Saturday, March 27, 2010

Biar kerja penentu

Bila semuanya mengaku yang terbaik dan paling asolah… biarlah amal menentukan. Imam Hasan al-Banna r.h sendiri selalu mengungkapkan antaranya:

“Saya sentiasa berharap supaya kita sentiasa bekerja dan tidak perlu bercakap. Kita serahkan tindakan kita sahaja sebagai jurucakap yang menceritakan siapakah Ikhwan dan apakah strategi Ikhwan. Saya suka jika langkah-langkah kamu yang mendatang berkesinambungan dengan langkah-langkah kamu yang lalu dengan penuh tenang dan lancar, tanpa memerlukan program seperti ini; Program yang akan membentangkan jihad sepanjang sepuluh tahun yang lalu untuk kita mulakan suatu era baru jihad yang berterusan dalam usaha merealisasikan gagasan kita yang mulia ini.” (Muktamar Kelima)

“Setiap kali saya berada di hadapan sidang hadirin yang mendengar ini, saya memohon kepada Allah semoga hari di mana kita beralih daripada medan bercakap kepada medan bekerja, medan mengatur strategi dan kaedah kepada medan melaksana dan mempraktikkan itu akan semakin hampir. Sudah sekian lama kita habiskan masa kita berucap dan bercakap. Masa menuntut kita supaya segera melangkah ke arah kerja yang serius dan produktif. Seluruh aspek di dunia ini bergantung kepada aspek kekuatan dan kesiap siagaan sedangkan kita masih dalam dunia bercakap dan berkhayal.”

“Firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (Al-Saf: 2-4)” (Buat Mahasiswa)

Ayuh semua kita bekerja, berjuang berhabis-habisan menyebarkan Islam ini. Kita yakin dengan tarbiah? Maka tarbiahlah ummah ini dengan Islam yang sebenar. Ruang dakwah terlalu luas. Sepatutnya masa yang ada dipenuhi dengan amal. Demikian lebih baik dari menghabiskannya dengan teori atau jidal yang menyakitkan hati. Habis masa dengan berbalas-balas jawapan dan tindakan. Kalau berbalas-balas tendangan ketika bermain bola atau berbalas-balas pukulan ketika bermain badminton, takpelah juga… boleh keluar peluh, kurangkan berat badan dan kolestrol dalam darah. Maklumlah semua makin tua.

Memandangkan keyakinan ‘kurang’ sama… teruskan berjalan ikut keyakinan masing-masing. Mudah-mudahan sampai ke destinasi yang dituju. Berjalan tanpa perlu merosakkan bunga ukhuwwah di tepi jalan. Walaupun sampai, akan hilang kecantikannya.

Ayuhlah kita berkerja. Insya Allah, andainya kita bersatu, kita bersatu bukan hanya atas FIKRAH yang SAMA… tapi atas ‘KERJA yang SAMA’. Waktu itu baru wujud KERJASAMA. Mana mungkin berjaya sesebuah syarikat perniagaan yang menggabungkan si pemalas dan si rajin.

Kurangkan cakap, banyakkan amal… biar amal menentukan. Bak kata Imam Hassan al-Basri menyebut:

“Terimalah seseorang itu dengan melihat perbuatannya dan tinggalkan kata-katanya, kerana sesungguhnya Allah S.W.T. tidak akan membiarkan seseorang itu memperkatakan sesuatu melainkan dijadikan ke atas dirinya itu bukti dari amalannya yang akan membenar atau mendustakan kata-katanya.” (Ibnu Mubarak. al-Zuhd. Hal. 26)



Dipetik dari Blog Abu Syifa’

No comments: