Salah satu ciri keindahan ajaran Islam ialah ia adalah satu cara hidup yang mengatur hubungan sesama manusia bukan sahaja semasa masih hidup, bahkan ada beberapa adab yang perlu dipertahankan walaupun sesudah kematiannya. Antara adab yang perlu dijaga tetapi sejak-sejak akhir-akhir ini semakin tidak diendahkan ialah pencabulan terhadap kehormatan maruah mayat lebih-lebih lagi apabila mayat berkenaan adalah mayat orang Islam. Dalam media cetak seperti suratkhabar, majalah mahupun media elektronik seperti laman sesawang dan tulisan-tulisan blog sejak-sejak akhir ini semakin tidak menghiraukan adab-adab yang perlu dijaga dengan orang-orang yang telah mati ketika membuat ulasan mengenai isu sensasi peristiwa serangan Bukit Kepong. Saya merasa terpanggil untuk menasihatkan pembaca khususnya orang-orang Islam agar mengawal diri dengan kawalan syara’ ketika mengutarakan pandangan atau pendapat samada memihak kepada anggota keselamatan yang telah mempertahankan balai polis Bukit Kepong mahupun yang memihak kepada Mat Indera.
Antara adab terhadap orang yang telah mati ialah kita dilarang mencela orang yang telah mati. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW :
لا تسبوا الأموات ، فإنهم قد أفضوا إلى ما قدموا
Bermaksud: Janganlah kamu mencela mayat kerana sesungguhnya meraka telah mempersembahkan apa yang telah mereka lakukan. (Hadith sahih riwayat al-Bukhary).
Dalam keadaan tertentu, larangan mencela mayat juga meliputi larangan mencela mayat orang-orang kafir seperti Nabi SAW melarang para sahabat mencela mayat tentera-tentera musyrikin dalam peperangan Badar disebabkan mengelakan diri dari menyakiti orang-orang yang masih hidup di kalangan saudara-saudara mereka yang muslim.
نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يسب قتلى بدر من المشركين وقال لا تسبوا هؤلاء فإنه لا يخلص إليهم شيء مما تقولون وتؤذون الأحياء إلا إن البذاءة لؤم
Bermaksud: Rasulullah SAW melarang celaan kepada tentera-tentera musyrikin yang terbunuh dalam peperangan Badar. Baginda SAW bersabda: Janganlah kamu mencela mereka kerana celaan kamu itu tidak sampai kepada mereka sebaliknya akan menyakitkan orang-orang yang masih hidup. Yang pastinya perkataan celaan kamu itu adalah satu kehinaan.(Hadith mursal sahih al-isnad dari kitab Umdah al-Qari)
Apa yang pasti, mayat anggota keselamatan ataupun mayat Mat Indera masih mempunyai waris yang masih hidup. Terselamatkan kita daripada tidak menyakiti waris-waris mereka apabila kita secara tidak berhemah mengeluarkan pandangan semata-mata menegakkan hujjah masing-masing. Kita tidak berani menghukum atas dasar apakah mereka mati sebaliknya selama mana tidak ada tanda yang sangat nyata seseorang itu sebagai kafir maka kita kena menyimpulkan bahawa ia mati sebagai orang Islam. Peranan niat mereka sangat penting untuk meletakkan kedudukan mereka di sisi Allah. Dalam perkara ini, kita serahkanlah ia kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
ايما رجل قال لأخيه يا كافر فقد باء بها أحدهما
Bermaksud: Mana-mana lelaki berkata kepada saudaranya, wahai kafir maka kekafiran itu akan kembali kepada salah seorang daripada keduanya.(Fath al-Bari, hadith no 6104)
Berkata Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali: Perkara yang sepatutnya seorang muslim berhati-hati ialah mengkafirkan , menghalalkan darah dan harta orang yang solat mengadap kiblat dan secara terang-terangan mengungkap tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.(al-Iqtisad fi al-I’tiqad h.157)
Imam al-Syahid al-Banna meletakkan panduan yang jelas dan cermat dalam menangani isu melabel seseorang demi menjaga kesatuan umat. Ini jelas dalam usul yang kedua puluh
“Kita tidak mengkafirkan seorang muslim yang telah mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan tuntutannya dan menunaikan kewajibannya dengan hanya berdasarkan kepada pendapat atau maksiat yang dilakukannya melainkan jika beliau mengakui kalimah kufur, mengengkari perkara-perkara agama yang diketahui secara dharuri, mendustakan ayat al-Quran yang jelas pengertiannya, menafsirkan al-Quran dengan penafsiran yang tidak diterima oleh uslub bahasa arab dalam semua keadaan dan melakukan sesuatu yang tidak boleh ditafsirkan selain dari kufur”(Pandangan semula kepada Risalah Ta’alim, h. 185)
Apa yang dinisbahkan bahawa di kalangan yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong itu sebagai “tali barut” penjajah mahupun “komunis” tidaklah menjadi bukti cukup kuat untuk mewajarkan kita berani menghukum bahkan melabelkan kematian mereka dengan label-label tertentu sehingga mengguris para waris yang seaqidah dengan kita. Biarlah Allah Yang Maha Adil dan Bijaksana mengadili mereka berdasarkan niat mereka masing-masing. Tugas kita sebagai saudara seaqidah adalah mendoakan agar Allah SWT memberi keampunan kepada mereka seperti mana saranan Allah SWT:
والذين جاءوا من بعدهم يقولون ربنا اغفرلنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين ءامنوا رينا إنك رءوف رحيم
“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmatMu”.(Surah al-Hasyr ayat 10)
Namun hakikat yang kita perlu sepakati ialah samada penjajah mahupun ideology komunis selama-lamanya kita tolak kerana ia adalah antara batu-batu penghalang kepada ubudiyyah mutlak kita kepada Allah sebagai hamba dan khalifah Allah.
Kita harus terus melihat kehadapan dengan menjadikan sejarah sebagai modal yang amat berharga untuk kita mengambil iktibar dan merangka strategi berikutnya bagaimana kita dapat melepaskan generasi akan datang bukan sekadar melepaskan diri dari menjadi tali barut penjajah mahupun komunis tetapi sebagai penghambat kepada ideology-ideologi yang sangat asing dengan ajaran Islam.
Seorang pemikir Islam terkemuka al-Marhum Syeikh Muhammad al-Ghazali mencadangkan agar sejarah diolah sehingga mampu menggerakkan hati dan membangkitkan keazaman. Apabila ia dibaca dan dikaji, ia memberi kesan kepada jiwa pembacanya, menyemarakkan perjuangan serta mendorong kepada berpegang dengan kebenaran dan setia kepadanya.(Fiqh Sirah)
Hj Zamri Hashim
No comments:
Post a Comment