Thursday, March 25, 2010

MABRUUK YA SHEYHANA AL-JADID!

Dr Ahmad Tayyib dilantik Syaikhul Azhar yang baru


Dr Ahmad Muhammad Ahmad Tayyib dilantik sebagai Syaikhul Azhar yang baru menggantikan Dr Muhammad Sayyid Tantawi yang telah meninggal dunia di Riyadh baru-baru ini.

Dr Ahmad Tayyib yang sebelum ini merupakan Presiden Universiti Al-Azhar telah menerima pelantikan tersebut daripada Presiden Mesir, Muhammad Husni Mubarak pada 19 Mac 2010.
Dr. Ahmad Tayyib dilahirkan dalam keluarga yang bersambung nasabnya dengan keturunan Imam Husin bin Ali bin Abi Talib. Beliau mendapat kelulusan sarjana muda daripada Universiti Al-Azhar As-Syarif dalam bidang Aqidah dan Falsafah pada tahun 1969 sebelum menamatkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) pada 1971. Pada 1977, Dr Ahmad Tayyib menerima gelaran Doktor Falsafah (Ph.D) daripada Universiti Al-Azhar juga dalam bidang Akidah dan Falsafah.

Beliau pernah dilantik sebagai Dekan Kuliah Pengajian Islam dan Bahasa Arab dalam daerah Qanaa sebelum bertugas sebagai Dekan Kuliah Pengajian Islam di Aswan. Selain itu, beliau juga pernah diamanahkan sebagai Dekan Kuliah di Universiti Islam Antarabangsa di Pakistan.

Sebelum menjawat jawatan Presiden Universiti Al-Azhar, Dr Ahmad Tayyib pernah dilantik sebagai Mufti Mesir di antara tahun 2002-2003.

Beliau yang fasih bertutur dalam bahasa Arab dan Inggeris banyak menghasilkan penulisan dan kajian dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam selain turut bertanggungjawab menterjemahkan buku-buku dalam bahasa Perancis berkenaan Falsafah Islam.

Memetik kenyataan beliau selepas pelantikan, Dr Ahmad Tayyib menyebut, “Sesungguhnya pelantikan saya ini merupakan amanah yang besar dan saya berdoa semoga Allah memandu saya dalam melaksanakannya”.

PPUP merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan Fadhilah Doktor sebagai Syaikhul Azhar yang baru dan mendoakan semoga Allah SWT melimpahkan petunjuk dan hidayah kepada beliau dalam melaksanakan amanah yang diterima.

Rujukan:

1. http://www.alazhar.gov.eg KLIK

No comments: