadiah dari Sungai Nil’. Namun ketika banjirnya, ia memusnahkan hidupan dan tanaman. Ia pernah bertukar menjadi merah darah sebagai tanda kemurkaan Allah SWT terhadap firaun dan pengikut-pengkut yang terang menolak syariah Allah. Namun dalam masa yang sama, banjir itu perlu untuk menyuburkan kembali tanah sekitarnya. Mengalir darah merah yang mengantikan jernih Sungai Nil adalah tanda kebenaran risalah Nabi Musa a.s.



Maka begitulah syariah. Ia kadang-kadang lembut dan menyantuni ummah dengan hukum yang penuh ‘murunah’ (keanjalan). Bila seseorang sakit, tidak larat mahu berpuasa, maka syariah mengatakan: ‘Tidak mengapa, berbukalah kerana engkau tidak mampu bertahan..’ Bila seseorang kelaparan, tiada langsung sejemput makanan halal, maka syariah mengatakan : ‘Tidak mengapa, makanlah apa yang ada, kerana engkau tidak mampu bertahan..’ Ketika seseorang sesat dalam kegelapan dan tidak tahu mana arah tuju kiblatnya..yang mana barat, yang mana timur, maka syariah berkata : ‘ Hadapkanlah wajahmu ke mana saja engkau yakini, di situlah akan engkau temui kiblatmu..’



Namun ketika manusia derhaka, ego, sombong, dan melampaui haknya, bila dia mengambil hak orang lain, bila dia menganggu hak orang lain, bila dia mencabar Allah SWT dan RasulNya..syariah cepat mengambil langkah : ‘ Kamu perlu dihukum kerana kamu bersalah.’ Hukum ini bukan semata satu hukuman, namun seperti banjir yang melanda, membawa seribu rahmat selepas itu sebagai proses menyentap dari lamunan mimpi yang disangka benar. Hukuman dalam Islam, mendidik dan mencegah manusia lain dari terjun ke dalam lubang biawak ini.


Maka syariah seperti sumber air yang terkumpul atau seperti air yang mengalir, maka kedua-duanya membawa manfaat besar dalam kehidupan manusia. Kehidupan tanpa syariah adalah kehidupan yang menghancurkan dan mematikan. Penolakan kepada syariah adalah penolakan zalim terhadap fitrah diri dan lebih teruk menidakkan hak orang lain kiranya datang dari pemerintah. Penghinaan kepada syariah adalah penghinaan pada diri sendiri yang hanya timbul dari keegoan dan kejahilan yang akan membenamkan martabat manusia dari sebaik-baik makhluk kepada serendah-rendah makhluk. Maka seandainya ada manusia, yang tinggi mahupun rendah, yang ada kuasa mahupun marhaen, maka katakan kepada mereka : ‘Tunggulah nanti akan Tuhanku tunjukkan bukti yang nyata dan benar, seperti merah darah yang mengaliri Sungai Nil, akan datang gelombang Tsunami yang bakal mengejutkan kamu, akan datang air hujan yang membanjiri kamu. Terbeliak matamu.. Bertaubatlah segera sebelum nyawa hanya tersangkut dikerongkongmu..ketika kau melihat kebenaran itu sebagai kebenaran, kebatilan itu sebagai kebatilan. Terima sebelum terlambat..bahawa Syariah Itu adalah Fitrahmu’


Wallhua’lam.

No comments: