Wednesday, March 10, 2010

Khabar Dari Istana Hinggap

*Buat Tatapan Semua Ahli Agar Dapat Difahami Dan Tidak Disalah Erti*



Berkat doa teman-teman disamping munajat di penghujung malam benar-benar menambahkan keyakinanku bahawa hanya penggantungan kepada Yang Maha Esa sahaja yang mampu menyelesaikan masalah manusia. Walau sebesar dan sehebat manapun manusia, mereka hanya insan kerdil di sisiNya. Perkenan Tuanku Raja Muda untuk menerima mengadap secara berseorangan benar-benar menyentap jantung hati. Denyut nadi seakan terhenti. Layakkah insan sekerdil aku mengadap DYTM secara berseorangan. Ini ditambah lagi dengan andaian bahawa Dato' Seri Anuar Zaini sentiasa ada bersama. Syukur Alhamdulillah, permohonan untuk YDP turut mengadap bersama diperkenankan.
Setelah gagal menghubungi YDP pada pagi tersebut, kami memberanikan diri menuju ke Istana Hinggap. Hati sedikit lega apabila disambut dengan mesra oleh Kol. Dato' Abd. Rahim b. Mohamad Nor, Setiausaha Sulit DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Tanpa rasa ragu beliau menerima dengan tenang ketidakhadiran YDP dan mengarahkan Ustaz Kamaruddin dan Ustaz Asyraf mengadap bersama. Entah kenapa 3 sekawan ini yang ditakdirkan tuhan bersama menghadapi cabaran.
Sebagaimana yang dijangka, tiba-tiba muncul Dato' Seri Anuar Zaini. Dalam perbualan kami, dapat dirasakan bahawa andaian mereka fokus perbincangan kami adalah mengenai jawatan CEO Majlis. Ini menambahkan rasa cemas di hati. Tak sempat memikirkan strategi, tiba-tiba DYTM sudah berada di pintu.
Bolehlah dikatakan bahawa mood Tuanku amat baik dalam pertemuan ini. Penjelasan kami didengari satu persatu. Yang menghairankan Dato' Seri Anuar Zaini juga tidak banyak membantah malah lebih banyak menyokong dan menokok tambah hujjah. Buat tatapan semua ahli dan teman-teman saya perturunkan sepenuhnya memorandum yang kami persembahkan. Walaupun tidak sempat berkongsi pandangan dengan semua ahli, namun pengalaman belasan tahun bersama persatuan membantu saya menghayati aspirasi ahli. Tidak semua perkara boleh dipersembahkan, namun kami terpaksa memilih yang paling penting wajar diketahui segera oleh Tuanku.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Ampun Tuanku,
Patik bagi pihak Persatuan Pegawai-Pegawai Agama Perak menjunjung kasih atas perkenan Tuanku, Mencemar Duli memperkenankan pihak patik mengadap. Patik ingin menyembah maklumkan bahawa Persatuan ini baru sahaja melaksanakan Mesyuarat Agong Dwi Tahunan dan patik bersama ahli-ahli jawatankuasa lain telah diberi mandat memimpin persatuan ini bagi sesi 2010 hingga 2012 . Ada beberapa perkara utama yang telah diamanahkan pada patik untuk disembah maklum kepada Duli Tuanku.

PERTAMANYA :
Patik ingin menyembah maklum mengenai masalah perjawatan di Jabatan Agama Islam Perak yang begitu lama masih belum diisi oleh Kerajaan Negeri Perak. Ini menyebabkan banyak perancangan yang dirancang oleh pihak Jabatan gagal dilaksanakan dengan berkesan akibat kekurangan kakitangan.
Waran Perjawatan bagi Jabatan Agama Islam Perak telahpun diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 2007. Terdapat sebanyak 579 perjawatan tambahan diluluskan berdasarkan Waran Perjawatan Baru Bil. 8/2007 bertarikh 20 Mac 2007. Kedudukan tersebut masih belum berubah dan masih belum ada sebarang pertambahan sehingga ke hari ini.


Perjawatan asal - 379 jawatan
Tambahan - 579 jawatan
_______________________________
Jumlah - 958 jawatan

Kekosongan yang perlu diisi - 579 jawatan
Ulasan :
Tuanku agak terperanjat melihatkan jumlah kekosongan yang mengatasi pengisian. Namun dipintas oleh DS Anuar bahawa hal ini telahpun dibincang dalam persidangan Majlis. Beliau membangkitkan bahawa permohonan ke JPA tidak melalui SUK dan masalahnya kini adalah bebanan kewangan. Oleh kerana perbincangan baru bermula kami tidak membalas hujahnya dan membiarkan sahaja Tuanku memberikan ulasannya. Bukan berapa jumlah pengisian yang difokuskan tetapi kenapa semenjak Mac 2007 tiada sebarang pertambahan. Sudah 2 kerajaan, BN dan Pakatan Rakyat memerintah negeri, kenapa tiada sebarang pertambahan sehingga kini. Tuanku berjanji akan meneliti, dan membincangkannya dengan Kerajaan Negeri.
KEDUANYA :
Patik angin menyembah maklum mengenai kebimbangan di kalangan Pegawai-Pegawai di Jabatan mengenai hubungan dengan pihak istana. Patik-patik sekelian amat berbangga berada di institusi agama yang berada terus di bawah naungan Duli-Duli Tuanku. Namun begitu, perkembangan mutakhir ini memperlihatkan bahawa patik-patik sekelian tidak mempunyai peluang untuk menyampaikan pandangan dan penjelasan kebawah Duli Tuanku. Sebagai contoh, apabila berlaku perselisihan berkenaan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid, beberapa pihak seperti Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah telah dititah mengadap. Walaubagaimanapun Pegawai Tadbir Agama yang menerima tohmahan dan kecaman berbagai pihak tidak dititah mengadap. Oleh yang demikian patik ingin mencadangkan agar pertemuan dan perbincangan berkala diadakan di antara Duli Tuanku sebagai Yang Dipertua Majlis dengan Pegawai-Pegawai di ketiga-tiga institusi ini bagi membolehkan maklumat yang lebih tepat disembah maklum kepada Duli Tuanku.
Ulasan :
Tuanku agak serius apabila bertitah mengenai masjid. Dengan bersungguh baginda menegaskan tidak peduli sesiapa dan datang dari mana, apa parti yang diwakili, baginda tidak mahu ambil tahu. yang penting mereka ahli masjid. Aktiviti ibadat mesti dilaksanakan. Jika aktiviti politik baginda akan mengambil tindakan. Selain kelayakan, kaedah perlantikan jangan dilanggar. Baginda sedang membuat siasatan.
Tak semena-mena baginda menghempas fail ke meja dan bertanya dengan keras, sekarang apa masalahnya? Terpempan kami seketika. Aku tidak berhasrat pada awalnya untuk membincangkan isu AJK masjid secara detail, namun terpaksa juga menjelaskan akibat soalan keras itu. Aku menjelaskan bahawa berbeza dengan daerah lain, Daerah Slim River tidak sepakat antara PTA dan Penghulunya. Maka berlakulah pindaan oleh kedua pihak, tetapi hanya berlaku sehari sebelum diangkat ke Persidangan tidak selepasnya. DS Anuar memandang dan meneliti setiap patah perkataanku namun beliau tidak membantah. Tuanku bertitah akan membuat siasatan terperinci dan hanya yang layak dan menepati kaedah sahaja akan digunapakai.
Tuanku amat bersetuju dengan cadangan perjumpaan berkala. Baginda mencadangkan 3 atau 4 bulan sekali. DS Anuar mencadangkan agar kertas perbincangan dihantar awal 2 atau 3 minggu lebih awal agar boleh diteliti. Kini terpulang kepada kita untuk melakukan follow up.
KETIGANYA :
Oleh kerana kurangnya pertemuan di antara Duli Tuanku dengan Pegawai-Pegawai Agama maka Tuanku amat kurang mengenali patik-patik sekelian. Ini menyebabkan apa sahaja kekosongan jawatan yang ada maka Duli Tuanku lebih selesa menerima cadangan yang dikemukakan oleh Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan. Maka cadangan yang sering diberikan adalah di kalangan Pegawai-Pegawai PTD. Pihak persatuan berpandangan beberapa jawatan penting di bawah Majlis adalah memerlukan asas pengetahuan agama yang mencukupi bagi menjaga ketepatannya mengikut Hukum Syarak. Ini tidaklah menafikan kepentingan kemahiran pengurusan dan pentadbiran.
Pihak persatuan berpandangan Pegawai-Pegawai Agama tidak seharusnya diketepikan dalam menilai kelayakan bagi mengisi jawatan-jawatan penting, selain Pengarah Jabatan Agama Islam Perak termasuk jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak. Di antara pegawai yang boleh dipertimbangkan adalah :

1. S.F. DATO’ SHEIKH MOHAMAH NOR BIN MANSOR AL-HAFIZ
a. Beliau diakui mempunyai keluasan ilmu agama yang hebat disamping kemahiran pentadbiran yang amat luas.
b. Jika sekira beliau dilantik mengisi jawatan tersebut, maka dicadangkan SF Tuan Haji Mohd Yusop Bin Haji Husin, Timbalan Pengarah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Perak bagi menggantikan beliau.



2. S.F. TUAN HAJI MOHD YUSOP BIN HJ. HUSIN
a. Beliau sekarang adalah Timbalan Pengarah, Jabatan Agama Islam Perak.
b. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Malaya.
c. Beliau memiliki Diploma Kehakiman Dan Guaman Islam, Universiti Islam Antarabangsa.
d. Beliau mempunyai pengalaman dalam pentadbiran Hal Ehwal Islam selama 24 tahun.
e. Beliau pernah mengikuti Kursus Bahasa Inggeris di Muslim College, London selama 3 bulan.

3. S.F. TUAN HAJI ZAKARIA BIN ABDUL RAZAK
a. Beliau sekarang adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Perak.
b. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Malaya.
c. Beliau memiliki Diploma Kehakiman Dan Guaman Islam, Universiti Islam Antarabangsa.
d. Beliau mempunyai pengalaman pentadbiran Hal Ehwal Islam selama 20 tahun.
e. Beliau pernah mengikuti Kursus Bahasa Inggeris di London selama 3 bulan.

4. S.F. MOHD HAIDI BIN SULAIMAN
a. Beliau sekarang adalah Ketua Penolong Setiausaha, Majlis Agama Islam Perak.
b. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia.
c. Beliau mempunyai pengalaman pentadbiran Hal Ehwal Islam selama 17 tahun.

5. S.F. TUAN HAJI ZAMRI BIN HASHIM
a. Beliau sekarang adalah Ketua Penolong Mufti, Jabatan Mufti,
Negeri Perak.
b. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda pengkhususan Tafsir, Universiti Al-Azhar, Mesir.
c. Beliau mempunyai pengalaman pentadbiran di Jabatan Mufti Negeri Perak selama 16 tahun.
d. Beliau pernah mengikuti Kursus Fatwa di Darul Ifta’, Mesir selama 3 bulan.

6. A.F. KAMAL IZAT BIN AHMED
a. Beliau sekarang adalah Pegawai Tadbir Agama Daerah Ipoh.
b. Mendapat pendidikan di Universiti Malaya dalam bidang Syariah.
c. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Universiti Teknologi Mara (UITM).
d. Beliau mempunyai pengalaman pentadbiran Hal Ehwal Islam selama 15 tahun.

7. A.F. ASYRAF BIN ISMAIL
a. Beliau adalah Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah.
b. Mendapat Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Syariah.
c. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).
d. Beliau memiliki Diploma Kehakiman Dan Guaman Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.Beliau mempunyai pengalaman pentadbiran Hal Ehwal Islam selama 11 tahun.
Ulasan :
Penyenaraian calon yang ramai adalah hasil perbincangan bersama dengan Pengarah ketika di Marina Cove. Masalah yang paling ketara, kita kekurangan calon yang dikenali apatah lagi diyakini. Mereka dengan mudah menyenaraikan Pegawai PTD yang sebahagiannya tidak sangat memiliki sebarang keistimewaan dan kemahiranpun. Siapakah yang mengenali Hashim Kasmon sebelum dia menjadi pengarah. Tidakkah orang hanya mengenali Zainal Abidin Omar sebagai pegawai kanan yang baik termasuk menjadi anak murid Tuan Guru Haron Din. Apakah hebatnya Jamry Sury yang menjadi Pegawai Daerah Kuala Kangsar sehinggalah dilantik sebagai pengarah.
Kita hanya berani menyebut nama Yusop Husin selain Sheikh Mohd Nor bagi jawatan pengarah. Kalau di tanya apakah kemahiran kehebatan Ustaz Zakaria dan Ustaz Harith Fadhilah, bukan sahaja orang luar, Tan Sri Muftipun tidak mampu menjawabnya selain Ustaz Harith yang dikenali sebagai penceramah. Kalau kita tidak mulakan, sampai bilapun tidak ada pihak yang menyedari kehebatan kita dan orang luar tetap akan dibawa masuk memimpin kita sehingga kita pencen.
Tuanku bertitah beliau terbuka dalam memilih sesiapa. Tapi baginda perlu yakin dengan kemampuannya. Beginda menyebut tentang keyakinannya dengan ilmu agama dan pengalaman Ustaz Yusop selama 24 tahun. Namun bagi baginda 24 tahun hanyalah satu bidang yang terhad tanpa ada perluasan skop ilmu dan pengalaman. Gambaran baginda kemahiran bidang selain agama perlu dibuktikan dengan ijazah sarjana dan gelaran kedoktoran. Ini memundurkan kita jauh ke belakang. Selepas tamat kontrak pengarah sekarang, kita akan berhadapan dengan perjuangan yang berulang-ulang. Highest Level di kalangan kita (Gred 52 hingga 54) tidak melanjutkan pelajaran. Pemegang Master di kalangan kita hanya ditahap bawahan (Gred 41 hingga 48). Maka PTD jugalah yang akan dicanangkan tanpa syarat yang begitu ketat, tidak kira berapa gred mereka atau setinggi mana kelulusan akademik mereka.
Kami gagal menyakinkan Tuanku untuk mengubah keputusan memandangkan kami di bawa masuk ke gelanggang beberapa detik sebelum wisel dibunyikan. Mengikut Kol. Rahim 16 Mac adalah tarikh lantikan. Kami serahkan kembali urusan ini kepada Pengarah dan Dato' Mufti kerana mendesak DYTM hanya mendatangkan kemurkaan. Ianya memerlukan campurtangan DYMM Sultan jika bersungguh mahu diperjuangkan. Di peringkat awal juga kami tidak dibincangkan, sehinggalah di peringkat cadangan tanpa sebarang bantahan oleh mana-mana ahli Majlis termasuk yang bergelar ulama', maka wajarkah kami golongan marhaen yang perlu menggalas bebannya. Wallahu a'lam.
KEEMPATNYA :
Patik ingin menyembah maklum bahawa terdapat ketidakadilan yang amat ketara dalam soal kenaikan pangkat di mana beberapa orang pegawai telah dinafikan hak mereka biarpun telah diketegorikan sebagai “senior”. Mereka adalah Al Fadhil Ustaz Manolito bin Dahalan yang kini bertugas sebagai Pegawai Tadbir Agama Parit Buntar dan Al Fadhil Ustaz Kamal Izat bin Haji Ahmed yang bertugas sebagai Pegawai Tadbir Agama Daerah Ipoh. Kedua-dua mereka ini masih lagi menjawat jawatan dengan gred hakiki S 41, biarpun pegawai-pegawai “junior” telah menikmati kenaikan pangkat. Tindakan sedemikian akan melahirkan rasa ketidakpuasan hati di kalangan pegawai terbabit. Disamping itu, campurtangan politik dalam hal kenaikan pangkat turut menyebabkan pegawai yang tidak efisien diberi keistimewaan untuk naik pangkat yang akhirnya akan menyebabkan urusan pentadbiran jabatan dan profesionalisme kerja sedikit terjejas.

Ampun Tuanku Beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun.
Tidak ada niat dalam menyembah maklum segala di atas melainkan untuk melihat agar pentadbiran Hal Ehwal Islam di Negeri Perak tercinta ini dapat mencapai kecemerlangannya. Jika sekiranya berlaku kesilapan dalam patik menyembah maklum ini, maka tiada lain yang patik harapkan melainkan keampunan Duli Tuanku. Patik amat yakin dengan kebijaksanaan Duli Tuanku dalam menilai dan mempertimbangkan segala yang terbaik bagi rakyat jelata sekelian. Patik menjunjung kasih di atas segala keperihatinan yang Duli Tuanku tunjukkan. Wallahu A’lam Bissowab.

Assalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Ulasan :
Ini adalah tambahan terakhir sepenuhnya dari Ustaz Kamaruddin. Ketika sampai di peringkat ini, aku mohon perkenan agar beliau dan ustaz Asyraf membentang dan membincangkannya. DS Anuar mencadangkan aku keluar dan Tuanku memperkenankannya. Tiada sesuatu yang aku dengar kecuali pertanyaan Tuanku; Macamana boleh dapat nama Manolito tu. Ini disusuli oleh gelak tawa Tuanku bersama mereka yang ada di dalam. Mungkin tambahan terperinci akan di update kemudian nanti.
Aku amat yakin akan ada yang mempertikaikan kenapa seolah-olah ada kepentingan peribadi. Namun aku yakin Ustaz Kamarudin ada alasan melakukannya. Aku dan Manolito hanya ikon yang dinamakan bagi membongkar ketidakadilan yang sekian lama dibudayakan. Bukan semua orang sanggup menjadi kambing hitam jika namanya disebutkan dan disalah anggap. Ia bukannya isu 2 insan yang tiada apa nilainya kepada jabatan, tetapi pembuka jalan ke arah kebajikan kepada yang wajar mendapatkannya. Aku dimaklumkan DS Anuar amat menyokong dan menekankan sangat soal kebajikan dan motivasi kepada yang sudah sekian lama berkhidmat. Tanggungjawab kita hanya menyediakan kertas kerja dan menghantar nama kepada Istana ataupun ke Persidangan Majlis. Perkara yang sama telah disuarakan kepada YAB Menteri Besar ketika awal peralihan kuasa, namun janji hanya tinggal janji, sekaligus membuktikan bahawa mereka memang orang politik sejati.

Dilaporkan seadanya oleh :
Timbalan Yang Dipertua,
Persatuan Pegawai-Pegawai Agama Perak
11 Mac 2010 - 0058 am

No comments: