Syukur Alhamdulillah, berkat kesabaran dan perjuangan semua terutamanya melalui gerak kerja persatuan, maka tirai 1430H telah mulai menunjukkan hasil. Jabatan Agama Islam Perak bakal mendapat Pengarah baru, iaitu Dato' Sheikh Mohamah Nor b. Mansor Al-Hafiz, mulai 1 Januari 2009. Walaupun inilah kali pertama Pegawai-Pegawai Agama di Negeri Perak mendapat peluang untuk memimpin Jabatan, namun ada terlalu banyak amanah dan tanggungjawab yang menanti kita dalam era perubahan ini. Kita semua menyedari betapa beratnya pihak atasan untuk mengambil keputusan. Jika tidaklah kerana titah paduka raja, mungkin penantian ini masih lagi berterusan. Ahli Jawatankuasa Persatuan telah melakukan segala yang boleh dilakukan termasuk kemuncaknya sehingga bertekak dengan pihak atasan. Usaha dan pengaruh Dato' Sheikh sendiri adalah penentu kejayaan ini. Apa yang pasti anugerah yang kita perolehi ini adalah anugerah yang dipaksakan. Walaupun kontraknya selama 2 tahun, namun mudah saja mereka merampasnya kembali. Kita akan dinilai dengan nilaian yang tidak seimbang. Sebarang kesilapan kecil berkemungkinan akan dibesar-besarkan. Bagi kita inilah peluang bagi kita membuktikan kita boleh, tetapi bagi mereka inilah peluang bagi membuktikan kegagalan dan ketidakmampuan kita. Maka marilah kita insafi bersama, anugerah ini mungkin menjadi titik mula atau boleh saja menjadi penamat segala-galanya. Peluang ini wajib kita rebut seadanya. Semua ahli wajib berazam untuk berusaha dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk menjadikan Jabatan sebagai pemimpin di barisan hadapan. Jika selama ini kita berada dalam serba kebimbangan, maka kebebasan ini harus kita manfaatkan. Tekanan dan kekangan terdahulu kini sudah menjadi sejarah. Maka segalanya bergantung kepada kita bersama. Gunakanlah kreativiti masing-masing bagi menyerlah kehebatan. Jika selama ini kita berpecah belah dan saling curiga sesama sendiri, maka marilah kita bersatu. Semoga keberkatan kedatangan tahun baru ini akan merubah landskap Jabatan ini sesuai dengan keperluan masyarakat dan kehendak Syariat.
No comments:
Post a Comment