الَّذِينَ ءَامَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ
Hari ini kita melangkah ke tahun baru 1430 Hijrah. Perpindahan tahun ini bukanlah mempunyai sebarang kehebatan dan keistimewaan melainkan menyedarkan dan mengingatkan kita kepada pertambahan usia yang makin menghampirkan kita kepada kematian. Semakin lama kita melangkah, semakin usia kita bertambah, semakin hampir kita menemui Allah. Samada kita menghayati Hijrah atau tidak, samada kita melakukan perubahan atau tidak, namun kita semua pasti akan berhijrah. Kita akan berhijrah dari alam dunia ke Alam Barzakh, kita akan berhijrah dari Alam Barzakh ke Alam Mahsyar, kita akan berhijrah dari Alam Mahsyar ke Alam Jaza’. Persoalannya apakah kita semua telah menyediakan bekalan dan melakukan persiapan untuk menerima ganjaran baik di sisi Allah atau pun persiapan dan bekalan bagi menerima penyiksaan. Kalau di dunia kita berbalah, mencari siapa yang benar dan siapa yang salah, namun di Akhirat kelak semuanya pasti terserlah. Semuanya akan tunduk kepada keputusan Allah S.W.T.Rasulullah S.A.W telah menetapkan dan merintis strategi Hijrah sebagai asas mengatur rancangan dan memulakan langkah bagi menubuhkan sebuah pemerintahan dan negara berdaulat yang berlandaskan Syariat Allah. Berbeza dengan kita hari ini yang hanya berhijrah ketika tersepit dan terhimpit dan dihijrahkan oleh ketua dan majikan apabila melakukan suatu yang tidak disukainya.Rasulullah S.A.W berhijrah dengan meninggalkan Mekah al-Mukarramah, tanah airnya sendiri menuju ke Madinatul Munawwarah, tempat asing yang amat jauh dari tanah tumpah darahnya. Adakah ini bermakna Rasulullah S.A.W tidak cinta dan setia kepada negaranya. Sejarah menunjukkan bahawa Mekah adalah sebuah negara yang cukup maju dari segi ekonomi dan perniagaannya. Mekah juga amat terkenal dengan kesenian dan kebudayaannya. Tetapi Mekah amat tandus dengan kehidupan beragama dan peradaban sosialnya. Mekah bukanlah tempat yang sesuai bagi mengembangkan, apatah lagi melaksanakan Syariat Allah. Ini menyebabkan Rasulullah S.A.W terpaksa meninggalkan Mekah tanah air yang amat disayanginya bagi melaksanakan Syariat Allah. Oleh kerana Madinah Al-Munawarrah mempunyai potensi bagi menerima Syariat Allah walaupun mungkin belum ada sejarah yang mampu membuktikan penduduknya mampu bersaing mengejar kemajuan berbanding dengan penduduk Mekah. Inilah gambaran hijrah yang kadang-kadang terpaksa melupakan kesenangan dan kehebatan dunia jika ianya tidak membantu mencapai keredhaan Allah.Iktibar terbesar daripada Hijrah Rasulullah S.A.W ini adalah mengenai fungsi dan peranan kita sebagai umat Islam tidak terhenti setakat ibadat khusus semata-mata setiap kita mempunyai tanggungjawab masing-masing sebagai khalifah Allah di muka bumi. Rasulullah S.A.W pernah ditawarkan sebagai pemimpin di Mekah dan boleh beribadat secara bebas dengan syarat baginda meninggalkan hasrat melaksanakan Syariat Allah. Baginda dengan tegas menolak tawaran tersebut kerana tidak ada maknanya mentadbir dunia jika terpaksa meninggalkan agama dan mengikut telunjuk musuh-musuh Allah. Kecintaan kita kepada perkara lain seperti kecintaan kepada negara, kecintaan kepada kuasa, kecintaan kepada keluarga, kecintaan kepada harta dan sebagainya wajib kita korbankan jika bertentangan dengan Syariat Allah. Setelah Syariat Allah diikuti barulah kita boleh kembali kepada apa yang kita cintai. Ini dibuktikan oleh Rasulullah S.A.W yang akhirnya kembali semula ke Mekah al-Mukarramah pada pembukaan kota Mekah untuk melaksanakan sepenuhnya undang-undang Islam di Mekah dan menghancurkan jahiliah yang menghalang perlaksanaan Islam di muka bumi.Hijrah tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa jihad, semangat dan kecintaan terhadap Allah. Apa maknanya kita menyambut Maal Hijrah jika di hari-hari yang mendatang hanya menjauhkan kita dari Allah. Apakah ertinya kita sambutan Maal Hijrah. jika jihad masih disalah anggap dan menjadi satu istilah yang amat menakutkan. Apalah gunanya sambutan Maal Hijrah jika perubahan yang ada hanya menjadikan umat Islam bertambah lemah dan menjadi mangsa penindasan musuh-musuh Allah malah terus dihina dan dicerca dengan tuduhan sebagai pengganas dan pemecah-belah.Hijrah mengajar kita bagaimana usaha Rasulullah S.A.W membentuk negara dan membina umat. Matlamat Hijrah adalah satu, iaitu mengambil teraju pemerintahan bagi membolehkan perlaksanaan syariat. Tetapi ini tidak akan berjaya jika umat Islam berpecah-belah. Rasulullah S.A.W telah menyatukan antara puak Aus dan Khazraj serta mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Intipati Hijrah ini terangkum dalam surah Al-Imran ayat 102 :
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاََ تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ ءَايَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam) dan jangan kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu) lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (di sebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya, supaya kamu mendapat pertunjuk.Mencari perpaduan dan kesatuan umat hanyalah wasilah atau jalan bagi mencapai matlamat mendaulatkan perintah-perintah Allah. Kita tidak akan mampu meninggikan kalimat Allah dalam keadaan berpecah-belah dan saling salah menyalah. Perpaduan amat penting bagi mengumpulkan kekuatan bagi mengambarkan keagungan dan keindahan Islam. Begitu juga perpaduan yang tidak berlandaskan tali Allah atau persepakatan yang tidak bermatlamat mencari keredhaan Allah hanyalah sia-sia dan membawa padah. Seharusnya kita berdakwah kepada Allah dengan beradab dan menggunakan hikmah serta menjaga hubungan persaudaraan supaya tidak menambahkan jurang perpecahan di kalangan umat. Dan di samping kita mengajak umat bersatu dan berpadu, kita tidak harus lupa kepada amanah Allah bagi memartabatkan perintah dan arahan Allah. Berpeganglah kepada kaedah Allah sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 125 :
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
Serulah ke jalan tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik
No comments:
Post a Comment