Nilai yang sudah tidak bernilai lagi. Itulah ungkapan yang boleh saya katakan apabila melihat keputusan pemilihan kepimpinan MCA. Kemenangan Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai Presiden baru membayangkan betapa nilai moral tidak menjadi ukuran dan nilai bagi ahli-ahli parti MCA.
Bekas Presiden Bill Clinton pernah berdepan dengan skandal seksnya yang mendapat liputan meluas media antarabangsa. Walaupun beliau tidak meletakkan jawatan serta merta, skandal seks yang memalukan itu tetap menjadi faktor yang menyebabkan popularitinya merudum dan beliau tidak lagi menjadi pilihan rakyat Amerika.
Jika di negara barat, yang terkenal dengan budaya kuning itu, skandal seks masih menjadi faktor yang menggoyahkan seseorang pemimpin, nampaknya di Malaysia tidak begitu. Perasaan kepuakan, dorongan membalas dendam dan politik jatuh menjatuhkan sudah menjadi barah. Apalagi yang boleh diharapkan rakyat pada parti-parti politik seperti ini.
Barisan Nasional mendapat liabiliti baru daripada kemenangan Datuk Seri Chua Soi Lek. Saya mengagak selepas ini akan keluar kata-kata mengajak ahli-ahli MCA melupakan sengketa dan bekerja kuat memberi tumpuan kepada khidmat masyarakat. Tetapi kepimpinan presiden MCA yang baru ini sedari awal sudah gagal membayangkan imej bersih dan bermoral yang menjadi impian rakyat jelata.
Jelas sekali orang-orang Melayu yang rapat dengan MCA selama ini gagal menunjukkan contoh teladan yang baik kepada mereka. Orang-orang Islam mesti menjadi teladan kepada orang bukan Islam. Jikapun mereka tidak masuk Islam, sekurang-kurangnya mereka segan dan malu terhadap perbuatan lucah yang mereka lakukan. Malangnya mereka bukan sekadar tidak malu mengaku, malah mereka melantik si pelaku menjadi pemimpin, untuk berada di sebelah rakan politik Melayu. Martabat keguruan kita tercabar.
Dipetik dari ISMAWEB
No comments:
Post a Comment