Amat menyedihkan apabila membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang yang amat kita kenali. Seorang dianggap sebagai antara yang "terbaik" di kalangan pegawai tinggi yang ada tetapi rupanya mempunyai mentaliti kampungan yang tidak dapat dibangga. Sesekali hati ini tertanya-tanya apakah ini sikap sebenar bekas orang no. 1 di jabatan kita. Entah apakah kaedah dan prinsip yang digunapakai dalam mengeluarkan kenyataan sebegini rupa. Walaupun secara jelas dinyatakan "...kesemua Dewan Orang Ramai tersebut adalah dibina atas tanah kerajaan negeri..", namun tetap diarahkan JKKKP agar terus menguruskannya. Saya teringat bagaimana kes seperti ini sering saya hadapi dalam menguruskan masjid dan surau di negeri ini. Begitu ramai yang menganggap hanya mereka yang layak menjadi pengerusi atau AJK Kariah hanya semata-mata kerana merasakan mereka ada hak pemilikan peribadi. Hanya kerana mereka atau keluarga mereka mewakafkan tanah atau mendermakan wang untuk pembinaan maka dianggap seluruh pengurusan bagai mereka yang punya. Mereka terlupa bahawa pemegang amanah tunggal hanya Majlis Agama. Setiap yang diwakafkan atau didermakan dikira menyerahkan hak milik kepada Allah. Mereka sama sahaja kedudukannya dengan ahli kariah yang lain kerana selepas itu tanah atau wang yang diderma bukan lagi milik mereka. Allah menyerahkan amanah ini kepada Pemerintah, lalu pemerintah mewakilkan kepada Majlis Agama untuk menguruskannya. Ahli Kariah ketika ityu bukan lagi sebagai pemilik tetapi hanya sebagai pengguna.
Maka apakah hak bagi Kerajaan Pusat untuk mendakwa dewan orang ramai itu hak mereka. Ianya terpulang kepada pemilik tanah untuk menguruskannya. Mana mungkin bangunan yang dibina di tanah orang mahu digunakan sewenang-wenangnya. Boleh sahaja pemilik tanah menyuruh agar diruntuhkan apa sahaja yang ada di atas tanahnya. Malulah kita dengan anak cucu jika nanti dianggap "buruk siku" kerana mengambil kembali apa yang sudah dilepaskan hak dan pemilikan daripadanya.
Kita semua akan bertanggungjawab di hadapan Allah atas segala yang kita lakukan di dunia pada. Apakah ketaatan kita kepada pihak atasan tidak punya batas dan sempadan sedangkan ketaatan secara mutlak hanya milik Allah dan Rasulnya. Cukuplah perpecahan yang berleluasa di kalangan rakyat jelata, jangan sampai cerdik pandai dan pemegang amanah seperti kita menambahluaskannya. Kita menguruskan wang negara dan setiap pembaziran yang tidak sewajarnya bakal menjadi ranjau dalam perjalanan kita menuju ke syurga.
1 comment:
Nak buat camana abu izzah??!!!!!...org dapat gaji dari sumber pusat!!!...
Post a Comment