Thursday, May 27, 2010

Peluang Menyertainya

Ramai antara kita yang sebelum ini beranggapan bahawa kursus ini diberikan keutamaan kepada pegawai-pegawai di Jabatan Mufti sahaja. Atas dasar ini, maka nama kursus ini telah ditukarkan kepada Kursus pengurusan Dakwah Dan Pengendalian Fatwa. Oleh yang demikian maka semua pegawai, bukan sahaja dari agensi di bawah JAKIM dan JAIN tetapi turut melibatkan IPT di seluruh negara.
JPA dengan kerjasama JAKIM membayar kepada Universiti Al-Azhar dengan sejumlah peruntukan dan kursus ini di laksanakan di Pejabat Sheikh Al-Azhar. Semua kuliah adalah untuk pelajar Malaysi dan tidak bercampur dengan pelajar lain. Jumlah pelajar tidak ditentukan dan terserah kepada JPA dan JAKIM untuk menentukannya. Bagi JAIN, biasanya semua yang memohon akan dipertimbangkan. Segalanya bergantung kepada Kerajaan Negeri untuk meluluskan perbelanjaan sara hidup di sana.

Wednesday, May 12, 2010

Al-Quran Versi Flash



Kecanggihan teknologi masa kini, tiada lagi istilah-istilah yang mustahil untuk kita lihat dan kita tahu. dengan itu, muncul aplikasi-aplikasi yang bertujuan untuk memudahkan umat Islam khususnya dalam menghambakan diri kepada Allah. kali ini aplikasi alquran versi flash, tetapi pastikan anda mempunyai versi Macromedia Flash Player 8 ke atas untuk membuka aplikasi ini.

keistimewaan aplikasi ini:
- mudah untuk merujuk dan menghafaz alquran
- kita seolah-olah berada di hadapan alquran dan perlu menyelak muka surat di dalam alquran tersebut
- senang untuk mencari ayat dan surah
- terdapat makna di dalam bahasa arab di tepi ayat alquran
- hukum tajwid di sertakan
- tidak perlu install

kekurangan:
- tulisan ayat tersebut kecil dan sukar untuk dibaca
- tiada bacaan qari untuk menyemak bacaan
- makna di tepi ayat alquran kurang jelas

walau apa pun kita bersyukur dengan aplikasi ini kerana memudahkan kita mengetahui, menghafaz dan mempelajari alquran dalam membentuk jilul quran.

keterangan:
fail dalam bentuk .rar hanya 55.70 MB sahaja
klik pada gambar di atas untuk melihat aplikasi dengan lebih jelas

cara penggunaa:
- selepas muatturun, extract file berkenaan
- klik pada aplikasi (.exe) untuk beroperasi



Saturday, May 1, 2010

Aplikasi Radio Al-Quran Internet


Ingin mendengar al-Quran tetapi tidak tahu nak cari di mana? ingin mendengar bacaan pelbagai riwayat tetapi siaran mana? nak tahu kelebihan pelbagai bacaan qari' idaman anda? nah.. ini dia..
aplikasi kali ini adalah berkaitan radio al-Quran yang cukup mudah dipasang di komputer mahupun laptop tetapi pastikan anda mempunyai talian internet untuk mendengar, jika tidak takder maknanyer.. keistimewaan aplikasi ini:

> 50 lebih qari' tersedia di dalam aplikasi ini.
> nama muqri' beserta gambar
> setiap surah akan tercatat nombor surah, tertib tanzil, jumlah ayat, perkataan dan huruf
> pelbagai riwayat bacaan seperti qalun, hafs, warsh, dawry dan banyak lagi.
> cukup puas hati apabila memilikinya.
> versi 1.23 (terkini)
> file untuk dimuatturun quran-internet-radio.rar hanya 1.63MB

muat turun di bawah ni:


Sunday, April 25, 2010

Adillah Dalam Berhukum

Sinar Harian - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan perbuatan menyampaikan ceramah politik di dalam masjid adalah haram di sisi Islam. “Sebarang perkara yang boleh membawa kepada perpecahan umat Islam hendaklah dijauhkan dan dielakkan di bawa ke masjid termasuk berpolitik. Itu ajaran Islam. “Politik sekarang boleh memecahbelahkan umat dan haram hukumnya berceramah politik di masjid. Masjid adalah tempat umat Islam bersatu, melakukan ibadah,” katanya ketika dihubungi: Sinar Harian,: semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwa mempertikaikan titah Sultan Selangor agar tidak menggunakan masjid untuk kempen politik.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, adalah tidak salah untuk menyampaikan ceramah politik di dalam masjid sambil memberi contoh perbuatan menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik turut dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Malah, menyifatkan larangan itu sebagai karut dan saki baki ajaran penjajah yang mengasingkan agama dan politik. Mengulas mengenai kenyataan Nik Abdul Aziz, Harussani menjelaskan Nabi Muhammad tidak berpolitik di dalam masjid, malah pada zaman junjungan besar itu tidak ada parti politik. “Nabi Muhammad menggunakan masjid untuk menyatakan hal-hal pentadbiran kerajaan kepada umatnya bukan berpolitik.

“Janganlah kerana terlalu taksub berpolitik, sehingga sanggup menghalalkan cara dan menghalalkan perkara terlarang,” katanya sambil menegaskan kenyataannya berdasarkan fakta dan tidak memihak kepada mana- mana pihak. Katanya, jika kerajaan yang memerintah sekarang mengumumkan polisi kerajaan demi kebaikan rakyatnya di masjid, itu dibenarkan.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menitahkan polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan masjid untuk kempen pilihan raya berkenaan. (
http://www.sinarharian.com.my/com/content/story7610714.asp )

Inilah masalah yang berterusan menimpa Pegawai-Pegawai Agama di Negeri Perak ini. Bermula dari episod penubuhan Kerajaan Campuran UMNO-PAS pada Mac 2008, berbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri menyebabkan reaksi berbagai di kalangan masyarakat. Malangnya reaksi segera Tan Sri, hanya muncul apabila timbulnya kenyataan daripada ulamak-ulamak pembangkang. Namun Tan Sri hanya berdiam diri jika tidak menyokong sepenuhnya kenyataan dan fatwa yang dikeluarkan oleh ulamak atau pemimpin kerajaan. Inilah masalah yang menyukarkan pegawai-pegawai agama untuk berlapang dada menerima nasihat beliau untuk tidak berpolitik dalam urusan agama.
Persoalan politik ini adalah persoalan Ijtihadi. Tidak ada nas yang soreh mengenai haramnya bercakap politik di masjid. Namun ada nas yang qat'ie mengenai haramnya menimbulkan perbalahan dan perpecahan di masjid. Persoalannya apakah hanya politik sahaja menjadi punca kepada perpecahan. Apakah tidak ada lagi perkara lain yang turut menyebabkan perbalahan dan perpecahan. Jika dilihat dari segi nas dan dalil, ada hadis melarang berjual beli dan mencari barang yang hilang di dalam masjid. Apakah ini bermakna haram bercakap mengenai peniagaan termasuk hukum hakam perniagaan menurut Islam di masjid.
Satu lagi persoalan yang difikirkan adalah apakah benar politik sekarang membawa perpecahan. Jika benar ianya membawa perpecahan maka bukan sahaja di masjid, malah di luar masjid juga hukumnya haram. Jika politik membawa perpecahan, maka haram juga berpolitik dan haram juga mengganggotai sebarang parti politik. Lebih dari itu, mengundi parti politik juga turut haram.
Oleh yang demikian, semua Pegawai-Pegawai Agama perlulah mengambil pendirian yang bijak sana. Sebagai insan yang mempunyai akal yang sempurna, disamping asas ilmu yang memada, setiap kita wajib meletakkan asas yang tepat dalam mengambil pendirian mengenai hukum. Setiap manusia ada kecenderungan politiknya masing-masing. Walaupun lidah basah menegaskan dasar berkecualinya, namun selagi kita mempunyai perasaan, kecenderungan terhadap sesuatu pihak tidak mungkin dapat dielakkan. Ibarat mustahilnya mencari kesempurnaan adil dalam berpoligami, namun Syariat menentukan kemampuan manusia biasa hanya sekadar adil pada zohirnya. Walaupun hati kita sentiasa memihak, namun segala kenyataan dan hukum hakam yang kita lontarkan hendaklah adil dan berasaskan kepada penentuan Syariat Allah.

Friday, April 9, 2010

Mencari Si Luncai

Maka tersebutlah sebuah kisah di sebuah negara bernama Al-Bahgdadi yg didiami oleh seorang raja yang zalim. Beliau sangat marah kalau ada sesiapa yang lebih cerdik dari beliau, habis dibunuhnya. Namun ada seorang rakyat jelata yang sentiasa dapat mengalahkan pandangan sang raja yang bernama Luncai.

Entah macam mana pada satu hari Si Luncai telah melakukan satu kesilapan yang besar dan ini telah memberikan peluang kepada sang raja untuk membunuhnya. “Wahai pengawal-pengawal sekelian, aku hendak kamu semua bawa Si Luncai ini pergi ke tengah laut dan campakkan dia ke dalam lautan. Biar nanti dia mati kelemasan. Ha..ha..haa..!” Begitulah arahan sang raja yang sombong itu kepada pengawal-pengawalnya.

“Tuanku” tiba-tiba Si Luncai berbicara.



“Hah, ada apa Si Luncai, nak tipu aku lagi? Ha..ha..haa.. sekarang engkau tak dapat tipu aku lagi kerana engkau akan mati sebentar lagi”, bentak sang raja.

“Wahai Tuanku yang budiman, patek mengucapkan terima kasih di atas perintah Tuanku dan akur dengan titah perintah Tuanku. Tetapi sebagai permintaan terakhir sebelum patek mati, izinkan patek mendapatkan sebuah labu untuk patek bawa bersama2.”, kata Si Luncai dengan penuh tenang sambil kepalanya berpusing-pusing memikir untuk melepaskan diri.

Maka selang beberapa ketika bermulalah Si Luncai dibawa berkayuh dengan sebuah perahu oleh pengawal-pengawal istana ke tengah lautan.

Apabila perahu sudah hampir sampai ke tengah lautan, “Wahai pengawal-pengawal, mahukah kamu aku ajarkan satu nyanyian supaya dengan itu kita semua tidak merasa jemu berkayuh”, tiba-tiba Si Luncai bersuara.

“Ehh.. bagus jugak tu. Macam mana lagunya?”, tanya para pengawal.

“Begini, pengawal di belakang hendaklah menyanyi “Si Luncai terjun dengan labu-labunya”, dan yang di hadapan pulak jawab “biarkan, biarkan”, jelas Si Luncai.

Maka bermulalah para pengawal menyanyi dengan lantangnya. Yang di belakang berkata Si Luncai terjun dengan labu-labunya, maka pengawal di hadapan menjawab, biarkan, biarkan. Begitulah berjalan nyanyian tersebut beberapa ketika sehingga para pengawal begitu asyik dengan lagu tersebut.

Melihat keadaan ini maka Si Luncai terus terjun ke dalam laut. Maka pengawal yang mengayuh di belakang terus bertempik, “Si Luncai terjun dengan labunya”, dengan harapan pengawal di hadapan dapat membantu. Namun malang sekali apabila pengawal di hadapan menyangka bahawa itu hanyalah nyayian lalu mereka terus menjawab, “biarkan, biarkan” tanpa menoleh ke belakang. Begitulah berlalunya beberapa ketika sehingga akhirnya Si Luncai sekali lagi dapat melepaskan diri dan mengalahkan sang raja.

Malas Berfikir

Nah, walaupun ini hanyalah sebuah cerita dongeng Melayu tetapi pengajarannya cukup besar. Kita lihat bagaimana Si Luncai masih mampu berfikir walaupun berada di saat-saat yang genting. Si Luncai tidak mudah panik dengan masalah yang ada tetapi sentiasa licik dalam mencari jalan keluar. Walaupun Sang Raja menggunakan segala kekuatan tentera dan kuasa tetapi masih gagal mengalahkan Si Luncai.

Dalam kita menjalani tariqud dakwah ini sudah pasti kita akan berhadapan dengan pelbagai masalah. Tidak cukup duit, tidak ada tenaga, masa tak sempat, tak ada kepakaran, tak pandai nak bercakap dan seribu satu macam halangan. Pendek kata apabila kita mula melangkah maka akan bermulalah kita berhadapan dengan masalah.

Apa yang saya dapati, tak ramai yang mampu menghadapi masalah ini. Mereka sekadar akur dengan permasalahan yang ada dan yang lebih menyedihkan lagi mereka terus berhenti melakukan kerja-kerja dakwah.

Sebenarnya, bagi saya, mereka malas untuk berfikir. Mereka tidak cuba untuk mencari penyelesaian malah hanya sekadar menunggu orang lain menyelesaikan untuk mereka. Jika ada yang datang membantu, maka mereka akan mula berkerja tetapi jika tidak ada yang menolong, maka mereka akan tenang duduk di rumah-rumah.

Situasi akan lebih parah lagi jika mereka ini berada di kerusi kepimpinan, maka sudah tentu sikap malas untuk berfikir ini akan merencatkan perkembangan organisasi dan menyebabkan pengikut menjadi lemah, dakwah menjadi kaku.
Akhirnya mereka bukan saja tidak mampu menyelesaikan masalah tetapi sebaliknya mereka sendiri adalah sebahagian dari masalah.
Mampukah dakwah melahirkan Si Luncai?

Saduran dari ismaweb

Tuesday, April 6, 2010

Kita Tetap Kita, Jangan Bergantung Kepada Mereka

Dialog yang berlangsung di akhir program tafaqquh anjuran Jabatan Mufti baru-baru ini menambahkan lagi kekecewaan bagi mereka yang menyedarinya. Dua isu yang saya bangkitkan adalah semata-mata mengharapkan respon atau kata-kata perangsang daripada 3 tokoh kepimpinan di 3 buah institusi yang menaungi kita selama ini. Sebagai manusia biasa tiada daya untuk kita mengelakkan diri dari lupa dan alpa. Apatahlagi jika ada yang seakan menanti setiap detik kesalahan kita, lalu diperbesarkan segala apa yang ada. Bukan sedikit kesalahan yang dilakukan oleh sesetengah pihak namun ditutup oleh pihak atasan dengan berbagai cara. Selain ada yang dipetisejukkan, tidak kurang pula yang yang tukarkan malah ada yang dinaikpangkatkan. Berbeza dengan pegawai agama yang sering menjadi mangsa tohmahan dan umpatan. Kesalahan kita bukan sahaja tidak perlu dibicara dan dibuktikan, tetapi kesalahan kecil juga turut diperbesarkan. Bezanya kita kerana kita tidak ada sesiapa yang mempertahankan. Setiap risiko harus ditanggung sendiri dalam masa yang sama berbagai kebaikan yang dibuat dilupakan. Tidak salah merenung ke dalam diri sendiri, tetapi apa yang kita ada sebagai motivasi diri. Jika tinggi pangkat dan kedudukan, buatlah apa sahaja yang ingin kita lakukakan. Tanpa keduanya, bersedialah untuk dikambinghitamkan. Belajarlah memujuk hati, kerana kita golongan marhain. Jangan diharapkan kepada pihak atasan kerana mereka hanya memikirkan pangkat dan kedudukan. Namun sebagai sahabat dan teman, kita perlu kuat menguatkan. Biarlah mereka dengan dunia mereka kerana mereka ada kekebalan. Bagi yang lemah seperti kita, dekatkanmlah diri kepada tuhan. Yakinlah kepada kekuasaanNya kerana Dialah yang akan melindungi kita dan mereka......

Monday, March 29, 2010

Skandal seks dan MCA

Nilai yang sudah tidak bernilai lagi. Itulah ungkapan yang boleh saya katakan apabila melihat keputusan pemilihan kepimpinan MCA. Kemenangan Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai Presiden baru membayangkan betapa nilai moral tidak menjadi ukuran dan nilai bagi ahli-ahli parti MCA.

Bekas Presiden Bill Clinton pernah berdepan dengan skandal seksnya yang mendapat liputan meluas media antarabangsa. Walaupun beliau tidak meletakkan jawatan serta merta, skandal seks yang memalukan itu tetap menjadi faktor yang menyebabkan popularitinya merudum dan beliau tidak lagi menjadi pilihan rakyat Amerika.

Jika di negara barat, yang terkenal dengan budaya kuning itu, skandal seks masih menjadi faktor yang menggoyahkan seseorang pemimpin, nampaknya di Malaysia tidak begitu. Perasaan kepuakan, dorongan membalas dendam dan politik jatuh menjatuhkan sudah menjadi barah. Apalagi yang boleh diharapkan rakyat pada parti-parti politik seperti ini.

Barisan Nasional mendapat liabiliti baru daripada kemenangan Datuk Seri Chua Soi Lek. Saya mengagak selepas ini akan keluar kata-kata mengajak ahli-ahli MCA melupakan sengketa dan bekerja kuat memberi tumpuan kepada khidmat masyarakat. Tetapi kepimpinan presiden MCA yang baru ini sedari awal sudah gagal membayangkan imej bersih dan bermoral yang menjadi impian rakyat jelata.

Jelas sekali orang-orang Melayu yang rapat dengan MCA selama ini gagal menunjukkan contoh teladan yang baik kepada mereka. Orang-orang Islam mesti menjadi teladan kepada orang bukan Islam. Jikapun mereka tidak masuk Islam, sekurang-kurangnya mereka segan dan malu terhadap perbuatan lucah yang mereka lakukan. Malangnya mereka bukan sekadar tidak malu mengaku, malah mereka melantik si pelaku menjadi pemimpin, untuk berada di sebelah rakan politik Melayu. Martabat keguruan kita tercabar.

Dipetik dari ISMAWEB

Saturday, March 27, 2010

Biar kerja penentu

Bila semuanya mengaku yang terbaik dan paling asolah… biarlah amal menentukan. Imam Hasan al-Banna r.h sendiri selalu mengungkapkan antaranya:

“Saya sentiasa berharap supaya kita sentiasa bekerja dan tidak perlu bercakap. Kita serahkan tindakan kita sahaja sebagai jurucakap yang menceritakan siapakah Ikhwan dan apakah strategi Ikhwan. Saya suka jika langkah-langkah kamu yang mendatang berkesinambungan dengan langkah-langkah kamu yang lalu dengan penuh tenang dan lancar, tanpa memerlukan program seperti ini; Program yang akan membentangkan jihad sepanjang sepuluh tahun yang lalu untuk kita mulakan suatu era baru jihad yang berterusan dalam usaha merealisasikan gagasan kita yang mulia ini.” (Muktamar Kelima)

“Setiap kali saya berada di hadapan sidang hadirin yang mendengar ini, saya memohon kepada Allah semoga hari di mana kita beralih daripada medan bercakap kepada medan bekerja, medan mengatur strategi dan kaedah kepada medan melaksana dan mempraktikkan itu akan semakin hampir. Sudah sekian lama kita habiskan masa kita berucap dan bercakap. Masa menuntut kita supaya segera melangkah ke arah kerja yang serius dan produktif. Seluruh aspek di dunia ini bergantung kepada aspek kekuatan dan kesiap siagaan sedangkan kita masih dalam dunia bercakap dan berkhayal.”

“Firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (Al-Saf: 2-4)” (Buat Mahasiswa)

Ayuh semua kita bekerja, berjuang berhabis-habisan menyebarkan Islam ini. Kita yakin dengan tarbiah? Maka tarbiahlah ummah ini dengan Islam yang sebenar. Ruang dakwah terlalu luas. Sepatutnya masa yang ada dipenuhi dengan amal. Demikian lebih baik dari menghabiskannya dengan teori atau jidal yang menyakitkan hati. Habis masa dengan berbalas-balas jawapan dan tindakan. Kalau berbalas-balas tendangan ketika bermain bola atau berbalas-balas pukulan ketika bermain badminton, takpelah juga… boleh keluar peluh, kurangkan berat badan dan kolestrol dalam darah. Maklumlah semua makin tua.

Memandangkan keyakinan ‘kurang’ sama… teruskan berjalan ikut keyakinan masing-masing. Mudah-mudahan sampai ke destinasi yang dituju. Berjalan tanpa perlu merosakkan bunga ukhuwwah di tepi jalan. Walaupun sampai, akan hilang kecantikannya.

Ayuhlah kita berkerja. Insya Allah, andainya kita bersatu, kita bersatu bukan hanya atas FIKRAH yang SAMA… tapi atas ‘KERJA yang SAMA’. Waktu itu baru wujud KERJASAMA. Mana mungkin berjaya sesebuah syarikat perniagaan yang menggabungkan si pemalas dan si rajin.

Kurangkan cakap, banyakkan amal… biar amal menentukan. Bak kata Imam Hassan al-Basri menyebut:

“Terimalah seseorang itu dengan melihat perbuatannya dan tinggalkan kata-katanya, kerana sesungguhnya Allah S.W.T. tidak akan membiarkan seseorang itu memperkatakan sesuatu melainkan dijadikan ke atas dirinya itu bukti dari amalannya yang akan membenar atau mendustakan kata-katanya.” (Ibnu Mubarak. al-Zuhd. Hal. 26)



Dipetik dari Blog Abu Syifa’

Thursday, March 25, 2010

MABRUUK YA SHEYHANA AL-JADID!

Dr Ahmad Tayyib dilantik Syaikhul Azhar yang baru


Dr Ahmad Muhammad Ahmad Tayyib dilantik sebagai Syaikhul Azhar yang baru menggantikan Dr Muhammad Sayyid Tantawi yang telah meninggal dunia di Riyadh baru-baru ini.

Dr Ahmad Tayyib yang sebelum ini merupakan Presiden Universiti Al-Azhar telah menerima pelantikan tersebut daripada Presiden Mesir, Muhammad Husni Mubarak pada 19 Mac 2010.
Dr. Ahmad Tayyib dilahirkan dalam keluarga yang bersambung nasabnya dengan keturunan Imam Husin bin Ali bin Abi Talib. Beliau mendapat kelulusan sarjana muda daripada Universiti Al-Azhar As-Syarif dalam bidang Aqidah dan Falsafah pada tahun 1969 sebelum menamatkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) pada 1971. Pada 1977, Dr Ahmad Tayyib menerima gelaran Doktor Falsafah (Ph.D) daripada Universiti Al-Azhar juga dalam bidang Akidah dan Falsafah.

Beliau pernah dilantik sebagai Dekan Kuliah Pengajian Islam dan Bahasa Arab dalam daerah Qanaa sebelum bertugas sebagai Dekan Kuliah Pengajian Islam di Aswan. Selain itu, beliau juga pernah diamanahkan sebagai Dekan Kuliah di Universiti Islam Antarabangsa di Pakistan.

Sebelum menjawat jawatan Presiden Universiti Al-Azhar, Dr Ahmad Tayyib pernah dilantik sebagai Mufti Mesir di antara tahun 2002-2003.

Beliau yang fasih bertutur dalam bahasa Arab dan Inggeris banyak menghasilkan penulisan dan kajian dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam selain turut bertanggungjawab menterjemahkan buku-buku dalam bahasa Perancis berkenaan Falsafah Islam.

Memetik kenyataan beliau selepas pelantikan, Dr Ahmad Tayyib menyebut, “Sesungguhnya pelantikan saya ini merupakan amanah yang besar dan saya berdoa semoga Allah memandu saya dalam melaksanakannya”.

PPUP merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan Fadhilah Doktor sebagai Syaikhul Azhar yang baru dan mendoakan semoga Allah SWT melimpahkan petunjuk dan hidayah kepada beliau dalam melaksanakan amanah yang diterima.

Rujukan:

1. http://www.alazhar.gov.eg KLIK

Monday, March 22, 2010

Tugas Sukarela; Lakukan Sedayanya

Saya merasakan sedikit bersalah kerana menyebabkan YDP, SF. Ustaz Zamri Bin Hashim seolah-olah terpaksa memohon maaf atas ketidakhadiran beliau mengadap DYTM Raja Muda Perak tempoh hari. Saya hanya menyebutkan hal tersebut dalam posting terdahulu tanpa menyatakan sebab dan alasan kenapa ianya berlaku. Saya merasakan tiada keperluannya menyebutkan alasan tersebut kerana yang penting adalah ahli mengetahui kenapa Ustaz Kamaruddin dan Asyraf yang bersama saya mewakili mereka. Secara peribadi saya menerima alasan yang diberikan oleh YDP dan tidak pernah merasa terkilan. Sementelah pula kehadiran bersama 2 rakan karib saya bersama memudahkan dan menguatkan semangat saya ketika itu. Namun kemungkinan bagi sebahagian ahli mempunyai tanggapan yang berbeza terhadap situasi itu.
Buat pengetahuan semua ahli, pengalaman 2 tahun melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi, menjadikan saya amat memahami suasana dan keadaan YDP. Oleh kerana permohonan mengadap ini bukan dirancang bersama beliau, maka kesukaran beliau menyesuaikan jadual dengan masa mengadap seharusnya kita fahami. Kesilapan kami memberikan notis yang terlalu singkat bagi beliau menyelesaikan tugasnya dengan penyelia.
Secara peribadi saya amat menghormati YDP yang merupakan guru saya dalam beberapa bab kuliahnya yang amat saya minati. Sebagai bekas jiran (sehingga kini masih berjiran rumah) saya rasa saya amat mengenali beliau. Mungkin cara dan pendekatan kami sedikit berbeza namun kami saling hormat menghormati. Beliau amat menyedari apa yang dirasakan oleh sebahagian ahli - apabila kami dikatakan sangat pro aktif sehingga kadang-kadang YDP sendiri tertinggal gerabak, mungkin disebabkan factor lokaliti dan sebagainya.
Mungkin dari segi birokrasinya tidak begitu manis didengar tapi tidak banyak pilihan yang saya ada. Saya pernah dianggap menjejaskan imej persatuan dengan imej pembangkang ketika bersama AF Ustaz Manolito Bin Dahlan sehingga beliau menarik diri dan hilang sehingga kini. Saya dilihat berbeza ketika bersama Dato' Sheikh sebagai YDP jika dibandingkan dengan waktu di bawah kepimpinan Dato' Asri Abdullah. Namun apapun pendekatannya, amanah perlu diutamakan.
Tertarik dengan ungkapan Dato' Sheikh di Marina Cove, bahawa jika YDP sebagai Saidina Abu Bakar maka saya adalah Omarnya. Mana mungkin Omar boleh meneruskan perjuangan tanpa nasihat dan panduan dari Abu Bakarnya. Sudah menjadi sejarah yang panjang bahawa dalam persatuan ini ada dua bentuk pendekatan, keras dan berhikmah. PPUP amat perlu kepada aura dan hikmah daripada YDP bagi meneutralkan kelantangan dan kebiadapan saya. Oleh yang demikian saya amat berharap agar jangan ada sesiapa yang merasakan saya cuba mengenepikan YDP, dan jangan ada sesiapa yang merasakan YDP berlepas tangan tanpa sebarang perjuangan. Kebanyakan aktiviti secara prinsipnya adalah atas dasar persetujuan bersama, cuma perlaksanaannya sahaja yang berbeza. Namun apa yang tidak berbeza dan kami rasai bersama adalah sikap dan respon sebahagian ahli yang lebih memilih menuding jari, namun tidak bersama dalam menggalas beban walaupun sekadar memberi sokongan dan dokongan semangat cuma.