Ijtimak Sanawi Guru Takmir Negeri Perak diadakan pada hari ini dengan dirasmikan oleh Dato' Seri Dr. Haji Zahid Bin Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Ijtimak ini diserikan dengan pembentangan kertas kerja oleh S.S. Dato' Seri Hj Harussani B. Haji Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak dan Dr. Jamnul Azhar Mulkan.
Dato' Seri Dr. Haji Zahid dalam perasmiannya menekankan agar para pendakwah tidak diketepikan terutamanya dalam proses pembentukan negara walaupun tidak dinafikan mengenai kepentingan pembangunan fizikal. Walaubagaimanapun pembangunan fizikal tidak akan bertahan lama tanpa pembentukan asas kerohanian yang mantap.
Dalam hal ini, ketika dunia mengalami kemelesetan ekonomi yang amat parah pada hari ini, maka elaun Guru-Guru Takmir hendaklah dikaji semula agar munasabah dengan keperluan semasa. Walaupun isu kewangan bukanlah matlamat utama, namun keperluan yang munasabah amat penting bagi memastikan kualiti pentarbiahan ummat ini mampu dilaksanakan dengan berkesan.
Guru-Guru Takmir amat penting bagi memastikan masjid-masjid dapat diimarahkan sesuai kehendak Allah dan semua pihak harus memastikan kepentingan Syariat Allah diutamakan berbanding kepentingan-kepentingan lain. Maklumat yang disampaikan hendaklah tepat dan berdasarkan kepada sumber yang berotoriti. Masyarakat tidak seharusnya dibiarkan keliru dengan hanya berpegang kepada laporan media perdana yang kebanyakannya memihak kepada sesuatu pihak. Oleh yang demikian Guru-Guru Takmir mempunyai tanggungjawab yang amat besar bagi memastikan masyarakat mendapat ilmu dan maklumat yang tepat dan bermakna.
Selain daripada memastikan hanya yang berkualiti sahaja yang akan menyampaikan ilmu dan maklumat kepada masyarakat, maka usaha Kerajaan Negeri Perak bagi membawa mereka yang berkualiti tetapi selama ini dihalang dari menyampaikan dakwah selama ini ke masjid-masjid seharusnya diraikan.
1415, 4 November 2008
No comments:
Post a Comment