SENAMAN YOGA ..SATU PENJELASAN
LATAR BELAKANG
KEPUTUSAN Majlis Fatwa Kebangsaan, mengharamkan senaman yoga di kalangan penganut Islam jelas menimbulkan kontroversi berbagai pihak. Berdasarkan polemik yang menyusul, adalah jelas bahawa pengumuman itu sedikit sebanyak menimbulkan rasa kurang senang di kalangan beberapa pihak. Segelintir badan bukan kerajaan (NGO) yang didukung orang Islam pula mempertikaikan fatwa berkenaan atas alasan bahawa yoga yang mereka jadikan satu bentuk senaman yang baik untuk kesihatan dan tidak mengandungi unsur yang bertentangan dengan Islam.
Sementara itu, beberapa individu Islam yang terbabit dengan pengajaran atau amalan yoga mendakwa senaman yang mereka amalkan tidak mengandungi aspek pemujaan atau manetra yang didakwa oleh Majlis Fatwa. Di kalangan orang bukan Islam, terutama penganut Hindu pula, ada yang menganggap fatwa itu sebagai penghinaan terhadap agama mereka
Salah faham di kalangan orang Islam yang mengamalkan yoga jelas kelihatan apabila mendakwa bahawa senaman yang mereka amalkan tidak mengandungi mantera atau apa-apa ritual keagamaan yang boleh menjejaskan akidah. Sebaliknya, mereka mendakwa bahawa kegiatan itu berkesan meredakan pelbagai jenis penyakit, mengurangkan tekanan serta memberikan mereka ketenangan jiwa serta melatih mereka fokus ketika melakukan sesuatu pekerjaan. Kononnya mampu menjadikan mereka lebih khusyuk ketika solat.
PANDANGAN ISLAM TERHADAP RIADAH
Islam tidak melarang umatnya melakukan riadhah malah menggalakkan umatnya menjadi umat yang sihat .Dengan kesihatan itu, kita dapat beribadat dengan baik dan mampu menggunakannya untuk membela agama .Malah tujuan beriadhah itu sendiri adalah untuk mendapat “afiat” kesejahteraan dari tubuh badan yang sihat .Sabda Rasulullah SAW :
من أصبح منكم آمنا في سربه ، معافى في جسده ، عنده قوت يومه ، فكأنما حيزت له الدنيا
الراوي: عبيدالله بن محصن المحدث: البيهقي - المصدر: شعب الإيمان - الصفحة أو الرقم: 7/3352خلاصة الدرجة: أصح ما روي في الباب
Bermaksud :Barang siapa yang bangun pagi dalam kesejahteraan bersama keluarganya ,sihat tubuh badannya , mempunyai bekalan makanan untuk hari itu , seolah-olah ia menguasai dunia ini.
سلوا الله العفو والعافية ، فإن أحدا لم يعط بعد اليقين خيرا من العافية
الراوي: أبو بكر الصديق المحدث: الألباني - المصدر: الاحتجاج بالقدر - الصفحة أو الرقم: 48خلاصة الدرجة: صحيح
Bermaksud :Mohonlah kepada Allah keampunan dan kesihatan sesengguhnya taiada nikmat yang lebih baik selepas dikurniakan keyakinan iman selain daripada kesihatan yang baik.
Dalam doa qunut kita membaca
وعافني فيمن عافيت
Dalam doa duduk antara dua sujud kita membaca
اللهم اغفر لي وارحمني واجبرني وعافني وارزقني
Apabila kita memahami matlamat riadhah itu untuk kita lebih cergas berbakti kepada Allah maka dalam melaksanakannya juga perlu terpelihara dari perkara yang dilarang oleh Allah seperti membuka aurat , percampuran lelaki dengan perempuan , meninggalkan tugas-tugas asasi sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di atas muka bumi ini serta menjauhi pergerakan yang menyerupai bentuk penyembahan agama lain
PENGENALAN YOGA
Yoga ialah perkataan Sanskrit yang mempunyai banyak makna[1]. Ia berasal daripada bahasa Sanskrit yuj, bermaksud mengawal, menyambung atau menyatu [2]. Yoga dari segi istilah ialah “union; kesatuan; ‘sambungan atau ‘kuk’ roh individu dengan roh alam semesta; penyatuan dengan roh Tuhan [3].
SUMBER ILMU YOGA
Pengajaran Yoga terdapat di dalam kitab suci agama Hindu ‘Bhagavad Gita’. Nama ‘Bhagavad Gita’ bermaksud “lagu tuhan”, dan Bhagavat merupakan gelaran Krishna. Dalam konteks Bhagavad Gita, perkataan “Yoga’ memerihalkan satu pandangan bersatu, ketenangan fikiran, kemahiran bertindak, serta keupayaan untuk mengekalkan penyesuaian dengan kemuliaan Diri (Atman), dan yang mempunyai intipati yang sama dengan asas Kewujudan (Brahman).
TUJUAN YOGA
Tujuan Yoga (nirvana atau moksha) adalah untuk melepaskan diri daripada kitaran penjelmaan semula melalui kesedaran perpaduan dengan kebenaran muktamad. terdapat tiga peringkat dalam kesedaran diri yang diberikan dalam Bhagavad Gita iaitu; Brahman: tenaga sejagat yang tidak bersifat peribadi, Paramatma: Tuhan yang berada di pusat setiap hidupan, Bhagavan: tuhan sebagai satu personaliti, dengan bentuk transendental [4].
YOGA MENURUT AGAMA BUKAN ISLAM
1. Yoga Hindu: Mengatakan bahawa kita boleh bersatu dengan Tuhan semasa Roh masih ada dalam badan, semasa seseorang itu masih hidup di dunia ini [5]. Selepas matinya seseorang itu dia akan hidup semula ke dalam jasad lain. Keadaan ini berterusan sehingga sampai ke tahap suci yang layak bersatu dengan Tuhan – Brahma. Jalan keluar daripada dukha dan samsara yang berterusan ini hendaklah belajar cara-cara mengamalkan Yoga yang betul [6].
2. Yoga Buddha: Hasil daripada pertapaannya, Gautama Budha mendapat Kegemilangan Rohaniah (Enlightened). Hasil daripada terlepas dirinya daripada kenyataan hidup di dunia ini yang tidak lain daripada dukha dan samsara.
3. Yoga Yahudi: Yahudi juga ada Yoga. Mereka menggunakan cara yang sama seperti latihan bernafas, membaca mantra dan melakukan kedudukan badan yang berbagai digelar Asana demi hendak mencapai sejenis keadaan kesedaran (consciousness) [7].
4. Yoga Kristian: Matlamat Yoga Kristian ialah “Kesatuan Roh dengan Tuhan”, bererti Yoga sesuai dengan Kristian. Yoga Kristian mengatakan bahawa kita Bersatu dengan Allah selepas mati. Manakala Yoga Hindu mengatakan bahawa kita boleh bersatu dengan Allah semasa Roh masih ada dalam badan, semasa seseorang itu masih hidup di dunia ini [8].
BENTUK SENAMAN YANG BERKAITAN DENGAN CARA PENYEMBAHAN AGAMA HINDU
a) Padmasasa merupakan imbangan yang sempurna seperti bunga teratai terapung di atas air kolam yang tenang.
b) Bunga Teratai di kalangan Hindu adalah simbol keheningan, kejernihan dan keyakinan diri. Bunga teratai selalunya digambarkan dengan Tuhan Vishnu.
c) Garudasana senaman garuda. Nama burung khayalan yang menjadi tunggangan Vishnu ketika mahu naik ke langit.
d) Yoga-Mudra simbol sujud seseorang kepada Tuhan. Cara duduknya; Bersila sama seperti duduk Padmasana. Tarik nafas dengan mendalam, kemudian hembuskan. Tunduk perlahan-lahan ke hadapan sehingga dagu dan mulut mencecah lantai.
e) Bhakti Yoga ialah Yoga Ibadat, atau Yoga Cinta tuhan dengan ini terbukalah akal dan hati kepada martabat Kehidupan Tertinggi, mengajar kita beribadat kepada tuhan. Bhakti Yoga ialah Yoga Devotion (Ibadat) atau Yoga Kecintaan kepada tuhan dengan menyerahkan diri dengan sepenuhnya kepada tuhan, Yoga seorang faqir, atau seorang sederhana bersahaja, dan inilah namanya Bhakti [9]. Bhakti Yoga ialah hubungan Yogin dengan tuhan melalui cinta, ta’at dan menyerah diri (Bhakti) [10].
f) Kesatuan segala-gala. Bila sampai ke tahap ini, pengamal sudah layak memeriksa diri dengan minda yang terlatih dan daya yang tinggi melakukan konsentrasi terhadap apakah Hikmat Manusia Ada Di Dunia ini, Kesatuan segala-gala Unity of God/Things atau (Wahdat al-Wujud atau Allah ialah segala-gala) [11].
g) Jnana Yoga, (Yoga Ma’rifat) Jnana Yoga bertukar daripada perkara zahir dunia kepada batin yang ada dalam diri. Sains nature menjelaskan mengapakah benda itu bergerak; Jnana Yoga (Yoga Ma’rifat) mencari rahsia apakah benda yang menggerakkan itu, rahsia ini di gelar roh.
h) Dengan akal sahaja tidak boleh sampai kepada tuhan. Jnana Yoga melalui penafian segala benda dan akhirnya sampai kepada “Aku” (bererti Tuhan).
i) Ilmu melalui jalan akal hanyalah batu loncatan kepada mengenal Atman, Diri bukannya Maya. Jnana Yoga (Marifat Yoga) sampai kepada jalan terakhir Maha Esa. Atman, Diri Tuhan itulah ultimate reality. Dia maha esa tidak berbelah bagi ada dalam diri setiap insan. Semua makhluk semesta alam adalah penyataan Brahman. Kerajaan Alam Semesta dalam dirimu [12].
j) Raja Yoga membawa pengamal kepada Mutlaq (Absolute, Tuhan, God, Allah, Ultimate Reality) melalui concentration dan meditation.
k) Raja Yoga atau Yoga Diraja, laluan pencapaian. Manakala Yoga-yoga yang lain itu hanyalah persediaan belaka. Dicantumkan semuanya itu menjadi titi laluan hingga ke matlamat pencapaian Yoga Diraja ini. Raja Yoga ialah kuasa mental, selaras dengan meditasi, jasad mesti menuruti fikiran dan bukan sebaliknya. Raja Yoga membimbing seseorang pengamal Yoga (yogin) itu kepada mengalami pencapaian Samadhi (bersatu) tertinggi boleh bersatu dengan Mutlaq (Allah).
KESIMPULAN AWAL
Yoga bukan senaman badan asana semata-mata. Senaman Yoga tidak lengkap tanpa meditasi yang melibatkan fikiran. Meditasi (tumpuan fikiran semata-mata ke alam rohaniah) bermatlamatkan bersatu dengan Roh Alam (Tuhan), seperti tersebut di atas. Itulah arah tuju meditasi. Siapakah boleh menjamin pengamal asana Yoga tidak terbawa-bawa kepada falsafahnya yang bercanggah dengan Islam?
FATWA ULAMA DAN INSTITUSI ISLAM BERKENAAN YOGA
Pandangan yang mengharamkan
Pandangan Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi
" ومن استعمل رياضة اليوحا – أي تمريناها الرياضية – ولم يخطر في باله تعبد، ولا تقليد لأولئك الوتنيين، ولانية التشبه بهم، فإن الأسلم والأورع البعد عن مشابهة هؤلاء ولا سيما بعد أن يعرف أصل الرياضة الوثني عملا بالحديث : "دع ما يريبك الى ما لا يريبك" . وقد شدد الإسلام فى مشابهة الوثنيين فى مجرد الشكل والصورة، فنهى عن الصلاة عند طلوع الشمس وعند غروبها، لأن عباد الشمس يتعبدون لها في هذين الوقتين ، فلا غرو أن نهى عن الصلاة فيهما، سدا للذريعة، وإن لم يخطر ببال المصلي عبادة الشمس أو التوجه لها بالصلاة".
Maksudnya; [13]
“Dan sesiapa yang mengamalkan senaman yoga – iaitu latihan pergerakan tubuh dan tidak terlintas di fikirannya unsur penyembahan, tidak juga untuk mengikuti golongan penyembah berhala, tidak juga menyerupai mereka, maka yang lebih selamat dan lebih berhati-hati ialah menjauhkan diri daripada menyerupai mereka, lebih-lebih lagi setelah mengetahui bahawa asal-usul senaman yoga yang mempunyai unsur keberhalaan, sebagai beramal dengan hadith: “Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan”. Malah Islam telah melarang tegas sebarang penyerupaan dengan penyembah berhala walaupun hanya dari segi rupa dan bentuk. Oleh sebab itu Islam telah menegah solat pada waktu terbit matahari dan ketika tenggelamnya, kerana penyembah matahari menyembah matahari pada kedua-dua waktu ini. Tidak diragukan lagi bahawa larangan daripada solat pada kedua-dua waktu tersebut ialah sebagai menyekat jalan-jalan kerosakan walaupun ia tidak terlintas di benak orang yang solat untuk menyembah matahari atau menghadap ke arahnya di dalam solat”.
Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura
“Yoga adalah antara perkara-perkara bid’ah yang digolongkan ke dalam bid’ah dhalalah ( ضلالة ). Ia mengandungi unsur-unsur agama Hindu. Segala perkara yang mengandungi unsur-unsur syirik dan boleh merosakkan kepercayaan (iktikad) seperti yang menganjurkan kepada persemadian kepada yang bukan mengingati Allah adalah dilarang dan hukumnya haram” [14].
Pandangan yang membenarkan dengan syarat
Fatwa Dar Al-Ifta’ Mesir
"إن محض الحركات الرياضية المفيدة للجسم أو لبعض أعضائه لا حرج فيها ولا حرمة ، ولكن هذا لا يسمى يوجا ؛ فإن تلك المنسوبة الى هذا الاسم لا بد فيها من إضافة مفهوم الجورو (المرشد) ومفهوم الشكرات (مراكز الركيز) ومفهوم الإنرجي (الطاقة العليا)، وكلها مفاهيم تتعلق بالوثنية والشرك، وأما محض الحركات فلا تسمى بذلك ، وإصرار أحدهم على تسمية محض الحركات باليوحا غير جائز شرعا، وهو من باب تسمية الأشياء بغير اسمها ؛ ليحصل التحليل أو التحريم، وقد نهينا عن ذلك ؛ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « ليشربن ناس من أمتي الخمر يسمونها بغير اسمها » رواه أبو داود وابن ماجه عن أبي مالك الأشعري رضي الله عنه، وفي رواية الدارمي عن عائشة رضى الله عنها : « يسمونها بغير اسمها قيستحلونها ».
Maksudnya: [15]
“Bahawa pergerakan senaman semata-mata yang bermanfaat bagi tubuh atau sebahagian anggota badan, tidak salah dan tidak haram tetapi ini tidak dinamakan yoga. Bahawa apa yang disandarkan kepada nama ini (yoga) semestinya dikaitkan dengan konsep ‘guru’ (mursyid), konsep cakra (titik-titik pusat) dan konsep ‘energi’ (tenaga tertinggi), semuanya ini konsep-konsep yang berkaitan dengan keberhalaan dan kesyirikan. Adapun hanya pergerakan semata-mata maka ia tidak dinamakan dengannya (yoga). Pemaksaan seseorang untuk menamakan pergerakan-pergerakan badan ini sebagai yoga tidak harus dari segi syara’. Ia termasuk dalam bab menamakan sesuatu dengan bukan namanya yang boleh menatijahkan penghalalan atau pengharaman sesuatu, dan ia telah pun ditegah. Rasulullah SAW bersabda: “Akan ada manusia di kalangan umatku yang meminum arak yang mereka gelarkan bukan dengan namanya”. Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah daripada abi Malik al-Asy’ari r.a. Dalam riwayat al-Darimi daripada ‘Aisyah r.a.h. menyebut: “Mereka menamakannya dengan selain namanya lalu menghalalkannya (arak)”.
Fatwa Ustaz Mas’ud Sobri (Islamonline)
" والحكم الشرعي لممارسة هذه الرياضة يمكن تفصيله على النحو التالي : من مارس (اليوجا) واعتقد أنها جزء من العقيدة البى تسمو بالروح والنفس، متمثلا في ذلك بالعقيدة الهندوكية، فممارستها حرام. أما من مارس اليوجا كنوع من الرياضة البحتة، والتي لا دخل لها بالعقيدة، فيكون حكمها الإباحة، بناء على الأصل الذي عليه جمهور الفقهاء : أن الأصل في الأشياء الإباحة حتى يرد التص بالتحريم ، واستصحابا لنية الإنسان في علمه، والتي عليها مدار كثير من الأحكام، لقوله صلى الله عليه وسلم : " إنما الأعمال بالنيات، وإنما لكل امرئ ما نوى ". كما أن الإسلام وجد ممارسات اجتماعية للناس مثل الواج، وكان أنواعا كثيرة، فهدم كل الأنواع ، وأبقى ما تعارف عليه الناس الى اليوم من طلب الرجل الفتاة من أبيها وغير ذلك من ممارسات الشكل الاجتماعي في الواج، والذي أبقى عليه السلام. وبناء على كل ما سبق، لا يمكن القول بالحرمة على ممارسة اليوحا إذا كانت تمارس كرياضة بدنية، لا علاقة لها بالعقيدة".
Maksudnya: [16]
“Hukum syara’ bagi melakukan senaman ini boleh disimpulkan seperti berikut: Sesiapa yang mengamalkan yoga dan mempercayai yoga sebagai satu kepercayaan yang meningkatkan kerohanian dan diri, menyerupai aqidah agama Hindu, maka mengamalkannya adalah haram. Manakala sesiapa yang melakukan senaman yoga, sebagai satu jenis senaman semata-mata yang tiada kaitannya dengan aqidah, maka hukumnya ialah harus berasaskan kepada asal yang telah diletakkan oleh jumhur fuqaha’: Bahawa asal setiap sesuatu itu harus sehingga terdapat nas yang mengharam, diiringi pula dengan niat seseorang yang melakukannya, sebagaimana yang berlaku ke atasnya kebanyakan hukum berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Bahawasanya setiap amalan itu dengan niat, dan setiap orang berdasarkan apa yang diniatkannya”. Sebagaimana Islam mendapati banyak amalan tradisi kemasyarakatan seperti perkahwinan dengan pelbagai jenis. Lalu Islam membatalkan kesemuanya dan mengekalkan apa yang dimaklumi oleh ramai hingga ke hari ini iaitu (kebiasaan) seorang lelaki menuntut anak gadis daripada bapanya dan lain-lain bentuk tradisi kemasyarakatan dalam perkahwinan yang telah dikekalkan oleh Islam. Berdasarkan apa yang diterangkan sebelum ini, tidak mungkin dihukumkan haram ke atas pengamalan yoga, sekiranya yoga itu hanya senaman secara jasmani semata-mata, yang tiada kaitannya dengan aqidah”
Pandangan Fatwa Islamweb.net
" فاليوجا ليست مجرد رياضة بدنية وإنما هي عبادة يتوجه بها أصحابها الى الشمس من دون الله. وهي منتشرة ذائعة في الهند منذ زمن بعيد. والاسم الأصلي لهذه الرياضة باللغة السانسكريتية (ساستانجا سوريا نام سكار) ومعناه السجود للشمس بثمانية مواضع من الجسم. وتعتمد هذه الرياضة على عشرة أوضاع معلومة ، منها الوضع الخامس الذي يكون بالانبطاع على الأرض منبسطا بحيث يلامس الأرض : اليدان والأنف والصدر والركبتان وأصابع القدمين ، وبهذا يتحقق السجود للشمس بثمانية مواضع من الجسم وتبدأ تمارين اليوجا بالوضع الأول الذي يمثل تحية للمعبود وهو الشمس. وهه التمارين لابد أن يصاحبها جمل من الألفاظ المصرحة بعبادة الشمس والتوجه إليها، وهو ما يسمى بالمانترات...فإن قيل : هل يجوز عمل هذه التمرينات دون توجه الى الشمس ولا نطق بالعبارات المذكورة؟. فالجواب : أنها إن جردت عن هذه الكلمات الوثنية وخلت عن التوجه الى الشمس والانحناء والتحية لها لم تعد "يوجا"، وإنما هي تمارين رياضية سهلة تمارس عند جميع الأمم فلا مانع من فعلها حينئذ، مع مراعاة أمرين :
الأول : خالفة ترتيب الأوضاع المذكورة في اليوجا وإدخال بعض الأوضاع الجديدة عليها منعاً للمشابهة.
الثاني : عدم فعلها في الأوقات التي يحرص الهندوس على أدائها فيها كوقت شروق الشمس."
Maksudnya: [17]
“Yoga bukanlah hanya senaman badan semata-mata tetapi ianya ialah ibadah yang dihadapkan oleh pelakumya kepada matahari selain daripada Allah SWT. Ianya tersebar ke seluruh India sejak zaman dahulu. Nama asal bagi senaman ini dalam bahasa Sanskrit (sastanja surya nama sakar). Bermaksud sujud kepada matahari dengan lapan titik di tubuh. Bermula latihan-latihan yoga dengan kedudukan pertama yang menggambarkanpenghormatan kepada yang disembah iaitu matahari. Latihan-latihan ini semestinya diiringi dengan sejumlah daripada lafaz-lafaz yang dengan jelas menyebut tentang penyembahan matahari dan menghadap ke arahnya. Dan sekiranya ditanya: Adakah harus beramal dengan latihan-latihan ini tanpa menghadap ke arah matahari dan melafazkan ucapan-ucapan yang disebutkan (mantera)? Jawapannya: Bahawa sekiranya latihan-latihan ini terlepas daripada kalimah-kalimah keberhalaan dan menghadap ke arah matahari serta tunduk dan hormat kepadanya, ianya tidak dinamakan yoga. Sebaliknya ia adalah senaman mudah yang dilakukan oleh kesemua bangsa, maka tiada larangan untuk melakukannya ketika itu, di samping memelihara dua perkara berikut:-
a) Menyalahi susunan posisi-posisi yang disebutkan dalam yoga serta memasukkan sesetengah posisi-posisi yang baru ke atasnya bagi mengelakkan unsur penyerupaan.
b) Tidak melakukannya pada waktu yang digalakkan oleh agama Hindu melakukannya seperti pada waktu terbit matahari”.
Keputusan Mesyuarat Panel Kajian Aqidah JAKIM
Kali pertama ia dibentangkan pada mesyuarat PKA kali ke 31bertarikh 20 Disember 2005, kali kedua pada mesyuarat PKA kali ke 35 bertarikh 19 Jun 2007 dan kali ketiga pada mesyuarat PKA kali ke 37 bertarikh 13 – 15 Mei 2008. Kesemua mesyuarat memutuskan bahawa amalan yoga adalah bercanggah dengan Islam dan secara tidak langsung mempromosikan ajaran Hindu.
Keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan
i. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa senaman yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan dan pemujaan bagi tujuan tertentu adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah umat Islam.
ii. Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apa jua jenis bentuk senaman yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam".
PENUTUP
1) Satu perkara umum yang mesti diketahui oleh setiap muslim ialah perkara yang paling penting perlu di pelihara ialah aqidah dan keimanan .Aqidah boleh terlerai atau dengan lain perkataan , murtad berlaku melalui iktiqad , perkataan mahupun perbuatan [18] .
2) Di dalam menghuraikan perbuatan-perbuatan yang boleh menjadikan seseorang itu murtad Ibnu Hajar al Haithami menghuraikan satu contoh iaitu “sesiapa yang melakukan perbuatan yang orang-orang Islam telah ijma’(sepakat) mengatakan perbuatan itu khas bagi orang kafir ,meskipun ia bertegas ia masih menjadi muslim ,seperti pergi gereja bersama keluarganya dengan pakaian orang-orang kafir.[19]
3) Mengelakkan dari tasyabbuh(meniru/menyerupai) dan mengelak dari perkara yang ragu-ragu dan boleh menimbulkan fitnah itu lebih baik ,
4) Islam sudah mempunyai kaedah tersendiri untuk mengekalkan prestasi kesihatan rohani , minda dan jasmani seperti jauhi maksiat , jauhi hasad dengki , berlapang dada , amalkan zikir ,baca quran , bangun malam beribadat , memperbanyakkan solat sunat , banyakkan puasa sunat ,banyakkan sedeqah ,menghubung tali silaturraim ,jauhi makanan yang haram dan melampau dalam menikmati yang halal ,amalkan konsep halalan toyyiban dalam segenap kehidupan ,bersenam dan lain-lain lagi.
Hukum dan fatwa tidak mengubah masyarakat
Dalam isu fatwa berkenaan dengan senaman yoga ni, sebenarnya membuktikan kepada kita fikrah yang kita imani sebelum ini. Menelusuri seerah Rasulullah SAW dan menghayati bagaimana agama Islam ini ditegakkan pada kali pertama di tengah-tengah masyarakat Arab Jahiliyyah, kita memahami bahawa Islam tidak tertegak dengan hukum-hukum dan fatwa-fatwa semata-mata. Hukum dan fatwa tidak akan mengubah masyarakat secara total atau sekaligus. Seerah Rasulullah membuktikan bahawa ajaran Islam bermula dengan penanaman asas aqidah, matlamat kehidupan utk mencari redha Allah dan adanya Hari Pembalasan. Rasulullah menekankan bahawa setiap sesuatu akan dinilai dan diberi ganjaran setimpal di Hari Akhirat, syurga atau neraka, redha Allah atau kemurkaan-Nya. Dengan asas iman yang mantap yang ditanam melalui surah-surah ’mufassol’ (surah Qaaf hingga surah An-Nas), akhirnya membentuk satu masyarakat yang sedia untuk mentaati apa jua perintah Allah sama ada yang berbentuk suruhan mahupun larangan. Dengan itu, mereka mampu meninggalkan amalan meminum arak yang begitu disukai dan telah berakar umbi dalam masyarakat Arab sejak ratusan tahun. Dengan itu juga mereka sanggup mentaati apa jua perintah Allah, meskipun perintah itu bertentangan dengan kehendak hawa nafsu mereka, kepentingan diri mereka dan kaum kerabat mereka.
Marilah ahli PPUP kita mulakan pendidikan masyarakat dengan kita beraksi di tengah-tengah masyarakat membangun rasa takut dan harap kepada Allah SWT!
Disusun semula oleh : Zamri Hashim
[1] Apte, Vaman Shivram (1965). The Practical Sanskrit Dictionary, Delhi: Motilal Banarsidass Publishers, p.788.
[2] Flood, Gavin (1996). An Introduction to Hinduism. Cambridge: Cambridge University Press, p.94
[3] John Ferguson, An Illustrated Encyclopaedia of Mysticism, “Atman”, N. York:Seabury Press,1977, p.20
[4] Kertas Yoga pada mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke 31/2005&35/2007 oleh Prof.Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim & http://ms.wikipedia.org/wiki/KandunganBhagavad Gita, dilayari pada 7 April 2008
[5] James McCartney, 1969, Yoga The Key to Life, New York: E.P.Dutton& Co., Inc.,p.2
[6] John Ferguson, 1977 An Illustrated Encyclopaedia of Mysticism, “samsara”, N. York:Seabury Press, p.163 & Armstrong, K,.A History of God, New York: Ballantine Books, 1993, p.32
[7] Armstrong, K,. A History of God, New York:Ballantine Books, 1993, p.250
[8] James McCartney, 1969, Yoga The Key to Life, New York: E.P.Dutton&Co., Inc., p.2
[9] McCartney, J. Yoga: The Key To Life, New York: E.P/Dutton & Co., Inc. 1969, pp. 41, 149
[10] Alain, Yoga for Perfect health, New York: Pyramid Books, 1970, p. 154
[11] McCartney, J. Yoga: The Key To Life, New York: E.P/Dutton & Co., Inc. 1969, pp. 41
[12] ALAIN, Yoga for Perfect health, New York: Pyramid Books, 1970, p. 126-130
[13] http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu=2&item_no=4627&version=I&template_id=258&parent_id=12, dilayari pada 7 April 2008. Lihat Lampiran D.
[14] http://www.muis.gov.sg/websites/rservices/opendocall.asp?type=I&sno=260, dilayari pada 7 April 2008
[15] www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=4194, dilayari pada 7 April 2008. Lihat Lampiran E
[16] http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA&cid=1137319993300, dilayari pada 13 Oktober 2008. Lihat Lampiran F
[17] http://www.islamweb.net/ver2/fatwa/ShowFatwa/php?Option=FatwaId&lang=A&Id=1043, dilayari pada 132 Oktober 2008. Lihat Lampiran G
[18] الإيمان أركانه و حقيقته ومبطلاته لدكتور محمد نعيم ياسين
[19] الزواجر عن ارتكاب الكبائر –ابن حجر الهيثمى
No comments:
Post a Comment