Wednesday, November 12, 2008

AL FATIHAH BUAT USTAZ "DIN"-PERGINYA SEORANG TOKOH

Seluruh warga PPUP bahkan seluruh penduduk Malaysia terkejut dengan pulangnya ke Rahmatullah Al Marhum Ustaz Khairuddin Mohd Isa dengan kejadian yang sangat tragis pada 13 Zul Qaedah 1429 bersamaan 11 November 2008 .Seluruh warga PPUP mendoakan agar roh beliau ditempatkan bersama roh para anbiya' , syuhada' ,siddiqin dan solihin dan diberikan kesabaran kepada keluarga al Marhum.
Sebenarnya penulis mengenali al Marhum semenjak tahun 1997 ketika penulis mula mendaftar pada hari pertama bertugas di Jabatan Mufti Perak dan beliau adalah lebih 'senior" dalam perkhidmatan di Jabatan Mufti.Interaksi dengan beliau adalah lebih bersifat "al akh" daripada hanya sekadar hubungan antara ketua dan pembantu.Sepanjang perkenalan yang berharga ini ada beberapa perkara positif yang boleh melayakkan beliau dinobatkan sebagai tokoh , antaranya
  1. Seorang yang tidak jemu-jemu menuntut ilmu sehingga saat pemergian beliau ,beliau masih menjadi seorang mahasiswa pengajian jarak jauh di UKM dalam jurusan Usuluddin.
  2. Seorang yang amat komited dalam tugas yang diamanahkan khususnya dalam urusan pengurusan guru-guru tauliah agama Negeri Perak yang berjumlah 600 orang dan beliau sangat patuh kepada arahan ketua bahkan pernah dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang oleh Kerajaan Negeri Perak.
  3. Beliau berperanan sebagai Imam di Masjid al Auliya' Tembok dan tidak sampai sebulan dari tempoh pemergiannya , beliau bersama beberapa rakan beliau telah berjaya mempelopori pembinaan Surau al Muhajirin di taman beliau dan beliau sendiri adalah pengerusi surau berkenaan.Dari dimensi inilah warga PPUP perlu melihat betapa diri masing-masing samada telah menjadi "tokoh" dalam komuniti masing-masing seperti beliau yang telah menjadi tokoh dalam komuniti beliau.Masih ramai di kalangan ahli PPUP masih selesa menjadi makmum kepada orang lain dan tidak merasa irihati untuk berkhidmat kepada masyarakat demi kemajuan Islam dan kedaulatannya.

Satu majlis bacaan yasin dan tahlil akan diadakan pada malam Jumaat 14 November 2008 di surau beliau anjuran warga Jabatan Mufti dan keesokkan paginya iaitu pada jam 8.30 pagi Jumaat di surau Kompleks Islam PPUP akan mengadakan bacaan Yasiin dan tahlil untuk beliau.Warga PPUP dan rakan-rakan dijemput menghadiri majlis berkenaan.Satu kutipan derma juga akan diadakan untuk mengurangkan sedikit sebanyak bebanan keluarga beliau dan enam orang yatim berusia antara empat bulan sehingga berusia empat belas tahun.

Ada di kalangan rakan-rakan merasa marah dalam kejadian yang sangat sadis itu dan memang kita berhak untuk marah tetapi yang lebih penting ialah apa tindakan kita selepas ini.Bagi saya ,kita ledakkan kemarahan itu dengan kita bersungguh-sungguh berperanan dalam memperbaiki keadaan masyarakat .Menjadi tokoh ikutan masyarakat dalam memperjuangkan Islam sebagai teras ucapan ,tindakan dan sikap kita .Tetapi amat malang jika marah yang meluap-luap itu hanya sementara sahaja tetapi selepas itu kita pula yang hanyut diarahkan oleh orang lain yang tidak faham perjuangan Islam.Solatlah berjemaah , jadilah imam , bimbinglah masyarakat ,bersangka baiklah sesama muslim dan jadikanlah Islam sebagai segala-galanya mengatasi kepentingan peribadi.

AL FATIHAH BUAT USTAZ "DIN" SEMOGA LAHIR "USTAZ-USTAZ DIN YANG LAIN".

No comments: