Thursday, March 18, 2010
MEMOHON MAAF….antara amanah dan kemampuan
Memang niat saya untuk tidak lagi memegang jawatan sebagai YDP PPUP untuk penggal yang ke tiga seperti yang telah saya lakukan dengan meletakkan jawatan sebagai ahli lembaga Pengarah Koperasi KOSIS dan telah dipersetujui oleh mesyuarat ahli lembaga pengarah , serta beberapa kelas pengajian kuliah maghrib sekitar Ipoh terpaksa di tunda untuk tempoh dua tahun disebabkan ketidak mampuan kudrat yang ada serta beberapa factor yang lain , namun corak pemilihan malam itu agak berlainan dengan pemilihan telah dilakukan secara ‘pakej” , walaupun telah menjelaskan rasional untuk tidak menjawat jawatan itu tetapi sebagai menghormati mesyuarat pada malam itu untuk sementara waktu saya menerima amanah itu dengan memohon kekuatan daripada Allah memberikan petunjuk yang akan menjadi pedoman membuat keputusan .
Saya amat terhutang budi kepada barisan ahli-ahli jawatankuasa PPUP yang telah memberikan kerjasama yang sangat baik bersama-sama melaksanakan aktiviti yang dirancang-mudah-mudahan diganjari dengan ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT - bahkan sangat pro aktif sehingga kadang-kadang YDP sendiri tertinggal gerabak ,mungkin disebabkan factor lokaliti dan sebagainya.
Sekali lagi saya meminta maaf kepada ahli-ahli PPUP khususnya rakan-rakan ahli-ahli Jawatankuasa PPUP yang telah mengadap DYTM Raja Muda kerana saya tidak dapat bersama kerana kesilapan teknikal yang saya telah jelaskan kepada Timbalan YDP melalui sms tempohari walaupun persediaan telah saya buat seawal hari Isnin lagi tatkala saya pergi ke Kuala Lumpur untuk membuat sedikit kerja-kerja bersangkutan dengan pengajian saya .Tinggal lagi saya berdoa agar Allah SWT memberikan keputusan terbaik untuk ahli-ahli PPUP.
Sekian .
Zamri Hashim
Gombak…
Wednesday, March 10, 2010
Khabar Dari Istana Hinggap
Ampun Tuanku,
Patik bagi pihak Persatuan Pegawai-Pegawai Agama Perak menjunjung kasih atas perkenan Tuanku, Mencemar Duli memperkenankan pihak patik mengadap. Patik ingin menyembah maklumkan bahawa Persatuan ini baru sahaja melaksanakan Mesyuarat Agong Dwi Tahunan dan patik bersama ahli-ahli jawatankuasa lain telah diberi mandat memimpin persatuan ini bagi sesi 2010 hingga 2012 . Ada beberapa perkara utama yang telah diamanahkan pada patik untuk disembah maklum kepada Duli Tuanku.
PERTAMANYA :
Patik ingin menyembah maklum mengenai masalah perjawatan di Jabatan Agama Islam Perak yang begitu lama masih belum diisi oleh Kerajaan Negeri Perak. Ini menyebabkan banyak perancangan yang dirancang oleh pihak Jabatan gagal dilaksanakan dengan berkesan akibat kekurangan kakitangan.
Waran Perjawatan bagi Jabatan Agama Islam Perak telahpun diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 2007. Terdapat sebanyak 579 perjawatan tambahan diluluskan berdasarkan Waran Perjawatan Baru Bil. 8/2007 bertarikh 20 Mac 2007. Kedudukan tersebut masih belum berubah dan masih belum ada sebarang pertambahan sehingga ke hari ini.
Perjawatan asal - 379 jawatan
Tambahan - 579 jawatan
_______________________________
Jumlah - 958 jawatan
Kekosongan yang perlu diisi - 579 jawatan
Patik angin menyembah maklum mengenai kebimbangan di kalangan Pegawai-Pegawai di Jabatan mengenai hubungan dengan pihak istana. Patik-patik sekelian amat berbangga berada di institusi agama yang berada terus di bawah naungan Duli-Duli Tuanku. Namun begitu, perkembangan mutakhir ini memperlihatkan bahawa patik-patik sekelian tidak mempunyai peluang untuk menyampaikan pandangan dan penjelasan kebawah Duli Tuanku. Sebagai contoh, apabila berlaku perselisihan berkenaan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid, beberapa pihak seperti Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah telah dititah mengadap. Walaubagaimanapun Pegawai Tadbir Agama yang menerima tohmahan dan kecaman berbagai pihak tidak dititah mengadap. Oleh yang demikian patik ingin mencadangkan agar pertemuan dan perbincangan berkala diadakan di antara Duli Tuanku sebagai Yang Dipertua Majlis dengan Pegawai-Pegawai di ketiga-tiga institusi ini bagi membolehkan maklumat yang lebih tepat disembah maklum kepada Duli Tuanku.
Oleh kerana kurangnya pertemuan di antara Duli Tuanku dengan Pegawai-Pegawai Agama maka Tuanku amat kurang mengenali patik-patik sekelian. Ini menyebabkan apa sahaja kekosongan jawatan yang ada maka Duli Tuanku lebih selesa menerima cadangan yang dikemukakan oleh Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan. Maka cadangan yang sering diberikan adalah di kalangan Pegawai-Pegawai PTD. Pihak persatuan berpandangan beberapa jawatan penting di bawah Majlis adalah memerlukan asas pengetahuan agama yang mencukupi bagi menjaga ketepatannya mengikut Hukum Syarak. Ini tidaklah menafikan kepentingan kemahiran pengurusan dan pentadbiran.
Pihak persatuan berpandangan Pegawai-Pegawai Agama tidak seharusnya diketepikan dalam menilai kelayakan bagi mengisi jawatan-jawatan penting, selain Pengarah Jabatan Agama Islam Perak termasuk jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak. Di antara pegawai yang boleh dipertimbangkan adalah :
1. S.F. DATO’ SHEIKH MOHAMAH NOR BIN MANSOR AL-HAFIZ
a. Beliau diakui mempunyai keluasan ilmu agama yang hebat disamping kemahiran pentadbiran yang amat luas.
b. Jika sekira beliau dilantik mengisi jawatan tersebut, maka dicadangkan SF Tuan Haji Mohd Yusop Bin Haji Husin, Timbalan Pengarah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Perak bagi menggantikan beliau.
2. S.F. TUAN HAJI MOHD YUSOP BIN HJ. HUSIN
a. Beliau sekarang adalah Timbalan Pengarah, Jabatan Agama Islam Perak.
b. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Malaya.
c. Beliau memiliki Diploma Kehakiman Dan Guaman Islam, Universiti Islam Antarabangsa.
d. Beliau mempunyai pengalaman dalam pentadbiran Hal Ehwal Islam selama 24 tahun.
e. Beliau pernah mengikuti Kursus Bahasa Inggeris di Muslim College, London selama 3 bulan.
3. S.F. TUAN HAJI ZAKARIA BIN ABDUL RAZAK
a. Beliau sekarang adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Perak.
b. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Malaya.
c. Beliau memiliki Diploma Kehakiman Dan Guaman Islam, Universiti Islam Antarabangsa.
d. Beliau mempunyai pengalaman pentadbiran Hal Ehwal Islam selama 20 tahun.
e. Beliau pernah mengikuti Kursus Bahasa Inggeris di London selama 3 bulan.
4. S.F. MOHD HAIDI BIN SULAIMAN
a. Beliau sekarang adalah Ketua Penolong Setiausaha, Majlis Agama Islam Perak.
b. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia.
c. Beliau mempunyai pengalaman pentadbiran Hal Ehwal Islam selama 17 tahun.
5. S.F. TUAN HAJI ZAMRI BIN HASHIM
a. Beliau sekarang adalah Ketua Penolong Mufti, Jabatan Mufti,
Negeri Perak.
b. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda pengkhususan Tafsir, Universiti Al-Azhar, Mesir.
c. Beliau mempunyai pengalaman pentadbiran di Jabatan Mufti Negeri Perak selama 16 tahun.
d. Beliau pernah mengikuti Kursus Fatwa di Darul Ifta’, Mesir selama 3 bulan.
6. A.F. KAMAL IZAT BIN AHMED
a. Beliau sekarang adalah Pegawai Tadbir Agama Daerah Ipoh.
b. Mendapat pendidikan di Universiti Malaya dalam bidang Syariah.
c. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Universiti Teknologi Mara (UITM).
d. Beliau mempunyai pengalaman pentadbiran Hal Ehwal Islam selama 15 tahun.
7. A.F. ASYRAF BIN ISMAIL
a. Beliau adalah Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah.
b. Mendapat Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Syariah.
c. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).
d. Beliau memiliki Diploma Kehakiman Dan Guaman Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.Beliau mempunyai pengalaman pentadbiran Hal Ehwal Islam selama 11 tahun.
Patik ingin menyembah maklum bahawa terdapat ketidakadilan yang amat ketara dalam soal kenaikan pangkat di mana beberapa orang pegawai telah dinafikan hak mereka biarpun telah diketegorikan sebagai “senior”. Mereka adalah Al Fadhil Ustaz Manolito bin Dahalan yang kini bertugas sebagai Pegawai Tadbir Agama Parit Buntar dan Al Fadhil Ustaz Kamal Izat bin Haji Ahmed yang bertugas sebagai Pegawai Tadbir Agama Daerah Ipoh. Kedua-dua mereka ini masih lagi menjawat jawatan dengan gred hakiki S 41, biarpun pegawai-pegawai “junior” telah menikmati kenaikan pangkat. Tindakan sedemikian akan melahirkan rasa ketidakpuasan hati di kalangan pegawai terbabit. Disamping itu, campurtangan politik dalam hal kenaikan pangkat turut menyebabkan pegawai yang tidak efisien diberi keistimewaan untuk naik pangkat yang akhirnya akan menyebabkan urusan pentadbiran jabatan dan profesionalisme kerja sedikit terjejas.
Ampun Tuanku Beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun.
Tidak ada niat dalam menyembah maklum segala di atas melainkan untuk melihat agar pentadbiran Hal Ehwal Islam di Negeri Perak tercinta ini dapat mencapai kecemerlangannya. Jika sekiranya berlaku kesilapan dalam patik menyembah maklum ini, maka tiada lain yang patik harapkan melainkan keampunan Duli Tuanku. Patik amat yakin dengan kebijaksanaan Duli Tuanku dalam menilai dan mempertimbangkan segala yang terbaik bagi rakyat jelata sekelian. Patik menjunjung kasih di atas segala keperihatinan yang Duli Tuanku tunjukkan. Wallahu A’lam Bissowab.
Assalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Monday, March 8, 2010
Perkenan Mengadap
Hasrat ikhlas Ahli Jawatankuasa yang baru dilantik dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kali ke 18 yang lalu untuk mempertingkatkan usaha meningkatkan kebajikan ahli seolah-olah direstui oleh Allah SWT. Permohonan yang dikemukakan bagi mengadap DYTM Raja Dr. Nazrin Shah, Yang Dipertua Majlis mendapat perhatian baginda dan telahpun diperkenankan. Walaubagaimanapun tidak sebagaimana biasa baginda memperkenankan seorang sahaja mengadap, tidak keseluruhan Ahli Jawatankuasa. Entah kenapa dan apa puncanya hanya Allah yang mengetahuinya. Apa yang pasti, peluang dan kesempatan ini tidak seharusnya dipersiakan. Permohonan telah dikemukakan agar diperkenan mengadap 2 orang wakil dalam pertemuan tersebut. Wakil Persatuan samada Yang Dipertua atau Timbalannya atau kedua-duanya Insyaallah akan berada di Istana Perak, Changkat Persekutuan, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur pada Hari Rabu, jam 10 pagi untuk mengadap. Doa restu dari semua ahli dipohon agar diberikan kekuatan oleh Allah untuk menyembah maklum segala yang terpendam, dan mudah-mudahan dibukakan pintu hati baginda untuk membantu persatuan memperjuangkan kebenaran dan kebajikan samada untuk ahli-ahli seluruhnya mahupun Umat Islam amnya.
Tuesday, February 23, 2010
Hukuman Sebat ; Maju Setapak Lagi
Setinggi-tinggi pujian harus diberikan terhadap perlaksanaan segera oleh Jabatan Penjara terhadap 3 pesalah wanita bersama empat lagi pesalah lelaki yang disabitkan mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.
Tak perlulah mengharapkan golongan yang prejudis terhadap Islam untuk menyokong dan tidak membangkang perlaksanaan Hukum Islam kerana mereka sememangnya tidak mahu belajar untuk memahaminya. Tidak perlulah ada pihak yang menimbulkan soal kegagalan kita memberikan kefahaman kepada masyarakat terhadap Islam dan perlaksanaannya memandangkan bukan sedikit Orang Bukan Islam yang amat memahami mengenai keindahan Islam pada zaman ledakan maklumat yang merata pada hari ini. Apakah alasan bagi yang mengaku sebagai Islam untuk tidak memahami apatah lagi memusuhi Islam dan Perlaksanaan Syariatnya.
Sunday, February 21, 2010
Mesyuarat Agung Kali Ke 18
Alhamdulillah, Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke 18 yang diadakan di Marina Cove Resort, Lumut pada malam ini nberjalan dengan lancar dengan suasana yang sangat harmoni. Majlis yang dirasmikan oleh Dato' Sheikh Mohd Nor Bin Mansor Al-Hafiz, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak yang juga merupakan ahli persatuan ini lebih merupakan satu kesempatan keemasan bagi membolehkan perjumpaan teman-teman berbagai lapisan dari kesemua jabatan termasuk Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Mufti dan juga Majlis Agama Islam Perak.
Mandat kepimpinan persatuan sekali lagi diserahkan kepada barisan kepimpinan sedia ada. Ini bermakna dua tahun lagi terpaksa di hadapi oleh Jawatankuasa bagi melaksanakan tanggungjawab yang berat ini.
Ustaz Asyraf Ismail sekali lagi berjaya menambat hati ahli-ahli dengan kehebatannya meminpin majlis, telah diusulkan agar dilantik sebgai Pengerusi Tetap. Walaupun kedatangan kira-kira 70 orang ahli bersama keluarga masing-masing, namun nisbah kehadiran dengan jumlah keahlian sebenar masih jauh dari yang diharapkan. Entah apalah cara agaknya bagi menjadikan kesemua ahli memberikan komitmen terhadap aktiviti persatuan. Jika Mesyuarat Agung dan Hari Keluarga yang menyediakan penginapan selesa untuk seisi keluarga seperti inipun tidak mendapat tempat di hati mereka, maka apakah yang boleh diharapkan untuk aktiviti lain yang dianjurkan oleh persatuan pada masa akan datang.
Wednesday, January 27, 2010
Mesyuarat Agong Dwi Tahunan
Sunday, January 17, 2010
Disebalik Fitnah Yang Melanda
Tarikh | Keadaan / Perkara | Catitan / ulasan |
1.8.09 Sabtu | Menandatangani senarai yang diberi oleh Pejabat Menteri Besar Perak tanpa pindaan walaupun didapati ada sejumlah nama yang saya sendiri tidak kenal. | - Tandatangan dibuat atas alasan menjaga nama baik Jabatan dan Pengarah yang telah mendapat arahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak - Keadaan kelam kabut ini berlaku disebabkan senarai tersebut akan diangkat ke Persidangan Majlis dalam tempoh 2 hari. |
2.8.09 Ahad | i. Mendapat panggilan telefon dari PPMD yang menyatakan beliau bersama Penghulu berada di rumah OBJ untuk mendapat tandatangan senarai tersebut. ii. Beliau menyatakan Penghulu ingin meminda senarai tersebut. Dan saya memberi arahan sendiri dengan Penghulu Ulu Bernam bahawa senarai tersebut jangan dipinda. Pindaan hendaklah dibuat setelah Persidangan Majlis meluluskan kerana ingin mempercepatkan pelantikan Jawatankuasa Kariah yang berlarutan begitu lama. iii. PPMD memaklum melalui telefon bahawa Penghulu telah membuat pindaan senarai tersebut tanpa kebenaran dan berbincang dengan PTA. iv. Saya juga meminda kembali senarai tersebut dan menyerahkan kembali kepada Bahagian Pengurusan Masjid untuk diangkat ke Persidangan Majlis keesokan harinya. | PTA adalah pengerusi kepada panel pencadang jawatankuasa kariah. Penghulu tidak mempunyai sebarang hak untuk membuat keputusan sesuka hati. Senarai inilah yang telah diluluskan oleh Majlis dan bukan senarai yang dipinda oleh Penghulu. |
Ogos 2009 hingga Disember 2009 | Persidangan Majlis telah meluluskan senarai nama 6 buah daerah dan menolak senarai 10 buah daerah lagi. PTA diminta membincangkan kembali senarai ini dengan Penghulu dan OBJ dan mengemukakan senarai baru kepada Majlis. Oleh kerana menghormati YAB Menteri Besar, semua PTA menjadikan senarai yang dikeluarklan oleh Pejabat Menteri Besar sebagai asas dan hanya menukarkan mereka yang tidak layak dengan yang lebih layak. | Ini adalah prosedur sebenar cadangan perlantikan mengikut undang-undang. |
Disember 2009 | i.Persidangan Majlis telah meluluskan senarai tersebut bersama- sama dengan daerah yang lain | Maka bermulalah episod kontroversi apabila ada pihak yang tidak senang apabila melihat senarai yang diluluskan oleh Majlis berbeza dengan senarai yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Perak. Perbezaan ini bukan hanya berlaku di Daerah Slim River malah hampir semua Daerah di Negeri Perak. |
Pihak atasan telah diarah oleh Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti peratus perubahan antara senarai nama yang diluluskan oleh Majlis dengan senarai yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar. | PTA hanya boleh menanti apakah tindak balas yang akan dikenakan ke atas mereka akibat mempertahankan hak mereka yang telah diperuntukkan oleh undang-undang. |
Tuesday, January 12, 2010
Majlis Bacaan Yasin Dan Tahlil
Tuesday, December 22, 2009
ADUN Slim River Berniat Jahat
Malah lebih keterlaluan apabila beliau mengatakan bahawa Modus operandi Pengarah JAIP adalah dengan mengarahkan PTA supaya memotong nama-nama yang telah diperkenankan oleh DYTM Tuanku Raja Muda dan memasukkan nama-nama pemimpin Pas sebelum senarai itu dihantar semula ke pejabat JAIP. Kemudian JAIP akan membuat senarai baru tanpa merujuknya semula kepada OBJ, yang mewakili baginda Sultan di peringkat daerah.