Saya merasakan sedikit bersalah kerana menyebabkan YDP, SF. Ustaz Zamri Bin Hashim seolah-olah terpaksa memohon maaf atas ketidakhadiran beliau mengadap DYTM Raja Muda Perak tempoh hari. Saya hanya menyebutkan hal tersebut dalam posting terdahulu tanpa menyatakan sebab dan alasan kenapa ianya berlaku. Saya merasakan tiada keperluannya menyebutkan alasan tersebut kerana yang penting adalah ahli mengetahui kenapa Ustaz Kamaruddin dan Asyraf yang bersama saya mewakili mereka. Secara peribadi saya menerima alasan yang diberikan oleh YDP dan tidak pernah merasa terkilan. Sementelah pula kehadiran bersama 2 rakan karib saya bersama memudahkan dan menguatkan semangat saya ketika itu. Namun kemungkinan bagi sebahagian ahli mempunyai tanggapan yang berbeza terhadap situasi itu.
Buat pengetahuan semua ahli, pengalaman 2 tahun melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi, menjadikan saya amat memahami suasana dan keadaan YDP. Oleh kerana permohonan mengadap ini bukan dirancang bersama beliau, maka kesukaran beliau menyesuaikan jadual dengan masa mengadap seharusnya kita fahami. Kesilapan kami memberikan notis yang terlalu singkat bagi beliau menyelesaikan tugasnya dengan penyelia.
Secara peribadi saya amat menghormati YDP yang merupakan guru saya dalam beberapa bab kuliahnya yang amat saya minati. Sebagai bekas jiran (sehingga kini masih berjiran rumah) saya rasa saya amat mengenali beliau. Mungkin cara dan pendekatan kami sedikit berbeza namun kami saling hormat menghormati. Beliau amat menyedari apa yang dirasakan oleh sebahagian ahli - apabila kami dikatakan sangat pro aktif sehingga kadang-kadang YDP sendiri tertinggal gerabak, mungkin disebabkan factor lokaliti dan sebagainya.
Mungkin dari segi birokrasinya tidak begitu manis didengar tapi tidak banyak pilihan yang saya ada. Saya pernah dianggap menjejaskan imej persatuan dengan imej pembangkang ketika bersama AF Ustaz Manolito Bin Dahlan sehingga beliau menarik diri dan hilang sehingga kini. Saya dilihat berbeza ketika bersama Dato' Sheikh sebagai YDP jika dibandingkan dengan waktu di bawah kepimpinan Dato' Asri Abdullah. Namun apapun pendekatannya, amanah perlu diutamakan.
Tertarik dengan ungkapan Dato' Sheikh di Marina Cove, bahawa jika YDP sebagai Saidina Abu Bakar maka saya adalah Omarnya. Mana mungkin Omar boleh meneruskan perjuangan tanpa nasihat dan panduan dari Abu Bakarnya. Sudah menjadi sejarah yang panjang bahawa dalam persatuan ini ada dua bentuk pendekatan, keras dan berhikmah. PPUP amat perlu kepada aura dan hikmah daripada YDP bagi meneutralkan kelantangan dan kebiadapan saya. Oleh yang demikian saya amat berharap agar jangan ada sesiapa yang merasakan saya cuba mengenepikan YDP, dan jangan ada sesiapa yang merasakan YDP berlepas tangan tanpa sebarang perjuangan. Kebanyakan aktiviti secara prinsipnya adalah atas dasar persetujuan bersama, cuma perlaksanaannya sahaja yang berbeza. Namun apa yang tidak berbeza dan kami rasai bersama adalah sikap dan respon sebahagian ahli yang lebih memilih menuding jari, namun tidak bersama dalam menggalas beban walaupun sekadar memberi sokongan dan dokongan semangat cuma.
No comments:
Post a Comment