Sejak menjejakkan kaki ke Jabatan bukan sedikit skim pelaburan yang saya dengar melibatkan teman-teman. Ianya boleh jadi dalam bentuk Skim Cepat Kaya, Multilevel Marketing, Pelaburan Saham dan sebagainya. Kebetulan saya bukanlah jenis orang yang mudah dilibatkan dalam hal-hal sebegini. Dan saya sentiasa mengelak daripada bercakap mengenainya kecuali di dalam kuliah-kuliah di masjid dan surau. Namun apabila ada yang meminta pendapat, mahu tidak mahu terpaksa juga saya menyatakan apa yang saya tahu. Walaupun sebagai berbekalkan kelulusan ijazah Syariah yang memahami sedikit sebanyak Fiqh Muamalat, ditambah dengan sedikit ilmu berkaitan kewangan yang digali daripada pengajian peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan, tidak sangat menjamin ketepatan pandangan, namun saya rasa berkewajipan untuk meluahkan rasa yang terpendam agar dapat dikongsi bersama-sama rakan.
Teman-teman sekelian,
Walaupun konsep Muamalat menyatakan bahawa “Setiap sesuatu itu halal kecuali ada nas atau dalil yang mengharamkannya”, namun sebagai orang agama kita tidak hanya sekadar mewakili diri dan kelompok kita. Bukan sedikit walaupun tidak semua skim yang ditawarkan akan menyandarkan penglibatan kita bagi menarik pelanggan. Walaupun kadang-kadang kita tak perasan, namun hakikatnya tingkahlaku, percakapan dan penampilan kita menjadi panduan kepada masyarakat yang diluar sana. Mungkin sebahagian kita tidak pernah menghadapi kegagalan lantaran sentiasa menjadi pemula atau pengasasnya. Namun apakah ertinya keuntungan yang dibina di atas titisan air mata mangsa-mangsa yang terkemudian.
Dalam setiap tindakan kita apakah kita meletakkan halal dan haram sebagai asas penilaian atau keuntungan yang lebih diutamakan. Penglibatan begitu ramai manusia dalam Skim Cepat Kaya bukanlah sesuatu yang amat menghairankan. Sir Isaac Newton pernah mengatakan ; "Aku mampu meramalkan pergerakan bintang-bintang di angkasa, tetapi bukan kegilaan manusia”. Ungkapan ini mungkin diucapkannya selepas kehilangan lebih £20,000 akibat berspekulasi saham Syarikat South Sea. Skim Cepat Kaya bukanlah suatu yang baru bermula, tetapi telah bercambah sejak abad ke 17 di Eropah.
Beberapa perkara boleh difikirkan bersama sebelum kita melibatkan diri dalam mana-mana muamalah yang menawarkan pulangan lumayan iaitu :
a. Pelaburan biasanya dikaitkan dengan kadar pulangan. Mengikut John C. Bogle, pengasas The Vanguard Group Of Investment Companies (yang mempunyai dana berjumlah AS$100 bilion) : "sebarang pulangan lebih daripada 20% setahun adalah durian runtuh". Rekod pengurus kewangan terbaik dunia mencatat sejarah seperti berikut :
- JOHN TEMPLETON, pengurus dana TEMPLETON GROWTH FUND memberikan pulangan 14% setahun selama 32 tahun.
- WARREN BUFFET, pengurus dana BERKSHIRE HATHAWAY memberikan pulangan 22% setahun selama 40 tahun.
- PETER LYNCH, pengurus dana FIDELITY MAGELLAN memberikan pulangan 29% setahun selama 13 tahun.
- GEORGE SOROS, pengurus dana QUANTUM FUND memberikan pulangan 34% setahun selama 25 tahun.
Jika sekiranya George Soros hanya mampu memberikan pulangan sebanyak 34% setahun secara berterusan selama 25 tahun dan pelabur terbaik dunia Warren Buffet yang hanya mencatatkan rekod memberikan pulangan sebanyak 22% setahun secara berterusan selama 40 tahun maka apakah logiknya warga Negara ini yang tidak dikenali mampu memberikan lebih daripada itu.
Jika sekiranya George Soros hanya mampu memberikan pulangan sebanyak 34% setahun secara berterusan selama 25 tahun dan pelabur terbaik dunia Warren Buffet yang hanya mencatatkan rekod memberikan pulangan sebanyak 22% setahun secara berterusan selama 40 tahun maka apakah logiknya warga Negara ini yang tidak dikenali mampu memberikan lebih daripada itu.
b. Secara dasarnya wang yang dilaburkan akan digunakan oleh syarikat melalui tiga kaedah ; diniagakan atau dilaburkan atau kedua-duanya. Perniagaan sememangnya mampu mendapatkan keuntungan berkali ganda. Tetapi perniagaan yang hebat pasti melahirkan dua perkara; persaingan dan berita. Maka jika tiada siapa yang mengenali corak perniagaannya sedangkan pulangan yang diberikannya berlipatganda tentulah ada suatu yang tak kena dengan perniagaannya ataupun sememangnya perniagaan tersebut tidak wujud sama sekali. Jika wang kita dilaburkan maka untuk memberikan pulangan yang banyak tentulah memerlukan syarikat juga mendapat keuntungan yang banyak. Maka pelaburannya tidak mungkin dalam lingkungan satu dua ribu tapi mungkin menjangkau ratusan ribu atau jutaan ringgit. Malangnya tidak banyak institusi pelaburan di negara ini yang memunyai wang sebegitu banyak seperti PNB, KWSP dan beberapa buah syarikat insuran dan unit amanah. Maka jawapan paling mudah yang sering diberikan adalah pelaburan luar pesisir; Offshore. Istilah ini digunakan kerana mereka tahu bahawa kebanyakan orang tak berapa tahu mengenainya dan ini akan menyebabkan mereka akan berhenti bertanya mengenainya. (Insya Allah sedikit penerangan mengenai offshore akan saya tuliskan dalam siri akan datang).
Teman-teman sekelian,
Jika diminta nasihat dan pandangan saya suka menasihatkan beberapa perkara bagi memastikan kita tidak menjadi mangsa atau terlibat dalam melakukan penyelewengan :
a. Belajarlah atau ambil tahu mengenai hal-hal berkaitan kewangan.
b. Kajilah apa-apa peluang pelaburan. Baca prospektusnya, baca buku mengenainya atau bertanyalah kepada yang faham tentangnya.
c. Jangan gopoh untuk melakukan pelaburan. Ingatlah “peluang hanya datang sekali seumur hidup” sebenarnya datang setiap bulan.
d. Jangan terima tawaran sesiapapun bulat-bulat walaupun dikenali peribadinya.
e. Hampir semua pelaburan dijual oleh ejen yang mengambil komisyen. Mereka tidak akan bersikap neutral terhadap produk mereka.
f. Terlalu besar risiko mel;etak wang di luar Negara. Kerajaan asing boleh menukar polisi (ianya sah) menyebabkan wang kita tersangkut di suatu tempat yang terletak jauh beribu batu.
g. Jangan sekali-kali meminjam untuk melakukan pelaburan. Anda perlu membayar ansurannya samada mendapat keuntungan atau menghadapi kerugian.
h. Sebelum berpisah dengan wang anda, pastikan pelaburan anda sah dan syarikatnya berlesen. Rujuklah Suruhanjaya Sekuriti – (http://www.sc.com.my/).
i. Jika belum mampu membayar sesuatu, simpan wang anda dulu dan hanya beli apabila mampu. Tiada undang-undang mewajibkan anda perlu memiliki segala-galanya.
j. Ingatlah ; segala yang kedengaran terlalu indah untuk dipercayai, biasanya palsu semata-mata.
No comments:
Post a Comment