Thursday, November 27, 2008

Melaburlah Dengan Bijaksana (Siri 1)

Sejak menjejakkan kaki ke Jabatan bukan sedikit skim pelaburan yang saya dengar melibatkan teman-teman. Ianya boleh jadi dalam bentuk Skim Cepat Kaya, Multilevel Marketing, Pelaburan Saham dan sebagainya. Kebetulan saya bukanlah jenis orang yang mudah dilibatkan dalam hal-hal sebegini. Dan saya sentiasa mengelak daripada bercakap mengenainya kecuali di dalam kuliah-kuliah di masjid dan surau. Namun apabila ada yang meminta pendapat, mahu tidak mahu terpaksa juga saya menyatakan apa yang saya tahu. Walaupun sebagai berbekalkan kelulusan ijazah Syariah yang memahami sedikit sebanyak Fiqh Muamalat, ditambah dengan sedikit ilmu berkaitan kewangan yang digali daripada pengajian peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan, tidak sangat menjamin ketepatan pandangan, namun saya rasa berkewajipan untuk meluahkan rasa yang terpendam agar dapat dikongsi bersama-sama rakan.

Teman-teman sekelian,

Walaupun konsep Muamalat menyatakan bahawa “Setiap sesuatu itu halal kecuali ada nas atau dalil yang mengharamkannya”, namun sebagai orang agama kita tidak hanya sekadar mewakili diri dan kelompok kita. Bukan sedikit walaupun tidak semua skim yang ditawarkan akan menyandarkan penglibatan kita bagi menarik pelanggan. Walaupun kadang-kadang kita tak perasan, namun hakikatnya tingkahlaku, percakapan dan penampilan kita menjadi panduan kepada masyarakat yang diluar sana. Mungkin sebahagian kita tidak pernah menghadapi kegagalan lantaran sentiasa menjadi pemula atau pengasasnya. Namun apakah ertinya keuntungan yang dibina di atas titisan air mata mangsa-mangsa yang terkemudian.

Dalam setiap tindakan kita apakah kita meletakkan halal dan haram sebagai asas penilaian atau keuntungan yang lebih diutamakan. Penglibatan begitu ramai manusia dalam Skim Cepat Kaya bukanlah sesuatu yang amat menghairankan. Sir Isaac Newton pernah mengatakan ; "Aku mampu meramalkan pergerakan bintang-bintang di angkasa, tetapi bukan kegilaan manusia”. Ungkapan ini mungkin diucapkannya selepas kehilangan lebih £20,000 akibat berspekulasi saham Syarikat South Sea. Skim Cepat Kaya bukanlah suatu yang baru bermula, tetapi telah bercambah sejak abad ke 17 di Eropah.
Beberapa perkara boleh difikirkan bersama sebelum kita melibatkan diri dalam mana-mana muamalah yang menawarkan pulangan lumayan iaitu :

a. Pelaburan biasanya dikaitkan dengan kadar pulangan. Mengikut John C. Bogle, pengasas The Vanguard Group Of Investment Companies (yang mempunyai dana berjumlah AS$100 bilion) : "sebarang pulangan lebih daripada 20% setahun adalah durian runtuh". Rekod pengurus kewangan terbaik dunia mencatat sejarah seperti berikut :

- JOHN TEMPLETON, pengurus dana TEMPLETON GROWTH FUND memberikan pulangan 14% setahun selama 32 tahun.
- WARREN BUFFET, pengurus dana BERKSHIRE HATHAWAY memberikan pulangan 22% setahun selama 40 tahun.
- PETER LYNCH, pengurus dana FIDELITY MAGELLAN memberikan pulangan 29% setahun selama 13 tahun.
- GEORGE SOROS, pengurus dana QUANTUM FUND memberikan pulangan 34% setahun selama 25 tahun.

Jika sekiranya George Soros hanya mampu memberikan pulangan sebanyak 34% setahun secara berterusan selama 25 tahun dan pelabur terbaik dunia Warren Buffet yang hanya mencatatkan rekod memberikan pulangan sebanyak 22% setahun secara berterusan selama 40 tahun maka apakah logiknya warga Negara ini yang tidak dikenali mampu memberikan lebih daripada itu.

b. Secara dasarnya wang yang dilaburkan akan digunakan oleh syarikat melalui tiga kaedah ; diniagakan atau dilaburkan atau kedua-duanya. Perniagaan sememangnya mampu mendapatkan keuntungan berkali ganda. Tetapi perniagaan yang hebat pasti melahirkan dua perkara; persaingan dan berita. Maka jika tiada siapa yang mengenali corak perniagaannya sedangkan pulangan yang diberikannya berlipatganda tentulah ada suatu yang tak kena dengan perniagaannya ataupun sememangnya perniagaan tersebut tidak wujud sama sekali. Jika wang kita dilaburkan maka untuk memberikan pulangan yang banyak tentulah memerlukan syarikat juga mendapat keuntungan yang banyak. Maka pelaburannya tidak mungkin dalam lingkungan satu dua ribu tapi mungkin menjangkau ratusan ribu atau jutaan ringgit. Malangnya tidak banyak institusi pelaburan di negara ini yang memunyai wang sebegitu banyak seperti PNB, KWSP dan beberapa buah syarikat insuran dan unit amanah. Maka jawapan paling mudah yang sering diberikan adalah pelaburan luar pesisir; Offshore. Istilah ini digunakan kerana mereka tahu bahawa kebanyakan orang tak berapa tahu mengenainya dan ini akan menyebabkan mereka akan berhenti bertanya mengenainya. (Insya Allah sedikit penerangan mengenai offshore akan saya tuliskan dalam siri akan datang).

Teman-teman sekelian,

Jika diminta nasihat dan pandangan saya suka menasihatkan beberapa perkara bagi memastikan kita tidak menjadi mangsa atau terlibat dalam melakukan penyelewengan :

a. Belajarlah atau ambil tahu mengenai hal-hal berkaitan kewangan.
b. Kajilah apa-apa peluang pelaburan. Baca prospektusnya, baca buku mengenainya atau bertanyalah kepada yang faham tentangnya.
c. Jangan gopoh untuk melakukan pelaburan. Ingatlah “peluang hanya datang sekali seumur hidup” sebenarnya datang setiap bulan.
d. Jangan terima tawaran sesiapapun bulat-bulat walaupun dikenali peribadinya.
e. Hampir semua pelaburan dijual oleh ejen yang mengambil komisyen. Mereka tidak akan bersikap neutral terhadap produk mereka.
f. Terlalu besar risiko mel;etak wang di luar Negara. Kerajaan asing boleh menukar polisi (ianya sah) menyebabkan wang kita tersangkut di suatu tempat yang terletak jauh beribu batu.
g. Jangan sekali-kali meminjam untuk melakukan pelaburan. Anda perlu membayar ansurannya samada mendapat keuntungan atau menghadapi kerugian.
h. Sebelum berpisah dengan wang anda, pastikan pelaburan anda sah dan syarikatnya berlesen. Rujuklah Suruhanjaya Sekuriti – (http://www.sc.com.my/).
i. Jika belum mampu membayar sesuatu, simpan wang anda dulu dan hanya beli apabila mampu. Tiada undang-undang mewajibkan anda perlu memiliki segala-galanya.
j. Ingatlah ; segala yang kedengaran terlalu indah untuk dipercayai, biasanya palsu semata-mata.

Monday, November 24, 2008

Pertemuan AJK Tertinggi Dengan YB SUK

Satu perjumpaan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan dengan YB Setiausaha Kerajaan Negeri telah diadakan di Pejabat SUK pada 18 November 2008, jam 10.00 pagi. Rombongan kita diwakili oleh YDP, AF Ustaz Hj. Zamri B. Hashim, TYDP, AF Ustaz Kamal Izat B. Ahmed, AF S/U, Ustaz Kamaruddin Adam, Bendahari, Ustaz Syed Mohamad, AF Ustaz Faizal Jani dan AF Ustaz Muzammil Syafawi. Beberapa perkara yang melibatkan perkara dasar telah dikemukakan termasuk perlantikan Pengarah JAIPk, kepincangan dalam kenaikan pangkat, kelewatan mengisi perjawatan yang telah diluluskan dan penempatan pegawai bermasalah di JAIPk.
Terdapat perbezaan yang agak ketara mengenai sikap yang ditunjukkan oleh YB SUK dengan penjawat-penjawat sebelum ini. Ayat-ayat sindiran yang dilontarkan terhadap persatuan seusai salam, jelas menunjukkan betapa tebal prejudisnya terhadap pegawai agama. Sikap tersebut berterusan sehingga mendorong sebahagian kami gagal mengawal kesabaran untuk berlemah lembut,bersopan santun dan lunak terhadap beliau. Kebanyakkan hujah yang dilontar gagal dihabisi lantaran ketegasannya menentukan apa yang beliau mahu dengar atau tidak. Ini menyebabkan ada di antara kami terpaksa mengikut rentaknya dengan memotong atau membidas secara langsung hujah beliau tanpa membiarkan beliau berterusan memaksa kita mendengar hujah beliau tanpa berjawab.
Walaupun amat sukar untuk mengubah pendirian beliau, namun sekurang-kurangnya kita mampu menyatakan pendirian kita tanpa membiarkan sahaja mana-mana pihak membuat berbagai dakwaan sesuka hati mengenai pendirian "orang dalam". Amatlah tidak masuk di akal jika pandangan dalaman tidak langsung diambil kira dalam penentuan jawatan "Pengarah". Apakah munasabahnya jika berbagai pihak yang mempunyai "kepentingan" yang berbagai memberikan cadangan mengenainya lantas mendakwa bahawa itulah cadangan yang terbaik. Walaupun berkali-kali ditegaskan mengenai cadangan dan pendirian kita, beliau terus-terusan mendesak agar di berikan cadangan lain yang kononnya lebih baik seolah-olah tidak ada sebesar zarah kemampuan dan kelayakan "orang agama" bagi mengetuai jabatan sendiri. Andaian yang mampu saya fikirkan adalah antaranya :
a. Kebanyakan Pegawai PTD masih berpegang kepada pemikiran bahawa hanya mereka yang paling cekap mentadbir.
b. Masih kuat tertanam di sanubari mereka bahawa "orang agama" hanya tahu mengenai hukum hakam agama tetapi amat jahil mengenai pengurusan dan pentadbiran.
c. Kalaupun "orang agama" diberi peluang, peluang itu akan dijadikan peluang untuk dibuktikan kegagalannya, bukan sangat sebagai peluang untuk membuktikan kejayaannya.
Teman-teman sekelian,
Amat besar tanggungjawab yang perlu kita laksanakan dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. Bukan sahaja peningkatan dalam bidang keilmuan dan kemahiran yang berbagai diperlukan dalam berhadapan dengan masyarakat, namun untuk memuaskan hati pembuat dasar yang entah apa panduan mereka dalam membuat penilaian dan mengambil keputusan. Orang agama didesak untuk tahu segala-galanya, dan dianggap "OKU" jika tiada kemahiran tambahan samada kemahiran teknikal, kemahiran ICT dan sebagainya. Masyarakat seolah-olah sepakat menerima pemisahan antara orang agama atau ulamak dengan golongan professional. Maka sampai bilapun orang agama atau ulamak tidak akan dianggap professional kalaupun tidak dipandang rendah terhadap apa sahaja yang kita laksanakan. Ironinya, bukan sedikit saintis yang fobia dengan komputer, doktor pakar yang terpaksa memanggil pomen menukar tayar kenderaannya, saintis yang bergelap semalaman setelah fius utama di rumahnya jatuh akibat petir. Ketiga-tiga contoh golongan ini tidak pernah dianggap kurang malah tetap dianggap pakar dan golongan professional yang dihormati. Walaupun orang agama sudah mempunyai berbagai kemahiran yang diiktiraf termasuk ijazah samada sarjana atau sarjana muda dalam berbagai bidang namun kita tetap orang agama. Kita di mata mereka tetap orang agama dan sifat tetap "tak tau mentadbir" tidak akan hilang daripada kita. Ijazah Pentadbiran Perniagaan, Kaunseling, Jurisprudence dan sebagainya tidak ada nilainya sama sekali jika disandarkan kepada kita. Oleh itu insaflahlah, bahawa segala kemuliaan itu di sisi Allah, bukan nilaian manusia. Berebutlah kita dalam usaha meningkatkan pengalaman, kemahiran dan ilmu pengetahuan kerana ianya tuntutan tuhan, bukan untuk mendapatkan sanjungan dan pengiktirafan manusia, dan kita adalah golongan yang paling memahaminya. Persetankanlah pengiktirafan manusia, kerana kebanyakan mereka adalah sama.
Teman-teman sekelian,
Satu sudut pandangan yang lain, saya bimbang jika sikap ini bukan kerana tidak yakinnya mereka dengan dengan kemampuan kita tetapi kerana keengganan mereka dalam menerima Islam sebagai penyelesai masalah. Keistimewaan yang ada pada kita, adalah kerana kita ada asas agama yang kuat, pengalaman mentadbir di jabatan agama, ditambah dengan kursus dan ijazah lanjutan di bidang yang sama dengan mereka. Kita menguasai dua kemahiran berbeza yang saling melengkapi. Kita mewarisi kaedah feqah yang memandu kita dalam memilih segala ketentuan. Walaupun kelebihan ini antara sebesar-besar rahmat dari yang Maha Esa, namun apakah nilainya bagi mereka yang terdidik dan hanyut dalam lingkungan sekular. Kelebihan menghayati agama bukan standard yang boleh dibangga. Pentadbiran dan pengurusan barat adalah terbaik dan wajar didewa. Pengurusan berteraskan konsep rabbani hanyalah dianggap sejarah silam yang wajar dilupakan. Jika inilah hakikatnya, maka tugas dan tanggungjawab kita amat berat dan terlalu mencabar. Pemahaman mengenai hakikat sebenar Islam perlu dipertingkatkan. Semoga usaha ini akan meletakkan Islam dan pengurusannya di persada yang tertinggi.

Friday, November 21, 2008

HUKUM PENGKID – WANITA YANG MENYERUPAI LELAKI

LATAR BELAKANG

1. Isu golongan wanita membawa imej lelaki telah lama dibincangkan dan bukanlah satu perkara yang sangat baru dan ia adalah fenomena global.Sewaktu dahulu mereka ini digelar tomboy tetapi kini mereka dikenali dengan nama pengkid.

CIRI-CIRI GOLONGAN INI

1. Gadis atau wanita mempunyai penampilan fizikal mirip lelaki seperti berambut pendek dengan mengenakan pakaian seluar jeans dan t-shirt.

2. Dari sudut sifat , nyata terserlah sifat kelakian pada golongan ini sehingga ada yang “perasan”bahawa mereka benar-benar seorang lelaki yang sejati.

3. Cenderung untuk menjalin hubungan intim dengan wanita sehingga tidak ada langsung perasaan dan keinginan terhadap lelaki.

4. Golongan ini cuba menonjolkan identity gender berlawanan daripada norma-norma biologi dan social yang mereka miliki.

ISLAM MELARANG LELAKI MENYERUPAI WANITA DAN BEGITU JUGA SEBALIKNYA.

Sabda Rasulullah SAW

لعن النبي صلى الله عليه وسلم المخنثين من الرجال ، والمترجلات من النساء
الراوي: عبدالله بن عباس المحدث: البخاري - المصدر: الجامع الصحيح - الصفحة أو الرقم: 6834خلاصة الدرجة: [صحيح]

Bermaksud :Daripada Ibn Anas r.a berkata Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita .(HR al Bukhary)

Sabda Rasulullah SAW

لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم الرجل يلبس لبسة المرأة ، والمرأة تلبس لبسة الرجل
الراوي: أبو هريرة المحدث: أبو داود - المصدر: سنن أبي داود - الصفحة أو الرقم: 4098خلاصة الدرجة: سكت عنه [وقد قال في رسالته لأهل مكة كل ما سكت عنه فهو صالح]

Bermaksud : Daripada Abi Hurairah r.a berrkata :Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki.(HR Abu Daud)

Maksud menyerupai dalam konteks hadith ini termasuklah daripada gaya rambut , perhiasan ,penampilan , cara bercakap cara berpakian dan sebagainya.

RAHSIA /HIKMAH PENGHARAMAN

1. Berlawanan dengan fitrah yang telah dicipta Allah bagi orang lelaki dan perempuan yang mempunyai sedikit perbezaan yang saling menampung dan saling melengkapi antara satu sama lain samada kejadian fizikal , emosi dan sebagainya.Ini disebabkan masing-masing mempunyai tugas dan tanggungjawab.

2. Dari kelainan itulah kita itulah sunatullahnya kita hidup berpasang-pasangan antara lelaki dan perempuan.

Firman Allah

Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.
Dan apabila hubungan ini dilakukan secara pernikahan yang sah maka akan tercapai dan tertunailah naluri fitrah manusia serta keturunannya akan berkembang biak.

Firman Allah
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
(QS Arrum 21)

Firman Allah

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.(QS An Nur 32)

Namun perlu ditegaskan hubungan antara lelaki dan perempuan tanpa dibatasi dengan batasan syarak adalah diharamkan sebagaimana hubungan perkahwinan yang berlaku dengan jantina yang sejenis atas tiket fahaman liberalisme .

Firman Allah SWT

"Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, "Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyaKan haiwan)(QS As Syuara’ 165-166).

TINDAKAN UMAT ISLAM DALAM ISU INI

1. Hendaklah sensitive terhadap perkembangan dan tumbesaran anak-anak agar selaras dengan syara’ dan naluri sejatinya.

2. Membenci dan tidak mempromosi suasana yang tidak selari dengan syarak seperti kelakuan yang cuba dipromosi oleh selebriti media massa ..lelaki-lelaki lembut begitu juga sebaliknya.

3. Menggunakan kuasa rakyat untuk meminggirkan apa jua activity dan tokoh yang cuba menguasai minda orang ramai agar terpesong dari landasan hokum hakam agama.

Saturday, November 15, 2008

Peka kah Kita ?

"Kalau ada problem bagitau je. Insya Allah aku boleh tolong, kecuali duit". Itulah ungkapan yang sering kita gunakan terhadap teman-teman. Samada niat bergurau atau sememangnya bermaksud begitu hanya Allah yang mengetahuinya. Seolah-olah saling memahami, amat sukar untuk memohon bantuan kewangan daripada teman-teman. Budaya kita menjadikan kita merasakan bahawa masalah kewangan adalah masalah masing-masing dan seharusnya diselesaikan sendiri.
Terdapat berbagai keadaan manusia di sekeliling kita. Ada yang fakir samada bersifat meminta atau rela berdiam diri dan menderita. Ramai pula yang mencukupi seadanya. Ada pula yang sepatutnya mencukupi tetapi menderita kerana ingin meningkatkan kualiti diri seperti melanjutkan pelajaran dan sebagainya. Segelintir pula ada yang berlebihan malah ada yang terlalu mewah. Indahnya hidup ini jika semua manusia memahami bahawa setiap kita saling melengkapi. Allah sengaja menguji dengan meletakkan sebahagian rezeki terletak di tangan mereka yang patut memberi. Dalam Surah Az-Zaariat ayat 19 Allah berfirman : وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُوم yang bermaksud; dan dalam harta milik mereka ada mengandungi hak bagi si miskin yang meminta dan yang mendiamkan diri.
Ketika mana musibah menimpa Arwah Ustaz Khairuddin, kita terkilan memikirkan bagaimana mungkin beliau terpaksa bekerja part time bagi menambah pendapatan. Namun hakikatnya, berapa kali kah kita pernah terfikir, mengambil tahu apatah lagi berusaha menyelesaikan masalah kewangan teman-teman. Jika tidak kerana kematian, tangkapan BPR dan sebagainya, masalah ini akan berterusan menjadi masalah peribadi. Semoga selepas ini ungkapan kita terhadap teman akan berubah menjadi ; " Kalau ada problem terutamanya kewangan, bagitau je. Insya Allah aku boleh tolong".

Friday, November 14, 2008

Wednesday, November 12, 2008

AL FATIHAH BUAT USTAZ "DIN"-PERGINYA SEORANG TOKOH

Seluruh warga PPUP bahkan seluruh penduduk Malaysia terkejut dengan pulangnya ke Rahmatullah Al Marhum Ustaz Khairuddin Mohd Isa dengan kejadian yang sangat tragis pada 13 Zul Qaedah 1429 bersamaan 11 November 2008 .Seluruh warga PPUP mendoakan agar roh beliau ditempatkan bersama roh para anbiya' , syuhada' ,siddiqin dan solihin dan diberikan kesabaran kepada keluarga al Marhum.
Sebenarnya penulis mengenali al Marhum semenjak tahun 1997 ketika penulis mula mendaftar pada hari pertama bertugas di Jabatan Mufti Perak dan beliau adalah lebih 'senior" dalam perkhidmatan di Jabatan Mufti.Interaksi dengan beliau adalah lebih bersifat "al akh" daripada hanya sekadar hubungan antara ketua dan pembantu.Sepanjang perkenalan yang berharga ini ada beberapa perkara positif yang boleh melayakkan beliau dinobatkan sebagai tokoh , antaranya
  1. Seorang yang tidak jemu-jemu menuntut ilmu sehingga saat pemergian beliau ,beliau masih menjadi seorang mahasiswa pengajian jarak jauh di UKM dalam jurusan Usuluddin.
  2. Seorang yang amat komited dalam tugas yang diamanahkan khususnya dalam urusan pengurusan guru-guru tauliah agama Negeri Perak yang berjumlah 600 orang dan beliau sangat patuh kepada arahan ketua bahkan pernah dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang oleh Kerajaan Negeri Perak.
  3. Beliau berperanan sebagai Imam di Masjid al Auliya' Tembok dan tidak sampai sebulan dari tempoh pemergiannya , beliau bersama beberapa rakan beliau telah berjaya mempelopori pembinaan Surau al Muhajirin di taman beliau dan beliau sendiri adalah pengerusi surau berkenaan.Dari dimensi inilah warga PPUP perlu melihat betapa diri masing-masing samada telah menjadi "tokoh" dalam komuniti masing-masing seperti beliau yang telah menjadi tokoh dalam komuniti beliau.Masih ramai di kalangan ahli PPUP masih selesa menjadi makmum kepada orang lain dan tidak merasa irihati untuk berkhidmat kepada masyarakat demi kemajuan Islam dan kedaulatannya.

Satu majlis bacaan yasin dan tahlil akan diadakan pada malam Jumaat 14 November 2008 di surau beliau anjuran warga Jabatan Mufti dan keesokkan paginya iaitu pada jam 8.30 pagi Jumaat di surau Kompleks Islam PPUP akan mengadakan bacaan Yasiin dan tahlil untuk beliau.Warga PPUP dan rakan-rakan dijemput menghadiri majlis berkenaan.Satu kutipan derma juga akan diadakan untuk mengurangkan sedikit sebanyak bebanan keluarga beliau dan enam orang yatim berusia antara empat bulan sehingga berusia empat belas tahun.

Ada di kalangan rakan-rakan merasa marah dalam kejadian yang sangat sadis itu dan memang kita berhak untuk marah tetapi yang lebih penting ialah apa tindakan kita selepas ini.Bagi saya ,kita ledakkan kemarahan itu dengan kita bersungguh-sungguh berperanan dalam memperbaiki keadaan masyarakat .Menjadi tokoh ikutan masyarakat dalam memperjuangkan Islam sebagai teras ucapan ,tindakan dan sikap kita .Tetapi amat malang jika marah yang meluap-luap itu hanya sementara sahaja tetapi selepas itu kita pula yang hanyut diarahkan oleh orang lain yang tidak faham perjuangan Islam.Solatlah berjemaah , jadilah imam , bimbinglah masyarakat ,bersangka baiklah sesama muslim dan jadikanlah Islam sebagai segala-galanya mengatasi kepentingan peribadi.

AL FATIHAH BUAT USTAZ "DIN" SEMOGA LAHIR "USTAZ-USTAZ DIN YANG LAIN".

Tuesday, November 4, 2008

ISU TANGKAPAN KHALWAT TERHADAP ARTIS

Ulasan SS Dr. Asri Bin Zainal Abidin, Mufti Kerajaan Negeri Perlis (http://drmaza.com/home/?p=480#more-480) berkaitan tangkapan khalwat ke atas dua orang artis baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa pengalaman dua tahun sebagai mufti tidak banyak membantu beliau memahami realiti pentadbiran hal ehwal agama di negara ini.

Walaupun hanya tinggal sebulan lagi berada atas jawatan mufti, namun beliau masih mengambil sikap seolah-olah menganggap keseluruhan anggota Jabatan Agama Islam Negeri di seluruh negara ini suka bertindak mengikut nafsu tanpa sebarang ilmu berkaitan tugas masing-masing. Kalau beliau beramal dengan "adabul khilaf" pun sudah cukup untuk masing-masing berlapang dada dan menghormati pendirian masing-masing tanpa perlu dilihat terlalu ghairah membela "penjenayah-penjenayah Syariah" yang hanya mencemarkan nama baik golongan agamawan.

Ada bezanya diantara pelepasan Saidina Umar Al-Khattab terhadap sahabat yang membuat pengakuan dengan isu tangkapan yang dibuat. Tidakkah pelik jika sekiranya polis atau BPR yang membuat tangkapan terhadap orang yang disyakki melakukan sesuatu kesalahan, kemudiannya didesak membebaskan mereka semata-mata agar mereka tidak akan diaibkan. Apakah hukum penutupan aib orang ini hanya dikhususkan kepada penguatkuasa agama sahaja tidak kepada penguatkuasa yang lain.
Jangan pula kerana keaiban yang dibuka oleh pihak media, maka tugas penguatkuasa pula yang perlu dihentikan. Apakah membuat tangkapan dan menjatuhkan hukuman dikira berdosa sehingga wajarlah kita mendesak agar semua hakim dan pegawai penguatkuasa dihapuskan perjawatannya.
Dr. Asri masih berterusan memfitnah penguatkuasa agama dengan mengatakan mereka suka mengintai dan mendedahkan perkara dalam ‘kain orang lain’. Mana mungkin penguatkuasa agama ada masa mengekori selebriti tersebut untuk ditangkap, jika tidak kerana aduan pihak ketiga yang melihat kemungkinan berlakunya perbuatan sumbang tersebut. Apakah wajar bagi penguatkuasa agama hanya meminta orang yang menyatakan bahawa mereka melihat dua insan yang bukan mahram berada di satu premis, agar mendiamkan diri agar tidak mengaibkan kedua-dua insan tersebut. Mungkinkah kita dianggap berdosa jika cuba menghalang atau melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai sepasang remaja yang masuk ke bilik air secara bersama di hadapan mata kita. Apakah kita boleh menerima alasan kedua-duanya bahawa mereka tidak mengganggu ketenteraman awam dan mereka akan cuba sebaik mungkin menyembunyikan keaiban mereka.
Dua tahun sebagai mufti tidak mampu digunakan oleh Dr Asri untuk melihat bagaimana hebatnya usaha jabatan agama untuk menghentikan perbuatan suami yang zalim memukul isteri yang membuat aduan. Berapa banyakkah kes seumpama itu yang telah diusahakan oleh beliau sehingga terlupa melihat bagaimana pihak lain melaksanakannya. Apakah dua tahun sebagai mufti gagal memahamkan beliau mengenai bidangkuasa jabatan agama sehinggakan mereka terpaksa menyelesaikan masalah kebiadaban media massa mempamerkan aksi-aksi panas dan sebagainya. Apakah jika suara para ustaz di mimbar dan kuliah tidak ada nilainya di sisi Allah, hanya kerana mereka tidak pernah mendapat ruang di media massa sebagaimana beliau.
Saya tidak berhasrat membincangkan mengenai dalil dan nas yang diberi kerana khilaf dalam memahaminya tidak akan berakhir sehingga kita bertemu tuhan. Namun saya tidak langsung dapat melihat sebarang alternatif cadangan diberikan bagi menyelesaikan permasalahan ini jika sekiranya pandangan Dr. Asri ini diikuti.
2330, 4 November 2008

Ijtimak Sanawi Guru Takmir

Ijtimak Sanawi Guru Takmir Negeri Perak diadakan pada hari ini dengan dirasmikan oleh Dato' Seri Dr. Haji Zahid Bin Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Ijtimak ini diserikan dengan pembentangan kertas kerja oleh S.S. Dato' Seri Hj Harussani B. Haji Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak dan Dr. Jamnul Azhar Mulkan.
Dato' Seri Dr. Haji Zahid dalam perasmiannya menekankan agar para pendakwah tidak diketepikan terutamanya dalam proses pembentukan negara walaupun tidak dinafikan mengenai kepentingan pembangunan fizikal. Walaubagaimanapun pembangunan fizikal tidak akan bertahan lama tanpa pembentukan asas kerohanian yang mantap.
Dalam hal ini, ketika dunia mengalami kemelesetan ekonomi yang amat parah pada hari ini, maka elaun Guru-Guru Takmir hendaklah dikaji semula agar munasabah dengan keperluan semasa. Walaupun isu kewangan bukanlah matlamat utama, namun keperluan yang munasabah amat penting bagi memastikan kualiti pentarbiahan ummat ini mampu dilaksanakan dengan berkesan.
Guru-Guru Takmir amat penting bagi memastikan masjid-masjid dapat diimarahkan sesuai kehendak Allah dan semua pihak harus memastikan kepentingan Syariat Allah diutamakan berbanding kepentingan-kepentingan lain. Maklumat yang disampaikan hendaklah tepat dan berdasarkan kepada sumber yang berotoriti. Masyarakat tidak seharusnya dibiarkan keliru dengan hanya berpegang kepada laporan media perdana yang kebanyakannya memihak kepada sesuatu pihak. Oleh yang demikian Guru-Guru Takmir mempunyai tanggungjawab yang amat besar bagi memastikan masyarakat mendapat ilmu dan maklumat yang tepat dan bermakna.
Selain daripada memastikan hanya yang berkualiti sahaja yang akan menyampaikan ilmu dan maklumat kepada masyarakat, maka usaha Kerajaan Negeri Perak bagi membawa mereka yang berkualiti tetapi selama ini dihalang dari menyampaikan dakwah selama ini ke masjid-masjid seharusnya diraikan.
1415, 4 November 2008

MARI SUBURKAN BUDAYA MENULIS

Disiplin ilmu Islam dibarisi oleh para penulis yang hebat-hebat .Ilmu mereka dinikmati sehingga generasi yang datang kemudian sehingga kita dapat berilmu ini dengan kita menalaah tulisan-tulisan mereka.Memang sangat relevan apabila Allah SWT sangat menekankan mekanisme qalam sebagai mengawali penurunan al Quran .
Sepatutnya suasana ini sentiasa sangat segar khususnya di kalangan ustaz dan ustazah .Kalau setiap kita menulis apa yang dia tahu dan apa yang dilalui sebagai pengalaman untuk di jadikan pengajaran dan sempadan ,sudah tentu kita kita mampu mengumpul sejumlah ilmu dan pengalaman yang sangat banyak dan berharga kerana kita ditaqdirkan oleh Allah untuk menjadi "khalifah"nya dari posisi dan dimensi yang berbeza tetapi saling melengkapi di antara satu sama lain .Waktu kita akan kita menfaatkan untuk mencari pahala amal jariah dan secara automatiknya kita akan berjaya menyempitkan peluang melayan perasaan sifat-sifat mazmumah seperti dengki , buruk sangka dan sebagainya.

Saya menyeru kepada ahli-ahli PPUP gunakan kesempatan blog ini untuk melatih diri sebagai penulis .Rasanya kita mempunyai ramai ahli yang mampu berceramah tetapi kita masih kekurangan yang suka menulis.

Mulakan dari sekarang walaupun sehari sebaris dua lama-lama kelamaan kita akan menjadikan ia sebagai budaya.INSYAALLAH.

Monday, November 3, 2008

Executive Talk Oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim

Terdapat beberapa rakan yang mempertikaikan langkah Kerajaan Negeri Perak menjemput tokoh-tokoh daripada Pakatan Rakyat bagi mengisi program Executive Talk sebagaimana yang dianjurkan pagi tadi. Mereka membandingkan dengan "Kerajaan Dulu" yang hanya mengambil "non-political personality" bagi program seperti ini. Saya akui program yang dipelopori oleh "Kerajaan Dulu" ini amat baik bagi membuka minda penjawat awam di negeri ini. Namun inilah kelainan "Kerajaan Kini" dengan "Kerajaan Dulu" yang begitu menghormati kebebasan dan daya intelektual penjawat awam yang merupakan barisan kepimpinan bagi seluruh rakyat jelata. Jika dulu kita dinafikan hak bagi mendapat buah fikiran daripada golongan politician terutamanya pembangkang maka anggaplah era kegelapan itu telah berlalu. Sikap keterbukaan Kerajaan Negeri ini wajar dialu-alukan kerana ianya mampu mendidik rakyat agar tidak tidak melihat sesuatu melalui batasan fahaman dan kepartian, tetapi lebih fokus kepada kelayakan dan bidang kepakaran. Kita belum melihat mana-mana pusat kegiatan termasuk masjid dan surau yang dihalang menggunakan mana-mana kepakaran walau apapun fahaman mereka selama mana tidak menyalahi ajaran agama.
Samada fenomena ini akan kekal berterusan 4 @ 5 tahun akan datang, bagi saya setiap penjawat awam di negeri ini harus mengambil kesempatan yang ada ini. Amat menghairankan bagi saya melihat ada antara kita yang masih "malu-malu kucing" atau "seram sejuk" untuk menzohirkan keghairahan dalam melibatkan diri sepenuhnya dalam program seumpama ini. Apakah bencana yang akan menimpa jika dilihat atau diketahui oleh "seseorang" bahawa kita amat selesa dengan suasana yang ada.
Amat janggal jika dinafikan kehebatan tokoh-tokoh politik yang ada di negara ini. Mana mungkin mereka yang mendapat kepercayaan rakyat dan terlibat dalam penggubalan dasar negeri dan negara tidak harus didengar pandangan dan wawasan mereka. Langkah menghalang mana-mana ahli politik dari berbicara dengan penjawat awam nyata merupakan langkah berbalik ke belakang. Bagaimana hendak melahirkan penjawat awam yang cekap, berilmu dan berwawasan jika minda mereka dipenjarakan.
Sebagai penjawat awam yang dikatakan sebagai golongan cerdik pandai dan berwawasan, maka tanggungjawab kita untuk menilai dan menganalisa setiap ucapan yang disampaikan. Perlu dibezakan antara penjawat awam dengan rakyat biasa dalam menerima pandangan. Sikap menolak mentah-mentah atau menelan semahunya bukanlah sikap yang boleh dibanggakan. Kita mempunyai saluran atau rangkaian secara langsung sehingga mampu mengesahkan setiap fakta yang diberi. Maka latihlah diri agar mampu menjadi golongan yang berilmu, bermaklumat dan berkeupayaan bagi memikirkan dan bertindak selaras dengan tuntutan zaman kerana rakyat jelata mengharapkan kita untuk dijadikan panduan ke arah perubahan yang lebih baik dari masa ke semasa.
2300, 3 November 2008