Tuesday, November 4, 2008

ISU TANGKAPAN KHALWAT TERHADAP ARTIS

Ulasan SS Dr. Asri Bin Zainal Abidin, Mufti Kerajaan Negeri Perlis (http://drmaza.com/home/?p=480#more-480) berkaitan tangkapan khalwat ke atas dua orang artis baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa pengalaman dua tahun sebagai mufti tidak banyak membantu beliau memahami realiti pentadbiran hal ehwal agama di negara ini.

Walaupun hanya tinggal sebulan lagi berada atas jawatan mufti, namun beliau masih mengambil sikap seolah-olah menganggap keseluruhan anggota Jabatan Agama Islam Negeri di seluruh negara ini suka bertindak mengikut nafsu tanpa sebarang ilmu berkaitan tugas masing-masing. Kalau beliau beramal dengan "adabul khilaf" pun sudah cukup untuk masing-masing berlapang dada dan menghormati pendirian masing-masing tanpa perlu dilihat terlalu ghairah membela "penjenayah-penjenayah Syariah" yang hanya mencemarkan nama baik golongan agamawan.

Ada bezanya diantara pelepasan Saidina Umar Al-Khattab terhadap sahabat yang membuat pengakuan dengan isu tangkapan yang dibuat. Tidakkah pelik jika sekiranya polis atau BPR yang membuat tangkapan terhadap orang yang disyakki melakukan sesuatu kesalahan, kemudiannya didesak membebaskan mereka semata-mata agar mereka tidak akan diaibkan. Apakah hukum penutupan aib orang ini hanya dikhususkan kepada penguatkuasa agama sahaja tidak kepada penguatkuasa yang lain.
Jangan pula kerana keaiban yang dibuka oleh pihak media, maka tugas penguatkuasa pula yang perlu dihentikan. Apakah membuat tangkapan dan menjatuhkan hukuman dikira berdosa sehingga wajarlah kita mendesak agar semua hakim dan pegawai penguatkuasa dihapuskan perjawatannya.
Dr. Asri masih berterusan memfitnah penguatkuasa agama dengan mengatakan mereka suka mengintai dan mendedahkan perkara dalam ‘kain orang lain’. Mana mungkin penguatkuasa agama ada masa mengekori selebriti tersebut untuk ditangkap, jika tidak kerana aduan pihak ketiga yang melihat kemungkinan berlakunya perbuatan sumbang tersebut. Apakah wajar bagi penguatkuasa agama hanya meminta orang yang menyatakan bahawa mereka melihat dua insan yang bukan mahram berada di satu premis, agar mendiamkan diri agar tidak mengaibkan kedua-dua insan tersebut. Mungkinkah kita dianggap berdosa jika cuba menghalang atau melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai sepasang remaja yang masuk ke bilik air secara bersama di hadapan mata kita. Apakah kita boleh menerima alasan kedua-duanya bahawa mereka tidak mengganggu ketenteraman awam dan mereka akan cuba sebaik mungkin menyembunyikan keaiban mereka.
Dua tahun sebagai mufti tidak mampu digunakan oleh Dr Asri untuk melihat bagaimana hebatnya usaha jabatan agama untuk menghentikan perbuatan suami yang zalim memukul isteri yang membuat aduan. Berapa banyakkah kes seumpama itu yang telah diusahakan oleh beliau sehingga terlupa melihat bagaimana pihak lain melaksanakannya. Apakah dua tahun sebagai mufti gagal memahamkan beliau mengenai bidangkuasa jabatan agama sehinggakan mereka terpaksa menyelesaikan masalah kebiadaban media massa mempamerkan aksi-aksi panas dan sebagainya. Apakah jika suara para ustaz di mimbar dan kuliah tidak ada nilainya di sisi Allah, hanya kerana mereka tidak pernah mendapat ruang di media massa sebagaimana beliau.
Saya tidak berhasrat membincangkan mengenai dalil dan nas yang diberi kerana khilaf dalam memahaminya tidak akan berakhir sehingga kita bertemu tuhan. Namun saya tidak langsung dapat melihat sebarang alternatif cadangan diberikan bagi menyelesaikan permasalahan ini jika sekiranya pandangan Dr. Asri ini diikuti.
2330, 4 November 2008

1 comment:

Perakian1 said...

Soal menutup membuka aib tak timbul langsung. Takde pulak pas bangang dan idolanya, Dr Asri pernah marah polis dll penguatkuasa lain tangkap orang buat salah. Kalau semua aib kena tutup macamana nak laksanan hudud. sebat atau rejam penjenayah kena buat depan public.
Kalau ada penguatkuasa yang buat salah tetap salah. Yang tak buat salah tangkap le orang yang buat salah.
Nampak macam pas bangang ni ada sentimen peribadi dengan penguatkuasa Perak. Pernah kena tangkap kut.